Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
127,514
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 20

SEBAIK sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam sebuah balai polis, seorang pemuda yang mengenakan t-shirt berwarna hitam lantas menghampiri seorang wanita yang sedang ditenangkan oleh seorang wanita bertudung selendang hijau daun. Kelihatan wanita muda itu masih menangis teresak-esak. Keadaan wanita muda itu kelihatan begitu kusut dengan wajahnya yang merah dan mata yang sembap. Rambutnya yang diikat sanggul juga hampir terurai.

"Apa dah jadi Sherina? Kenapa dengan Hud dan Afrina? Dia orang baik-baik saja kan?" soal Ibrahim bertalu-talu. Jelas, riak wajahnya berubah cemas dan pucat tak berdarah. Manakan tidak, anggota bawahannya yang berada di balai itu baharu sahaja menghubunginya dan melaporkan perkara buruk yang sudah berlaku kepada Hud dan Afrina. Sukar untuk Ibrahim percaya bahawa sahabatnya dan gadis yang semakin mendapat tempat dalam hidupnya itu diculik serta merta! Malahan, hampir luruh jantung Ibrahim saat ini akibat kejutan yang maha hebat.

Perlahan-lahan, Sherina mendongak memandang wajah sugul Ibrahim yang berdiri di hadapannya. Tubuhnya masih menggigigil ketakutan apabila kejadian buruk itu berlayar di kotak memorinya tanpa henti. Masih terlintas di ingatannya saat abangnya ditinggalkan berseorangan untuk berlawan dengan penyerang tak diundang itu. Masih terasa jerkahan Afrina saat dia seperti orang kurang waras yang tidak mahu menyelamatkan diri. Maka, Afrinalah yang nekad untuk membantu Hud memandangkan keadaan pemuda itu yang belum pulih sepenuhnya. Pengakhirannya, Afrina diculik dan Sherina hanya mampu meletakkan kesalahan di atas bahunya!

"Abang Hud dengan Afrina dah kena culik! Dalam keadaan abang Hud tak sihat lagi dia tak mampu nak lawan. Dia orang ramai. Lagi pun orang-orang jahat tu ugut dia orang dengan senjata. Rahim tolong... tolong selamatkan dia orang! Saya takut... saya tak nak hilang abang saya lagi," gogoi Sherina seraya menarik tubuh Dina yang sedang menangis ketakutan ke dalam pelukannya. Luluh hatinya melihat anak kecilnya juga ketakutan. Nafasnya benar-benar terasa sesak saat kejadian mendebarkan itu berlaku di hadapan matanya. Masih terlintas di ruang fikiran saat Hud dan Afrina sama-sama mencuba untuk menyelamatkan nyawa mereka berempat! Sungguh, Sherina buntu dengan marabahaya yang tiba-tiba membadai hidup mereka.

Kata-kata yang terzahir daripada Sherina seolah-olah memberikan tamparan yang hebat buat Ibrahim. Dia bagaikan tersedar semula daripada kejutan yang diterimanya setengah jam yang lalu. Baharu sahaja dia mahu merehatkan diri setelah berhempas pulas berada di balai untuk menyelesaikan kes jenayah yang masih berada dalam siasatannya.

Malahan, kes Hud Aidan yang masih menjadi titik misteri menambahkan lagi pekerjaan yang sedia ada. Sememangnya ini adalah sebuah kenyataan yang sukar untuk diterima. Benar. Dalam keadaan Hud belum pulih sepenuhnya mana mungkin sahabatnya bisa melawan penyerang-penyerang itu. Lebih-lebih lagi dengan ugutan yang diterima. Hud mempunyai trauma dan itulah yang melemahkan lagi seorang Hud Aidan! Tak semena-mena, keluhan berat terlepas dari bibir Ibrahim. Berat sungguh dugaan sahabatnya itu.

"Tuan, menurut laporan... kami tak menemui sebarang bukti di atas kehilangan Tuan Hud. Tak ada saksi kat tempat kejadian memandangkan pada waktu tu hari dah senja. Tak ada orang yang lalu-lalang dekat kawasan tu. Puan Sherina kata penculik pun langsung tak hubungi keluarga mereka untuk wang tebusan. Apa tindakan kita selanjutnya tuan?" soal Koperal Borhan yang menghubungi Ibrahim sebentar tadi.

"Kalau begitu kumpulkan..."

