Home Novel Cinta Mengintai Cinta
Mengintai Cinta
Hidayah
29/5/2020 00:52:53
19,975
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

“Punya banyak tempat letak kereta, tempat yang selalu aku parkir ni juga ada kereta entah siapa yang parkir sini ni. Tempat lain banyak lagi kosong. Hurgh! Dia tak tahu ke ni parkir Fisya yang punya!”

Fisya mula membebel di kereta seorang diri. Dia merupakan pengunjung tetap di Kafe Sharifah. Kebiasaannya, tempat letak kereta paling hujung di kafe itu hanya keretanya saja yang rela parkir di sana sebelum ini. Nampaknya hari ini sudah ada kereta lain yang ingin bersaing dan mencari fasal dengan dirinya sendiri. Mahu tak mahu, dia mesti berdepan dengan  pemilik kereta itu hari ini juga.

Fisya mengangkat kaki dengan rasa yang bercampur baur. Dari jauh dilihatnya Puan Sharifah manis muka melayan tetamu di kafe itu. Sebaik saja melimpasi kaunter, langkahnya terhenti serta merta. Baru saja hatinya mahu reda, kini berombak lagi. Apa tidaknya, tempat duduk yang selalu dia gunakan sebelum ini sudah diambil orang.

“Banyak lagi tempat duduk kosong kot. Apahal mamat tu duduksitu. Kat situ lah aku nak cas laptop aku. Phone aku. Tempat lepak aku. Dia senang hati main laptop kat sana…” Sambil mengomel digagahkan juga kakinya duduk sebaris meja kegemarannya. Berdepan dengan lelaki yang buat dia muak, dia tidak kisah. Dia sudah berniat, bila lelaki itu blah, dia akan ambil alih terus.

“Haaa sampai pun. Assalamualaikum Cik Fisya. Ingatkan tak datang hari ni,” sapa Puan Sharifah ramah. Bahu Fisya ditepuk lembut.

Sejuk sikit hati Fisya bila ditegur lembut oleh pemilik kafe itu. Salam puan Sharifah dijawab dengan sedikit senyuman kelat. “Mesti datang puan. Lewat sebab ada aje benda nak sakitkan hati saya ni,” jawabnya tersengih.

Puan Sharifah kerut kening. “Aik, siapa pula sakitkan hati customer kesayangan saya ni…” seloroh Puan Sharifah. Sejak Kafe Sharifah buka lima bulan lalu, Fisya merupakan pelanggan tetap di kafenya. Dia sangat bersyukur dapat menarik orang muda seperti Fisya untuk datang bertandang di kafenya.

“Haaa tu lah. Tak apa lah. Malas nak fikir.” Fisya mematikan perbualan mengenai hal itu. Tidak elok juga berbual mengenai hal itu di hadapan Puan Sharifah.  

Puan Sharifah faham maksud Fisya. Dia juga tidak mahu memaksa gadis itu. “Ya lah. Harap lepas ni tak ada lagi nak sakitkan hati customer saya ni, ya. Kalau ada lagi, bagi tahu cepat.”

Fisya tersenyum dengar bicara Puan Sharifah.

“Jadi macam biasa?” soal Puan Sharifah.

Fisya terus menggeleng. “Hari ni bukan macam biasa.” Sempat dijelingnya lelaki yang masih khusyuk memandang laptop di meja hadapannya. “Nak jus mangga hari ni ya puan. Pisang goreng 1 set,” ujar Fisya.

Puan Sharifah mengangguk-angguk. “Tunggu kejap, ya.”

Sejurus Puan Sharifah hilang dari pandangan matanya, Fisya meliarkan matanya melihat kawasan tempat letak kereta. Dari dalam kereta tadi dia sudah berniat mahu menyergah pemilik kereta yang suka hati parkir di situ. Beberapa saat dilihatnya belum ada tanda-tanda kereta itu dihampiri sesiapa. Sudahnya, dia membuka beg lalu mengeluarkan laptop, buku dan pen dari perut beg. Tiga item itu diletak kemas di atas meja. Begitulah kebiasaan setiap kali berkunjung di Kafe Sharifah.

Belum sempat dia memulakan misinya di hadapan laptop, tidak semena-mena mejanya diketuk tiga kali. Macam pintu rumah pula main ketuk. Kepala didongak. Matanya bertembung dengan sepasang mata redup. Muka bersahaja tanpa secalit senyuman. Orangnya tinggi mungkin separas dia atau lebih sedikit.Tapi muka itu seakan ingin mencari fasal.

“Ada bawa charger tak?”

Mata Fisya membulat. Seakan matanya berkata-kata sebaik saja mendengar soalan itu. ‘Wow! Kau ingat kau kawan aku?’ Kepalanya dialih ke sebelah kanan. Mulutnya sudah terkumat-kamit menyumpah seranah lelaki itu. Riak wajahnya jelas menunjukkan tidak puas hati. Hatinya hari ini bagai disimbah api yang tidak berkesudahan.

