Home Novel Cinta Tiada Dirimu
Tiada Dirimu
Rose Eliza
17/6/2020 22:47:45
49,534
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9




ZIQRI menggenggam erat tangan. Dia mundar-mandir di dalam bilik pejabat. Perkhabaran yang baru didengarinya membuatkan hatinya sakit. Cakap-cakap orang sekeliling turut menambah tahap kemarahannya. Peristiwa semalam menjadi isu hangat di pejabatnya itu.

“Ziq!” tegur Encik Zaihan dengan tiba-tiba.

Ziqri mematikan langkah. Dia menoleh ke arah Encik Zaihan yang baru masuk ke dalam bilik.

“Kenapa ni?” tanya Encik Zaihan. Seperti ada perkara yang sedang mengganggu fikiran Ziqri melihatkan riak di wajah anak saudaranya itu.

“Pak ngah ada dengar apa-apa pasal Ziq?” Ziqri menolak pertanyaan Encik Zaihan.

“Dengar? Dengar apa?” Encik Zaihan berkerut dahi.

“Pasal Ziq pengsan di pejabat semalam,” beritahu Ziqri tanpa selindung.

“Oh! Pasal tu.” Encik Zaihan mengangguk perlahan.

“Pak ngah tahu?” 

“Pak ngah baru dapat tahu pasal ni, Ziq.”

“Pak ngah tahu daripada siapa?”

“Dari…” Encik Zaihan mematikan ayat tatkala telefon bimbit Ziqri berbunyi. Dia memandang Ziqri yang sedang menjawab panggilan.

“Ya, mama,” balas Ziqri sebaik sahaja talian bersambung.

Encik Zaihan hanya memandang. Seminit kemudian, dia memberi isyarat untuk beredar dari bilik itu.

Ziqri hanya mengangguk. Dia memandang pemergian Encik Zaihan dari biliknya itu dan memberi sepenuh perhatian kepada perbualannya dengan Puan Raihan.

“Betul ke dengan apa yang mama dengar ni?” soal Puan Raihan dari hujung talian.

“Dengar apa, mama?” tanya Ziqri berkerut dahi.

“Ziq pengsan di pejabat sebab takutkan hantu,” beritahu Puan Raihan bernada serius.

Ziqri tergamam mendengarnya. 

“Ziq… Ziq…” panggil Puan Raihan tatkala Ziqri tidak membalas.

“Mama tahu daripada siapa?” Ziqri bertanya. Dia perlu tahu daripada siapa Puan Raihan mengetahui perkara itu.

“Dari mana mama tahu bukan masalahnya sekarang. Mama cuma nak tahu keadaan Ziq saja. Ziq okey ke tidak?”

“Ziq okey, mama. Mama tak perlulah risau.”

“Okey! Mama percayakan Ziq.”

Ziqri menghela nafas ringan. Wajah Dalia meniti di tubir mata dengan tiba-tiba. Sudah pastilah Dalia yang menyebarkan cerita tentang peristiwa semalam. 

“Dalam 2 hari lagi mama balik. Ingat Ziq! Kalau tak sihat, tak perlu kerja. Rehat saja di rumah,” pesan Puan Raihan lalu mematikan talian.

Ziqri turut sama mematikan talian. Digenggam erat telefon bimbit menahan kemarahan dalam hati. 

“Tak guna punya perempuan. Tahulah nasib kau sebentar lagi,” marah Ziqri sambil mengeratkan lagi genggaman di tangan.



“KAU biar betul, Dalia? Kau jangan nak buat cerita,” tegur Sakinah sehabis sahaja Dalia bercerita. Dia ketawa kecil mendengarnya.

“Betul, Kak Kinah. Saya tak buat cerita. Memang itu yang berlaku,” balas Dalia berserta riak serius. 

Sakinah mengangguk perlahan. Otaknya sedang ligat bekerja. Memikirkan sesuatu.

