Home Novel Cinta Spy Hati Dari Chantilly
Spy Hati Dari Chantilly
Mazni Aznita
3/1/2018 23:54:39
64,297
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 12

DUA pengawal sudah berlalu dari kawasan balkoni. Dia mengira detik. Membuat congak di dalam hati bila si pengawal akan memulakan sesi ulangan ke kawasan itu.Sebaik kedua-duanya menghilang, dia memulakan kiraan. Berlari ke arah dinding lalu melantunkan tubuhnya dan mencapai palang pemegang. Dan bagaikan seorang ahli akrobatik, dia memusingkan tubuhnya, mengira jarak terbaik lalu melompat ke udara. Tapak kakinya memijak lantai tepat. Badannya direndahkan untuk mengelakkan dirinya dikesan.

Perlahan-lahan dia menyeludup masuk ke bangunan 12 tingkat yang dikawal ketat itu. Bangunan itu tidak ada sekuriti gred A seperti mana-mana bangunan lain kecuali bilangan pengawal malam yang bertambah tiga kali ganda, kamera CCTV serta alat pencetus haba yang ada di bilik-bilik high security. Dia mengeluarkan sesuatu dari saku bajunya. Cetak biru yang ada di hadapannya diteliti. Matanya ralit mengesan kedudukan ruangan-ruangan di situ.

“Kau dah masuk bro?”Muncul suatu suara di telinganya.

Dia hanya ketawa kecil.“Mana kau pergi? Aku ingatkan aku kena buat ini seorang diri.” Ujarnya.

Bunyi ketawa itu singgah di penjuru telinga.

 “Don’t worry,aku akan awasi kau dari sini. Jangan lupa, ada lebih ramai pengawal akan berlegar di tingkat 7. And try not to get caught this time okay.”

I won’t so don’tworry.”

“Bilik CEO, Intra Tech ada di tingkat 7. Dia gunakan kad khas. Hanya melalui kad pada lift di lobi sahaja yang boleh sampai ke tingkat 7. Macamana kau nak masuk tanpa kad tu?”

I’ll figure outsomething okay.” Senyumannya mendadak muncul.

Dia memasuki tandas di Tingkat 2 lalu mengunci pintu dari dalam. Dari beg sandangnya, dia mengeluarkan gerudi dan mula menggerudi dinding bilik air. Gerudi itu berjaya membuat lubang sebesar sepemeluk tubuh. Cukup-cukup untuk dimuati seorang lelaki bertubuh sederhana sepertinya. Dia menjengah ke dalam lubang itu. Ternampak ada ruang penghubung dengan sebuah bilik yang merupakan sebuah ruangan penyimpanan barang. Terdapat sebuah lift barang di situ. Bibirnya melemparkan senyuman. Dia memanjat tali penghubung lift itu lalu naik ke tingkat 5. Tetapi dia tidak keluar dari lift itu sebaliknya pintu lift segera dikunci.

Okay, now the worstpart,” ujarnya seraya menghembus nafas. Kepalanya mendongak, memandang penutup pintu lift di atas kepala. Dengan menggunakan dinding sebagai penyendal, dia memanjat ke atas. Membuka penutup di atas kepala, sebelum dia memanjat naik. Tali penghubung lift barang itu terletak sejauh 50 meter dari lift pengangkut yang sedang turun naik. Dan itulah sasaran utamanya malam ini.

 

SEORANG lelaki tergesa-gesa memasuki ruangan sebuah restoran. Dia menuju ke arah sebuah meja yang menempatkan beberapa orang lelaki yang sedang rancak berbual-bual.Lelaki yang baru masuk itu melangkah ke arah seorang lelaki berkumis nipis lalu berbisik ke telinga lelaki itu. Serta merta wajah si lelaki berubah.

“Apa? Macamana boleh berlaku hal macam ni?” Herdiknya dengan wajah merah padam.

“Kenapa Saiful?” Tanya rakan-rakannya.

“Intra-Tech diceroboh,”ujar Saiful.

“Hah? Apa yang hilang?”

Saiful tidak menjawab.Dia memandang lelaki yang datang membawa pesanan sebentar tadi.

“Datuk Rahmat tahu fasal hal ni?”

