Aku sudah melalui jalan ini selama 16 tahun. Dan pada
tarikh 16 Julai ini masa itu akan bertambah menjadi 17 tahun. Aku dapat
merasakan tekanannya di sini-sana. Sebaik aku melangkah keluar melepasi pagar
rumah, senario yang sama akan terus berulang. Tidak akan pernah berubah.
Aku bosan dengan abah
yang hanyut dengan dunianya. Dunia persekolahan yang mencekik. Peperiksaan yang
mengganggu dan bayangan masa silam yang menghantui. Apatah lagi ketika aku lalu
di kelas oren itu. Bayangan penghuninya yang sedang beraktiviti. Dada akan
menjadi sesak serta merta. Apabila aku sampai dan duduk di gazebo,
penghuni-penghuninya juga menghantui aku.
Emak pernah
mengajak aku tinggal bersamanya. Sengaja aku tolak kerana tidak sanggup melihat
kemesraannya dengan ‘abah’ baru. Aku pelik melihat tindak-tanduk orang dewasa
yang berlagak seolah-olah handal menyelesaikan segala masalah. Walhal, mereka
sebenarnya mencari masalah sendiri. Dan kemudian aku menjadi mangsanya.
Pagi
itu, aku mendapat satu tugasan. Menulis esei. Tidak susah sebenarnya menulis
esei. Namun, pagi itu, aku terpempan.
“Kenangan zaman kanak-kanak?”, Cikgu Tan hanya
mengangguk. Cikgu Cina ini kemudian tersenyum.
“Tak ada zaman kanak-kanak ke? Saya ingat ada
pertaliannya. Zaman kanak-kanak ialah zaman belajar mengenal hidup. Zaman
remaja, ya zaman yang sedang awak lalui sekarang ini, hah tentunya untuk
menyesuaikan diri pula dengan hidup.”, aku terkedu, lidah terkelu.
Sehari suntuk aku memerah otak. Sekejap termenung,
menonggeng, meniarap, tetap juga idea tidak mahu menyinggah. Penat terasa
seluruh tubuh badan, aku meneguk air mineral di dapur. Sebaik menutup pintu
peti sejuk, mata aku seakan terhenti. Pelekat magnet dengan lukisan rumah di
atas bukit itu menarik perhatian. Sedangkan telah lama pelekat itu tertampal di
situ. Fikiran aku menerawang. Jauh merempuh jaluran masa dalam arkib memori.
Apabila jari telunjuk kanan menyentuh pelekat itu, cerita lama itu terimbau.
Sedikit demi sedikit…
~Imbas kembali~
Matahari semakin terik. Pad menunggang pada basikal
apabila aku sentuh terasa panas membakar kulit. Untung sahaja ada pokok besar
di sini. Dapat juga menumpang teduh. Beg sekolah warna merah darah yang
tersangkut atas dahan pokok aku tenung. Kemudian mengeluh. Akhirnya, aku cuba
menyentuh kulit pokok kasar dan menggerutu, kalau tidak, sampai sudah tidak kan
pernah beg itu melayang kepada aku. Kaki kanan aku daratkan sambil mengucap
basmalah. Kain sekolah warna biru tua aku singsing sampai ke paha. Ikatan
rambut pula sudah lama terlerai selepas pergaduhan tadi. Abon itu memang tinggi
dan besar orangnya. Ramai yang tidak percaya umurnya baharu 11 tahun. Kalau
tidak bergaduh dengan Abon tadi, pasti sudah lama aku sampai di rumah.
Tenaga aku kerah sampai aku dapat rasakan badan aku sudah
melekap pada pokok. Jarak kaki dari tanah pula hanya sejengkal. Bagaimana
hendak dicapai beg itu dengan lagak memanjat pokok sebegini. Akhirnya, aku
menjerit sendiri.
“Aaaaahhhhhhhhhh….Aaaabonnnnn…..”, mata aku terpejam
rapat menahan silau.
Bergema-gema jeritan itu ke pelosok kawanan lalang
merimbun.
Tiba-tiba aku terdengar bunyi basikal menghampiri dan
ditongkatkan. Refleks mata terbuka sedikit-sedikit. Dari bukaan kecil kelopak
mata, aku lihat seorang lelaki dewasa berjalan sambil meletak beg selimpang atas
tanah. Dia mencekak pinggang, memandang aku.
