Home Novel Cinta SPLIT PLAYGIRL
SPLIT PLAYGIRL
thira jono
21/10/2021 03:30:24
32,507
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

ANGGUN menggaru kepala yang tidak gatal. Serabut membaca komen para netizen tentangnya. Aplikasi instagram dipandang sebal seraya bibir memuncung sedepa. 

Tidak henti-henti netizen mengutuk. Lebih menyakitkan hati bila mereka sibuk menyokong sesama sendiri untuk mengeluarkannya dari calon top 10 pertandingan Socmed Superstar.

Hampir dua tahun dia sembunyikan identiti atas nama Miss Noob, tetapi baru hari ini masyarakat di luar sana mahu membongkarkan misteri di sebalik topengnya.

Argh, semua ni berlaku disebabkan sorang individu memanipulasikan minda orang awam agar tidak memberi sokongan kepadanya jika masih sembunyikan identiti di sebalik topeng.

Sibuk sungguh mereka mahu mencari tahu di manakah Miss Noob berada. 

Dia bukannya artis terkenal dunia pun sampai semua orang sibuk nak ikut campur halnya. Dia ada hak untuk mempamerkan identitinya secara misteri. Orang lain tidak ada hak untuk mempertikai.

“Aku tak faham betullah dengan orang sekarang. Penting sangat ke muka tu sampai bakat aku diketepikan? Tak akanlah disebabkan identiti aku bertopeng, dorang tak benarkan aku join pertandingan nyanyian tu? Ini pertandingan media sosial je, bukannya pertandingan atas pentas!” 

Anggun membebel panjang sambil dadanya diusap perlahan. Dia mengawal emosi walaupun hatinya diserbu perasaan marah dan geram. Tangan kiri pula dikepal sambil anak mata tunak merenung Elnara, teman baiknya.

Hanya Elnara satu-satunya manusia yang sudi berkawan dengannya. Elnara yang sentiasa menemani dirinya sejak berpindah ke Kuala Lumpur.

“Engkau kena faham Anggun. Dunia hiburan ni memang perlukan wajah untuk market kan diri.” 

Anggun berjeda sebentar. 

Menghadam setiap satu persatu ayat yang disampaikan kepadanya. Sesekali, Anggun menarik dan menghembus semula nafasnya.

“Malaslah aku nak fikir. Kalau aku fikirkan hal tu buatkan hati aku sakit je.” 

Anggun bangkit dari duduk kemudian tangan segera mencapai cawan berisi milo untuk disisip. Elnara di sebelah hanya menggeleng. Wajahnya beriak simpati setiap kali melirik pandang sepasang mata sahabatnya.

Sukar menjadi Anggun. Terlalu banyak jiwa yang perlu di jaga sehingga kehidupan hariannya ibarat peluru tak berpandu. 

Setiap hari, Anggun tidak sedar apa yang berlaku ketika identitinya berubah sekelip mata. Bukan itu yang dia pinta dalam kehidupan, tetapi itulah aturan takdir dari yang esa untuk menguji kekuatan seorang hamba.

“Kalau macam tu, tak payah fikir. Baik kau fikir jawapan kat tunang kau, kalau dia tanya kau pasal hal ni.”

Elnara mengingatkan Anggun tentang tunangnya, Habib. 

“Aduhai, itu sorang lagi. Confirm dia ceramah aku suruh berhenti jadi youtuber lepas tu cari kerja yang lain,” omel Anggun menongkat dagu. 

Bingung.


“SORRY, future husband. I’m late.” 

Tergesa-gesa Anggun duduk di meja hadapan menghadap Habib. Lelaki itu sudah mengecilkan biji mata tanda protes. Hampir setengah jam dia menunggu Anggun di restoran itu. Makanan yang Habib pesan pun sudah tiba beberapa minit lalu.

“Ini bukan lambat sikit, tapi lambat banyak,” bebel Habib. 

Anggun tersengih-sengih lalu mengambil tempat di hadapan tunangnya.

“Manusia lakukan kesilapan, sayang.” Habib berdehem. Sekali lagi, dia kecilkan biji mata memandang penuh curiga.

Itu jelah ayat yang terpacul keluar setiap kali dia berbuat silap. Habib pun sudah naik hafal.

“Masalahnya sayang ni always buat silap. Sayang datang lambat mesti sebab terlupakan date kita. Sayang saya ni muda-muda dah nyanyok.” 

Bibir Anggun sudah tersenyum nipis bila Habib kata begitu. . 

Kalau Habib dah mula membebel, nampak gayanya Anggun perlu tadah telinga sajalah. 

