Home Novel Cinta Isteriku Bekas Banduan
Isteriku Bekas Banduan
Kasturi Madu
26/12/2020 06:27:16
84,238
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

Hujan lebat membasahi bumi, menandakan musim tengkujuh sudah pun bermula. Wajah cantiknya diraup kasar, fikirannya sudah semakin bercelaru apabila memikirkan dia dan ibunya tidak dapat keluar menoreh dek kerana hujan yang sudah semakin lebat. 


Tidak betah untuk terus mengelamun, kaki diangkat menuju ke arah dapur. Punggung dilabuhkan diatas lantai. Kendi besi diambil dan serbuk kopi diletakkan ke dalam kendi tersebut. Cerek panas yang berada di atas dapur kayu api, diambil dan dituangkan air panas ke dalam kendi.


Selesai sahaja membancuh air kopi O, kendi dan dua biji cawan dibawa keluar menuju ke arah Puan Zubaidah yang sedang duduk di pangkin bawah rumah mereka.


Rumah pusaka peninggalan arwah bapanya.

Rumah pusaka yang kini sudah berubah usang itulah tempat mereka berteduh dari hujan dan panas.


Puan Zubaidah yang sedar akan kedatangan Mawar menoleh sebentar ke arah anak sulungnya itu. Senyuman tipis diberikan. Mengusir segala rasa dihati.


"Minum mak," pelawa Mawar. Air kopi dituangkan ke dalam cawan dan disuakan kepada sang ibu.


"Iyela.." sahut Puan Zubaidah.


Air kopi O yang masih panas ditiup dan dicicip perlahan lahan. Keluhan berat dilepaskan. Mata kembali terarah kepada titisan air hujan yang semakin lebat.


Mawar yang sedar akan keluhan sang ibu, segera bersuara.


"Mak fikir apa?" soal Mawar.


"Hmm.. Dua tiga hari kalau hujan tak berhenti, tak boleh menorehlah kita.. Beras dekat dalam tong tu dah nak habis," ujar Puan Zubaidah risau.


"Mak tak payah risaulah pasal tu. Mawar ingat esok nak mula jual kuih dekat kedai Pak Abu," bersungguh Mawar menyakinkan Puan Zubaidah.


Puan Zubaidah segera menoleh ke arah Mawar. Kening bertaut antara satu sama lain.


"Kamu nak jual kuih ni ada modal tak nak beli barang-barangnya?" soal Puan Zubaidah.


"InshaAllah ada.. Hari tu duit upah menoreh ada lagi Mawar simpan. Cukuplah nak buat modal meniaga kuih tu," senyuman manis diberikan buat si ibu.


"Hmm.. Iyelah.. Ajak sekali Melati tolong kamu nanti. Dia pun dah mula cuti sekolah tu.." ujar Puan Zubaidah.


"Iyelah mak.." mengangguk faham Mawar.





~~~~~





Aizat mendongak memandang ke dada langit. Mata ligat memerhatikan air hujan yang lebat membasahi bumi Allah. Kopi yang masih berasap dicicip perlahan-lahan. 


Hari ini dia tidak keluar menghantar pesanan makanan, dek kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Malah hujan yang berserta angin ribut petir itu cukup untuk membahayakan nyawa penunggang motorsikal sepertinya. 


Deheman sang bapa Encik Bakri menyentakkan Aizat. Dia menoleh ke arah sang bapa yang sudah berdiri disisinya.


"Kamu tak keluar ke hari ni..?" soal Encik Bakri. 


"Tak ayah. Hujan lebat sangat ni. Aizat tak berani lah.." jawab Aizat. 


Encik Bakri yang mendengarkannya hanya mengangguk faham. 


"Kamu tak rasa nak cari kerja lain je Zat..? Sampai bila kamu nak kerja hantar makanan ni je?" soal Encik Bakri. 


Aizat tersenyum sebelum kembali menjawab pertanyaan sang bapa. 


"Zat suka dengan kerja Zat. Lagi pun Zat bukan mencuri, Zat cari rezeki yang halal," jawab Aizat. 


"Ayah tahu kamu cari rezeki yang halal, tapi sampai bila kamu nak kerja macam ni. Umur kamu pun dah 25 tahun. 3,4 tahun lagi mesti kamu akan berkahwin. Takkan kamu nak tanggung anak bini kamu dengan kerja macam ni je?" keluh Encik Bakri. 


"Zat tahu apa Zat buat. Zat buat ni pun untuk sementara je. Nanti modal Zat dah cukup Zat berhentilah. Zat fokus dengan bisnes pulak," ujar Aizat. 


"Banyak lagi ke modal yang kamu kena kumpul tu?" soal Encik Bakri lagi. 


"Dalam 15 ribu lagi yah.." keluhan berat dilepaskan oleh Aizat. 


"Kenapa kamu tak buat loan je?" 


"Aizat tak nak berhutang yah. Risau nanti tak mampu nak bayar," jujur Aizat. 


"Ikut suka kamulah Zat. Dahlah ayah nak masuk dalam," ujar Encik Bakri. Kaki dibawa meninggalkan Aizat yang masih termanggu dihadapan muka pintu rumah mereka. 


"Iyelah.." mengangguk faham Aizat. 


Mata kembali merenung ke arah langit. Awan hitam masih jelas kelihatan, sepertinya hujan akan turun dengan selebatnya pada hari ini. Nampak gayanya hari ini dia terpaksa bercuti dek kerana cuaca yang tidak mengizinkannya untuk dia mencari rezeki.