“Kenapa?”, rona wajahnya garang dan menakutkan.
Aku telan liur sendiri. Kain tersingkap aku tarik sedikit
ke bawah, dan perlahan-lahan kaki menjejak tanah semula. Rambut kusut aku lurut
dengan jari ala kadar dengan pantas. Kemudian, aku berdiri tegak di hadapannya.
Aku mendongak untuk melihatnya. Ketinggian budak sekolah rendah dalam darjah
empat tidak akan mampu menyaingi ketinggian orang dewasa.
“Eh, tak ada mulut ke?”, suaranya meninggi.
Dia berjalan laju ke arah aku dan menepuk debu pada
lengan baju, rambut dan, pipi. Aku hanya diam walaupun tubuh aku turut
terayun-ayun apabila dia membersihkan debu yang terlekat. Sesudah itu, aku menunjuk ke arah beg yang tersangkut
atas pokok. Matanya menurut ke arah yang aku tunjukkan. Dia mengeluh.
“Usu dah cakap jangan kawan dengan budak lelaki. Degil.
Bergaduh lagi.”, Usu pantas memanjat pokok, manakala aku hanya memerhati.
Kali ini
sahaja sudah empat kali Usu mengingatkan aku tentang isu ini. Usu selalu berkata,
budak lelaki kasar, dan Usu tidak mahu aku menjadi kasar seperti mereka. Pernah
Usu mencarikan aku kawan perempuan, adik kepada Kak Huda. Namun, tidak sampai
pun satu jam berkenalan, adik Kak Huda menangis hendak pulang. Jarinya luka
digilis rantai basikal aku. Selepas itu, Usu tidak pernah membawa Azah, adik
Kak Huda berjumpa aku lagi.
Usu
sudah mendapatkan beg aku semula. Beg itu disumbat dalam bakul basikalku.
Basikal Usu, Usu dapatkan. Dia sudah berkira-kira untuk pergi, lalu dia
memanggil aku.
“Ji, cepatlah! Usu dah lapar ni.”, aku diam dengan muka
masih berkerut.
“Yelah, Usu tak cerita kat mak.”, bahu kanan aku terasa
berdenyut-denyut akibat tumbukan padu Abon.
“Usu kira sampai tiga...satu...”, angin singgah sebentar
menerbangkan urat-urat rambut kotor aku ke kiri.
“Du....a.....”, Usu menguatkan suaranya.
“Ji, Usu serius ni...”
“Ji.....”
“Janji tak bagitau.”, aku mencapai basikal dan mengayuh
laju meninggalkan Usu yang masih di bawah bayang-bayang pokok.
Aku toleh belakang sekali lalu. Tangan kanan aku usung
keluar, dan isyarat janji aku unjukkan kepada Usu. Jalan di hadapan yang
lengang aku pandang jauh. Jalan yang saban hari aku lalui. Angin makin kuat
tandanya hari akan bertukar hujan. Kayuhan aku lajukan, apabila Usu turut
berada di sebelah mengayuh basikalnya. Usu sudah tidak marah, malah sedang
ketawa galak. Rambut Usu turut terbuai-buai oleh angin. Aku lihat di belakang
rambut Usu, langit semakin mendung.
“Usu kacakkan?Haha...”, tangan kanan aku laju menumbuk
lengan kiri Usu.
Usulah
sahabat, Usulah teman, Usulah emak, Usulah ayah, Usulah segalanya. Pada ketika
itu, aku cuma ada Usu. Usu adik tiri emak, yang telah aku kenal sebaik melihat
dunia ini. Dan untung sahaja Usu tinggal bersama kami. Nenek dan atuk telah
lama kembali kepada-NYA. Apabila emak dan abah terpekik-pekik di tengah malam,
Usu akan mencari aku.
Sebaik
ayam berkokok, emak akan bersiap-siap ke hospital. Uniform jururawat putih
bersih sudah siap tersarung pada tubuh. Ketika itu, aku selalunya baharu sahaja
terjaga. Usu pula sedang merapi rambut dengan sikat. Abah hari ini juga tiada,
mungkin belum pulang.
