Home Novel Cinta SPLIT PLAYGIRL
SPLIT PLAYGIRL
thira jono
21/10/2021 03:30:24
32,453
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

WOI, perempuan. Apa pasal Anggerik boleh keluar semalam? Tak pasal-pasal doktor kena hantar kau balik sampai ke rumah.” Baru saja Anggun bukakan mata, Elnara yang sibuk menguyah nasi goreng di sebelahnya terus bertanya laju. Tangan laju menepuk paha Anggun.

“Anggerik muncul? Aduih, kenapa perempuan tu muncul?” buka-buka mata saja dia perlu menerima berita yang menyakitkan hati.

Hairan pula bila sekarang ini, personaliti bergandanya keluar tiba-tiba.

“Manalah aku tahu. Doktor kata, lepas kau tengok gambar dia dekat fon, kau terus bertukar jadi Anggerik. Lain kali kalau tak boleh kawal nafsu gedik si Anggerik tu, kau tak payah mengada sangat nak tenung gambar doktor tu dalam-dalam.” 

Mendengar penjelasan itu, pantas Anggun menepuk dahi sendiri. Rasa kesal dengan tubuh sendiri.

Mesti doktor tu menggelabah sebab kena peluk dengan aku!

“Kenapalah Anggerik asyik muncul bila dia pandang doktor? Apa kena mengena doktor tu dengan hidup si Anggerik tu?” Anggun menyilang tangan ke depan sambil minda ligat berfikir.

“Entahlah personaliti kau ni. Pelik-pelik cara dorang keluar.” Tawanya terletus kecil. Sukar untuk difahami, tetapi seronok untuk memahami.

"Hurm, boleh jadi gila aku kalau asyik fikir hal dorang."

"Aku syak kan, Anggerik tu sebenarnya kekasih doktor. Sebab tulah dia muncul bila nampak doktor."

"Kekasih? kalau Anggerik tu muncul sebagai kekasih doktor, mestilah doktor kasitahu aku hal tu." Kali ini, Elnara hanya menjongket bahu. Mati akal mahu menjawab.

“Doktor ada beritahu apa-apa maklumat pasal Anggerik tak?” tergesa-gesa Anggun bertanya sebelum dia terlupa. Elnara mengeyakan pertanyaan Anggun. Dia letakkan pinggan berisi nasi goreng di atas meja sebelum pusingkan tubuh menghadap Anggun.

“Ada. Doktor kata Anggerik asyik peluk dia sepanjang waktu dorang keluar.” Tersengih-sengih Elnara memberitahu. Kotak memori teringatkan muka Doktor Fayyid merona merah menceritakan hal Anggerik.

“Ya Allah, biar betul?” terjegil biji mata Anggun. Jantung bagai terhenti dari berdetik mendengar patah perkataan itu.

“Dia pakai pakaian macam ni ke? Anggerik tak tukar pakaian?” segera Anggun bertanya lanjut. Selagi lagi, Elnara mengeyakan sebelum membalas lanjut.

“Yalah tu. Pakaian yang kau pakai sekarang ni, memang pakaian yang Anggerik pakai waktu keluar dengan doktor.” Anggun menghembus nafas berat. Dia beristighfar panjang.

“Aduhai, mana aku nak letak muka aku? Malulah aku kalau jumpa doktor tu.” Kedua belah tangan menekup wajah sambil mata dipejam rapat. Dia sudah merengek kecil menahan malu.

“Eleh, selama ni pun si Anggerik tu dah menggedik dengan doktor tu.” Saja Elnara mengusik.

“Tapi dia tak pernah peluk doktor sepanjang waktu. Aduhai, Anggerik suka menampakkan aku ni macam perempuan murah!” suaranya separa teriak. Nafasnya turun naik mengawal perasaan marah yang mencanak masuk ke dalam sukmanya.

“Aduhai, dengan budak pun nak marah. Relakslah.” Elnara tersenyum-senyum.

“Banyaklah kau punya relaks. Tangan aku ni tak pernah peluk Habib tau? Pegang tangan pun tak pernah. Sekarang ni senang-senang je Anggerik peluk doktor tu. Kasihan Habib jadi lelaki kedua yang aku peluk.” Pantas tangan Anggun mencubit paha Elnara. 

