Satu tahun kini telah berlalu, Aizat yang dulunya terlantar sakit kini sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya. Kini dia sudah boleh berjalan seperti manusia normal dan melakukan aktivitinya seperti sediakala.
Atas desakan daripada orang tuanya Aizat akhirnya akur dengan permintaan Encik Bakri dan Puan Hanim. Dia kini tidak lagi melakukan kerja-kerja menghantar makanan.
Hasil pertolongan daripada Encik Bakri yang sudi menambah modal untuk dia membuka sebuah restoran kini hampir tercapai. Pada mulanya dia tidak mahu kerana baginya cukuplah selama ini dia telah menyusahkan ibu bapanya itu, namun atas paksaan daripada Encik Bakri dan Puan Hanim dia akhirnya bersetuju juga.
Kertas-kertas yang menunjukkan lakaran gambaran ruangan kedai yang bakal disewanya memenuhi ruang meja diruang tamu. Kepala dipicit seketika.
"Banyak lagi ke yang tak selesai pasal kedai kamu tu?" soal Encik Bakri yang sudah pun melabuhkan duduknya dihadapan Aizat.
"Banyak lagi yah. Kedai tu kena buat renovation dulu baru boleh mula operasi," jawab Aizat bersama keluhan berat.
"Duit nak buat renovation tu cukup?" soal Encik Bakri.
"Pasal duit tu ayah tak payahlah risau, Zat dah kira semuanya cukup. Lagi pun dah banyak sangat dah ayah bantu Zat," segan Aizat.
"Kalau tak cukup kamu bagi tahu je ayah. InshaAllah ayah boleh tambah. Pasal duit tu kamu tak payah lah bimbang. Ayah boleh usahakan," ujar Encik Bakri.
"Ayah dah banyak bantu Zat. Zat betul-betul dah terhutang budi dengan jasa ayah dan mak."
"Ayah dengan mak cuma nak yang terbaik untuk kamu je Zat. Kamu je satu-satunya anak kami. Tak salah pun kalau kami nak berhabis untuk kamu," jawab Encik Bakri.
"Takpelah ayah simpan je duit ayah tu untuk kegunaan ayah sendiri. Setakat ni Alhamdullilah duit semua dah cukup," ujar Aizat.
"Ayah tak perlukan duit tu. Kamu yang lagi memerlukan daripada ayah. Ayah tahu nak mulakan bisnes ni memang banyak nak pakai duit. Selagi ayah boleh bantu ayah akan bantu setakat yang mampu," beritahu Encik Bakri.
"Terima kasih yah.. Tapi Zat pelik banyak betul duit ayah sampai boleh bagi Zat pinjam banyak macam tu," ujar Aizat curiga.
"Eh kamu ni dah lupa ke kan ayah kamu ni bekas pesara kerajaan. Duit yang ayah bagi kamu tu semua hasil simpanan duit pencen ayah selama ni," tipu Encik Bakri.
"Tapi bukan ke hari tu ayah cakap duit tu semua ayah dah gunakan untuk renovate rumah kita ni?" curiga Aizat.
"Memanglah tapi ada lagi lebih-lebih tu. Tak banyak tapi cukuplah untuk tambah modal kamu tu bukak kedai," gugup Encik Bakri seketika.
Aizat mengangguk faham apa yang barusan dikatakan oleh Encik Bakri.
"Nanti kalau perniagaan Zat dah maju InshaAllah Zat akan ganti balik duit ayah tu. Zat janji.."
"Pasal duit tu nanti jelah kamu fikirkan. Selesaikan dulu hal kedai kamu tu. Ayah nak kamu fokus pada perniagaan kamu tu. Ayah tak nak kamu main-main. Ini impian yang kamu mahukan selama ni. Jadi kamu kena buat betul-betul dan jangan buat sambil lewa je," tegas Encik Bakri menitipkan pesanan.
"InshaAllah yah... Zat akan ingat semua pesan ayah tu. Zat janji..."
"Baguslah macam tu," sahut Encik Bakri.
Aizat menyambung kembali kerja-kerjanya yang tergendala tadi. Dalam dia tidak sedar Encik Bakri sebenarnya telah mengeluh panjang. Pasti Aizat akan kecewa sekiranya mengetahui sumber sebenar yang telah memberikan modal didalam perniagaan yang bakal diusahakan lelaki itu. Dan pasti jejaka itu akan mengamuk besar jika mengetahui perkara yang sebenarnya ini.
~~~~~
Mawar duduk sambil membersihkan ikan-ikan yang bakal dimasak seketika nanti. Sudah hampir setahun dia menjadi penghuni tetap didalam penjara wanita di Bentong, Pahang.
Atas arahan daripada pihak pegawai penjara dia ditugaskan untuk duduk dibahagian dapur bagi memasak makanan untuk banduan-banduan yang senasib dengannya. Dengan bayaran sepuluh sen sehari Mawar bersyukur sekurang-kurangnya nanti apabila tiba hari pembebasannya kelak dia tidak akan pulang dengan tangan kosong.
Setidaknya dia masih mempunyai wang untuk digunakan kelak. Bukan dia sahaja yang menerima gaji sebanyak itu sahaja, rata-rata penghuni penjara akan menerima nilai gaji yang sama dengannya. Cukuplah rezeki untuk mereka jika sudah tertulis sebegitu.
"Mawar kerja kau dah siap ke belum?" sapa seorang banduan lain yang bernama Kalsom.
"Sikit lagi Som.. Nanti dah siap aku bagi dekat kau," jawab Mawar.
"Okay.. Jangan lama sangat.. Karang bising pulak pegawai tu.." ucap Kalsom perlahan.