“Hari ni kalau Zima bergaduh lagi, emak hantar Zima masuk
sekolah pondok macam abang Zain.”, setiap pagi pun itulah yang emak akan
katakan.
Hari
ini, mata emak pun sembab macam selalunya. Usu dan emak kurang bercakap
belakangan ini. Mungkin peperiksaan maut Usu makin hampir. Aku pernah terdengar
Azah membicarakan tentang Kak Huda dan Usu.
“Kak Huda kita kan nak kahwin dengan abang Wan.”, aku
mengungsung basikal hadapan belakang, mendengar dengan bosan.
“Tapi sekejap lagi akak dengan abang Wan nak periksa
STPM.”, aku hanya sempat menangkap perkataan H-T-P-M.
Azah sedikit pelat pada sebutan huruf S. Mungkin kerana
itu apabila aku tanyakan Usu peperiksaan HTPM itu apa, Usu mengerut muka. Dia
baru tersedar kemudiannya aku memaksudkan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran
Malaysia. Tapi Usu lebih gemar menamakan peperiksaan itu sebagai peperiksaan
maut.
“Peperiksaan maut?”, aku menunggang basikal bersebelahan
dengan Usu sebelum berpecah di simpang kerana sekolahnya lebih jauh.
“Kerk....kalau tak lulus. Ahahah.”, Usu membuat aksi
mengelar leher dengan tangan kanannya.
Aku
masih belum mengerti apakah nilai sebuah peperiksaan seperti itu dalam hidup
aku. Sungguh tubuh kecil aku ketika itu tidak akan mampu memahami erti kata
kehidupan yang penuh mencabar melainkan bergaduh dengan Abon, menunggang
basikal, bermain layang-layang, dan mendengar jerit pekik emak dan abah. Hanya
itulah perkara mencabar yang aku hadapi, bukan peperiksaan.
Sampai
di sekolah, Abon menanti aku di pintu pagar buruk sekolah. Basikalnya aku lihat
sukar siap diparkir. Dua lagi budak jahat namun bertubuh kecil seperti aku
berdiri beberapa tapak dari tempat Abon berdiri. Itulah Jamil dan Azad. Pesanan
emak terimbau. Aku buat tidak peduli. Jam digital bercorak askar pada
pergelangan tangan kiri menunjukkan angka 6.52 pagi. Sebaik melintasi Abon
dengan menyorong basikal, dia menegur aku. Tangannya menarik bahu kanan aku
supaya menghadapnya.
“Hoi...!”, muka aku berkerut menahan sakit dek kerana
bengkak akibat ditumbuk masih belum surut.
“Bon, dia ejek kau Bon.”, si Jamil menebar fitnah.
“Aah Bon, dia buat muka kat kau.”, Azad menambah perisa
fitnah yang ditabur Jamil.
Aku merentap kasar tangan Abon lepas
dari bahu aku. Aku dapat rasa mata aku panas. Rasa sakit makin menyucuk dan
berdenyut-denyut.
“Korang buat apa tu?”, seorang pengawas senior datang
menghampiri.
Tiga lagi pengawas bertugas pada pagi itu, tanpa menunggu
lama mengheret kami berempat ke muka pengadilan. Aku dapat rasakan lengan aku
turut merasa sakit dan kebas. Tapi biarlah, aku lebih rela menghadap guru besar
daripada terus bergaduh dengan Abon. Api sengketa antara Abon dan aku menyala
kira-kira setahun yang lalu di rumah Ustaz. Abon membuli Azad pada petang itu,
dan aku melaporkan hal itu kepada Ustaz. Sebagai hukuman, Abon dirotan Ustaz.
Aku tahu Abon malu apatah lagi seluruh anak-anak mengaji di situ melihat dengan
benci. Sejak hari itu, Abon mula mengarahkan perhatian dan tenaganya untuk
mencari pasal dengan aku. Kedegilan aku tambah menyakitkan hatinya. Azad selepas
kejadian itu menjadi kroni Abon gara-gara takut dikecam Abon, si budak jahat.
Berita aku, Abon, Jamil, dan Azad dihukum berjemur bawah
terik mentari cepat sahaja tersebar seluruh kampung. Sudah tiga jam kami
berjemur. Malu yang aku tanggung tidak sehebat rasa sakit pada bahu kanan. Tapi
aku keraskan hati dan tangan semakin kebas dan kebas. Jamil dan Azad sudah
mengeluh dan menangis teresak-esak. Yang masih tegak berdiri ialah Abon.