Ibrahim kematian diksi tatkala seorang lelaki berbaju korporat meluru ke arah Sherina dan Doktor Azizah. Wajah beku lelaki berkemeja biru tua dengan tali leher tersemat di kolar bajunya membuatkan Ibrahim dihujani persoalan dengan kedatangan mengejut abang tirinya Hud dan Sherina itu. Dia tahu konflik di antara Hud dan Mirza yang tidak pernah sehaluan suatu ketika dahulu. Tatkala pandangan mereka bersatu, Ibrahim sekadar menyambut huluran salam Mirza sebelum lelaki itu melabuhkan duduk di sebelah Sherina.

"Hah Mirza, lambat kamu datang. Ni mak su rasa buat masa sekarang kamu tolong pujuk mama kamu dan terangkan pada dia yang semuanya baik-baik sahaja. Tenangkan hati dia. Tolong kawal keadaan. Kamu tahu kan mama kamu ada penyakit jantung. Mak su tak nak dia tertekan dengan perkara buruk yang sedang berlaku sekarang ni. Buat masa sekarang, mak su nak bawa adik kamu ni balik rumah mak su. Dia masih dalam keadaan ketakutan dan mak su risau kalau emosi dia makin terganggu. Boleh ya?" arah Doktor Azizah yang masih cuba menenangkan anak kemenakannya itu. Kini, dia bukan sahaja susah hati dengan nasib Hud malahan dia juga rasa bersalah di atas penculikan ke atas Naurah Afrina. Bagaimana dia mahu memberitakan hal ini kepada keluarga pekerjanya itu nanti?

"Baik mak su. Mirza cuba usaha untuk pujuk mama supaya dia tak susah hati. Tapi apa motif penjenayah tu nak culik Hud? Setahu Mirza, arwah papa tak ada musuh. Arwah papa tak pernah berhutang dengan sesiapa pun. Lagi pula, selama Mirza ganti arwah papa pun tak ada apa-apa ancaman yang Mirza terima. Tapi kenapa..."

Mirza kematian kata sambil memicit pelipisnya. Tak mampu dia mahu menghabiskan omongannya tatkala kepalanya berdenyut dengan teka teki yang tiba-tiba bermain di benak fikiran. Bagaimana adik tirinya itu bisa diculik? Apa motif penjenayah ingin menghuru-harakan keluarga mereka yang sedia ada dengan konflik ini? Sebagai anak sulung, Mirza benar-benar rasa buntu dengan nasib malang yang menimpa keluarganya.

"Mungkin ada yang tak berpuas hati dengan Hud. Sebenarnya, sejak dari lima bulan yang lepas lagi dia mula menerima ancaman daripada orang yang tak dikenali. Masa dia mula-mula pulang ke rumah keluarga Encik Mirza dan Sherina pun dia diserang dengan orang-orang yang tak dikenali. Kes Hud masih dalam siasatan dan tak ada klu yang dapat kami perolehi buat masa sekarang. Suspek pun kami masih tak dapat jejaki memandangkan orang-orang suruhan suspek yang berjaya kami berkas tak mahu memberikan kerjasama," jelas Ibrahim sambil memandang wajah keluarga Hud Aidan yang duduk di hadapannya sebelum pandangannya berakhir ke laman wajah Mirza yang berubah reaksi terkejut.

"Kenapa dia rahsiakan? Kalau dia dalam ancaman bermaksud keluarga kami juga menjadi ancaman musuh dia di luar sana bukan? Dia ni memang selalu jadi parasit dalam keluarga! Aku tak boleh terima kalau sebab dia seorang saja keluarga aku dalam bahaya!" tegas Mirza. Tak semena-mena, suaranya naik seoktaf akibat kejutan yang dijelaskan oleh pegawai polis itu. Ada rasa gerun tatkala berita mengenai ancaman ke atas Hud menyapa telinganya. Boleh jadi keluarganya sedang diperhatikan dalam diam dan apa pula nasibnya sebagai pengarah syarikat Idris Holding?

Tak semena-mena, kata-kata Mirza membuatkan Sherina mula dihurung dengan amarah. Matanya mencerlung tajam memandang wajah tegang Mirza. Parasit? Perkataan itu terus terngiang-ngiang di pelupuk telinganya. Lantas, dengan bibir yang diketap menahan geram Sherina bangun dari duduk dan berdiri di hadapan Mirza yang baharu sahaja menjatuhkan abang kandungnya di hadapannya sendiri.