 “Saya nampak muka awak kat cermin tu.”

Sorotan mata Fisya yang sejak tadi memandang meja kini tajam menempel di cermin kafe. Tempat dia alihkan kepala tadi. Dia lupa ada cermin besar di situ. Ops! Jelas kelihatan sepasang mata lelaki itu memerhati gelagatnya dari cermin.

Fisya mula menegakkan badan. Matanya tidak sedikit pun berkalih pada wajah itu. Pura-pura dia fokus pada paparan skrin laptop.  Mulutnya mula dibuka. “Tak bagi salam. Tak tanya siapa nama. Tak tanya khabar. Tak tanya dah makan ke belum. Tup tup tanya charger. Kau ingat aku kawan kau?” Fisya mengajukan semua ayat sinis sambil menaip.

Fisya teruskan menaip walaupun ketika itu hatinya berdebar bila dia perasan lelaki itu menarik kerusi dan duduk berhadapan dengannya. Wajahnya sudah separas wajah lelaki itu sekarang. Dia buat muka tenang. Dia buat muka sinis.

“Islam rupanya.”

Kena sebiji! Fisya telan liur tapi masih buat muka tak bersalah.

“Baik. Assalamualaikum, selamat pagi dan salam sejahtera. Boleh saya tahu nama cik? Apa khabar ea? Dah makan ke belum? Oh, ya! Ada bawa charger laptop ni tak? Saya lupa saya ni bukan kawan awak. Ni baru nak berkenalan.” Fazlan bersuara meniru gaya pengacara majlis profesional bagi menjawab semua soalan perempuan di hadapannya itu.

Fisya sengaja menggaru kepala yang tidak sedikit pun gatal. Kepala ditoleh sedikit sebelah kanan. Matanya mengintai sekejap wajah lelaki itu menerusi cermin. Jelas kelihatan wajah itu masih memandangnya sejak tadi.Nampak gayanya macam tiada tanda mahu beredar dari situ selagi kemahuan lelaki itu tidak dituruti.

Sudahnya Fisya mengalihkan laptop ke tepi. Tangan kiri mula menopang dagu. Matanya digagahkan menghadap mata lelaki itu. “Rasanya aku tak bagi izin pun kau duduk sini. Eh, tak! Maksud aku, kau tak minta izin pun dudukdepan aku ni.”

Fazlan meramas meja mencari sesuatu. Kanan dan kiri mejadi perhati beberapa saat. Perempuan di hadapannya hanya angkat kening sejak tadi. “Nama siapa ya?”

“Apa kaitan izin dengan nama?”

“Nak tahu lah. Nak tengok nama awak kat meja ni. Rasanya nama Kafe Sharifah aje ditampal kat tepi meja ni…”

Fisya hanya mampu menggeleng. Wajahnya belum berubah lagi. Masih seperti tadi.

“Hmmm… Maaf sebab duduk depan awak macam ni. Tapi serius saya nak pinjam charger laptop awak. Urgent!”

Fisya letak tangan di paha. “Oh, nak pinjam…” sengaja perkataan ‘pinjam’ dikuatkan sedikit. “Boleh.”

Fazlan hadiahkan senyuman kecil. Perempuan depan ini faham juga maksud ‘urgent’.

“Tapi dengan syarat.” Fisya mula menarik beg sandang. Pengecas laptop ditarik dari perut beg.

Mulut Fazlan membentuk huruf o tanpa bunyi sambil kepalanya terangguk-angguk. “Bersyarat pula... Apa syaratnya?”

Mata Fisya lari ke belakang tubuh lelaki itu. Meja kegemarannya sunyi tidak berpenghuni di situ. Hanya ada laptop yang terbiar dibuka, buku dan pen yang disusun kemas di tepi gelas berisi jus oren. “Syaratnya... aku pindah sana.”

Fazlan toleh belakang mengikut jari telunjuk yang diangkat dan dihala oleh perempuan itu. Bukan masalah besar pun berpindah tempat, fikirnya. Apa yang penting adalah mahu hidupkan semula laptopnya yang baru pengsan sebentar tadi. Dia perlu menghantar laporan bergambar mengenai penulis-penulis amatur yang kelihatan bahagia dengan hobi mereka.

“Oke, setuju,” balas Fazlan tanpa fikir panjang.

Fisya mula senyum senget. Terasa ada sinar baru hari itu. Dia lupa lelaki di hadapannya. Walaupun tidak kenal, dia sudah menghulurkan pengecas laptop kepada lelaki itu. Dia mula berkemas dan mengangkat semua barang ke meja kegemarannya.

Fisya duduk menghadap dinding. Kebiasannya dia lebih suka menghadap dinding agar tumpuannya tidak terganggu dengan gerak geri pelanggan yang keluar masuk di kafe.

