Home Novel Cinta Layla (Sudah Terbit APR 2023) - NEMESIS
Layla (Sudah Terbit APR 2023) - NEMESIS
Aaliya Adni
9/12/2020 20:27:52
115,199
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog

Derap! Derapppp….

Di keheningan sepi itu tiba-tiba kedengaran ada bunyi tapak kaki di belakangnya. Bergaung bunyi itu dalam kesepian malam itu. Pantas sahaja dia berpusing walaupun ada rasa takut dengan kegelapan dan kesunyian suasana di situ. Kini suasana terasakan amat sunyi. Hanya bunyi cengkerik seru menyeru.

“Hah! Ini dia minah perasan bagus tu.” Suara yang amat dikenali memalu gegendang telinganya.

“Jom,” kata seorang daripada mereka. “Kita lempang aje muka dia yang hodoh tu kuat-kuat, bagi dia sedar sikit dia berada di alam nyata.”

Dia cepat sahaja berpusing semula mahu segera beredar ke arah dormnya. Sepantas itu juga lembaga bertiga itu bergerak mendahuluinya, menghadang jalannya.

“Hei, ke tepi! Aku nak balik dorm!” Dia membentak, enggan melayani provokasi.

“Untuk balik ke dorm, kau kena cium tapak kasut branded aku ni dulu, faham?” balas gadis itu.

“Acah bagus la kau, Serena! Kau ingat aku akan tunduk dengan kau?” balasnya selamba, cuba mengelak mereka dan cuba meloloskan dirinya daripada hadangan.

Dia ke kanan, serentak itu juga ketiga-tiga mereka memagari langkahnya ke kanan. Dia kandas lagi.

“Siapa suruh kau bagi Micky like post kau?” tanya Serena.

“Micky?” tanyanya kembali.

“Ya MY MICKY!” tegas Serena, menepuk dada sendiri.

“Micky aku tak kenal. Mika mungkin. Tapi aku tak suruh pun. Dah dia suka, dia like lah, itu bukan salah aku. Excuse me, aku nak balik tidur. Esok aku ada kelas pagi.”

So, inilah yang Nadia sibukkan tadi. Dia tidak akan minta maaf hanya kerana orang lain menyukai siarannya.

“Apa kata kita ajar dia supaya jangan kacau boyfriend orang?” tanya satu suara lagi.

“Kau tengok muka kau kat cermin dulu. Kau ingat kau sepadan ke dengan Micky?” tanya Serena lagi.

“Aku tak inginlah mamat tu!” bentaknya. “Muka pun macam burung puyuh. Kau ingat aku tak ada taste??”

“Kau ada taste? Helo, kau ni anak janda gatal yang bijak mencari peluang tu kan?” cantas satu suara lagi. “Memang kau anak beranak dua kali lima saja tahap miang kau orang anak beranak memang infiniti, tak bertepi.”

“Dora, kau nak kutuk aku, fine tapi jangan sekali-kali kau hina mak aku,” bantah Layla sakit hati. Memang pantang besar dia bila ibunya diperlekehkan. Serentak itu juga dia menendang Dora sekuat hatinya.

“Aduh! Kau main kasar ya. Jom geng, kita ajar dia betul betul,” arah Dora sambail menahan sakit.

“Rambut pun potong style tempurung kelapa. Kau nak senang, aku boleh cukur bagi botak.” Face shaming ke body shaming ke, dia dah tak fikir panjang lagi. Yang dia tahu dia amat sakit hati dengan kata-kata makian mereka terhadap dia dan ibunya. Gigih sungguh mereka mencari maklumat tentang keluarganya. Agak pelik bagaimana maklumat tentang ibunya dapat diketahui pelajar sekolah itu. Serentak itu juga dia membuka langkah sekuat hatinya untuk melarikan diri daripada kepungan mereka.

Namun tak sampai berapa langkah, mereka dengan pantas dapat menangkapnya. Dua orang daripada mereka mencengkam tangannya manakala Serena berdiri tercegat di depannya.

Layla meronta-ronta cuba melepaskan dirinya dari cengkaman mereka tetapi kerana tubuh kedua-dua gadis yang memegangnya lengannya itu bersaiz XXL dan tegap berbanding dengannya, dia ketandusan tenaga untuk melawan. Lengannya terasa bagai dibelit kaku tidak mampu bergerak. Sebuah tamparan hinggap di pipi kirinya.

“Huh, depan Micky kau berlagak juara karate di Kolej The Queen, kan? Kena pegang dengan Dora dan Nia pun kau dah menggelupur tak boleh lepas!”

“Memang aku juara karate kat sini. Fakta tidak boleh diubah hanya kerana kau tak suka! Faham!”

Pang!

Sekali lagi wajahnya ditampar Serena.

“Sudahlah, fakta pun kenyataannya saat ini kau sudah kalah dengan kami!”

Layla menahan desakan mahu membalas hinaan Serena. Mungkin jika dia berhenti membalas kata-kata gadis itu, mereka akan berhenti menyakitinya.

