Home Buku Kisah Hidup BANGKITLAH....SELAMAT TINGGAL PENDERITAAN
BANGKITLAH....SELAMAT TINGGAL PENDERITAAN
Nkal
23/10/2020 21:37:24
6,862
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
BAB 1

Fasa Perkenalan


Saya percaya ramai yang akan melalui fasa ini. Sebelum kita mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga pasti kita akan mengambil masa untuk mengenali pasangan kita. Mungkin jarak masa dalam sesebuah perkenalan antara kita berbeza-beza. Ada yang mengenali pasangan hampir bertahun lamanya, ada juga yang mengambil masa tidak sampai satu tahun dan ada juga yang mengenali pasangan mereka hanya dalam masa yang begitu singkat. Tidak kiralah berapa lama kita cuba mengenali pasangan kita kalau sudah jodoh tidak akan ke mana. Walau kita tolak beribu kali ia tetap akan datang jua. Namun kalau bukan jodoh kita, sekuat mana kita cuba untuk mempertahankannya pasti ia akan terlepas jua dari genggaman. 

Setiap orang memiliki cara pengenalan yang berbeza-beza. Ada yang mengenali pasangan mereka dari zaman persekolahan, universiti atau kolej. Tidak kurang juga dari satu tempat kerja, satu kampung atau satu negeri. Itulah namanya jodoh. Kita ditempatkan pada suatu tempat untuk menemui jodoh kita. Begitulah aturan Allah. Sangat cantik hingga kita tidak pernah terfikir akan semua itu. Jodoh aturan keluarga antara benda yang cuba dielak oleh remaja sekarang. Kerana bagi mereka semua itu tidak sesuai pada zaman mereka. Mungkin ia lebih releven pada zaman-zaman dahulu. Saya sendiri pada asalnya setuju jika jodoh saya dicari oleh orang tua, tapi lama kelamaan saya rasa ada baiknya saya mencari sendiri pasangan hidup saya asalkan dia insan yang direstui oleh kedua orang tua saya. Mungkin kalau terjadi sesuatu, saya tidak perlu menyalahkan orang tua saya kerana jodoh yang saya pilih itu adalah pilihan saya sendiri.

Kami berkenalan di satu tempat kerja di sektor swasta. Saat saya melihat dia, terdetik di hati yang dia adalah jodoh saya. Kami berkenalan pada asalnya sebagai seorang kawan sekerja. Dia banyak menceritakan perihal dirinya yang lebih bersifat agak peribadi bagi seorang kawan. Dia cuba mendapatkan pendapat saya sebagai seorang kawan tentang perasaan dia pada seorang wanita. Saya cuba memberikan nasihat dan pendapat saya sebagai seorang perempuan. Namun lama kelamaan saya mendapat tahu wanita yang disayangi itu adalah tunangan orang. Sebagai seorang wanita yang pernah dikecewakan, saya berterus terang padanya yang saya tidak setuju sekiranya dia terus menyimpan perasaan pada wanita yang sudah bergelar tunangan orang. Islam sendiri melarang mana-mana lelaki mendekati wanita yang sudah bertunang kerana bimbang terjadinya sesuatu di dalam hubungan tersebut. Saya hanya mampu menasihati dia sebagai seorang kawan. Selebihnya saya serahkan kepada dia untuk mengambil keputusan.

Setelah beberapa lama kami berkawan akhirnya dia meluahkan perasaan hatinya kepada saya. Dia menyatakan hasrat untuk menjadikan hubungan ini lebih daripada seorang kawan. Dia menceritakan yang dia sudah meninggalkan wanita itu kerana sedar yang wanita itu tidak akan menjadi miliknya lagi. Saya memberi dia peluang untuk mengenali diri ini. Namun sejak awal lagi saya sudah katakan yang saya ingin sebuah hubungan yang direstui oleh Allah. Akhirnya setelah beberapa bulan berkenalan dia telah menyuarakan hasrat untuk melamar saya sebagai pemaisuri hidupnya. Saya menyatakan hasrat ini kepada kedua orang tua saya. Alhamdulilah mereka merestui hubungan ini. 

Setelah hampir empat bulan kami mengikat tali pertunangan akhirnya kami disatukan sebagai suami isteri hanya dengan sekali lafaz. Syukur dipanjatkan kepada Allah yang telah menyatukan kami walaupun dalam tempoh pertunangan itu diri ini diuji dengan pelbagai dugaan. Saya hampir meminta tali pertunangan ini diputuskan kerana dia selalu menjauhkan diri daripada saya tanpa sebarang alasan. Dan apa yang saya tahu, bekas kekasihnya sering menggangu hidup dia dan berusaha untuk kembali kepada tunang saya. Namun jodoh itu milik Allah. Wanita itu telah selamat diijab kabulkan dengan lelaki pilihannya sendiri dan saya menganggap semua itu sebagai ujian dalam pertunangan kami.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.