"Okay..." sahut Mawar.
Kalsom sudah hampir 2 tahun menjadi penghuni penjara Bentong. Dia yang asalnya daripada penjara wanita di Kelantan ditukarkan ke Bentong atas alasan dia sendiri kurang tahu. Kalsom dijatuhkan hukuman 4 tahun dan 2 sebatan kerana melakukan rompakan bersenjata bersama dengan teman lelakinya.
Semasa Mawar menjejakkan kakinya dipenjara ini dia sempat bertemu empat mata dengan Laila. Namun hanya seketika kerana Laila dan dia duduk berasingan sel tahanan.
Laila pula ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja kraf tangan jadi amat susah baginya untuk bertemu dengan wanita itu. Apa yang dia tahu Laila dijatuhkan hukuman penjara selama hampir 7 tahun kerana telah didapati bersalah membunuh bekas majikannya tanpa niat.
Tinggal di penjara banyak mengajar Mawar erti hidup yang sebenar. Pengalaman yang takkan dia lupakan. Yang pasti semuanya akan sentiasa disimpan kemas didalam kotak memorinya.
"Som nah ikan. Aku dah basuh bersih-bersih," ujar Mawar. Besen besar yang berada ditangannya diletakkan ditepi Kalsom.
"Iyalah.. Tu kau tolong basuhkan sayur pulak.." arah Kalsom.
"Okay..." sahut Mawar.
Walaupun dia dimasukkan ke dalam penjara namun jauh disudut hatinya dia begitu bersyukur. Disini dia kenal ramai kawan. Berbagai cerita dikongsikan untuk dijadikan tauladan. Malah apa yang paling dia syukuri dia banyak belajar tentang ilmu agama.
Dahulu Mawar pernah berfikir ujian yang menimpanya telah memadamkan titik-titik kegembiraan dalam hidupnya namun dalam menempuhi ujian hidup dia harus sentiasa bersabar. Kesabaran itu adalah sesuatu yang amat pahit. Tapi pahitnya kesabaran itu pasti akan bertukar manisnya kelak.
~~~~~
Melati menuangkan air kopi O panas ke dalam cawan plastik. Cawan tersebut dihulurkan kepada sang ibu yang sedang leka mengasah pisau menoreh getah yang akan digunakan keesokan harinya.
"Minum mak..." ujar Melati lembut.
Puan Zubaidah segera menoleh ke arah Melati.
"Kejap lagi mak minum," balas Puan Zubaidah.
Keadaan jeda seketika sebelum Melati mula memecahkan kesunyian diantara mereka berdua.
"Mak... Kalau Melati nak cakap sikit boleh?" soal Melati gugup.
"Kamu nak cakap apa?" soal Puan Zubaidah. Kerja-kerja mengasah terhenti seketika. Dia melabuhkan duduk bersebelahan anak daranya itu.
"Melati ingat nak berhenti sekolah lah mak," ucap Melati perlahan. Kepala ditundukkan.
"Berhenti sekolah?!" terkejut Puan Zubaidah. Mata tajam merenung ke arah anaknya itu.
"I... Iya.. Melati ingat Melati nak berhenti sekolah. Nak tolong mak menoreh.."
"Mak tak izinkan kamu berhenti sekolah," tegas Puan Zubaidah.
"Tapi kenapa mak? Salah ke kalau Melati nak tolong mak?" tukas Melati geram.
"Kamu nak tolong mak memang tak salah. SPM kamu lagi beberapa bulan je lagi Melati takkan kamu nak berhenti macam tu je?"
"Tapi mak...." baru sahaja Melati ingin berbicara laju Puan Zubaidah memotong.
"Mak tetap takkan izinkan kamu berhenti sekolah. Lagi pun kamu dah lupa ke pesanan Kak Mawar? Dia nak kamu belajar rajin-rajin jangan hampakan dia Melati. Ingat pengorbanan dia sampai masa depan dia sendiri tergadai semata-mata nak senangkan keluarga kita. Sampai dia jadi mangsa si Haris tu," tegas Puan Zubaidah.
"Melati ingat dan Melati takkan lupakan semua tu. Tapi Melati kesiankan mak cari duit siang malam untuk Melati dengan Dahlia," ucap Melati sebak.
"Soal tu kamu tak payahlah bimbang. Tugas kamu cuma belajar. Capai cita-cita kamu. Jangan hampakan harapan Kak Mawar nak kamu ubah nasib keluarga kita ni.. Cukuplah kamu jual kuih mak tak larang. Tapi kalau kamu nak berhenti sekolah sebab nak tolong mak memang mak sekeras-kerasnya bantah. Mak takkan izinkan walau apa pun jadi," tegas Puan Zubaidah memberikan amaran.
"Melati cuma nak bantu ringankan keluarga kita je," Melati masih tidak berputus asa.
"Soal duit kamu tak payahlah risau. Ini dah jadi tanggujawab mak sebagai ketua keluarga ni. Selagi mak ada kudrat, selagi mak hidup mak nak tengok anak-anak mak berjaya. Cukuplah mak rasa bersalah dekat Kak Mawar sebab dia terpaksa berhenti sekolah semata-mata nak tolong keluarga kita. Mak tak nak kamu dengan Dahlia akan jadi nasib yang sama dengan kakak kamu tu," sebak Puan Zubaidah.
"Hmm.. Baiklah mak..." akur Melati.
Faham benar dia dengan sikap tegas Puan Zubaidah. Setiap apa yang dikatakan harus dituruti jika tidak mahu ibunya itu mengamuk dek kerana tidak menuruti apa yang dikatakan.