Hatinya sangat keras dan ego. Ekor mata aku memerhati budak lelaki tinggi dan
besar itu di hujung barisan melewati tubuh Azad dan Jamil.
“Bon, jom minta maaf dengan cikgu jom...hgh....aku dah
nak mati ni Bon...”, Jamil teresak-esak memujuk.
Wajahnya kelat dan gelap dibakar mentari. Aku sendiri
terasa panasnya membakar atas kepala. Aku raba rambut, panas. Tiba-tiba Azad
jatuh rebah ke bumi. Dan hukuman berakhir apabila Azad diusung ke bilik
rawatan. Aku pula berjalan lambat-lambat ke kelas. Nur Aminah menanti di
sebelah tempat duduk aku. Hanya Nur Aminah kawan perempuan yang aku ada. Cikgu
Rafa sedang menulis nombor 4 pada papan hitam sebelum dia menghampiri aku
dengan perlahan.
“Nur Azima tak apa-apa?”, hanya Cikgu Rafa yang memanggil
aku dengan nama penuh.
Aku sengih tawar. “Maaf cikgu, saya lambat masuk kelas.”
“Ok, salin soalan kat papan hitam ni. Awak hantar besok
jelah. Pinjam buku Nur Aminah.”
Jari aku
terketar-ketar untuk memegang pensel. Nur Aminah yang perasan menarik pensel
daripada tangan aku. Buku Matematiknya diselitkan dalam buku latihan aku.
“Tangan kau sejuk Ji.”, aku pun dapat merasakan bibir aku
sejuk.
Ada
lebih kurang setengah jam lagi sebelum loceng tamat sesi persekolahan berbunyi.
Aku tahankan diri. Sebelum keluar dari kelas, Nur Aminah bertanya lagi, “Kau
tak apa-apa ke Ji? Aku cakap dengan ayah aku tolong hantar kau sekali eh?”
Aku
menolak dengan baik. Tidak mahu aku menyusahkan orang tua itu. Sudahnya Nur
Aminah pulang sendiri, dan aku mendapatkan basikal. Sewaktu menggenggam, tangan
aku terasa sakit sekali. Sudah hendak dekat jarak aku sedang mengayuh dengan
simpang jalan yang Usu akan lalui untuk pulang ke rumah. Langit sedikit berawan
menahan sinar terik matahari. Aku mula terlihat tompok-tompok hitam pada
penglihatan, tangan terasa lemah dan badan longlai, sebelum aku terjelepuk
jatuh di tepi jalan. Dalam separa sedar, aku terdengar orang memanggil-manggil
aku.
“Hoi...hoi!...bangun hoi...mati ke?”, badan aku
bergoncang-goncang.
“Jangan buat aku takut...”, mata aku makin berat.
“Hoi bangun...tolong!...hoi maafkan aku hoi.. tolong!”,
aku terus tidak sedar.
Dua hari
di rumah serasakan setahun. Cuti sakit yang diberi doktor tidak diisi dengan
menunggang basikal sekeliling kampung sewaktu musim cuti persekolahan bersama
Nur Aminah dan Usu. Bengkak pada bahu kanan semakin surut dan rasa berdenyut
sudah hilang. Mungkin esok aku sudah boleh kembali ke sekolah. Duduk di beranda
rumah menantikan Usu pulang dari sekolah begitu menyeksakan kalau tidak ada jalan
kampung ini. Basikal buruk yang tersadai di tiang rumah aku perhatikan. Sayu.
Selepas
pengsan di tepi jalan, Abon sempat menahan basikal aku daripada menindih badan.
Dia mengekori aku. Sebelum pulang hari itu, Nur Aminah memarahinya dan membuka
rahsia bahawa bahu aku bengkak. Sebelum ini, dagu aku koyak sedikit terkena
kukunya sewaktu menumbuk aku. Nur Aminah pantas mengagak angkara siapa bahu aku
jadi begitu.
Abon juga yang menahan kereta Abang Salleh untuk ke
hospital. Tiba di hospital, emak mendapat berita aku ditahan di wad. Badan aku
diserang demam panas, dan aku pengsan kerana menahan sakit. Usulah yang menahan
emak daripada menampar aku sebaik terjaga.