"Parasit? Abang tak layak nak cakap macam tu pada abang Hud! Walaupun arwah papa dah buang dia dalam keluarga kita tapi dia tetap abang kandung Sherin dan dia tetap anak kandung mama dengan papa. Selama ni, dia rahsiakan daripada kita sebab dia tahu abang tak akan mampu terima dengan apa yang sedang berlaku. Tapi selama lima bulan ni Sherin tak pernah dapat apa-apa ancaman pun! Abang pun Sherin tengok happy je uruskan syarikat papa, kan! Abang cuma tak happy dengan isteri nusyuz abang tu!" bentak Sherina seraya melangkah keluar dari balai. Oh sungguh dia semakin sesak apabila Mirza mula mengujarkan sesuatu yang buruk mengenai Hud.

Doktor Azizah menggelengkan kepalanya dengan pertelingkahan dua beradik itu. "Kamu pun satu Mirza! Sebenci mana sekalipun kamu pada Hud jaga mulut tu baik-baik. Bukan sekarang kalau kamu nak salahkan Hud sedangkan dia sendiri dalam ancaman! Ingat pesan mak su, tolong kawal keadaan dan jangan fikirkan diri kamu sendiri saja," tegas Doktor Azizah seraya memimpin tangan Dina mengekori Sherina yang sudah tak mampu mengawal emosi. Kusut fikirannya melihat konflik keluarga kakaknya yang tak ada jalan penamat.

"Doktor, kami cuba untuk cari Hud dan selesaikan kes ini dengan secepatnya," ujar Ibrahim apabila Doktor Azizah turut berpamit pergi. Wanita itu sekadar mengangguk dan tersenyum pahit. Fikirannya benar-benar kematian diksi saat itu. Namun, kepercayaan terus diletakkan kepada Ibrahim. Mengharapkan anak muda itu mampu menyelesaikan misteri ancaman ke atas Hud Aidan.

Sepeninggalan Doktor Azizah, Dina dan Sherina, Mirza hanya mendengus kasar dengan kata-kata lancang Sherina. Wajahnya diraup kasar sebelum tangannya menggagau sekotak rokok yang berada di dalam kocek seluarnya. Dia tertekan! Belum selesai lagi konflik di antara dia dan isterinya kini konflik keluarganya semakin bertambah dengan penculikan ke atas Hud. Rokok sajalah yang sentiasa menjadi terapi untuk dia melepaskan tekanan tanpa sedar bahawa rokok itu bisa meragut nyawanya dalam diam.

"Maaf encik. Tapi kawasan ni larangan untuk merokok. Saya nasihatkan encik pulang dahulu dan biar kami selesaikan kes ini dengan secepatnya," tegas Ibrahim sambil menepuk bahu Mirza. Buat seketika, dua pemuda itu saling beradu pandangan. Tergaris senyuman sinis di bibir Mirza melihat wajah Ibrahim yang kelihatan sugul. Lantas, tangan Ibrahim ditepis kasar seraya Mirza bangun dari duduknya.

"Aku harap kau boleh selesaikan kes ni dengan cepat sebab aku tak nak ada beban dalam hidup aku," kata Mirza seraya melangkah keluar dari balai polis. Tali leher yang tersemat di kemejanya dileraikan. Rimas! Tangan kembali menggagau poket seluar untuk mencari pemetik api. Tanpa dia sedar seseorang sedang memerhatikan gerak gerinya dari jauh. Ada sesuatu tentang Mirza yang membuatkan Ibrahim berasa aneh. Kebencian. Ya, kebencian di wajah Mirza tatkala perihal Hud Aidan menjadi isu utama malam itu.

"Borhan. Aku nak kau siasat pasal abang tiri Hud mulai hari ni. Aku rasa macam ada yang tak kena pasal dia saja. Lepas tu aku nak kau kumpulkan pegawai yang bertanggungjawab ke atas kes Hud. Kita akan adakan mesyuarat tergempar," arah Ibrahim sambil menghantar pemergian Mirza yang sudah memecut kenderaan berjenama Audi R8 berwarna merah keluar dari perkarangan balai polis. Bukannya dia mahu menuduh Mirza, tetapi gerak laku Mirza yang seolah-olah membenci Hud membuatkan Ibrahim terpaksa menjadikan Mirza sebagai suspek.

"Arahan diterima tuan!" jawab Koperal Borhan seraya membuat tabik hormat ke atas orang atasannya. Tanpa berlengah, arahan yang diterima lantas dilakukan dengan cekap.