Lelaki itu menggangguk.

Saiful menarik nafas panjang. Mati aku kali ni! Pandangannya beralih ke arah teman-temannya yang sengaja berkumpul malam ini untuk makan malam.

Sorry guys, aku kena beredar sekarang,” ujar Saiful lalu beriringan keluar dengan orang kanannya. Teman-temannya ditinggalkannya begitu sahaja tanpa sempat dia menjamu selera malam itu.

Seorang pelayan lelaki muncul di meja yang ditinggalkan lelaki itu sebentar tadi. Dia mengutip gelas minuman milik Saiful tanpa disedari sesiapa. Gelas itu segera dimasukkan ke dalam plastik lalu dibawa keluar.

“Aku dah dapat cap jari dia,” ujar lelaki pelayan itu seraya menguntum senyuman.

Good job! Kau tahu apa yang kau nak buat kan?” Suara Tuan Glock muncul. Ternyata mereka saling berhubung dari jauh. Si pelayan melompat naik ke dalam van di belakang restoran itu. Van itu mula bergerak laju meninggalkan tempat itu ke suatu destinasi.

Sementara itu, setengah jam kemudian Saiful sudah berada di bangunan Intra-Tech. Beberapa orang yang wajahnya dikenali sudah berada di situ bersama beberapa orang anggota polis.Tapi tumpuannya hanya pada Datuk Rahmat yang keruh wajahnya. Lelaki itu memandangnya tidak sepenuh hati.

“Macamana ni Saiful? Kau tahu tak apa yang dah berlaku malam ni?” soal Datuk Rahmat bertubi-tubi. Lelaki itu adalah pemilik Intra-Tech dan dia pula bertindak selaku CEO.

“Musri dah bagitahu saya Datuk.” Angguk Saiful lemah. Dia mahu berbicara lagi dengan Datuk Rahmat,tetapi dua anggota polis yang menghampirinya membuatkan mulutnya terkunci rapat.

“Maaf Tuan Saiful, kami terpaksa menganggu tuan malam-malam begini. Saya ASP Khaizal dari Unit SiasatanJenayah. Lebih kurang sejam tadi, pihak kami dapat panggilan dari seseorang mengatakan ada kes kecurian di sini. Dan bila kami sampai, pintu hadapan bangunan ni dah terbuka luas. Dan kami jumpa pengawal-pengawal keselamatan tuan, sedang pengsan. Tak ada sebarang kecederaan pada mereka. Tekaan kami mereka semua diberi sejenis dadah atau ubat pelali. Kami tak dapat memastikan apa yang hilang dari sini kecuali pihak tuan sendiri yang mengesahkannya,” ujar ASP Khaizal.

“Tunggu sekejap Tuan ASP.Boleh saya tahu siapa yang menghubungi pihak polis?” soal Saiful ingin tahu.

“Sorang lelaki yang namanya tak mahu dikenali.”

Kerut di dahi Saiful kelihatan. Siapa agaknya? Sedangkan menurut ASP Khaizal, semua pengawal-pengawal yang ditugaskan malam itu semuanya pengsan.

“Boleh saya tahu apa yang berharga di sini yang mungkin hilang?” soal ASP Khaizal ingin tahu.

Saiful dan Datuk Rahmat saling berpandangan sesama sendiri.

“Maaf, saya kena periksa dulu. Boleh saya naik ke bilik saya?” Tanya Saiful.

“Ya boleh, saya akan temani Tuan Saiful ke atas.”

Mereka beriringan menaiki lift ke tingkat 7 yang menempatkan bilik Saiful. Dia tidak banyak bercakap di dalam petak lift. Datuk Rahmat juga kelihatan risau.

Sesekali anak mata ASP Khaizal mengawasi gerak-geri kedua-dua lelaki itu. Nalurinya mengatakan ada sesuatu yang sedang cuba disembunyikan lelaki itu dari pengetahuannya. Sebentar kemudian mereka sudah sampai ke atas.

“Bilik saya masih berkunci.” Ulas Saiful sedikit lega. Dia meraba-raba kad kunci di dalam saku seluarnya lalu meletakkannya pada scanner. Sebentar kemudian, pintu bilik itu mengeluarkan suatu isyarat sebelum terbuka sedikit. Mereka semua melangkah masuk ke dalam. Namun sebaik mata Saiful melencong ke suatu arah,wajahnya mendadak pucat.