“Kan Jiji masih hidup kak.”, kedua-dua kelopak mata aku
pejamkan, menanti tangan emak hinggap pada pipi.
“Akak...”, suara Usu perlahan dan sayu.
Kelopak
mata aku buka sebelah dan aku dapat lihat wajah emak tidak beriak, matanya
tidak berkata-kata, tangan kanannya jatuh perlahan ke sisi, sebelum aku
tersentak sekejap apabila emak memeluk aku. Kuat dan erat. Aku dapat dengar
esakan halus emak dan nafasnya terputus-putus. Malam itu, Usu menemani aku
kerana emak bekerja pada bahagian malam. Sebelum memejam mata, aku bertanya
Usu.
“Abah tak nak tengok Jiji ke Su?”, Usu berhenti menulis
dalam bukunya.
“Abah kerja luar Ji. Takkan abah nak berkejar ke sini.
Tidurlah.”, peha kanan aku Usu tepuk sekali.
“Abon?”, mata usu dikerling sekilas ke arah aku dan Usu
tersenyum.
“Berani ke dia? Ada dia datang ikut sekali masa hantar
Jiji ke sini. Lepastu dia baliklah.”, mata aku terkebil-kebil merenung siling,
sementara penghuni lain dalam wad ini semuanya sudah dibuai mimpi.
“Besok Usu bawak Abon datang sini boleh?”, suara aku
semakin perlahan, dan kelopak semakin memberat.
“Tak takut?”, aku menguap lebar, mata terasa berair.
“Tak....”, dan aku terus terlelap meninggalkan Usu yang
perlahan-lahan menyandar pada kerusi, matanya turut dipejamkan.
Mangkuk tingkat yang sudah berdiri atas meja di hujung
kaki bergerak ke kiri ke kanan. Tangan yang memegangnya pula seakan-akan tidak
mahu dilepaskan. Abon hari ini datang juga dengan memakai seluar kodroi
berwarna hijau lumut berpadanan dengan baju kemeja kotak-kotak. Hari ini, Abon
kemas dan tidak selekeh.
“Hoi sinilah...”, Abon menurut meninggalkan mangkuk
tingkat bersendirian atas meja.
Jarak
yang lebih dekat menampakkan lagi penampilannya yang rapi. Aku dapat lihat
rambut yang selalunya kering dan kusam dipanggang cahaya matahari kini hitam
gelap. Mungkin Abon menyapu minyak rambut. Abon tersipu-sipu apabila aku tidak
mempelawanya duduk. Lantas, dia terus berdiri dengan kedua-dua tangan
diselimpang kebelakang. Kepalanya tunduk menekur lantai. Apabila tangan kirinya
menggosok-gosok hidung, aku lihat kukunya bersih rapi sudah dikerat. Berniat
mengurangkan rasa canggungnya, aku bangkit dari baring dan duduk. Kedua-dua
kaki aku lipat.
“Duduk.”, mata Abon menoleh aku sekilas sebelum dia
menurut.
Kedua-dua
tangan aku panjangkan mencapai mangkuk tingkat. Mangkuk tingkat aku buka dan
mangkuk yang paling atas aku lihat berisi kuih donat bergula. Aku sengih lebar.
Tanpa mempelawa, aku kunyah donat yang dibawa Abon.
“Sedap. Siapa buat?”, aku bercakap sambil mengunyah.
Abon teragak-agak menjawab.
“Mak aku.”, aku unjukkan mangkuk kepadanya.
“Nak?1,2,3,4,5 campur aku punya ada 6.”, Abon gelisah dan
mengeluarkan sesuatu dari poket baju.
“Minta maaf!”, tanpa pamit Abon bangkit dan menuju ke
pintu wad.
Tubuhnya
berlanggar dengan Usu yang datang dari arah bertentangan. Mereka berbual
sekejap, dan Usu membiarkan Abon berlalu. Aku terus mengunyah walaupun
terkejut. Aku lihat kertas yang Abon tinggalkan disebelah aku dengan penuh
tanda tanya. Surat berwarna merah jambu. Itulah surat yang kemudian Usu bacakan
kepada aku. Tiada apa sangat yang Abon tuliskan dengan tulisan cakar ayamnya.