SOROTAN cahaya lampu neon yang berkelip-kelip dan berada di atas kepala membuatkan dahi Hud berkerut menahan silau. Kemudian, dia memejamkan semula matanya tatkala kepalanya berdenyut-denyut akibat kesan hentakan yang kuat pada belakang kepalanya. Perlahan-lahan, Hud mencelikkan semula matanya sebelum pandangannya menerawang memandang sekeliling. Bau hanyir darah yang menusuk rongga hidungnya membuatkan tekaknya yang kering berasa loya.

Keadaan bangunan yang terbiar itu membuatkan Hud semakin dihurung dengan persoalan. Bagaimana dia bisa berada di ruangan yang sempit dengan kotak-kotak bersusun secara bertingkat berhampiran sebuah jendela kaca yang ditutup dengan jeriji? Saat itu juga memori Hud kembali mengimbas detik dia diserang hendap. Dalam keadaannya yang belum pulih sudah tentunya tenaganya tidak cukup untuk menentang penyerang-penyerang itu. Namun, Afrina datang untuk membantunya sebelum mereka diugut dengan senjata. Pengakhirannya dia rebah akibat hentakan kuat pada kepala. Tak semena-mena, Hud ingin bangun namun tubuhnya yang diikat kemas membantutkan pergerakannya.

"Afrina!"

"Hidup lagi kau rupanya. Aku ingatkan dah mati kehabisan darah."

Suara yang muncul di belakang membuatkan Hud terus kalih ingin memandang si empunya diri. Malangnya ikatan yang begitu kemas pada kerusi membantutkan pegerakannya sekali lagi. Bahkan, Hud merasakan seluruh sendinya semakin terasa sengal dan berbisa. Mahu menarik nafas sahaja pun membuatkan Hud kesakitan kerana tulang rusuknya yang masih belum sembuh sepenuhnya.

"Dah berapa lama... kita kat sini?" soal Hud sambil tertunduk menahan sakit. Sesekali, dia cuba membuka ikatan tali pada tangannya.

"Kau tak ada soalan yang lagi cerdik ke? Aku tahulah kepala kau tu dah kena hentak dengan si jahanam tu. Manalah aku tahu kita dah berapa lama kena kurung dalam ni. Sekarang ni aku nak tanya kau, apa masalah hidup kau sebenarnya? Kenapa aku kena terpalit sama dengan ancaman ke atas kau?" soal Afrina yang turut diikat membelakangi Hud. Kepalanya dikalih sedikit ke belakang untuk melihat keadaan Hud. Wajahnya semakin membahang kemerahan akibat menahan marah dengan nasib yang sedang menimpanya saat ini.

"A... aku minta maaf Afrina. Aku..."

"Persetankan maaf kau tu! Kau tahu tak aku bencikan kau dan sekarang ni aku tambah bencikan kau sebab kaulah aku rasa hidup aku dah tak aman lagi. Macam mana kalau dia orang nak bunuh aku? Aku tak nak keluarga aku bersedih sebab aku tahu rasa sakitnya kehilangan orang yang kita sayang! Apa yang kau dah buat dalam hidup aku ni Hud Aidan! Tak cukup lagi ke aku pernah kemurungan sampai buat benda bodoh sebab kau? " bentak Afrina sekuat hati melepaskan amarah yang terpendam di lubuk hatinya. Nafasnya turun naik melepaskan beban yang dipikul di bahunya. Sungguh, dia takut! Tidak pernah lagi dia berhadapan dengan pengalaman yang menggerunkan seperti ini seumur hidupnya.

Kata-kata lancang Afrina membuatkan Hud sedikit tersentak. Kebencian yang dilontarkan kepadanya sememangnya membuatkan hatinya disiat-siat. Sampai bila Afrina mahu membencinya di kala nama gadis itu sudah tertulis dan terpahat di lubuk hatinya? Entah, Hud sendiri tiada jawapan untuk itu. Namun, semakin Afrina membencinya semakin kuat perasaan cinta yang terzahir buat gadis itu.