Fazlan mencuri pandang laptop perempuan di hadapannya. Ada sticker nama yang dilekat di hujung laptop. ‘Ohhh, Fisya…,’ detik hatinya.

Excuse me.”

Fazlan pandang Fisya.

“Boleh pindah ke meja tadi tak?”

Fazlan menjuihkan bibirnya ke meja yang dimaksudkan Fisya. Fisya memusingkan kepala. Matanya membulat. Meja itu sudah diduduki oleh pelanggan yang baru saja datang.

“Tak apa lah. Saya duduk sini, ea. Lagipun charger awak ada kat saya ni. Senang sikit awak nak guna nanti. Dekat aje, kan?”

“Aku pilih tempat ni sebab aku suka tempat ni paling hujung dan tak ada orang yang aku akan nampak kat sini. Tapi kalau kau ada kat depanaku ni, what’s the point?”

Fazlan diam mendengar bicara Fisya. Perempuan di hadapan ini bukan calang-calang perempuan. Selalu dia jumpa perempuan akan tayang muka malu-malu dan bertolak ansur. Tapi tidak perempuan seperti Fisya. Dia masih menyambut mata Fisya yang menyinggah di kelopak matanya. Dia tahu ada sesuatu pada mata itu. Sesuatu yang menarik dia untuk memulakan misi ‘Plan A to Z’ yang dirancang oleh ibunya.

Fisya jenggilkan matanya. Fazlan. Satu nama yang jelas tertera pada tag nama ditempel di dada kiri lelaki itu. Mata itu ligat memandangnya sejak tadi. Entah apa yang diperhati pada matanya yang rasa ingin menelan orang ketika itu pun dia tidak pasti. Butir bicaranya tadi sedikit pun tidak disambut oleh Fazlan.

Membiarkan Fazlan yang sudah beralih pandangan pada skrin laptop, Fisya juga mula beralih mata pada papan kekunci laptop. Huruf-huruf yang membentuk perkataan demi perkataan ditekan mengikut rentak hatinya. Pesanan makanan sudah diletak bersopan di mejanya.Seketika telinganya menangkap lagu Mahar Cinta diputar di kafe. Lagu itu membuatkan jarinya koma. Matanya memandang kosong gelasnya yang hampir penuh berisi. Lirik lagu meresap dalam jiwanya yang sudah lama mati.

Andainya dapat engkau mendengarkan

Suara di hatiku melagukan rindu

Kiranya engkau mampu mentafsirkan

Setiap bait kata-kata yang terucap

Pasti dirimu kan memahami harapan kasih

Yang terbina di sudut hatiku

Hanyalah dirimu

Fisya gigit bibir bawah. Dia menggeleng-geleng serta merta. Jarinya mula bergerak perlahan. Telinganya masih berkerja keras menyantuni lagu itu.

Entah minit yang ke berapa, Fisya menekan titik terakhir pada papan kekunci laptopnya. Selesai draf pertama untuk diterbitkan dalam buku ketiganya kelak.


FB MENAIP : DRAF 1

Perempuan.

Perempuan macam aku memilih untuk sendiri. Sendiri itu banyak maksud. Bukan sendiri meninggalkan keluarga. Bukan sendiri pentingkan diri. Tapi sendiri berhadapan dengan takdir yang mengikat kuat aku pada erti bersendirian. Bersendirian berjuang pada pilihan hidup yang sudah ditentukan begini.

Perempuan macam aku bukan gagah yang kau nampak dari tawanya.Senyuman yang terukir ini kadang hanya palsu yang menyakitkan hati sendiri.

Perempuan macam aku terlalu degil. Degil kerana enggan membiarkan air mata yang teringin keluar dari kelopaknya.

Perempuan macam aku ini sudah koyak hatinya. Sebagaimana koyaknya daun yang sudah luruh tapi bukan pada musimnya. Kali ini hatinya terlalu rapuh untuk diberi harapan.

Perempuan macam aku ini hanya menunggu masa untuk bangkit pada minda sedar. Hanya perlu teruskan hidup pada dunia yang begitu pilih bulu.Hanya perlu meletak garis akhir pada saat semua meninggalkannya terkontang-kanting mendapatkan jawapan yang tidak pasti.

Perempuan seperti aku inilah yang akan membongkar kisah yang meragut kesedihan bertahun lamanya. Tapi mampukan perempuan seperti aku?

Perempuan.

“Tak bagi salam. Tak tanya siapa nama. Tak tanya khabar. Taktanya dah makan ke belum. Tup tup tanya charger.Kau ingat aku kawan kau?” – Perempuan

Belum sempat menekan butang ‘Ctrl’ dan butang ‘S’, Fisya meluru keluar dari kafe sebaik saja bebola matanya ternampak sesusuk tubuh menghampiri parkir kesayangannya. Laptop dan barangnya yang lain ditinggalkan saja di meja tadi. Memang sejak tadi matanya liar menjeling-jeling tempat itu.

 


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham