Home Novel Cinta Tiada Dirimu
Tiada Dirimu
Rose Eliza
17/6/2020 22:47:45
39,962
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog



“LARI!!! Lari cepat!!! Lari!!!” jerit Shafiq Akmal dari kejauhan sambil berlari. Jantungnya berdegup kencang. Sesekali dia menoleh ke belakang. Beberapa orang lelaki sedang mengejarnya. 

“Lari!!! Lari cepat!!!” suruh Shafiq lagi. Dia terdorong ke belakang tatkala tubuhnya ditarik kasar oleh seseorang.

“Shafiq!!!” panggil Iman tatkala terlihat Shafiq sudah pun tertangkap. Dia menghentikan larian sambil cuba menstabilkan nafas.

“Lari Iman!!! Lari!!!” Shafiq menjerit. Dia menahan kesakitan akibat pukulan daripada beberapa orang lelaki. 

Iman tergamam melihatnya. Shafiq sedang dipukul bertalu-talu oleh beberapa orang lelaki. Apa yang harus dia lakukan untuk menyelamatkan Shafiq?

“Iii… mmaaan… Laa… rrriii…” Tergagap-gagap Shafiq bersuara sambil menahan kesakitan. Matanya memandang batang tubuh Iman yang sedang tegak berdiri memandang ke arahnya. Dia tidak mahu Iman melihat dia dipukul.

Iman serba salah. Dia berkira-kira dalam hati sama ada untuk beredar dari situ atau pun menyelamatkan Shafiq.

“Ini habuan kau. Main kasar dengan aku lagi,” marah lelaki yang bernama Harun. Dia menendang perut Shafiq bertalu-talu.

“Mati kau kali ni Shafiq,” suara lelaki yang bernama Bahar pula. Dia turut sama menendang dan memukul tubuh Shafiq.

Shafiq menahan perit di perut. Dia tidak berdaya untuk melawan. Dibiarkan sahaja tubuhnya dipukul dan ditendang. Dia sanggup menggadaikan nyawa demi menyelamatkan Iman.

“Shafiq!” Iman hanya memandang. Air mata mengalir perlahan membasahi pipi. Dia buntu. Dia tidak tahu untuk berbuat apa.

Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Dia perlu menyelamatkan Shafiq. Dia perlu meminta pertolongan daripada seseorang.

Shafiq hanya memandang. Dia tersenyum lega melihat Iman beredar dari situ. Pergi Iman! Pergi! Aku sanggup gadaikan nyawa aku untuk kau. Pergi! Bisik Shafiq dalam hati.

“Mana duit aku, Shafiq?” soal Harun seraya menundukkan tubuh. Kolar baju Shafiq ditarik kasar.

“Aku tak tahu,” jawab Shafiq dalam nada bergetar.

“Kau jangan nak tipu aku, Shafiq. Aku tahu kau yang ambil duit tu.” Daud bersuara. Dia melangkah menghampiri Shafiq, Harun dan Bahar.

“Aku tak tahu.” Shafiq masih menegakkan kenyataan. Dia memandang tajam ke wajah mereka semua.

“Kau jangan nak main kasar dengan aku, Shafiq. Baik kau cakap sebelum aku bunuh kau.” Daud mengugut. Wajah Shafiq dicengkam kuat.

“Baik kau cakap sebelum aku belasah kau, Shafiq,” ugut Bahar pula. Dia menggenggam erat tangan. Menanti untuk menumbuk wajah Shafiq.

Shafiq meraba darah yang mengalir di tepi bibir. Nafasnya tercungap-cungap menahan kesakitan. Wajah Daud, Bahar dan Harun dipandang silih berganti.

“Aku bagi kau 10 minit untuk berfikir. Kau nak beritahu atau tidak. Kalau kau masih berdegil, aku tak teragak-agak untuk bunuh kau, Shafiq.” Daud menghampiri Shafiq. 

“Kita bunuh saja dia, Daud.” Harun menyampuk. Dia tidak sabar untuk menghapuskan riwayat Shafiq.

“Aku bagi kau 10 minit, Shafiq,” kata Daud dalam nada serius.

Shafiq meludah. Dia memandang tajam ke wajah 3 lelaki di hadapannya itu. Aku sanggup mati daripada beritahu kau tentang duit tu, Daud. Rengus Shafiq dalam hati.



