Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
72,920
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 14

BAB 14

FAIL biru yang di dalamnya terkandung berjela-jela ayat serta berpuluh-puluh mukasurat itu ditatapinya. Semua rahsia ada di sini, namun sempatkah rahsia ini disimpan dari diketahui sesiapa sebelum waktunya? Itu semua hanya ALLAH saja yang tahu. Dia perancang manakala ALLAH pula penentu.

Datuk Azim memang terasa kurang senang sejak akhir-akhir ini. Bukan disebabkan gelojak permasalahan yang terjadi di antara Sheriena dan Linda Kamilla tetapi kerana memang ada sesuatu yang sering menjadi kerisauannya. Entah mengapa dia sering terasa mati itu selalu menghampirinya dan masanya di sini tidak mungkin bertahan lama.

Datuk Azim juga merindui anak dan menantunya. Asfahan Redza dan Lara. Jauh ke manalah kedua-dua orang itu hendak berlari. Lama-kelamaan nanti mereka tetap akan pulang juga ke sini. Mungkin bila dia sudah tiada lagi.Namun sekembalinya mereka nanti, adakah mereka masih yang sama seperti lima tahun dulu? Selalu ada sengketa, selalu ada benci yang terbit di hati mereka.

Fail biru tersebut ditatapnya semula. Ada yang tidak kena. Ada sesuatu yang perlu dia ubah supaya setiap satu dari mereka yang berada di sekelilingnya bakal memanfaatkan apa yang terkandung di dalam fail ini. Lalu tanpa berlengah lagi Datuk Azim mencapai telefon bimbitnya.

“Hello, Assalamualaikum Encik Isa… Saya ni Datuk Azim. Encik Isa sibuk ke? Saya ada perkara yang nak dibincangkan berkenaan wasiat tu.”

Corong suara di sebelah sana mula bersuara.

“Ada sedikit yang saya nak ubah. Boleh Encik Isa tolong?” tanya Datuk Azim sambil mengulas senyuman kecil.

***

“ARIFAH! Arifah!”

Arifah berpaling saat namanya dipanggil. Di tengah-tengah kesesakan orang ramai, anak matanya tercari-cari gerangan suara itu. Pencariannya terhenti pada sebatang tubuh tegap sedang berasak-asakan keluar dari kumpulan orang ramai. Insan itu amat dikenalinya.

“Fa… awak sibuk ke hari ni?” tanya lelaki itu yang termengah-mengah mendekatinya.

“Sibuk? Tak adalah, baru je singgah marchétadi. Sekarang nak balik maison.” Marché bermakna pasar. Manakala maison pula bererti rumah.

“Saya nak ajak awak pergi satu tempat…” Lelah lelaki itu masih belum berakhir. Namun matanya tetap bersinar-sinar tanda kegembiraan yang tidak pernah luput dari hatinya. Sungguh kegembiraan itu melukakan hati Arifah.

“Fa tak buat apa-apa pun hari ni, Ikhlas. Ikhlas nak ke mana?” Arifah masih boleh menguntum senyuman. Ikhlas, orangnya terlalu lurus buat Jelita.

“Oh baguslah! Temankan saya pergi kedai emas. Nak beli cincin kat Jelita!”

Arifah menelan air liurnya dalam-dalam. Hatinya mulai terasa pedih kerana ditoreh rasa cemburu. Mengapa dia harus tersepit dalam mencintai seseorang yang tidak pernah mencintainya?

“Jelita dah tahu ke awak nak lamar dia? Dia setuju?” tanya Arifah selepas terdiam buat beberapa ketika.

“Dia tahu niat saya nak sunting dia jadi isteri saya. Tapi… dia kata kurang bersedia. Tak pelah saya tak kisah pun. Mungkin dia masih belum nampak kesungguhan saya agaknya. Itu yang saya nak beli cincin. Saya rancang nak lamar dia dalam… dua ke tiga minggu depan!” kata Ikhlas.

“Kalau awak rasa itu yang terbaik untk awak… jadi teruskanlah.” Cukup-cukuplah mencintai orang tidak mencintaimu, Arifah! Sedarlah, engkau bukan wanita yang bertakhta di hatinya.

“Jadi… nak temankan saya tak?”

Arifah tersenyum lagi. “Jom..” ajaknya.

***

JELITA mengangkat beberapa buah kotak yang disusun bertingkat-tingkat keluar dari dalam stor. Stor yang dibina bersebelah dapur itu sudah lama tidak dikemaskannya semenjak dari pertama kali dia berpindah ke sini lagi. Kalau dikira-kira sudah hampir tiga tahun lamanya!

Debu yang mula bertebaran ke udara membuatkan Jelita beberapa kali terbersin. Kotak-kotak ini penuh habuk! Saluran pernafasannya pula mudah sensitif. Memang tak boleh bertoleransi langsung dengan kerengsaan dan habuk.

Jelita kembali menjengah ke dalam stor. Kelihatan ada sebuah lagi kotak yang duduk terceruk di sudut stor. Alang-alang semua kotak telah dikeluarkannya, baik dia keluarkan saja yang ini. Mudah sikit kerjanya bila nak menyapu dan mengibas-ngibas sawang yang berselingkar di bucu stor.

