Home Novel Cinta DIA YANG KUCINTA
DIA YANG KUCINTA
Indah Hairani
28/12/2012 19:38:06
81,414
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 3

IMAN IDHAMtersentak. Dia mengapai tangan mencari Kak Amna. Dia ingin ke bilik air. Sekali lagi dia meraba-raba. Itu yang selalu dibuatnya setiap kali bergerak ke bilik air. Iman meraba-raba lagi. Tetapi tidak dirasanya tubuh Kak Amna.

“Akak…Iman nak ke bilik air, kak” Beritahu Iman Idham. Namun suara Kak Amna tidak kedengaran. Iman mula dihimpit rasa takut.

“Akaak…akak, cepatlah akak. Iman dah tak tahan ni kak.” Namun masih tidak kedengaran suara Kak Amna seperti selalu. Iman mula gelisah. Iman mula menangis. Mula-mula perlahan namun semakin lama semakin kuat. Tiba-tiba kedengaran bunyi daun pintu dibuka.

“Ya ALLAH..kenapa Iman?” Suara Kak Peah separuh berbisik sambil mendekati Iman. Iman yang hanya nampak semua benda disekelilingnya seperti bayang-bayang mengapai ingin menyentuh Kak Peah.

“Iman nak buang air, tapi Kak Amna tak ada. Mana Kak Amna, Kak Peah?” Tanya Iman yang mula mengensot ke bilik air. Pembantu rumah itu mengerut kening. Matanya melilau ke sekeliling bilik itu mencari Amna. Namun kelibat gadis itu tidak ada. Dia mengerut keningnya. Kak Peah memandang ke arah meja kecil di hujung katil Iman, pandangannya tertancap nota yang terselit di bawah gelas minuman di atas meja itu. Cepat Kak Peah mencapainya. Tiba-tiba wajah Kak Peah berubah. Dahi pembantu rumah itu berkerut dan cemas.

“Kak Peah..” Iman memanggil Kak Peah sekali lagi.

“Ya Iman, ya. Kak Peah di sini.”

“Kenapa Kak Peah diam?”

“Tak ada apa-apa nak.” Kak Peah menjawab sambil di tangannya masih terpegang nota tulisan tangan milik Chempaka Amna.

“Mana akak?”

“Owh ya,,ya..kak Amna masih tidur Iman . Kita tak payahlah nak kejutkan Kak Amna ya..Kak Peah kan ada.” Pembantu rumah itu ternyata cuba memujuk Iman, anak bongsu orang kaya ini.

“Kenapa sayang?”Soal Kak Peah sekali lagi.

“Nak buang air besar.” Jawab Iman pantas.

“Tak apa-tak apa, biar Kak Peah yang tolong Iman ya?”Kak Peah menawarkan diri.

“Ya ya Kak Peah, Iman dah tak tahan sangat ni Kak Peah.” Jawab Iman dengan wajah berkerut menahan sakit memulas dalam perutnya. Kak Peah terkocoh-kocoh memimpin Iman ke tandas. Kak Peah menunggu di luar pintu. Seperti yang selalu dilakukan oleh Chempaka Amna. Hampir sepuluh minit, Iman kembali memanggil Kak Peah. Kak Peah segera menolak pintu bilik.

“Dah siap Kak Peah.” Beritahu Iman dan terus bangun. Kak Peah mendekati pintu lantas menolaknya.

“Dah siap?”Tanya Kak Peah.

“Dah Kak Peah.”Jawab Iman pantas. Lega selepas membuang segala toksin yang mengganggu perutnya.

“Ok, Iman , Kak Peah datang ni…Iman elok-elok ya sayang.” Pesan Kak Peah.

Iman berpegang pada kepala pili. Kak Peah datang dan terus menjirus Iman .

“Kak Peah mandikan terus ya, Iman ?”

“Sejuk Kak Peah. Iman nak ambil air sembahyang sudahlah Kak Peah.”

Kak Peah tiba-tiba tertawa.

“Kenapa Kak Peah tertawa?”Iman belum sembahyang subuh lagi Kak Peah.?”

“Ha..tulah, dah subuh gajah ni. Isy..Iman ni. Tak baik lengah sembahyang.”

Tegur Kak Peah sambil menjirus kaki Iman .

“Selalu kan Kak Amna kejutkan Iman , tapi pagi ni, langsung akak tak kejutkan Kak Peah.” Beritahu Iman sedikit menggigil sambil memegang tuala yang diletakkan Kak Peah. Wajah Kak Peah kelat sambil memandang ke katil Amna yang kosong. Iman menyusur dinding sambil mengatur langkah ke sejadah yang telah dibentangkan Kak Peah. Sebaik selesai solat, Iman seperti selalu berdoa. Sudah tentu dia berdoa agar pandangannya kembali pulih. Dia nak seperti dulu. Dapat melihat seperti Kak Amna, seperti Kak Peah. Iman nak lihat dunia seperti orang lain. Iman juga nak lihat wajah Mama Hanna yang selalu marah-marahkan Iman . Iman tak kisah. Mama Hanna pengganti arwah ibu. Biarpun mungkin tidak sebaik ibu. Biarpun Mama Hanna selalu pukul dan menengking dia dan Kak Amna, namun tak semesti mereka harus bencikan Mama Hanna. Mama Hanna menjaga Papa Khalid. Mama Hanna tetap baik dengan Papa Khalid walaupun Mama Hanna marahkan Papa Khalid ketika pertama kali Papa Khalid bawa mereka pulang ke rumah Papa Khalid. Panas mata Iman Idham mengenang untung nasibnya hidup menumpang di rumah Mama Hanna.