“ENCIK… encik… tolong saya!” pinta Iman tatkala ternampak seorang lelaki sedang berjalan menghampirinya. Dia perlu meminta tolong untuk menyelamatkan Shafiq.

“Kenapa ni, encik?” soal lelaki itu sedikit terkejut.

“Encik… encik… tolong kawan saya. Dia kena pukul dengan orang,” beritahu Iman dalam nada bergetar. Kerisauan dalam hati melebihi fikirannya yang waras.

“Tolong siapa? Saya tak faham.” Lelaki itu berkerut dahi.

“Kawan saya. Dia kena pukul dengan orang. Tolong saya encik.” Iman masih merayu. Dia menarik lengan lelaki itu supaya mengikutnya.

“Nanti dulu! Encik ceritakan pada saya apa yang berlaku.” Lelaki itu menahan. Dia masih tidak faham dengan apa yang sedang berlaku.

“Kawan saya kena pukul dengan orang. Tolong saya selamatkan kawan saya, encik.” Iman merayu untuk sekian kali. Dia berharap lelaki itu dapat membantunya menyelamatkan Shafiq.

“Kena pukul? Kat mana?” soal lelaki itu. Ada nada terkejut pada pertanyaannya itu.

“Sana, encik. Tolong saya, encik.” Iman mengunjuk ke arah satu lorong yang berada tidak jauh dari tempat mereka berdua berdiri. Shafiq dibelasah di lorong itu.

Lelaki itu memandang ke arah yang ditunjuk. Kemudian, beralih ke wajah lelaki di hadapannya. Riak cemas terlukis di wajah lelaki itu.

“Tolong saya, encik.” Iman membuat gaya merayu. Dia menahan air mata dari menitis.

“Baiklah! Mari!” putus lelaki itu setelah berfikir. Ada baiknya dia membantu lelaki itu.

Iman berasa sebak. Matanya memandang wajah lelaki di hadapannya itu. Tanpa berlengah, dia membawa lelaki itu ke lorong di mana Shafiq dibelasah. Berharap, Shafiq masih ada di lorong itu.

“Terima kasih, encik,” ucap Iman berserta mata yang berkaca. 

Lelaki itu tidak membalas. Dia mengekori langkah Iman menuju ke lorong yang dimaksudkan. Semoga tidak ada apa-apa yang berlaku kepada kawan lelaki itu.



“MATI kau, Shafiq!” amarah Harun seraya menumbuk ke muka Shafiq. 

Shafiq tidak membalas. Dia membiarkan sahaja mereka bertiga membelasah tubuhnya. Dia tidak berdaya untuk melawan. Tubuhnya dipenuhi dengan kesan lebam. Darah pekat turut mengalir keluar daripada hidung dan mulut. Hanya kepada tuhan dia memohon kekuatan untuk melawan mereka bertiga.

“Aku tanya buat kali yang terakhir. Mana duit aku, Shafiq!” Daud bertanya buat kali yang terakhir. Dia menumbuk perut Shafiq.

“Duit kau ada pada aku!” suara Iman tiba-tiba dari arah belakang.

Daud, Harun dan Bahar yang mendengar menoleh ke belakang. Wajah Iman bersama dengan seorang lelaki menyapa mata mereka bertiga.

“Lepaskan Shafiq!” arah Iman bernada tinggi.

“Kau nak aku lepaskan Shafiq?” Daud ketawa. Dia menarik kasar tubuh Shafiq sehingga membuatkan pemuda itu terjatuh ke jalan.

“Shafiq!” panggil Iman dalam nada risau.

“Kau nak selamatkan dia?” Bahar bertanya, sinis.

“Lepaskan Shafiq!” Iman mengarah buat kali yang kedua.

“Sekejap!” suara lelaki di sisi Iman. Dia keliru dengan apa yang sedang berlaku.

“Encik, mereka tulah yang belasah kawan saya,” adu Iman. Dia mengunjuk ke arah Daud, Bahar dan Harun.

“Sebab apa?” tanya lelaki itu ingin tahu.

“Mana duit aku?” sampuk Daud, keras.

“Encik tolong selamatkan kawan saya, boleh?” pinta Iman, berharap.

Lelaki itu tidak membalas. Dia berfikir seketika.

“Iman! Kenapa kau datang?” tanya Shafiq, bergetar. Dia menggeleng dengan tindakan Iman ketika ini.

“Aku nak selamatkan kau, Shafiq.” Iman menjerit. Dia memandang ke arah Shafiq yang sedang menahan kesakitan.