Dia meminta maaf, dan berjanji tidak akan mengganggu aku lagi. Kata Usu, emak
Abon juga turut meminta maaf dan menitipkan mangkuk tingkat supaya aku lekas
sembuh. Emak Abon baik, tapi anaknya.
“Maafkanlah dia.”, Usu bercakap dengan serius.
Aku angguk dan tersenyum. Namun, aku punya syarat aku
sendiri. Pada mulanya Abon nampak ragu-ragu apabila aku nyatakan syarat aku.
Dia menoleh Azad dan Jamil. Kemudian berkata, “Yelah...”. aku tersengih lebar.
Selepas itu, kawan aku semakin bertambah, bukan hanya ada Nur Aminah dan Usu.
Malah, dunia aku lebih luas dengan adanya Abon, Jamil, dan Azad. Kadang-kadang
aku membonceng basikal Abon ataupun Azad sewaktu hujan. Mereka akan mengayuh
manakala aku akan memegang payung di belakang. Jamil anak orang berada,
basikalnya mahal. BMX. Tetapi, kami tetap berpeluang merasa pengalaman sekejap
menunggang basikalnya. Dia hanya tersenyum bangga apabila kami nyatakan betapa
seronok perasaan kami.
Dengan menjadi ahli kumpulan Abon, Azad, dan Jamil, aku
mula pandai memanjat pokok. Antara mereka bertiga, Abon yang paling mahir. Kami
agak mungkin kerana tubuhnya yang tinggi dan besar, tenaganya lebih banyak
berbanding kami. Azad selalu mencadangkan Abon berguru dengan si Sazali.
Sazali, pembina badan negara. Namun, biasanya Abon akan buat tidak endah.
Setahun
selepas itu, mereka bertiga mula sibuk dengan kelas tambahan. Persediaan
menghadapi peperiksaan UPSR sedang giat dilaksanakan pihak sekolah. Pada ketika
ini, aku selalu pulang sendiri. Hanya pada hari minggu kami berpeluang bermain
dan menunggang basikal. Aku masih ingat hari itu hari Sabtu. Azad datang ke
rumah aku.
“Jomlah. Bon ajak mandi sungai.”, aku mengerut dahi dan
Azad sengih.
“Alah....jomlah...nanti aku tak ajak kau marah.”, aku
terus mencapai basikal.
Sesampai
di sana, Jamil dan Abon sudah berendam. T-shirt masing-masing ada terhumban
dalam bakul basikal. Aku rasakan tiba-tiba pinggang aku meregang. Perut pula
rasa sebu dan kembung.
“Hoi !”, aku
menoleh apabila Abon memanggil.
“Jap...jap...aku sakit perutlah.”, hujung jari mula
sejuk.
Mereka
bertiga terus leka berendam dalam kesejukan air sungai. Tiba-tiba aku lihat Nur
Aminah makin mendekat dengan basikalnya. Dia tersenyum dan melambai. Aku sengih
semula dan turun dari basikal. Rasa sakit aku buat tidak peduli.
“Minah....nak mandi tak? Jomlah...!”, Jamil menjerit dari
sungai.
“Taknaklah. Kita tak nak mandi dengan budak lelaki.”,
Azad menepuk-nepuk permukaan air sambil menjerit-jerit.
“Mak kau tau tak kau datang sini Minah?”, tangan kanan
aku menekan-nekan perut.
“Tau. Mak aku kata kena balik sebelum maghrib.”, aku
pandang awan berarak pada langit cerah.
Matahari
sedang terpacak atas kepala ketika itu. Aku tidak dapat menahan kerutan pada
wajah dilihat jelas oleh Nur Aminah. Dia meraba bahagian bawah perut aku.
“Kat perut ke kat sini yang sakit?”, aku lihat Nur Aminah
sudah mengalahkan doktor lagaknya.
Abon aku
lihat sudah naik ke tebing. Kakinya digoyang-goyang menjatuhkan air dari seluar
pendek. Jamil dan Azad masih terjerit-jerit, menyelam dan berlumba berenang
dalam sungai. Abon menuju basikalnya di belakang aku. Soalan Nur Aminah
tergantung sepi.