“Ingat! Micky tu aku punya. Jangan perasan dia like post kau tu dia dah nak couple dengan kau!” jerkah Serena apabila melihat Layla mendiamkan diri.

Kepala Layla ditunjal Serena. Ini sudah lebih. Pantang betul kepalanya ditunjal-tunjal orang!

“Aku peduli apa dengan Mickey Mouse ke apa ke, aku tak hingin pun. Aku hanya nak belajar kat sini. Lepaskan aku!” bentak Layla. Darahnya terasa panas naik ke kepala.

“Nama dia Mika Ishrafel, bukan Mickey Mouse! Dan satu lagi yang kau perlu tahu, kalau kau belajar sebaik mana pun, anugerah pelajar cemerlang tu, aku yang pajak setiap tahun. Kau budak baru, hormat sikit aku ni budak senior. Jangan nak cuba rampas! Hakktuihh!!”

Lendir membasahi dahi Layla. Serena meludah kat aku? Hatinya bukan kepalang terbakar.

Dengan sekali henjut, Layla terlepas daripada cengkaman dua pelajar itu. Manakala kakinya yang panjang menendang perut Serena, tapak kakinya singgah di kawasan ari-ari gadis itu.

“Aduhhhh….!!” Serena meraung. “Bodoh punya geng!”

Serena memaki kawan-kawannya yang terkejut dengan tendangan Layla.

“Kurang ajar punya betina. Jangan lepaskan dia!” arah Serena.

Dia mengambil kesempatan yang sedikit itu untuk mengutip buku-buku yang berselerakan dan membuka langkah seribu untuk melarikan diri sekali lagi ke arah dormnya.

Ketiga-tiga mereka mengejarnya. Tapi tak jauh dia dapat melepaskan dirinya mereka berjaya mencengkamnya kembali.

“Nah!” Tumbukan demi tumbukan singgah ke tubuhnya. Apabila dia terjatuh mereka menendang dan memijaknya.

Apa yang terjadi terpahat dalam hatinya sampai bila-bila. Tidak mungkin masa yang panjang sekali pun mampu mengelabui kenangan itu. Masa mungkin memberi peluang untuk dia menguburkan kesakitan fizikal dialaminya itu sedalam mungkin. Sakit badannya diterajang dan dipijak beramai-ramai.

“Angkat dia!” perintah Serena. “Berdiri!”

Mereka memaksa Layla berdiri menghadap wajah Serena.

Wajah Serena menyeringai di depan mata Layla. Bagaimanakah seorang yang nampak begitu santun apabila berdepan dengan guru-guru, boleh berubah menajdi puaka sehodoh itu di malam hari?

“Sebagai kenangan, NAH!” Serena mengeluarkan pisau dan mengacu-acu sambil menggerakkan pisau itu ke wajah Lalyla. “Kau nak aku lukis apa kat muka kau?”

Dada Layla berdebar-debar. Sanggupkah Serena buat jahat sampai begitu sekali? Ketakutan itu tidak menghalang Layla daripada bertindak. Dia meronta-ronta dan merentap lengannya yang dipegang Dora dan Nia.

Namun, entah macam mana, pisau itu singgah ke keningnya. Dalam satu saat, darah menghambur. Dia meraung sekuat-kuat hatinya.

Serena dan kawan-kawannya mula panik. “Jom, kita ciao. Dia berdarah wei!”

Mereka bertiga terus bergegas meninggalkan Layla. Telapak tangannya menyentuh dahinya yang dirasakan basah dengan darah. Apakah yang telah terjadi sebentar tadi? Telapak tangannya penuh darah. Dia meraba-raba wajahnya. Ada luka besar di keningnya. Pedihnya rasa tersayat luka.

Saat itu, hati Layla tiba-tiba menyesal berpisah dengan ibunya. Di dalam pelukan Nydia dia sentiasa dalam keadaan selamat. Nydia akan melindunginya daripada apa sahaja yang menakutkannya.

Tetapi dia telah berjanji kepada dirinya sendiri yang dia tidak akan mengadu tentang kejadian sebegitu. Mereka pasti akan merasa kecewa jika dia menampakkan sisi lemahnya. Dia bukan sembarangan orang, dia bukan orang yang lemah. Dia tidak akan menitiskan air mata hanya kerana Serena dan dua orang kawannya yang kemamar itu, tekadnya.

Kesemua kesakitan itu akan digubahnya menjadi suatu kuasa, suatu kekuatan.

Dia berdiri tegak sambil bayangan kejadian sebentar tadi menghimbas dalam fikirannya silih berganti. Ini bukan kali pertama. Dan pasti ia bukan kali terakhir mereka akan menyusahkan kehidupannya di situ. Hatinya harus kental kerana hidup ini adalah suatu pertandingan dan dia wajib menang.

A queen will always turn pain into power, pesan ibunya. Dan itulah yang akan dilakukannya.

Previous: Bab 28
Next: Teaser1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.