Dia cepat-cepat berlari ke arah peti besi di biliknya yang sudah terbuka luas.

Datuk Rahmat turut pucat lesi. “My god.” Keluhnya.

ASP Khaizal berpaling ke arah Datuk Rahmat. “Apa yang ada dalam peti besi ni Datuk? Wang tunai?”

Datuk Rahmat memandang lelaki itu separuh lemah.

“Kalau wang tunai yang dicuri, kami tak kisah sangat tuan. Tapi kalau White Ghost yang dicuri, negara kita pasti dalam huru-hara,” ujar Datuk Rahmat.

“White Ghost?” Giliran ASP Khaizal pula tercengang-cengang. Dia memandang kedua-dua lelaki itu dengan wajah bingung. Apa maksud Datuk Rahmat?

“Beberapa tahun yang lalu, syarikat kami mengusahakan sebuah perisian keselamatan berteknologi tinggi dengan bantuan beberapa saintis dari German. Teknologi ini antara yang paling canggih ketika ini yang menjadikan sebarang usaha-usaha membabitkan kejadian hacking dan pencerobohan adalah mustahil sama sekali. Ini teknologi yang lebih baik dari G40, mana-mana sinaran gamma serta pengaktifan sensor haba. Bila ia mula diperkenalkan dua tahun yang lalu, kami menjadi pembekal kepada hampir 200 klien termasuk badan-badan kerajaan, bank-bank dan premis-premis perniagaan.” Jelas Saiful pula.

“Dan apa akibatnya kalau White Ghost ni yang jadi sasaran?” soal ASP Khaizal ingin tahu. Semakin tertarik mendengar penjelasan lelaki itu.

Datuk Rahmat mengeluh panjang. Jika itu yang berlaku, semua pihak-pihak yang sedang menggunakan sistem ini akan terjejas dan terdedah kepada risiko. Jika bank yang menjadi sasaran, maka sistem keselamatan di bank-bank seluruh negara akan lumpuh.Bagaimanapun dia tidak menjelaskannya pada ASP Khaizal, sebaliknya anak matanya melencong ke arah Saiful yang hanya tercegat di hadapan peti besi. Lelaki itu terpaku seperti patung di situ.

“Saiful?” Tegur DatukRahmat. ASP Khaizal turut berpaling ke arah lelaki itu.

Perlahan-lahan Saiful mengutip sesuatu dari dalam peti besinya lalu mengeluarkan sekeping kad.Matanya terpaku pada isi kad itu.

“Apa tu?” ASP Khaizal tertarik melihat kad itu. Dia turut menjengah isinya. Namun sebaik dia terpandang huruf G besar yang dipalit dengan gaya kaligrafi Cina berparap warna emas, dia terpegun. Simbol kaligrafi G itu bukan baru kali ini dilihatnya. Ia muncul sejak tiga  tahun yang lalu.

“Ini simbol Tuan Glock.”Bicara ASP Khaizal perlahan. Kata-katanya berjaya mengumpan dua lelaki bersamanya yang kelihatan keliru.

“Tuan Glock?” Datuk Rahmat kebingungan. Siapa Tuan Glock?

“Dia seorang pencuri profesional yang kami cuba tangkap sejak beberapa tahun lalu tapi sentiasa gagal. Malah kami tak tahu rupa sebenar dia. Yang kami tahu dia akan meninggalkan kad seperti ini di tempat sasarannya. Kalau Tuan Glock yang mencuri White Ghost, maka ini bukan kes biasa. Kita harus maklumkan hal ni pada pihak Interpol.” Keluh ASP Khaizal.

Saiful dan Datuk Rahmat saling berpandangan sesama sendiri.

“Yang saya tak faham macamana dia boleh buka peti besi ni? Peti besi ni selain menggunakan kombinasi nombor keselamatan yang hanya saya sahaja yang tahu, ia juga perlu dibuka menggunakan cap jari saya.” Keluh Saiful kebingungan.