“Ah?...kenapa sakit ek?”, aku bertanya kembali.
“Engkau makan apa tadi? Kau nak berak ke?”, Abon ketawa
terbahak-bahak.
Sebelum
sempat aku menjawab, aku tersentak apabila Abon memegang bahu aku dan menjerit
pendek.
“Eh! Darahlah......”, Abon dibelakang aku berkata kuat
apabila terpandang kesan cecair merah pada bahagian bawah T-shirt labuh yang
aku pakai.
Nur
Aminah ternyata lebih mengerti situasi aku. Dia menutup mata Abon dengan baju
Jamil.
“Jangan tengoklah. Malulah dia.”, aku sebenarnya tidak
mengerti.
“Minah, aku sakit apa? Aku nak mati ke?”, aku mula rasa
cemas bila aku melihat darah pada tangan aku.
Jamil
dan Azad yang terdengar jeritan Abon meluru mendapatkan kami bertiga. Jamil
pantas menjerit.
“Eh kau datang bulan!....Hahah.”, Nur Aminah menepuk
mulut Jamil.
Azad dan
Abon kini sudah mengerti. Aku juga. Kata-kata Ustazah Zanariah dalam kelas
hadas besar dan kecil terimbau. Ustazah pernah mengatakan orang perempuan boleh
tidak solat. Kami semua tersentak. Selama ini, kami tahu neraka akan menanti
andai tidak solat. Namun Ustazah Zanariah ketawa kecil sebelum berkata, “Hanya
apabila orang perempuan itu haid. Datang bulan, nifas, wiladah.”.
Perlahan-lahan wajah aku terasa panas.
Entah
kenapa irama L’Inverno pada bahagian Allegro Non Molto yang aku sering dengar
berkumandang dari dalam bilik Usu bergema-gema dalam kepala. Aku rasa malu dan
sedikit-sedikit perasaan seperti pemisah antara aku dan geng Abon terbina.
Bermula hari itu, aku seperti sedikit berubah. Mengelak daripada Abon, Jamil
dan Azad sudah saban hari aku lakukan sehingga UPSR berakhir dan mereka bertiga
ke sekolah menengah. Aku kembali
bersendirian bersama Nur Aminah. Usu akan ke universiti dalam sebulan lagi.
“Jangan tak sembahyang. Jiji sendiri yang tanggung dosa.
Jangan main sembarangan lagi dengan budak lelaki. Cuba cari kawan perempuan.
Usu nak tengok Jiji pakai tudung bila Usu balik cuti semester.”, petang itu Usu
sedang menyusun pakaian.
Aku
berdiri bersandar pada daun pintu. Berat rasa hati melepaskan Usu pergi. Aku
tahu maksud kata-kata Usu. Usu jugalah yang membelikan tuala wanita untuk aku
pada ketika haid dahulu. Usu mahu aku menjaga diri sebagai gadis yang
baik-baik.
“Tau...”, Usu berhenti mengemas dan menoleh aku.
“Jiji gaduh dengan diorang ke?”, aku angkat kepala.
“Tak....”, Usu sengih.
“Boleh kawan dengan diorang.”, ayam di luar rumah
berkokok.
“Usu kata jangan main dengan budak lelaki.”
“Mana ada Usu cakap macam tu.”, aku alihkan mata.
“Maksud Usu, lebih daripada ka-wan. Jiji sekarang bukan
macam dulu lagi. Takkan Usu nak kena bagitau semua ni pada Jiji. Dah darjah
enam pun.”, aku angguk.
“Abon, Jamil, Azad. Diorang dah besar. Walaupun macam tu,
diorang dah besar. Dan diorang tetap lelaki. Tetap le-la-ki.”, wajah Usu
serius.
Aku
angguk. Angguk lagi. Wajah Usu hari itu redup. Kata-kata Usu masuk ke dalam
kepala dan jatuh ke hati. Memang selama ini aku membesar bersama Usu. Sampai
sudah Usu tetap menjaga aku. Namun, selepas itu aku harus dapat hidup sendiri.
Tanpa Usu. Tanpa kata-kata Usu. Kerana Usu akan pergi. Pergi meninggalkan aku.
Pergi yang tidak akan kembali. Selama-lamanya bersama L’Inverno...
BERSAMBUNG