“Lepas tu Kak Kinah nak tahu, dia…” 

Belum sempat Dalia menyudahkan ayat, terdengar deheman seseorang dari arah belakang. Lantas, dia menoleh untuk melihat gerangan yang berdehem.

“Errr… Encik Ziqri,” tegur Sakinah berserta senyuman paksa.

Ziqri tidak membalas. Dia memandang wajah Sakinah dan Dalia silih berganti.

“Saya pergi buat kerja dulu,” ujar Sakinah lalu beredar dari situ. Disentuh dadanya yang sedang berdetak hebat.

“Kau kutuk aku, kan?” tanya Ziqri sebaik sahaja kelibat Sakinah menghilang. 

Sejak dari tadi dia memerhati tingkah laku Dalia dan Sakinah. Kedua orang pekerjanya itu sedang rancak berbual. Pasti peristiwa semalam yang dibualkan oleh Dalia dan Sakinah.

Dalia yang mendengar menoleh ke wajah Ziqri.

“Kau nak semua orang tahu yang aku ni penakut, begitu?” sambung Ziqri lagi.

Dalia berkerut dahi pula. 

“Puas hati kau kan sebab dah malukan aku.”

“Apa yang Encik Ziqri merepekkan ni?”

“Kau yang sebarkan cerita pasal aku pengsan, kan?”

“Jangan nak main tuduh saja, Encik Ziqri. Bukan saya…”

“Kalau bukan kau, siapa lagi? Bukan kau yang ada masa tu?” Ziqri meninggikan sedikit suara. Dalia di hadapan dipandang tajam.

Pekerja-pekerja yang berada di situ terkejut mendengar suara Ziqri. Masing-masing menghalakan mata ke arah Ziqri dan Dalia.

“Haish! Ini sudah lebih. Main tuduh-tuduh pulak,” kata Dalia, bengang. Ada baiknya dia beredar dari situ sekaligus menghentikan perbualan itu. Khuatir perkara yang tidak diingini akan berlaku.

“Eh! Aku tak habis cakap lagi,” marah Ziqri seraya menarik lengan Dalia. Tingkah laku Ziqri itu membuatkan Dalia terjatuh dan dahinya mengenai bucu meja.

“Aku nak kau bersihkan nama aku. Kalau tidak, tahulah nasib kau selepas ni,” kata Ziqri bernada ugutan. Setelah itu, dia beredar masuk ke dalam bilik.

Dalia mengetap gigi, geram. Dia bingkas bangun daripada jatuhan sambil menahan kesakitan di dahi. Mata-mata yang sedang melihat tidak dihiraukan.

“Kurang ajar! Suka hati dia saja nak tuduh aku sebarkan cerita,” bengang Dalia sambil menggenggam erat tangan. 

“Tak apa. Aku akan buktikan yang aku tak bersalah. Aku akan cari siapa yang sebarkan cerita pasal kau ni. Kau tunggu Ziqri. Kau tunggu.” Dalia berazam. Dia perlu mencari siapa yang menyebarkan cerita mengenai Ziqri. 

“Auch! Sakit dahi aku ni dibuatnya. Memang nak kena betul mamat tu,” marah Dalia pula sambil memegang dahi. Tanpa menunggu, dia beredar dari situ. Dia perlu menenteramkan hati dan perasaan sebelum mencari bukti. 



“SHAFIQ!” tegur Dalia dengan tiba-tiba.

Shafiq yang sedang mengelap cermin kereta terkejut. Lantas, dia menoleh ke belakang untuk melihat. Wajah Dalia menyapa mata.

“Kau sibuk?” tanya Dalia sambil duduk di atas kerusi.

“Yang kau tiba-tiba datang sini, kenapa? Kau tak kerja ke?” balas Shafiq. Dia menyambung mengelap badan kereta.

“Rehat!” kata Dalia berserta keluhan berat.

“Kau keluhkan apa?” Shafiq mengerling sekilas ke wajah Dalia. Riak muram menyapa matanya.