Kotak yang terakhir itu dibawa keluar. Isinya yang sedikit membuatkan ia tidak begitu berat. Sebaik saja Jelita meletakannya ke atas lantai, sekeping gambar terjatuh dari bawah kotak. Gambar itu jatuh dalam keadaan terbalik dan mempunyai lubang di tengah-tengahnya. Jelita menunduk lalu menggapai gambar tersebut.

Gambar perkahwinan. Wajah Asfahan yang masam mencuka dan wajah… wajah pengantin perempuan yang telah ditebuk.

‘Macam mana gambar ini boleh ada kat sini? Tak silap aku… aku dah buang dah semua gambar ni!’ bisik hati Jelita.

Makin lama ditenung gambar itu, makin panas bara di hatinya. Jelik! Menjelikkan! Jelita dengan serta merta mengoyakkan gambar tersebut kepada puluhan cebisan kecil dengan perasaan penuh amarah.

“Benci! Benci!” Perkataan itu diulang berkali-kali tanpa henti.

Sikap Jelita yang lemah lembut sebelum ini berubah dengan serta merta. Wajahnya semakin memerah dan lagaknya bagaikan orang sakit jiwa. Cebisan gambar yang bertaburan di atas lantai kayu itu dikutip dengan gopoh lalu dimasukkan ke dalam bakul sampah. Bakul sampah itu kemudian dibawa ke dapur.

Jelita menggeledah laci dapurnya untuk mencari bahan pembakar. Rambut yang berjuraian di keliling mata ditolak kasar. Peluh pula mulai merindik di dahi dan leher. Emosinya tidak terkawal!

Setelah puas menggeledah, kotak mancis ditemukannya. Lalu batang mancis tersebut dinyalakan. Api mula bergolak dengan angin dan hembusan udara yang keluar dari mulut Jelita. Batang mancis yang bernyala tersebut dibaling masuk ke dalam bakul sampah tadi. Satu. Dua. Tiga. Empat batang mancis dinyalakan kesemuanya. Api tersebut perlahan-lahan mulai menyatu di antara satu sama lain membentuk kawanan api yang semakin marak.

Jelita hanya diam menatap merahnya api itu menyala. Rakus ia membakar sebuah kisah duka yang tidak ingin diingatinya lagi.

Makin lama, makin menyengat bahang api yang memanggang wajah dan kulit tubuh Jelita. Setelah amarah reda, dia mengambil sebaldi air lalu dicurahkannya ke bakul sampah tersebut. Hangus. Habis hangus semua impiannya dengan begitu sahaja.

***

PINTU tak berkunci...”

Arifah mulai menjenguk ke dalam rumah Jelita. Penat sudah dia menekan loceng di luar rumah namun tiada yang berjawab. Ke mana pula perginya dia? Takkanlah keluar rumah tak berkunci pintunya? Pelik…

Kaki Arifah meneruskan perjalanannya sehingga dia melalui sudut hadapan stor. Kenapa kelam kelibut sangat dalam rumah ni? Bersepah dan penuh dengan habuk-habuk dari stor yang berterbangan keluar hingga ke ruang tamu. Kotak-kotak kecil dan besar pula tersadai di hadapan stor ini kelihatan seperti Jelita dalam proses pembersihan.

“Jelita? Jelita! Kau ada kat rumah tak ni?” panggil Arifah. Namun panggilannya tidak bersahut. Takkanlah dia nak tinggalkan rumah dalam keadaan bersepah begini?

Bau hangit dari dapur mulai mencucuk hidungnya sebaik saja dia mendekati dapur. Bau apa pulak ni? Memasak ke si Jelita ni?

“Jelita?” Kosong. Jelita tiada juga di dapur. Yang jelas kelihatan hanyalah kepulan asap yang keluar dari bakul sampah berwarna biru. Separuh dari bentuk asal bakul sampah aluminium itu rentung.

‘Apa pulaklah yang dibakarnya?’ getus hati Arifah.

Dia mula merasa tidak senang. Arifah mengambil keputusan untuk menuju ke kamar Jelita dan ternyata tekaannya benar. Jelita tidak ke mana-mana. Dia ada di rumah. Cumanya… dia kelihatan sungguh letih dan tidak bermaya. Dengkuran halus yang berbunyi dari hidungnya itu adalah salah satu petanda.

“Jelita… kau tak sihat ke?” kata Arifah sambil membelai rambut rakannya.

“Arifah… aku benci dia. Aku benci Asfa… kenapa dia tak boleh menerima aku seadaanya…” Jelita seakan-akan meracau di dalam tidurnya. Kenyataan itu berulang-ulang kali disebut sehingga dia tertidur semula.

Arifah hanya mampu menahan perasaan sedihnya dalam-dalam. Sungguh dia bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap Jelita. Ya ALLAH, rakanku ini perlukan hidayahMU. Berikanlah dia petunjuk, bisik hati kecil Arifah.

Dia memejamkan matanya sambil membelai dahi Jelita perlahan. Kenangan beberapa tahun dahulu mulai mengisi kekosongan mindanya.

***

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.