“Haaa, mulalah tu nak cari pasal dengan sayang.” Anggun muncung sedepa. Dia pura-pura merengek.

“Rindu. Sebab tulah nak cari pasal,” kata Habib sudah melebarkan senyuman manis. Berdebar-debar hati Anggun setiap kali melihat senyuman semanis gula itu.

Habib sudah masak dengan perangai Anggun yang kerap terlupa akan sesuatu perkara seolah-olah dia mengalami kepayahan untuk mengingati kerana sesuatu. Walaupun Habib agak hairan dengan kehidupan peribadi tunangnya yang sering terlupa, tetapi dia sering mencuba untuk menerima segala kekurangan Anggun.

“Kalau rindu, jomlah kita jalan-jalan. Tapi makesure…

“Tempat tu kosong tak ada orang. Baiklah, hamba menurut perintah tuanku.” 

Belum sempat Anggun menghabiskan bicara, Habib terlebih dahulu memetik jari di depan mukanya sambil menjawab.

Dunia Anggun sentiasa sunyi melawan diri sendiri. Namun, kesunyian itu akan lenyap sekelip mata tatkala bertemu Habib. Hanya Habib yang mampu menceriakan hari-harinya.

“Haaa, sayang. Saya nak tanya sesuatu boleh?” Habib laju meminta izin untuk bertanya sesuatu.

Hati Anggun tak sedap. 

Sedetik … dua detik … dia diam. Kemudian, dia cuba tunjuk riak tenang.

Aduhai, dia mesti nak tanyakan hal yang viral tu.

“Tanya apa?” lambat-lambat Anggun menjawab. Semerta, Habib panjangkan leher ke depan agar lebih menghampiri Anggun.

“Miss Noob tak nak bersara dari dunia youtuber? Awak memang nak kekal misteri dalam dunia tu sampai bila-bila ke? Saya rasa, biar jela perangai awak tu je yang misteri. Identiti awak tu tak payahlah nak misteri sangat.” 

Habib menyoal ingin tahu. Kepala di depankan sedikit.

“Kenapa pula nak suruh saya bersara? Saya baru nak mulakan karier saya.” Laju Anggun menjawab. Bibir dikembungkan.

Itulah jawapan paling rasional dia boleh bagi.

Anggun sudah sedia maklum bahawa Habib tidak berapa suka bila dia melibatkan diri dalam dunia hiburan. Sejak awal lagi lelaki itu menentang. Mereka pernah bertengkar kerana Anggun bertegas mahu menyerlahkan bakat dalam nyanyian. Namun, pada akhirnya Habib akur dengan keputusan tunangnya.

Pada pendapat Habib, dia lebih selesa jika Anggun bekerja mengikut waktu pejabat. Tidaklah berapa sibuk jika nak dibandingkan dengan kerjanya yang sering berhadapan dengan kamera dan perlu berhadapan dengan komentar berbaur negatif dari mereka yang dipanggil ‘Keyboard warrior’.

“Saya tak sukalah bila media sibuk tercari-cari siapa Miss Noob. Saya takmau sayang susah kemudian hari.” Getus Habib. Wajahnya berubah riak. Senyuman yang terukir tadi menghilang serta-merta.

“Sampai bila-bila pun saya nak identiti saya jadi misteri. Kalau tak ada yang buka mulut pasal saya, mesti hal ni tak akan terbongkar. Yang tahu siapa saya hanya awak, Elnara dan …,” bicaranya terhenti di tengah ayat. Segera dia berpaling dari menghadap Habib. 

“Dan siapa? Ada orang lain kenal awak juga ke?” Kening terjongket tinggi. Mahu Anggun habiskan bicaranya.

“Taaa tak ada siapa. Awak dan Elnara je yang tahu identiti saya.” Segera dia larikan ekor mata memandang sekeliling.

“Betul ni?” masih tidak berpuas hati mendengar jawapan itu. Habib menyandarkan tubuh pada kerusi sambil menjongket sebelah kening ke arah Anggun.

“Betullah Encik Habibullah Mustaqim.” Seloroh Anggun dalam kemanjaan. Tersengih-sengih Habib mendengar sebutan nama penuhnya.

“Wah, dah pandai panggil nama penuh saya sekarang?” Habib menyelak rambut ke belakang sambil mengenyit sebelah mata apabila Anggun sudah bersuara manja. 

Saja dia tunjuk tingkah menggoda.

“Walaupun saya ni pelupa, tapi nama awak tulah saya tak akan lupa dari dulu lagi. Kisah kita berdua pun antara memori yang paling saya ingat.” 