“Woi! Mana duit aku?” Daud bersuara. Dia menendang perut Shafiq.

“Ini duit kau! Lepaskan Shafiq!” Iman mengunjuk sebuah uncang ke arah mereka bertiga. Dia melangkah perlahan-lahan menghampiri Shafiq.

“Kau serahkan duit tu dulu. Baru kami lepaskan Shafiq,” arah Bahar.

Iman berkira-kira untuk setuju. Dia mengatur rancangan untuk menyelamatkan Shafiq serta duit di tangannya itu. Mustahil dia akan melepaskan duit sebanyak itu kepada mereka bertiga.

“Encik!” Iman memanggil. 

Lelaki yang berada di sisi Iman terkejut. Dia menoleh ke wajah Iman.

“Encik boleh tolong saya lepaskan kawan saya daripada mereka bertiga?” tanya Iman turut sama menoleh.

“Macam mana?” tanya lelaki itu.

Iman mengatur strategi. Dia mahu menyelamatkan Shafiq. Dia juga tidak mahu duit itu jatuh ke tangan mereka bertiga. Dia tersenyum sinis tatkala rancangan menerpa ke kotak fikiran. Berharap dia dapat menyelamatkan Shafiq.



“KAU okey?” tanya Iman sambil cuba menstabilkan pernafasan.

“Aku… aku… okey.” Shafiq tercungap-cungap. Dia turut sama menstabilkan pernafasan. Kesakitan di tubuh turut terasa.

“Baguslah kau okey. Aku risaukan kau.” Iman menarik nafas lega. Dia duduk di atas batu yang berada di situ.

“Kau memang gila, Iman.”

Iman tidak membalas. Dia menarik nafas lega.

“Mamat tu tak akan apa-apa?” tanya Shafiq tatkala teringatkan lelaki yang datang bersama dengan Iman.

“Mamat?” Iman berkerut dahi. Dia mencari lelaki yang dimaksudkan oleh Shafiq.

“Kau pasti mamat tu tak ada apa-apa?” ulang Shafiq kepada pertanyaannya tadi.

“Kalau jadi apa-apa pada dia pun, bukan urusan kita. Kita tak ada kena-mengena dengan dia.” Iman berkata selamba. Dia mendengus ringan.

“Aku risau. Aku nak tengok apa jadi pada mamat tu.”

“Kau dah gila ke, Shafiq?”

“Kita libatkan dia dengan masalah kita Iman.”

“Dia yang nak tolong. Bukan salah kita.” 

Shafiq tidak membalas. Dia memandang wajah Iman yang tidak berperasaan.

“Jom aku bawa kau ke hospital,” ajak Iman selepas itu.

“Aku tak  nak. Aku nak cari mamat tu. Aku risau kalau jadi apa-apa pada dia. Kita juga yang akan dipersalahkan.” Shafiq bertegas. Dia perlu mengetahui keadaan lelaki yang telah menyelamatkannya tadi.

Iman berfikir sejenak. Dia berkira-kira untuk menerima cadangan Shafiq.

“Dibuatnya mamat tu mati ke apa. Siapa yang susah? Kita juga, kan? Tak pasal-pasal kita jadi orang yang dikehendaki polis. Dikira pembunuh. Kau tahu tak?” suara Shafiq akan sebarang keberangkalian.

Iman masih berfikir. Kata-kata Shafiq cuba dihadam sebaik mungkin.

“Aku nak pergi tengok mamat tu,” putus Shafiq lalu bangun dari duduk. Dia memulakan langkah menuju ke lorong tadi.

Iman hanya memandang. Dia berkira-kira dalam hati. Perlukah dia mengikut cadangan Shafiq atau pun tidak?

“Shafiq! Tunggu aku!” Iman memanggil. Dia terpaksa akur demi untuk menyelamatkan diri sendiri. Dia tidak mahu dianggap sebagai seorang pembunuh dan menjadi buruan polis.

Shafiq menoleh. Dia menarik nafas lega tatkala Iman mengekorinya daripada belakang. Khuatir, Iman tidak bersetuju dengan cadangannya untuk menyelamatkan lelaki itu.

Seminit kemudian, dia menghentikan langkah. Dia terkejut dengan apa yang sedang dilihatnya ketika ini.

“Shafiq, kau…” Iman mematikan ayat. Dia turut sama terkejut dengan apa yang sedang dilihatnya itu.


Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.