"Aku tak berniat nak libatkan kau dalam hidup aku! Tak pernah sedetik pun aku terfikir nak buat nyawa kau terancam. Aku cuma mampu minta maaf di atas kesilapan aku selama ni! Aku tahu terlalu banyak kesalahan aku ke atas kau dan bukan mudah untuk kau maafkan aku. Kalau kau nak aku bersujud kat kaki kau demi sebuah kemaafan pun aku sanggup Afrina sebab aku tahu aku ni manusia paling kejam dalam hidup kau!" tegas Hud dengan nada suara yang turut naik seoktaf. Sungguh, dalam keadaan dia menanggung sakit Hud sendiri tidak mampu menenangkan Afrina. Dia merasakan tubuhnya sudah kehabisan tenaga untuk melindungi gadis itu.

Afrina terkelu dengan ketegasan Hud yang sering mengusiknya. Akalnya kematian diksi untuk melontarkan kata-kata yang lancang lagi. Dalam diam dia membenarkan kata-kata Hud. Baru Afrina sedar bahawa dia sedang menidakkan takdir ALLAH. Benar, ALLAH yang sudah menulis pertemuan di antara dia dan Hud Aidan setelah 14 tahun berlalu. Siapa dia untuk menidakkan takdir ALLAH? Lantas, dinding hati Afrina yang berkecamuk dengan amarah berganti pula dengan rasa sebak di dada. Kesal menjadi seorang hamba yang sering melawan takdir ALLAH. Dahulu, ketika kematian Umar juga Afrina sering melawan takdir yang maha pencipta. Mempersoalkan kenapa ALLAH menarik tunangnya beberapa hari sebelum hari pernikahan mereka.

"Kau jangan risau, aku akan bertanggungjawab ke atas kau. Aku tak akan biarkan dia orang sentuh kau walau sehelai rambut sekalipun. Kau percaya cakap aku. Aku akan lindungi kau dan kita akan keluar dengan selamat dari sini. Cuma kita kena bekerjasama walau sehebat mana sekalipun kau bencikan aku, cik misi," tambah Hud lagi. Kali ini, nada suaranya kembali beransur tenang. Dalam keadaan nyawa mereka diancam bahaya dia harus menjadi seorang yang bersifat pelindung seperti yang dilakukan kepada Afrina selama Afrina turut menjadi mangsa ugutan. Kesakitan yang dirasakan harus dilawan demi keselamatan gadis itu.

Sekali lagi, Afrina hanya diam seribu bahasa. Pandangannya hanya tertancap ke arah pintu kayu yang ditutup rapat. Keluhan berat terlepas dari bibirnya apabila pujukan Hud menambahkan sebak di dinding hati. Kata-kata meyakinkan daripada seorang Hud Aidan benar-benar meluluhkan hati Afrina. Gadis itu sendiri buntu bagaimana perasaan luluh itu bisa wujud. Apa yang Afrina tahu, Hud berjaya meyakinkannya bahawa mereka akan keluar dengan selamat.

"Kau percayakan aku?"

"Kau boleh diam tak? Aku tak nak bercakap dengan kau!"

Tak semena-mena, Hud ketawa dengan tengkingan Afrina. Tercuit sedikit hatinya dengan tingkah Afrina. Hud dapat menangkap nada suara Afrina yang garang berubah sayu seperti orang yang menahan tangis. Terlintas di benak fikiran membayangkan Afrina yang garang bisa menangis di hadapannya.

"Kau ni memang ada kecelaruan identiti ke? Kau ingat apa yang kita hadap sekarang ni sesuatu yang melawakkan ke? Fikirlah sesuatu supaya kita boleh keluar dari tempat ni! Aku nak balik secepatnya," bentak Afrina. Amarah kembali menyimbah dinding hatinya apabila Hud kembali dengan mood mengusik. Di saat keadaan genting seperti ini pemuda itu masih bisa ketawa? Sungguh, hal itu membuatkan Afrina mula kembali diserang amarah.

"Aku tahu kau nak menangis. Aku tak kesah pun kalau kau nak menangis sebab aku ada boleh pujukkan kau kalau kau takut. Aku kan dah janji yang aku akan lindungi kau dan aku tak akan sesekali biarkan sesiapa sentuh kau," kata Hud masih dalam keadaan mengusik. Dalam keadaan yang gawat seperti ini Hud mahu Afrina kuat seperti selalunya. Diam seorang Afrina itu membahayakan bagi Hud. Dia mahu Afrina terus berbicara walaupun yang keluar dari mulut gadis itu hanyalah sebuah 'racun' yang bisa melemahkan dinding hatinya.