Giliran Anggun pula bermadah cinta di depan tunangnya. Tiba-tiba pula aura romantik mencanak-canak masuk dalam jiwa. Anggun menguntum senyuman lebar.

Setiap kali mengungkap bait-bait itu, automatik dia teringat akan sesuatu perkara tentang dia dan lelaki itu. Tetapi setiap kali membayangkan perkara itu, mindanya bagai tersekat tidak mampu mengingati.

“You always sweet but mysterious.” Sesudah berkata-kata, Habib buat gaya flying kiss. 

“Just sweet for you.” Anggun pula buat flying kiss.

Anggun dapat melihat Habib benar-benar ikhlas sayangkannya. Anggun merasakan dunia yang kelam telah bersinar diterangi cahaya rembulan setelah bertemu lelaki itu semula. 

Hidupnya yang sunyi bagai bernyawa kembali. Lelaki yang sentiasa menjadi pelindungnya satu masa dahulu, berada di sampingnya sebagai insan yang paling disayangi.

Saat mereka berdua sibuk menikmati hidangan, tiba-tiba …

“Hei, Amanda … You Amanda Gonzales, kan?”

Seseorang menegur dari belakang. Wajah lelaki separuh abad dipandang hairan. Masing-masing mendongak wajah memandang lelaki itu. Anggun tayang wajah hairan cuba memerhati wajah lelaki tua berbaju kemeja. Habib turut keanehan mendengar sapaan itu.

“You ingat I lagi tak? Dato Fuad.” Lanjut lelaki itu. Anggun terpelanga.

“Dato Fuad?” Anggun bertanya semula seiring kepalanya disenget sedikit. Habib di depan hanya berdiam.

“Seriuslah you tak ingat I? Kitakan selalu jumpa dekat kelab sebelum ni. Tapi lately ni I tak nampak pula you dekat sana.” 

Masih cuba mengingatkan Anggun tentangnya. 

“Dah bertudung you sekarang. Patutlah jarang cucuk langit,” sambung Dato Fuad lagi. Anggun makin terpempan. 

Amanda ni memalukan aku sungguh! Sibuk sangat pergi kelab malam.

“Kelab? Awak pernah pergi kelab ke?” 

Habib yang berdiam tadi mula bersuara. Anggun menggeleng tidak. 

“Oh ya, ni siapa? Sugar daddy baru ke?” Dato Fuad bertanya lanjut. Selamba aje tanya begitu. Langsung tak fikir pasal adab.

Semerta, wajah Habib berderau. Perasaan marah membuak-buak.

Entah siapa yang dilihatnya, tiba-tiba menuduh Anggun hal yang bukan-bukan.

“Eh, dato jaga mulut sikit. Saya ni tunang dia. Nama dia bukan Amanda.” Tangan Habib mengetuk kuat meja makan. Tidak boleh bersabar jika orang tua di depannya terus-terusan merepek. 

“Oh, awak ni bukan Amanda ke?” Dato Fuad meneguk liur. Anggun hanya mampu menggeleng. 

“Oh, saaa saya salah orang rupanya.” Wajah merona merah menahan malu. 

“I’am sorry miss.” Setelah memohon maaf, lelaki itu segera berlalu pergi. Habib masih dengan perasaan bengangnya. 

“Lain kali kalau orang cakap hal merepek, jangan diam macam orang bodoh.” Tidak semena-mena dia lepaskan kemarahan depan Anggun.

“Saya tak tahu nak cakap apa.” Ditundukkan wajahnya. Tidak sanggup menatap Habib.

‘Argh …” Tangan menyentuh kepala. 

“Eh, awak kenapa ni? Okey tak?” automatik, suara Habib berubah risau. Dipandang lama wajah teman wanitanya.

“Sakitnya kepala! tolonglah jangan sesiapa keluar,’ bisik Anggun dalam hati. 

Dia tidak suka situasi begini. Dia tidak suka bila kepalanya pening tiba-tiba.

“Awak, saya ada hal ni. Saya pergi dulu.” 

Anggun bingkas bangkit dari duduk. Tidak betah berlama-lama. Dia perlu pergi sebelum Habib melihat perubahannya.

“Jomlah pergi sama-sama. Saya teman awak balik.”

“Tak payah. Saya bukan nak balik.” Masih ditahan rasa sakitnya.

“Dah tu? Awak nak pergi mana sebenarnya?” Dahi berkerut seribu. Tidak mahu Anggun pergi begitu saja tanpa sebab yang sebenar.

“Aduh, saya ada hal urgent dengan Nar. I need to go. Bye, love you.” 



Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh thira jono