“Tak ada apa la.” Dalia bangun dari duduk. Tekak yang terasa kering minta dibasahkan.

Shafiq menghentikan kerjanya. Dia memandang Dalia yang sedang melangkah longlai menuju ke bilik pejabat.

“Apa kena dengan minah tu? Lain macam saja aku tengoknya,” kata Shafiq sendirian. Perasaan risau menujah ke dalam hati.

Dalia menghela nafas berat. Kata-kata Ziqri masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinga. Rasa marah dan sakit hati dengan perlakuan Ziqri tadi. 

“Aku akan buktikan yang aku tak bersalah,” suara Dalia sendirian. Digenggam erat tangan. 

“Buktikan apa?” suara Shafiq berserta kerutan di dahi.

Dalia tersentak. Dia bangun dari duduk memandang Shafiq di hadapan.

“Kenapa dengan dahi kau tu?” Shafiq menghampiri Dalia. Dia menyelak anak rambut Dalia dan melihat lebam di dahi adiknya itu.

“Tak ada apa la.” Dalia menepis tangan Shafiq. Dia menarik lambut lalu menutup dahinya yang lebam.

“Kau jatuh?”

Dalia menggeleng perlahan.

“Orang tolak kau?”

Dalia mengangguk tanpa sedar.

“Orang tolak? Siapa?” Shafiq terkejut melihat jawapan Dalia.

“Eh! Bukan… bukan.” tukas Dalia, pantas.

“Kau jangan nak tipu aku, Dalia. Baik kau berterus-terang pada aku. Siapa yang tolak kau?” Shafiq mendengus keras. Dalia di hadapan dipandangan meminta jawapan.

“Aku balik opis dulu,” ujar Dalia lalu beredar dari situ. Ada baiknya dia beredar dari situ. Tidak mahu Shafiq bertanya lebih tentang lebam di dahinya itu.

“Dalia… Dalia…” panggil Shafiq. Namun, panggilannya itu tidak bersahut. Kelibat Dalia sudah beredar dari situ.

“Dia rahsiakan sesuatu daripada aku,” tebak Shafiq berserta gelengan kecil. Dia pasti akan bertanya daripada Dalia malam nanti.



“KAK MAH nampak dengan mata kepala Kak Mah sendiri, Kinah. Encik Ziqri pengsan sebab terkejut dengan teguran Kak Mah. Mesti Encik Ziqri tu ingat yang Kak Mah ni hantu,” cerita Normah penuh semangat. Peristiwa semalam terbayang di ruangan mata.

“Kak Mah ni, biar betul?” Sakinah kurang percaya.

“Kamu ni sama dengan dia orang yang lain. Tak percayakan cakap Kak Mah ni.” Normah menarik muka masam.

“Eh! Bukan tak percaya, Kak Mah. Cuma tak sangka saja,” tukas Sakinah, laju.

“Kalau kamu tak percaya, kamu boleh tanya pada Dalia. Dia ada sama dengan Encik Ziqri tu.” Normah masih lagi mahu bercerita.

“Takkanlah Encik Ziqri tu takut hantu, kak?” soal Sakinah ingin tahu.

“Kamu pun tentu takut hantu, kan?” tebak Normah.

“Err… saya…” Sakinah menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Tak sangka pulak yang Encik Ziqri tu penakut,” kata Normah lalu ketawa kecil. Geli hati tatkala teringat keadaan Ziqri semalam.

“Kak Mah ni. Tak baik gelakkan orang.” Sakinah menegur. Dia turut sama ketawa.

“Kamu pun gelak juga, kan?” Normah menggeleng.

“Sebelum saya terlupa, Kak Mah ke yang beritahu dia orang pasal Encik Ziqri tu?” Sakinah sekadar ingin tahu. Perbualan Dalia bersama dengan Ziqri terbayang di mata.

“Iyalah! Kenapa?” jawab Normah, jujur.