Geram dengan jawapan spontan yang terlantun keluar melalui bibir 

Confirm ke si Habib tu lelaki kedua yang kau peluk? Kawan-kawan kau yang lain tu macam tak pernah peluk lelaki lain?” pertanyaan Elnara bernada gurau. Anggun tayang wajah seposen bila Elnara kata begitu.

“Haaa hurm …” mati kata. Dia terdiam sejenak sambil riak wajah berubah suram.

“Aku rasa, Amanda tu lagi gedik pada Anggerik. Sekurang-kurangnya si budak tu gedik dengan doktor je. Kalau si Amanda tu, dengan semua orang dia gedik. Laki level-level atok pun dia nak.”

Melihat wajah Anggun berubah suram, Elnara cepat-cepat menyusun bicara yang mampu meredakan perasaan rakannya itu. Elnara kemudiannya menepuk belakang tubuh Anggun.


“ANGGERIK! Kenapa kau peluk Doktor Fayyid ha?” Masuk-masuk saja ke dalam kamar tidurnya, Anggun menghempas pintu sekuat hati. Dia berjalan dan berhenti di hadapan cermin. 

Anggun berteriak geram tatkala sepasang mata mencerlung tajam memandang cermin besar di depannya. 

Anggun sengaja membeli cermin besar yang mampu memudahkannya melihat semua personaliti di balik cermin itu. 

Dia sendiri tidak pasti, sama ada penampakan personaliti bergandanya hanya halusinasi ataupun ianya realiti yang mampu dilihat melalui pandangan matanya sahaja.

“Aku peluk dia sebab dia tu cinta pandang pertama aku.” Anggun merenung pada wajah Anggerik yang berdiri di sudut kanan cermin. Figura itu kelihatan tersenyum sambil tangan sibuk memeluk anak patung di bahagian dada.

“Ahhh, banyaklah kau punya cinta pandang pertama. Aku pukul kau nanti baru kau tahu!” kepalan penumbuk di hala depan cermin. 

“Eleh, dulu kau tak berani pun pukul aku. Sekarang nak tunjuk berani pula nak pukul orang.”

Anggun tersentak. Kata-kata Anggerik menusuk ke jantung. 

Entah mengapa dia pelik setiap kali 'Anggerik' menyebutkan perkataan 'dulu' setiap kali mereka berkomunikasi.

Mungkinkah Anggerik insan yang dia kenali di masa lalu?

“Kalau lepas ni kau peluk doktor lagi, aku tak akan benarkan kau keluar. Faham?” suaranya tinggi beroktaf. Tidak mahu Anggerik melebih-lebih.

“Werk … kau tak akan boleh buat aku tidur.” Anggerik memprotes. Lidah dijelir sambil kepala tergoyang-goyang merenung Anggun.

“Hei, betina-betina ni gaduh kenapa? Jangan ganggu ketenteraman aku boleh tak?” Bayangan wajah Jay pula kelihatan. Pandangan mata Anggun beralih memandangnya. Riak wajah bosan terhias pada wajah personaliti itu.

“Diamlah Jay! Aku tak bercakap dengan kau,” jerkah Anggun. Wajah semakin berderau panas.

“Jangan marah-marah boleh tak? Nanti kalau aku keluar, kau pula yang menggelabah.” Jay menjawab kasar. Hujung matanya merenung tajam wajah Anggun.

Wajah bengis. Muka ketat. Itulah perwatakan yang ada pada Jay.

“Siapa yang tak marah kalau korang sibuk menyusahkan hidup aku. Amanda mana? Muncul sekarang!” Nafas turun naik. Hamburan marah dilepaskan kepada semua. Nama Amanda pula disebut-sebut. 

“Kenapa you panggil I ni.” 

Beberapa saat berlalu, Amanda bersuara.

“Aku panggil kau sebab aku geram sangat dengan kau ni!” tengking Anggun.

“Geram kenapa pula ni? I ada buat salah dan dosa ke?” selamba bertanya. Langsung tidak fikirkan kesalahan sendiri.

“Aku memang geram dengan kau dari hari tu lagi. Siapa Dato Fuad yang tua kerepot tu? Dia tu sugar daddy kau ke?” 