"Aku tak perlukan kaulah! Aku boleh tenangkan diri aku sendiri. Aku cuma nak kau tolong aku fikirkan cara supaya kita boleh keluar dari tempat ni. Kali ni saja first and last aku bekerjasama dengan kau!" tegas Afrina seraya mengeluh berat.

Mendengar kata-kata Afrina membuatkan Hud tersenyum sendiri. Ego! Tapi Hud tak mempersoalkan keegoan Afrina kerana gadis itu berhak melayaninya dengan kasar. Bukan mudah untuk Afrina menjadi teguh seperti seteguh karang di lautan setelah dia sendiri yang menghancurkan sekeping hati Afrina dahulu. Hud sedar bahawa kesilapannya buat Afrina sudah memberikan parut di dinding hati gadis yang dicintainya dalam diam itu.

"As you wish for, Cik misi Naurah Afrina. Terima kasih sebab percayakan aku," kata Hud seraya menyandarkan tubuhnya di belakang kerusi. Mata dipejam rapat untuk merehatkan mindanya buat seketika. Dia perlu mengumpulkan tenaganya demi melindungi Afrina saat itu. Namun, tangannya yang diikat kemas di belakang kerusi masih ligat bermain untuk dileraikan.

BAM!

Namun baru beberapa minit mereka menamatkan pertelingkahan, pintu yang ditutup dengan menggunakan palang kayu lantas dibuka dan dihempas kasar dari luar. Terpampang dua susuk tubuh lelaki berwajah bengis di hadapan Afrina yang duduk berhadapan dengan pintu. Dua orang lelaki yang ditugaskan untuk mengawasi Afrina dan Hud sekadar mengelilingi dua mangsa yang sudah diikat kemas pada sebuah kerusi. Anak mata gadis itu sekadar mengekori dua penculik yang seakan-akan sedang mengawasi tindak-tanduk mereka.

"Kesian betul kau orang ni kan. Cuma mampu jadi anjing suruhan ketua kau orang. Kau orang dulu masa sekolah mesti jenis yang memalukan mak bapa kan? Yelah dah besar ni jadi penjenayah pula. Aku bosanlah apa kata kau orang cerita zaman sekolah..."

Tak semena-mena, tumbukan dihayunkan ke pipi Afrina tatkala gadis itu mula bermain dengan api. Wajahnya terteleng ke kanan dengan segaris senyuman sinis terukir di bibirnya. Sengaja dia bermain api dengan penculik-penculik itu. Lantas, dagu Afrina dicengkam kuat sebelum wajahnya menghadap wajah si penculik yang sudah melepaskan tumbukan padu sehingga membuatkan bibir Afrina pecah. Titisan darah mula mengalir di birai bibir gadis yang kusut itu.

"Jangan kau sesekali berani cabar kesabaran aku! Aku boleh toreh muka kau ni sampai cacat. Kau..."

Tak semena-mena, lelaki berambut panjang itu kematian kata tatkala wajahnya basah akibat diludah oleh Afrina. Tawa sinis si gadis yang seakan-akan mempersendakannya membuatkan penculik tersebut semakin disimbah dengan amarah lantas tangan yang sedia digenggam dihayun lagi ke wajah Afrina. Namun, salah seorang daripada penculik terus menghalang rakannya dari mencederakan Afrina.

"Kau nak kena dengan bos ke? Kalau orang kanan bos pun bos boleh tibai ni kan pula kita yang sekadar kuli upahan," tegas si penculik bertatu ular di bahagian leher seraya menarik rakannya dari terus mencengkam dagu Afrina. Takut kalau-kalau mereka dihukum oleh ketua mereka seperti mana orang kanan ketua mereka dihukum akibat memukul Afrina. Masih terlintas di benak fikirannya saat orang kanan yang sering memakai topeng dikerjakan oleh ketua mereka. Hampir sahaja dia menjadi saksi tragedi berdarah di bawah bangunan terbiar itu.

"Aku dah kata jangan kau berani sentuh perempuan tu. Perempuan tu cuma umpan untuk lemahkan si bedebah itu! Sekali lagi aku dapat tahu tangan kau naik dekat muka atau tubuh perempuan tu aku tak akan teragak-agak rodok jantung kau sampai hancur!" bentak si lelaki berhoodie hitam lantas menolak kasar tubuh orang kanannya ke belakang dinding. Wajah orang kanannya yang sudah melorot sambil terbatuk-batuk mencari nafas setelah dicekik ditatap dengan penuh rasa amarah. Glock yang berada di tangan kanan digenggam erat dengan nafas yang turun naik melepaskan amarah setelah melihat wajah Afrina yang sudah memar akibat ulah orang kanannya itu.