“Tak ada yang mustahil Tuan Saiful, lagi-lagi pada zaman sekarang. Jika mereka telah sasarkan White Ghost lebih awal, tidak mustahil cap jari Tuan Saiful boleh didapati dengan mudah.” Jelas ASP Khaizal selamba.

 

VAN hitam itu berhenti di simpang jalan berhampiran seorang lelaki.Lelaki yang memakai cap yang hampir menutup mata itu segera menaiki van dihadapannya. Van itu langsung bergerak sebaik mengambil penumpang.

Lelaki muda yang ada di dalam van itu sekadar tersenyum memandang ke arahnya.

Dia menyerahkan sesuatu dalam bekas petak empat pada lelaki di hadapannya. Di dalamnya terdapat sebuah cip.

“Giliran kau.” Ujarnya.

My pleasure.”

Mereka sama-sama akan menguji sistem White Ghost sepanjang malam ini bersama-sama seperti yang diarahkan.

“Mujur kita dah dapat cap jari Saiful Rahman. Macam yang aku cakap tempohari, sistem ni pasti ada perlindungan. Tanpa cap jari lelaki tu, kita mungkin akan hadapi kesukaran membuka kod digital White Ghost. Kau tengoklah nanti, semuanya akan kelam kabut malam ini.” Aria ketawa kecil.

Tuan Glock hanya tersenyum.

“Jangan usik sistem tu teruk sangat. Tujuan kita hanya untuk lumpuhkan sistem White Ghost ni di setiap agensi kerajaan dan bank-bank. Itu akan beri kita masa untuk bertindak.”Nasihatnya.

“Baik bos.” Aria mengangguk seraya tersenyum.

Dia hanya membiarkan Aria melakukan kerja-kerjanya sepanjang malam itu. Tugasnya sudah separuh selesai.White Ghost yang jadi sasaran sudah diperolehi. Tetapi bukan itu benda sebenar yang dimahukan oleh klien utamanya. Apa yang dimahukan oleh kliennya sebenarnya terdapat dalam bilik kebal Bank Negara. Tetapi sebelum mendapatkannya, sekuritidi Bank Negara yang menggunakan sistem White Ghost juga harus dilumpuhkan terlebih dahulu. Dalam tempoh 24 jam selepas White Ghost menerima ‘virus’mereka, semua agensi-agensi yang menggunakan sistem ini akan mengalami ‘shutdown’ dan inilah masa yang mereka tunggu-tunggu.

 

 “HE’S really good.” Pujian itu diberikan lelaki di sampingnya. Dia tersenyum mendengarnya.

“Aku dah cakap yang aku akan jadikan dia terbaik antara yang lain-lain.”

“Kau yakin dia mampu menembusi bilik kebal di Bank Negara?”

“Dia Tuan Glock bukan?Dia mampu membolosi apa sahaja,” ujarnya yakin.

“Kalau kita berjaya mendapatkan plat-plat wang tu, Ringgit Malaysia akan jatuh menjunam. Ekonomi negara ni akan berada dalam krisis. Orang-orang di Bank Negara akan dipersalahkan.Federal Reserve, Bank Dunia dan IMF akan masuk campur. Masa tu aku akan bawa masuk orang-orang aku dan pulihkan ekonomi negara.”

Dia hanya ketawa besar mendengar kata-kata Tuan Malik. Teman lamanya merangkap ahli politik yang disegani di negara ini. Tetapi punya rancangan jangka masa panjang untuk menguasai ekonomi negara itu. Licik! Dan tidak ada sesiapapun tahu belang sebenar lelaki itu yang selama ini bertopengkan seorang dermawan dan ahli politik veteran. Lelaki itu sebenarnya ahli Bohemian Grove yang berpusat dibawah satu bumbung yang dikuasai oleh pemodal dan pemilik-pemilik bank yang sedang merancang untuk memunculkan satu Order Baru Dunia.

Itu rancangan lelaki itu.Walhal rancangannya berbeza sama sekali. Tuan Glock bukan hanya sekadar orang yang paling dihargainya, tetapi lelaki itu juga umpan terbaiknya untuk dia menjalankan rancangannya yang sudah puluhan tahun dirancang rapi. Dan dia hanya menanti masa yang sesuai untuk melaksanakannya. 

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.