“Iman…Iman, kenapa dik? Tak baik menangis, orang lelaki tak baik menangis.” Lembut kedengaran suara Kak Peah. Iman semakin hiba.

“Kak Peah…”Panggil Iman perlahan.

“Ya dik?”

“Kenapa Kak Peah bohongkan Iman?”

“Kenapa Iman? Kenapa Iman cakap macam tu?”

“Kak Amna dah lari kan Kak Peah? Kak Amna dah tak ada kat rumah ni..” Soal benak pula dengan dada sebak. Kak Peah terdiam. Iman tahu, Kak Peah merahsiakan kehilangan Kak Amna. Percakapan Kak Amna semalam sudah cukup memberi gambaran Kak Amna akan tinggalkan jugak rumah ini.

“Iman…”suara Kak Amna kembali menamu benaknya.

“Ya kak.”

“Kalau sekiranya akak tak ada, Iman pandai-pandai jaga diri ya?” Kata-kata Kak Amna terngiang-ngiang di telinga.

“Kenapa akak cakap macam tu?”

“Yalah…Iman dah besar, Imanpun boleh urus diri. Kalau dulu, masa Iman kecil, akak tak bercerita semua ni.”Balas Kak Amna lembut.

“Kenapa mata Iman jadi macam ni kak?”Soalnya tiba-tiba. Buta satu perkataan yang selalu didengar dari mulut Mama Hanna. Kata orang, setiap panggilan itu satu doa. Dan Mama Hanna selalu berdoa untuknya. Mama Hanna suka agaknya dia menjadi buta.

“Dalam dunia ni banyak jenis penyakit dik.”Jawab Kak Amna lagi.

“Iman boleh sembuh lagi ke kak?”Soalnya lagi.

“Setiap penyakit ada ubatnya. Kan papa dah janji nak ubatkan Iman.” Iman berasa tangan Kak Amna mengelus rambutnya.

“Tapi kak, Mama Hanna cakap belanja besar kak.”

“Adik, kita ni anak papa tau, bukan anak Mama Hanna. Iman lupa?”

“Tapi Papa Khalid tetap papa tiri kan kak?” Kak Amna terdiam. Mana mungkin Kak Amna menyangkalnya, tetapi dia masih ingat semuanya biarpun dia masih kecil. Paling tidak kata-kata berbisa Mama Hanna yang selalu melekat di ingatannya.

“Peah! Peah!!” Suara Mama Hanna berdencing tajam seakan memecah gegendang telinga Iman. Suara-suara kak Amna berkecai seperti kaca yang terhempas di lantai.

“Kak Peah, Kak Peah kat mana?” Iman terpisat-pisat sambil menginsut ke katilnya.

“Ya sayang..Kak Peah kat sini.”

“Cepat, Kak Peah. Kak Peah pergilah. Nanti Kak Peah kena marah.”Ujar Iman Idham bersungguh-sungguh. Dia kesiankan Kak Peah. Kak Peah pembantu rumah Mama Hanna yang baik dan mengambil berat tentang dia dan Kak Amna.

“Ya Iman..ya ya..Kak Peah minta diri keluar dulu.” Bisik Kak Peah.

“Kak Peah jaga diri ya.” Pesannya seperti selalu. Kak Peah tertawa kecil.

Bunyi pintu ditutup menandakan Kak Peah sudah berlalu dari bilik Iman. Iman mengurut-ngurut dada mengharapkan Kak Peah terlepas dari kemarahan Mama Hanna. Dia simpati dengan Kak Peah. Setiap kali Mama Hanna menengking Kak Peah, pedih hatinya mendengarnya. Mama Hanna seperti kehilangan kesantunan seorang perempuan dan isteri kepada Papa Khalid yang bersikap lembut dan penyabar. Apalah nasib Papa Khalid, mendapat isteri seperti Mama Hanna. Papa Khalid selalu mengalah dengan sikap kasar Mama Hanna. Iman sangat yakin, kalaulah ibu masih hidup, ibu tidak akan memperlaku Papa Khalid sebegitu rupa. Kata Kak Amna, ibu seorang yang lembut dan penyayang. Kata Kak Amna lagi ibu seorang wanita yang sabar. Mungkin kerana sifat ibu itulah agaknya papa mengahwini arwah ibu dulu. Iman melepaskan keluhan.

“Kak Amna? Bising-bising macam tupun akak masih lelap?” Ujar Iman sambil membaringkan badannya di katilnya membayangkan Kak Amna ada di sebelahnya. Iman mengeleng-eleng kepala bila suara Chempaka Amna tidak didengarinya.

“Kak Amna..Kak Amna…kalaulah Mama Hanna tahu, akak masih tidur, tak tahulah kak.” Iman tersenyum sambil memandang ke arah siling yang tetap gelap sekalipun siling itu putih. Ah! Iman. Dia mencubit pipinya. Iman lupa. Kak Amna dah lari dari rumah ini. Bisik Iman Idham dengan dada sebak.

Di luar kedengaran suara Mama Hanna, memarahi Kak Peah. Iman menutup pendengarannya. Dia sudah tidak sanggup mendengar suara kemarahan itu. Dia juga tidak sanggup mendengar leteran Mama Hanna pada Kak Peah gara-gara Kak Peah sering membantu dia dan Kak Amna.

Kesian Kak Peah… bisik Iman lagi dengan nada perlahan.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani