Home Buku Fantasi SANG PURBA
SANG PURBA
NaimTamdjis
19/3/2020 08:48:01
8,306
Kategori: Buku
Genre: Fantasi
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 1

Tahun 2032 Di Sebuah Gua Hutan Belantara Myanmar.

 

 

 

Sesusuk tubuh setinggi 7 kaki membatu diam tidak terkutik di atas para batu berbentuk rata empat segi. Tubuh yang dibalut dengan kain hitam yang sudah lusuh seolah-olah sedang tidur dengan tenang. Matanya terpejam rapat. Tetapi sesekali nampak pergerakan anak mata di kulit kelopak matanya. Hanya degupan jantungnya yang perlahan dan dadanya berombak perlahan tanda dia masih lagi bernafas. Kulitnya keras dan berlapis-lapis seperti batu. Tubuhnya hitam tidak berdarah dan akibat sumpahan. Kuku hitam panjang seolah-olah lama tidak dikerat dan terus tumbuh. Walau nampak tidak bermaya tetapi sumpahan itu semakin hampir untuk dileraikan.

 

Jika terlerai… maka dia akan kembali untuk membalas dendam dan menguasai dunia!

 

 

Sementara itu di sebuah apartment mewah di Gombak

 

Haziq masih berdiri di jendela menenungkan nasibnya. Ayahnya baru sahaja meninggal dunia dan selamat dikebumikan selepas Zuhur tadi. Tidak ramai yang datang kerana selama ini hanya dia hidup berdua dengan ayahnya. Tidak ada saudara mara ayahnya mahupun arwah ibunya yang dia tahu wujud. Tidak ada adik beradik yang lain kerana dialah satu-satunya anak ayahnya. Dunianya hanya ada ayahnya sahaja. Ibunya sudah meninggalkannya semasa melahirkannya. Hanya gambar perkahwinan sahaja sebagai bukti yang kewujudan ibunya..

Pandangannya dilontar jauh ke arah bukit bukau dihadapannya. Bukannya menghijau kerana separuh daripada bukit tersebut telah ditarah untuk dibangunkan kondo mewah. Haziq mengeluh.

“Aku hanya tinggal seorang diri di dunia ini,” gumamnya.

Dia memandang ke arah bingkai gambar ayah dan ibunya semasa mereka baru berkahwin. Ibunya Melor berpakainan srikandi Melayu. Begitu juga ayahnya yang lengkap memakai sepersalinan seperti pendekar. Dia melihat gambar dirinya bingkai bersebelahan yang juga lengkap memakai baju silat sempena kemenangannya sebagai juara dunia.

“Aku ikut ayah dan ibu aku sebagai pesilat. Aku berlatih bersungguh-sungguh sejak dari kecil lagi. Keduanya juara Asia. Akhirnya kedua-duanya pergi meninggalkan aku,” katanya perlahan.

Kenangan bersama arwah ayahnya terngiang-ngiang di fikiran. Ayahnya yang memotivasikan dirinya untuk belajar silat sejak berumur 4 tahun. Dia sering dimomokkan dengan lagenda silat. Malah cerita-cerita takjub tentang kehebatan ilmu silat. Dia dimomokkan dengan kebolehan untuk terbang. Menjadi kebal dan api yang boleh keluar dari pedang. Ayahnya sering membuat demo menikam diri sendiri atau langkah silat yang menakjubkan seperti terbang ke langit.

Selaku kanak-kanak yang polos, tentulah dia tertarik dengan demo ayahnya. Dia bersetuju belajar silat. Tapi akhirnya dia tahu, ayahnya hanya menggunakan silat mata untuk menarik minatnya semata-mata mahu dia belajar silat. Sampai sekarang walaupun dia menjadi juara dunia, tidak ada benda mistik atau ilmu batin yang dia dapati. Dia tidak mampu terbang, tidak mampu menjadikan keris yang digunakan  terbang melayang hatta menjadi kebal. Fonsel selnya berbunyi. Haziq berhenti mengelamun dan menyeluk poketnya. Satu nombor yang tidak dikenalinya tertera.

“Arghh! Tentu scammer. Takpun dari bank. Macam nombor pejabat,” omel Haziq lalu menekan butang merah.

Haziq tidak mahu diganggu. Dia mahu bernostalgia. Mahu ingatkan kenang-kenangan bersama arwah ayahnya. Sungguh dia berasa sunyi setelah kehilangan ayahnya. Fon selnya berbunyi sekali lagi.

“Diorang ini selagi tak kena maki. Selagi itu mesti nak telefon!” marah Haziq yang terganggu ketika itu.

Dia menekan butang hijau.

“Saya tak minat insurans bank ini semua!” marah Haziq.

“Maafkan saya Tuan Haziq. Saya bukan orang bank,” jawab pemanggil di sana.

Haziq mengerutkan dahinya. Suara seorang lelaki yang memanggil kedengaran seorang yang berwibawa dan tegas.

“Siapa kamu?” soal Haziq.

“Saya Dato Saufi peguam arwah Dato Kusaini,” jawab pemanggil di sana.

“Peguam?” soal Haziq kembali.

“Ya.”

“Apa yang kamu mahu?” soal Haziq.

“Menguruskan hal arwah. Harta dan amanatnya.”

“Saya perlukan masa.”

Sungguh dia tidak mahu diganggu saat ini. Dia ini bersendirian. Tentang harta arwah ayahnya dia tidak peduli. Dia sendiri ada kewangan yang kukuh.

“Tidak boleh lambat. Jika lambat padah jawabnya. Boleh membawa maut. Ini amanat. Arwah berwasiat berikan segera sebaik sahaja dia meninggal dunia. Jika tertangguh maka dunia akan merana,” jawab Dato Saufie tegas.

Haziq terdiam. Apahal pula tangguh baca wasiat dunia boleh merana? Membawa bencana kepada dunia? Dia bukannya presiden Amerika yang katanya polis dunia. Malah bukan Perdana Menteri sekalipun.

“Dunia bukannya hendak kiamat. Lagipun harta saya sendiri ada. Cukup untuk saya seorang. Kenapa perlu terburu-terburu?” balas Haziq yang mula jengkel dengan Dato Saufie.

Memang dia ada hartanya sendiri. Selaku juara dunia dia mendapat kurniaan kerajaan. Disebabkan dia kacak, berduyun penaja hendak menajanya. Malah dia telah menjadi duta kepada bebarapa jenama dengan nilai jutaan ringgit setahun.

“Dunia memang tidak akan kiamat lagi. Tapi dunia akan sengsara jika tuan tidak bertindak sekarang. Sebenarnya sudah agak terlambat. Entah kenapa dia mahu saya berikan ini selepas kematiannya. Bukankah mudah diberi semasa di hidup,” jelas Dato Saufie.

“Apalah kamu merepek ini Dato Saufie? Dunia hendak sengsara bagai? Mengarut!” soal Haziq semula yang masih tidak mengerti.

“Datanglah esok di pejabat saya pukul 8 pagi,” pelawa Dato Saufie.

“Itupun kalau saya nak datang. Buat masa ini saya perlu bersendiri. Bye!” balas Haziq dengan nada jengkel.

Haziq menamatkan panggilan lalu mengeluarkan bateri dari fonselnya. Dia tidak mahu diganggu. Dia merenung langit. Kenangan bersama ayahnya terus bermain di fikiran. Dia benar-benar terasa kehilangan ayahnya.

 

 

 

Mereka berdua duduk di pangkin setelah selesai belajar ilmu persilatan. Semasa itu Haziq sudah berumur 12 tahun. Ayahnya merenung wajah anaknya yang mukanya berjejeran dengan peluh. Haziq lengkap memakai sepersalinan baju pendekar berwarna hitam sudah basah dengan peluh.

“Penat Haziq?” soal ayahnya.

Haziq hanya mengangguk.

“Rehatlah. Nanti kita sambung lagi berlatih ya?” kata ayahnya.

“Berlatih lagi? Ayah. Sudah 2 jam sejak selepas Subuh lagi saya berlatih. Hari inikan hari minggu. Bagilah Haziq berehat ayah. Haziq nak main playstation,” pujuk Haziq.

Ayahnya memandang Haziq dan memegang bahunya. Dia tersenyum. Ulah budak-budak.

“Haziq. Kamu satu-satunya waris ayah yang ayah ada. Kamulah harapan ayah. Ayah kena sediakan kamu untuk satu tugasan. Jika ayah tidak sediakan kamu, satu hari nanti si dia akan mencari kamu. Masa itu sudah terlambat Haziq. Sudah terlambat. Ayah tidak mahu kamu terkorban…” jelas ayahnya.

Haziq mengerutkan dahinya. Dia tidak faham kata-kata ayahnya.

“Terkorban? Apa maksud ayah?” soal Haziq inginkan kepastian.

Ayahnya tersenyum.

“Satu hari nanti Haziq akan faham. Sudah.. tidurlah. Sekejap lagi kita pergi air terjun. Kita buat latihan pernafasan ya.”

“Ala ayah. Nak main playstation,” rengek Haziq.

Muka ayahnya berubah tegas.

“Selepas latihan pergilah main,” arah ayahnya tegas.

“Ayah. Kenapa Haziq kena melalui semua ini? Setiap kali cuti Haziq kena buat latihan berat. Haziq kena lari satu kampung. Haziq kena buat latihan silat. Haziq kena buat latihan pernafasan. Untuk apa semua ni ayah?” soal Haziq kembali.

“Sebab Haziq istimewa. Keluarga kita turun temurun keluarga pendekar. Keluarga panglima. Keluarga kita telah ditakdirkan menjadi penentang kebatilan,” jelas ayahnya.

“Ayah. Zaman sekarang mana ada orang pakai pendekar. Pakai keris. Sekarang pakai pistol. Pakai meriam.”

“Haziq takkan faham. Satu hari bila tiba masanya Haziq akan faham,” balas ayahnya.

“Bila?” soal Haziq.

“Bila tiba masanya,” jawab ayahnya.

Haziq terdiam. Ayahnya memeluk dirinya.

 

 

Sekarang ini barulah Haziq faham. Ayahnya benar-benar melatihnya sebab mahu menjadikannya seorang pendekar. Pendekar yang menjadi juara dunia seperti ayah dan emaknya. Tapi ayahnya pergi meninggalkannya semasa di berada di puncak kemasyhuran.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.