~~~~~





Mawar dan Melati beriringinan menuju ke arah sebuah kedai runcit yang terdapat didalam kampung. Mereka berdua bercadang membeli beberapa jenis barang untuk dibuat kuih keesokan hari. 


Hampir 10 minit berjalan kaki, mereka berdua akhirnya sampai dikedai runcit milik salah seorang penduduk kampung disitu bernama Pak Hamid. 


"Assalamualaikum Pak Hamid.." sapa Mawar mesra. 


"Waalaikumusalam, haa Mawar ada nak beli apa-apa ke?" ramah Pak Hamid menyoal. 


"Nak cari bahan buat kuih sikit Pak Hamid.. Ingat esok nak start jual kuih dekat kedai makan Pak Abu tu," jawab Mawar ramah. 


"Kamu jual kuih ni, dah tak menoreh ke?" soal Pak Hamid hairan. 


"Sekarangkan musim hujan, susah Pak Hamid kalau nak menoreh pun," keluhan dilepaskan Mawar. 


"Itulah kalau dulu kamu setuju Mak Nab kahwinkan kamu dengan anak orang kampung sebelahkan dah senang hidup kamu. Tak payah susah-susah nak jual kuih bagai," celah Mak Nab yang juga merupakan salah seorang penduduk kampung disitu. 


"Dah takde jodoh Mak Nab.." jawab Mawar. 


"Kamu ni pun Nab, Mawar ni budak lagi beragaklah kalau kamu nak kahwinkan dia pun," menggeleng kepala Pak Hamid. 


"Eh Hamid orang zaman atuk nenek moyang kita elok je kahwin masa umur baya-baya Mawar ni. Kekal sampai sekarang," tegas Mak Nab. 


"Nab itu zaman dulu. Sekarang ni zaman dah berubah. Kamu tak boleh bandingkan zaman dulu dengan zaman sekarang ni.." ucap Pak Hamid. 


"Apa-apa jelah Hamid. Si Mawar ni yang tolak tuah. Kalau tidak dah senang hidup Zubaidah anak beranak," jawab Mak Nab. 


"Err.. Pak Hamid, takpelah Mawar dengan Melati ke dalam dululah ye. Kami nak cari bahan-bahan, nanti lambat pulak sampai rumah," laju kaki Mawar memasuki ke dalam kedai runcit milik Pak Hamid. Dia tidak selesa apabila dia dijadikan bahan kedua orang tua itu. 


"Dahlah Hamid, kira aku punya ni berapa.." arah Mak Nab. Dia juga mahu pulang ke rumah kerana sekejap lagi drama Hindustan kegemarannya akan bermula. 


Masuk sahaja ke dalam kedai Melati mula bersuara setelah lama berdiam diri. 


"Mak Nab tu tak habis-habis nak mencari jodoh untuk perempuan dalam kampung ni.. Bosan Melati tengok," wajah Melati sudah bertukar cemberut. 


Mawar tersenyum nipis. 


"Biarkan dialah Melati. Dah memang minat dia macam tu," ujar Mawar. 


"Kak Mawar tu bukan minat dia tapi memang kerja dia. Macamlah Melati tak tahu bila dia dah berjaya kahwinkan mana-mana anak dara dengan jodoh yang dia cari tu, nanti pihak lelaki akan bagi dia habuan. Sebab tu dia bengang bila akak tolak lelaki yang dia pilih untuk dijadikan suami segera Kak Mawar tu," cerita Melati. 


Mawar menggeleng kepala sebelum kembali bersuara.


"Sudahlah Melati. Biarkan jelah dia tu. Daripada kau sibuk pasal Mak Nab tu baik kau tolong akak bawak barang-barang ni ke depan," beberapa jenis tepung membuat kuih diberikan kepada Melati. Sementara itu dia mahu mencari beberapa jenis barang lagi untuk membuat kuih. 


"Yelah Kak Mawar.." akur Melati. 







Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.