Home Novel Cinta Layla (Sudah Terbit APR 2023) - NEMESIS
Layla (Sudah Terbit APR 2023) - NEMESIS
Aaliya Adni
9/12/2020 20:27:52
112,335
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Teaser1

Dia menghirup machiatto itu sambil memejamkan matanya, mahu menikmati kelazatan dan momen pagi yang indah.

Apabila dibuka matanya, pandangannya dilontar ke arah jalan raya yang sibuk. Lirikan matanya terpaku kepada kelibat seorang jejaka tampan yang kelihatan segak yang sedang berjalan di pavement dekat dengan tempat dia sedang minum. Lelaki yang mungkin hampir sebaya dengan usianya. Tinggi lampai. Bahunya lebar. Langkahnya kelihatan penuh keyakinan dan seperti agak sedikit tergesa-gesa. Tidak memandang ke kiri dan kanan. Ada aura yang mampu membuat mata wanitanya terpesona. Air mukanya serius. Gaya bagaikan seorang model lelaki yang keluar daripada majalah GQ membuatkan mata Layla tidak lepas memerhatikannya.

Semakin dia hampir semakin berdebar jantung Layla. Is this my lucky day?

Aummm sangat ni. Adakah ini lelaki kiriman tuhan untuk aku? bisik hatinya.

Eh, wait a minute!

Sebaik sahaja hampir lagi semeter daripadanya, pemuda kacak itu berhenti dan memandang kiri dan kanan kemudian menyeberang menghala ke arah keretanya. Beberapa langkah di belakangnya kelihatan seorang wanita yang kelihatan lesu menapak perlahan. Langkahnya bagai diseret-seret. Mungkinkah mereka ada kaitan? Adakah itu isteri atau ibunya?

Tingkah lelaki itu yang berjalan di hadapan memaksa Layla terus mengikuti pergerakan mereka. Jejaka itu meninggalkan perempuan itu dengan jarak semeter, sambil berjalan penuh gaya, bagaikan tidak cakna dengan kesusahan yang dialami wanita di belakangnya.

“Cepat sikit boleh?” Tiba-tiba kedengaran jejaka itu bersuara sambil menoleh ke arah wanita itu.

Melihat wanita itu membuat dia terkenangkan ibunya Nydia. Nydia yang hidupnya ditindas lelaki. Wanita itu mengenangkan saat Nydia mengendong adik tirinya. Begitulah keadaan di depan matanya. Perempuan itu menggendong seorang budak kecil dan seorang lagi mengekor di sebelah sambil tangan kecil itu bagai disangkut kepada hujung baju perempuan malang itu. Jelas sekali perempuan itu melangkah dengan sukar manakala lelaki itu berjalan dengan selamba.

Mata Layla meneliti setiap langkah mereka dengan penuh perhatian. Bagaikan seekor burung helang memerhatikan mangsa.

Memang sah lelaki itu spesies jantan tak guna, desis hati Layla. Entah mengapa seperti mendengar bisikan halimunan dan diarah seseorang, persis seorang adiwara yang ditugaskan menyelamatkan wanita yang dianiaya, Layla bangun dan berkejar ke arah pasangan itu. Secepat kilat dia sudah terpacak di sisi kereta pasangan tersebut. Tanpa berfikir panjang, terus sahaja dia menepuk belakang lelaki itu.

“Hello bro, you ni memang @ss h*le, kan? Anak bini you kat belakang, jalan merangkak-rangkak macam tu, you sewenang-wenangnya jalan sorang-sorang kat depan tak tengok dia orang. Apa you tak reti jadi gentleman sikit?” tanya Layla menyoal macam peluru, tanpa berhenti. Tangannya dicekak ke pinggang.

“Awak ni siapa?” bentak lelaki itu. “Sesuka hati menyumpah orang?”

“Ni apa kes? Kawan kamu ke ni?” tanya lelaki itu lagi kepada wanita yang bersamanya itu pula. Bau minyak wangi yang menusuk mungkin datang daripada Layla mencucuk-cucuk ke hidungnya. Tetapi, wangi tak wangi, kalau perangai riuh macam pasar ikan dilanda banjir, memang wajib dihempuk saja bagi senyap, getus hati lelaki itu pula.

Wanita yang bersama anak-anak itu kelihatan terpinga-pinga.

“Eh bukan. Cik, cik salah orang kut? Saya tak kenal cik,” kata wanita itu kepada Layla.

“Memang you berdua tak kenal I. I tengok you all berdua dari tadi kat dalam café tu dan I boleh kenal dengan jenis-jenis orang macam pasangan you ni!” jawab Layla menoleh sekilas lalu ke arah wanita itu. Jengkel sungguh melihat penampilan wanita itu yang amat selekeh dan comot. Dengan tudungnya yang senget dan pakaian yang gedoboh, memang tak tahu fesyen langsung, fikir Layla sambil mengeluh kecil.

Kemudian Layla kembali memandang lelaki itu. Boleh tahan kacak juga pemuda itu, bisik hatinya tetapi apa guna berwajah tampan jika perangai tak gentleman? bantahnya kepada dirinya sendiri.

“Dengar sini. Next time, perati sikit anak bini you tau? Kesian sikit bini you kena heret anak-anak, you kat depan jalan macam bujang senang. Jangan tahu tabur benih sahaja! Reti jaga sikit anak bini you, bagi bini you pakai senonoh sikit. Ini macam pakai baju kutip di tong sampah! Sedangkan you pulak pakai elok-elok macam nak pergi parlimen! Huh! Dasar!”

Lelaki dan wanita itu saling berpandang antara satu sama lain, bagai tidak percaya dengan apa yang mereka dengar.

“You pulak, kalau ya pun sayangkan laki, jangan bagi muka sangat. Ingat sikit, kita ni perempuan, manusia jugak. Ada hak yang sama!” sambung Layla beria-ia.

Namun reaksi dari kedua pasangan itu amat menjengkelkannya. Kedua-dua mereka lebih sibuk untuk masuk ke dalam kereta.

“Patutlah kena dera. Sendiri yang biarkan. Akhirnya jadi lap kaki jantan.”

“Sepatutnya jadi perempuan bau wangi macam bunga, tapi mungkin awak ni spesis bunga rafflesia,” komen lelaki itu tiba-tiba.

“Helloooo….” Dia berpusing semula apabila terdengar kata-kata lelaki itu. Sangkanya mereka sudah masuk ke dalam kereta. Mendengarkan komen lelaki itu, dia mencekak pinggang. “Rafflesia?”

“Yup, bunga terbesar tapi terbusuk di seluruh alam. Fakta mudah itu pun awak tak tahu ke?” jawab jejaka itu matanya tajam merenung wajah Layla.

Previous: Prolog
Next: Teaser2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.