Si penculik bertatu ular itu pun berasa pelik mengapa ketua mereka beria-ia mahu melindungi Afrina namun dalam masa yang sama ingin menculik si gadis hanya untuk dijadikan umpan untuk melemahkan seorang Hud Aidan sahaja. Seolah-olah Afrina itu seseorang yang istimewa buat ketua mereka apabila ketua mereka menegah mereka untuk mencederakan Afrina walaupun Afrina sering berkata lancang sehingga mencabar diri mereka.

"Dahlah! Kau pergi buat apa yang bos suruh tadi," kata si penculik berambut panjang lantas menghampiri Hud yang duduk bertentangan dengan sebuah jendela berjeriji. Tanpa berlengah, si lelaki berambut panjang lantas mengacukan sepucuk revolver ke tepi dahi Hud sebagai ugutan. Saat mereka saling berpandangan, saat itu juga tergaris senyuman sinis di bibir Hud Aidan. Mereka benar-benar mahu melemahkannya dengan mengugut titik kelemahannya. Senjata api.

"Aku tak nak banyak bunyi. Sekarang ni mana kau simpan dokumen perjanjian harta yang diagihkan kepada kau!" tegas si lelaki berambut panjang seraya menekan pucuk revolver yang diacukan kepada Hud.

Tak semena-mena, senyuman sinis Hud terasa pahit. Wajah si lelaki berambut panjang dan si lelaki bertatu ular dipandang silih berganti. Harta? Kenapa agihan harta pusaka tiba-tiba dipersoalkan kepadanya? Adakah pelakunya... tidak mungkin! Sejahil mana sekali pun Zanif mahupun Mirza mereka tidak akan mencelakainya seperti ini. Tapi, dia sendiri tahu bagaimana bencinya Zanif dan Mirza ke atasnya. Apatah lagi Amelia yang merasakan dia sudah merampas Restoran Aglio yang sudah diberikan kepadanya!

"Hoi! Kau dengar ke tak apa yang kita orang tanya ni?"

Senyap. Hud benar-benar kaku dengan kejutan yang terpampang di hadapan mata. Akalnya masih ligat memikirkan soalan yang diajukan sebentar tadi. Kerana harta hidupnya diancam bahaya? Sukar untuk Hud menghadam kebenaran yang terpampang di hadapan matanya. Bagaikan mimpi di malam hari. Lima bulan dia melawan dengan trauma, lima bulan dia terpaksa berhadapan dengan penyerang yang mahu membunuhnya. Tapi kenapa kerana harta nyawanya sanggup digadai?

Buk!

Tak semena-mena, Hud mengerang kesakitan tatkala sebatang kayu dihayunkan ke abdomennya. Dia lantas tertunduk menahan sengal yang seakan-akan mematahkan tulang rusuknya yang masih dalam proses penyembuhan itu. Belum pun sempat dia menarik nafas, rambutnya dijambak lagi oleh si lelaki berambut panjang dari belakang.

"Jawablah! Mana kau simpan dokumen tu atau kau nak aku tembak perempuan tu baru kau nak jawab?" bentak si lelaki berambut panjang seraya mengalihkan Revolver ke tubuh belakang Afrina. Anak matanya semakin tajam menikam anak mata Hud Aidan yang mula disimbah dengan kemarahan.

"Kau nak bunuh aku kan sebenarnya? Bunuhlah! Kalau kau bunuh aku sudah tentunya kau akan dapat jawapan di mana aku simpan dokumen yang ketua kau mahukan itu!" bentak Hud seraya ketawa sinis. Menyindir si pengecut yang mahu menghancurkan hidupnya dengan menjadikan hidupnya sebagai pertaruhan.

"Kau jangan cabar aku..."

"Aku cakap benda yang betul. Tapi kau lepaskan perempuan tu dulu sebelum kau bunuh aku! Perempuan tu tak bersalah. Kau cuma nak lemahkan aku sebab tu kau culik perempuan tu, kan? Malangnya kau silap percaturan sebab aku dah lama bersedia dengan rancangan ketua tak guna kau itu!" tegas Hud dengan sisa tawanya. Mengapi-apikan dua penculik yang masing-masing mulai rasa tercabar dengan psikologi yang digunakan oleh seorang Hud Aidan.