Amanda diam kejap. Jay pula sudah ketawa sinis.

“Alamak, dia muncul depan you ke?” Amanda menutup mulut gaya terkejut. 

“Hei, perempuan gedik. Kau punya permainan dah kantoi.” Jay tiba-tiba menyampuk.

Argh … 

Tiba-tiba Anggun berteriak. Seperti biasa, kepalanya terasa nak pecah bila emosi marahnya semakin tidak terkawal. 


JAY mencemik bibir. Dia memunggah semua baju yang berlipat dalam almari. Sakit pula hati bila hoodie yang tersedia dalam almari hanya beberapa helai. Wajah berderau, darah pula terasa panas seluruh muka.

“Banyak betul baju kurung dekat dalam almari ni. Kalau dah tahu aku ni wujud, lain kali sediakan baju hoodie banyak sikit.” Jay menggetus geram. 

Susah betul hidupnya bila terperangkap dalam tubuh seorang perempuan. 

Haih, beginilah nasib diriku yang malang.

“Dia tu beria sangat marahkan Anggerik apa pasal? Kasihan budak hingusan tu kena marah. Hurm, tapi bagus juga dia marah-marah. Atleast bila aku keluar, aku boleh belasah Doktor Fayyid tu. Gatal sangat balas pelukan Anggerik dah kenapa? Ambil kesempatan!” Jay pula yang panas hati. Ekor matanya tajam membuang pandangan ke depan.

“Hurm, tapi aku tak boleh tidur kalau aku nak pukul doktor tu besok.” Dia berfikir sejenak. 

Jay perlu memastikan yang dirinya tidak pejamkan mata selama dua puluh empat jam jika mahu melepaskan geram terhadap Doktor Fayyid.

“Haih, kenapalah Anggun ni suka pakai lipstick merah pekat? Geli aku tengok. Hilanglah kemacoan aku kalau muka nampak gegirl sangat.” Segera dia mencapai tisu basah untuk memadamkan segala solekan pada wajahnya. 

Ketua gangster mana boleh makeup. Hilang kejantanan nanti.


BOS. Bila bos balik?” Jay berdiri tegak sambil tangan disilangkan ke dada. Orang-orang suruhannya tayang wajah terkejut bila dia munculkan diri.

Perlahan-lahan, Jay berjalan melintasi anak-anak buahnya. Mata meliar pandang sekeliling. Kepala diangguk tanda berpuas hati kerana tempat persembunyian mereka tiada perubahan.

“Sepanjang aku tak ada dekat sini, banyak tak makhluk-makhluk dunia ni yang buat hal? Geng Ah Tong ada kacau budak-budak kita tak?” 

Jay bertanya tegas. Anak mata menjunam memandang lelaki berwajah kacukan belanda. 

Sang jejaka merupakan orang kanan yang setia. Lelaki itu juga manusia yang akan mengawasi anak-anak buah yang lain, sepanjang ketiadaan Jay di situ.

“Kaaa kacau bos.” Wajah kian menunduk. Tidak betah mahu menatap cerlungan mata Jay yang menikam.

“Apek tua tu buat apa kat korang?” soalnya beriak bengis. 

Sedetik, dia ukir senyuman sinis sedang memikirkan sesuatu untuk membalas dendam bagi pihak ahli kumpulannya.

“Dia langgar kawasan kita bos. Dia kata, kalau bos nak kawasan tu balik bos kena hadap dia.” Penjelasan itu membuatkan hati Jay diserang amarah. 

Orang tua tu nak mencabar aku? Dia memang cari nahas? Kau tunggu.

“Ah Tong tu memang kurang ajar! Dia memang saja nak cabar aku ni. Kau panggil budak-budak kita sekarang juga.” 

Jay menggila. Langkah kaki diayun mencapai kayu besar yang tersimpan di dalam sebuah tong berwarna biru. Lengan baju disentengkan hingga ke paras siku.

“Nak buat apa bos?” orang kanan Jay menyoal. Sedikit keanehan.

“Aku nak buat perhitungan. Aku nak pastikan orang tua tu menyesal sebab dah kacau tempat aku!”


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh thira jono