Sakinah sedikit terkejut. 

“Kak Mah buat kerja dulu. Tak siap pulak kerja Kak Mah ni nanti,” ujar Normah selepas itu. Dia mencapai peralatan cucian lalu dibawa keluar dari dalam tandas.

Sakinah hanya mengangguk. Matanya mengekori langkah Normah sehingga hilang di sebalik pintu tandas.

“Eh! Encik Ziqri. Nak masuk tandas ke?” tegur Normah tatkala wajah Ziqri menyapa mata. Dia melemparkan senyuman kepada pemuda itu.

“Tak! Saya dah masuk tadi,” balas Ziqri. Dia turut sama tersenyum nipis.

“Kalau macam tu, Kak Mah masuk dalam dulu. Nak mencuci,” pamit Normah lalu masuk ke dalam tandas lelaki.

Ziqri hanya memandang. Dia menarik nafas lalu melepaskannya berat. Setelah itu, dia menoleh ke belakang untuk beredar dari situ. Alangkah terkejut tatkala wajah Dalia menyapa mata. 

“Saya nak masuk tandas,” kata Dalia lantas melangkah menuju ke tandas. Tidak diendahkan pandangan Ziqri terhadapnya.

Ziqri hanya memandang. Kelu lidahnya untuk membalas. Matanya menangkap kesan lebam di dahi Dalia. Pasti dahi itu lebam disebabkan tingkah lakunya pagi tadi. Rasa bersalah menyelinap masuk ke dalam hati. 

“Apa yang kau dah buat, Ziqri?” soal Ziqri kepada dirinya sendiri.



“HUH! Muka bersalah sangatlah tu,” cebik Dalia setibanya di dalam tandas.

“Itulah! Main tuduh lagi. Sekarang siapa yang malu? Kau juga, kan?” sambung Dalia lagi. Dia mencuci tangan lalu menatap wajah di cermin.

“Kau ingat aku ni mulut tempayan ke apa? Suka nak bercerita dan bergosip pasal orang. Eh! Banyak kerja lagilah yang boleh aku buat daripada sibuk pasal kau.” Dalia membebel pula. Masih tidak berpuas hati.

“Yang kau membebel seorang-seorang ni dah kenapa, Dalia?” tegur Sakinah sebaik sahaja keluar dari tandas.

“Opocot mak kau terjatuh!” latah Dalia dengan tiba-tiba.

Sakinah yang melihat ketawa. Tidak menyangka Dalia melatah.

“Kak Kinah ni, apasal? Tetiba tegur orang tanpa bagi salam.”

“Yang kau membebel, apasal? Aku nak membuang pun tak senang, tahu tak?” 

Dalia masih mengurut dada.

“Kau marahkan Encik Ziqri tu ke?” Sakinah bertanya. Dia menghampiri Dalia di sinki.

“Memang marah! Sebab Kak Mah tu saya kena marah dengan dia. Kena tuduh pembawa cerita.” Dalia berterus-terang. Dia mendengus kasar.

“Err… kamu dengar ke tadi Dalia?” Sakinah menelan air liurnya sendiri.

“Kak Kinah ingat kat dalam tandas ni tak ada CCTV ke?” Dalia beriak serius. Dia mencuci mukanya pula.

“CCTV?” Sakinah terkejut. Melilau matanya melihat sekeliling tandas.

Dalia tidak mengendahkan tingkah laku Sakinah. Dia segera keluar dari dalam tandas. Dia perlu membuat perhitungan bersama dengan Ziqri.

“Siap kau, Ziqri. Aku nak kau tarik balik pertuduhan kau tu tadi,” marah Dalia lalu melangkah menuju ke bilik Ziqri.

“Aku akan kenakan kau cukup-cukup,” sambung Dalia seraya menggenggam erat tangan. Rasa tidak sabar untuk bersemuka dengan Ziqri.

“Opocot mak kau terjatuh!” latah Dalia tatkala melanggar seseorang.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.