Mendengarkan itu, Afrina semakin diserang ketakutan dengan tekad Hud. Bahkan, bunyi pukulan yang dihayunkan ke tubuh Hud dengan benda yang keras membuatkan Afrina semakin menggigil ketakutan. Dia tidak mahu ada kematian saat ini. Bagaimana dia mahu menjelaskan kepada keluarga Hud andai mereka nekad untuk membunuh pemuda itu? Saat itu juga, bentakan demi bentakan yang memaksa Hud untuk memberikan dokumen tersebut membuatkan Afrina semakin tertekan.

"Berhentilah! Jangan pukul dia lagi. Kau orang dah gila ke hah!" jerit Afrina sekuat hati bersama dengan setitis demi setitis air mata yang mula mengalir ke pipinya yang memar. Gadis itu semakin sesak. Kepalanya seakan-akan berselirat dengan ketakutan yang maha hebat. Dia risau. Dia takut. Bukan ini yang dimahukan walau sehebat mana sekalipun dia membenci Hud. Memikirkan pemuda itu masih mempunyai seorang ibu yang sakit, seorang adik yang sering menjadi mangsa penderaan domestik dan seorang anak buah yang menyayangi pemuda itu setulus hati membuatkan Afrina tidak tega membiarkan penculik itu terus mencelakai Hud.

"Nasib baik perempuan ni ada. Kalau ikutkan hati aku yang dah terbakar ni dah lama aku lunyaikan badan kau! Ni baru permulaan, kau jangan haraplah yang kau dengan perempuan ni akan keluar dengan selamat selagi kau tak bagi tahu mana kau simpan dokumen pengagihan harta pusaka ke atas kau!" kata si lelaki bertatu ular seraya membaling kayu yang dijadikan senjata untuk melumpuhkan seorang Hud Aidan ke tepi dinding. Tubuh Hud yang semakin longlai disandarkan di belakang kerusi.

Sepeninggalan dua orang penculik tersebut, Afrina lantas teresak-esak melepaskan ketakutan yang mencengkam sanubarinya. Mentalnya semakin lemah untuk menghadapi dugaan yang maha hebat ini. Emosinya semakin bercelaru sehingga tiada lagi erti ketenangan dalam diri seorang Naurah Afrina. Sifat tegasnya serta merta luntur malam itu juga. Maka, hanya menangis sahajalah yang Afrina mampu di kala ketakutan sudah membaluti tubuhnya. Berkali-kali dia cuba meleraikan ikatan pada tangannya namun masih gagal!

"Hud, tolonglah jangan buat kerja gila macam tu! Aku tak nak dia orang bunuh kau! Kau bagi sajalah apa yang dia orang mahukan. Kau tak sayangkan keluarga kau ke? Kau nak dia orang bunuh kau hanya sebab kau tak bagi apa yang dia orang nak? Tolonglah Hud jangan bagi aku takut macam ni! Macam mana kalau kau mati? Kau dah janji kau nak keluarkan aku dari sini. Kau dah janji yang kita akan keluar dari sini dengan selamat!" tegas Afrina. Berkali-kali dia memalingkan kepala ke belakang melihat keadaan Hud yang baru sahaja dikerjakan oleh penculik yang kejam itu.

Kata-kata yang terzahir daripada Afrina sayup-sayup kedengaran di pelupuk telinga Hud. Pemuda itu hanya mampu mendengar dan menyimpan kata-kata Afrina di sudut hatinya yang paling dalam. Seakan-akan Afrina sedang memberikan semangat kepadanya untuk terus bertahan. Inilah pertama kali Afrina memberikan kata-kata yang positif kepadanya. Sungguh, pukulan yang dihambat pada abdomennya bertubi-tubi sebentar tadi kembali meragut seluruh kekuatannya. Hud hanya mampu tertunduk dan memejamkan mata. Mengharapkan kesakitan itu bisa hilang apabila dia berehat buat seketika. Namun begitu, akalnya masih ligat memikirkan motif dia dan Afrina diculik saat ini. Sakitnya bukan hanya pada fizikal. Malahan, mentalnya juga turut merasakan kesakitan yang luar biasa. Hanya kerana harta, nyawanya dan Afrina akan tergadai!


Nota penulis: Thanks sudi baca ^_^ untuk pengetahuan pembaca, karya ini juga boleh dibaca di dalam wattpad https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Previous: BAB 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa