Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
130,392
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 12

HUJAN semakin lebat malam itu dan tiada tanda-tanda hujan akan berhenti. Kedinginan malam itu semakin mencengkam hingga ke tulang hitam. Namun, bukan kedinginan yang dirasakan oleh seorang Hud Aidan melainkan debaran yang mula mengetuk dinding hatinya tatkala dia menyedari bahawa sebuah van putih seakan-akan ingin merempuh keretanya dari belakang.

Manakan tidak, sedari tadi jarak di antara keretanya dan van putih itu semakin dekat! Usikan buat seorang Naurah Afrina tidak lagi terlintas di benak fikiran pemuda itu melainkan strategi yang mula disusun rapi untuk melarikan diri. Dia tidak mahu Afrina terlibat dalam masalah berkaitan nyawa ini dan ini sahajalah jalan terbaik yang sudah diputuskan oleh Hud. Melarikan diri.

"Aku minta maaf Afrina, malam ni aku terpaksa libatkan kau dalam keadaan yang membahayakan," tegas Hud seraya memijak pedal minyak dengan kuat. Lantas, deruman kenderaan kedengaran semakin bingit di corong telinga. Tak semena-mena, kelajuan yang dikendalikan oleh Hud juga membuatkan Afrina mula berasa gerun. Lebih-lebih lagi tatkala wajah tenang Hud berubah drastik menjadi tegang. Tiada lagi senyuman yang sering menghiasi wajah lelaki berkulit sawo matang itu.

Sesekali, Afrina mengenggam tali pinggang keledar sambil memeluk erat beg yang berada di atas pangkuannya. Dia takut! Bagaimana jika mereka mengalami kemalangan? Sungguh Afrina tidak redha jika sesuatu yang buruk berlaku kepadanya. Detak jantung Afrina mula bermain irama tatkala kelajuan semakin berganda. Malahan, Hud juga seakan-akan orang yang hilang kewarasan apabila pemuda itu memotong kereta yang berada di hadapan walaupun terdapat sebuah kereta di lorong kanan yang begitu hampir dengan kenderaan Hud.

Mujur sahaja ketika itu, jalan raya semakin lenggang. Keadaan itu memberikan peluang kepada Hud untuk terus mengendalikan kenderaan dengan kelajuan yang melebihi had. Dia tiada pilihan lain selain melanggar undang-undang jalan raya! Saat itu juga Hud masih mencuba untuk mengawal dirinya dari terus berasa cemas. Sesekali, dia memandang van putih yang mengekori mereka dari belakang. Matanya dikecilkan cuba untuk menumpukan perhatian pada nombor plat kenderaan. Kelihatan, van putih tersebut turut bertindak gila dengan mengejar mereka. Bunyi hon berkali-kali kedengaran di jalan raya apabila van putih itu cuba menyusup dan merempuh kenderaan yang berada di hadapan.

"Encik Hud! Kat depan tu!"

Tak semena-mena, Afrina menjerit apabila Hud hampir merempuh seorang wanita tua bersama seorang remaja lelaki yang sedang menunggang motosikal. Mujur sahaja tiada kenderaan yang berada di lorong tersebut dan Hud sempat mengelak. Namun begitu, bunyi rempuhan di atas jalan membuatkan adrenalin Afrina semakin mencanak naik. Gadis itu kembali memandnag cermin sisi melihat keadaan penunggang motosikal. Pemandangan di hadapan seorang Afrina membuatkan gadis itu semakin berasa cemas.

"Berhenti," arah Afrina.

Namun, Hud masih meneruskan pemanduan tanpa mengendahkan arahan dan keadaan penunggang motosikal yang sudah mengalami kemalangan setelah terjatuh dari motosikal. Apa yang penting, keselamatan seorang Naurah Afrina. Itu sahaja yang berada dalam benak fikiran Hud.

"Encik Hud, saya cakap berhentikan kereta..."

"Dia orang tak mati lagi kan? Kau, tak payah pedulikan orang lain kalau nyawa kau sedang dalam keadaan bahaya cik misi," pintas Hud. Dia mengalihkan pandangannya ke cermin pandang belakang. Rasa bersalah mula menyelinap masuk ke dinding hatinya apabila melihat remaja lelaki yang sedang kebasahan dengan hujan cuba mengangkat neneknya yang terbaring di atas jalan.

"Gila! Saya lagi rela mati daripada biarkan dia orang sakit macam tu. Kalau Encik Hud tak nak berhentikan kereta ni, saya boleh turun sekarang juga!" bentak Afrina sekuat hati. Dia benar-benar diserang amarah dengan sikap Hud yang baginya begitu kejam. Lantas, kunci kereta dibuka sebelum tangan Afrina sudah mengenggam pintu kereta. Matanya dipejam rapat bersedia untuk bertindak bodoh.

Namun, perlakuannya terbejat tatkala tubuhnya tersentak ke hadapan akibat brek mengejut yang dipijak oleh Hud. Perlahan-lahan, Afrina mencelikkan matanya sebelum memandang wajah Hud yang sudah tersenyum sinis ke arahnya. "What are you waiting for cik misi? Nak jadi heroin untuk orang lain, kan? Go!" tegas Hud. Nada suaranya yang penuh dengan autoriti itu benar-benar membuatkan Afrina terkelu. Inilah kali pertama dia melihat Hud bertegas dengannya. Jelas, terpancar kemarahan di sebalik wajah tegang pemuda itu.

Tanpa berlengah, Afrina lantas mencapai payung yang berada dalam begnya seraya meluru ke arah remaja lelaki yang sudah terduduk di bahu jalan bersama seorang wanita tua. Jelas, wajah wanita tua itu semakin pucat tatkala darah mengalir di dahinya. Afrina benar-benar rasa mimpi saat ini. Harinya benar-benar malang! Sekarang, dia rasa bersalah pula kerana dia dan Hud dua beranak nyaris kehilangan nyawa.

"Kak, tolong kami kak. Nenek saya sakit dan saya tak tahu telefon saya dah tercampak entah ke mana," rayu remaja lelaki yang sedang menggigil sambil mendongak memandang wajah Afrina. Air matanya sudah mengalir ke pipi dek kerana takut. Masakan tidak, tiba-tiba sahaja mereka hampir dirempuh dan pengakhirannya dia dan neneknya terjatuh dari motor.

"Adik boleh bangun?" soal Afrina seraya duduk mencangkung. Dua beranak itu segera dilindungi dengan payung yang berada di tangan. Sesekali, pandangannya dihalakan ke belakang. Kelihatan van putih sudah menghampiri mereka. Di hadapan pula Hud masih berada di dalam kereta dan seakan-akan menunggunya. Afrina faham bahawa Hud benar-benar marah sehingga nekad tidak mahu membantunya. Tapi Afrina tidak kesah. Jiwanya sebagai seorang perawat sememangnya tidak tega melihat orang dibiarkan kesakitan.

"Saya cuba tahan kak. Tapi nenek saya ni kaki dia terseliuh," jawab remaja lelaki itu sambil memandang wajah neneknya yang sedang memicit pergelangan kaki. Tambah cemas dibuatnya apabila neneknya sesekali mengenggam hujung bajunya sambil meronta kesakitan.

"Kita sama-sama papah nenek adik masuk kereta. Boleh?" soal Afrina. Budak lelaki itu hanya mengangguk. Dia tiada pilihan lain selain menahan kesakitan demi menyelamatkan neneknya yang cedera. Maka, perlahan-lahan remaja lelaki itu bangun seraya meletakkan tubuh neneknya di belakang tubuhnya. Mendukung neneknya yang terseliuh itu lebih cepat berbanding memapah neneknya yang semakin meronta kesakitan.

Afrina mencapai barang berharga dua beranak itu sepantas yang mungkin. Namun, tiba-tiba sahaja matanya jadi silau tatkala lampu hadapan sebuah kenderaan memancar ke arahnya. Dahinya berkerut memandang kenderaan di hadapan mata. Alangkah terkejutnya Afrina apabila van putih yang mengejar mereka sudah berada di hadapan mata. Sekali lagi, jantung Afrina mula berdetak kencang. Langkah segera diatur meluru ke arah dua beranak yang semakin mendekati kereta Hud.

Di dalam kereta, Hud yang melihat nyawa Afrina mula masuk ke dalam perangkap 'musuh misteri' mula mengeluh berat. Kepalanya digelengkan dengan kedegilan Afrina. Sia-sia sahaja dia mengatur strategi untuk melarikan diri jika pengakhirannya dia terpaksa mengotorkan tangannya lagi. Namun dalam diam sifat degil Afrina itu sedikit sebanyak membuatkan dia tertarik. Dalam keadaan nyawa diancam bahaya gadis itu masih sanggup membuat keputusan untuk membantu orang yang dalam kesusahan. Malahan, Hud yang rasa bersalah di atas kesalahannya mengakibatkan dua beranak itu nyaris kemalangan juga hilang sekelip mata. Sekurang-kurangnya, dia dapat menghantar mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Lantas, Hud nekad untuk mengalihkan perhatian penyerang yang dihantar untuk mencelakainya. Dia melangkah keluar dari kereta. Ini kesalahannya maka dia jugalah yang seharusnya bertanggungjawab di atas kesalahannya membuatkan Afrina berada dalam keadaan yang membahayakan. Ini sahajalah pilihan yang terlintas di benak fikiran seorang Hud Aidan.

"Encik..."

Afrina kematian kata tatkala panahan mata Hud yang tajam singgah di kornea matanya. Sungguh tika ini, Afrina merasakan bahawa Hud di hadapannya ini bukan lagi Hud Aidan yang suka mengusiknya melainkan seorang pemuda yang berwajah bengis dan bersedia untuk menerkam musuh.

"Aku tak gila lagi nak tinggalkan kau sedangkan akulah punca kau dalam bahaya. Biar aku alihkan perhatian dia orang dan kau boleh larikan diri dengan kereta tu. Bawa mereka ke hospital secepat yang mungkin," arah Hud seraya meluru ke arah enam orang lelaki yang sudah melangkah keluar dari van putih. Lehernya lantas direnggangkan sebelum mereka mengelilinginya dalam bulatan. Serentak dengan itu, bunyi tempikan mula kedengaran bersama dengan tendangan yang datang dari belakang.

Namun, Hud bijak mengelak terlebih dahulu dengan berundur setapak ke belakang. Dia hanya mengelak apabila tendangan dan tumbukan dihayunkan ke tubuhnya. Sesekali, dia berundur ke belakang dan maju ke hadapan apabila penyerang yang sedang mengelilinginya bertindak menyerangnya bertubi-tubi. Pandangannya lebih tertumpu kepada seseorang yang berbaju serba hitam dan memakai topeng yang hanya menampakkan sepasang matanya. Seakan-akan figura yang berada dalam van putih itu sedang menonton babak aksi yang sedang berlaku di bawah rintikan hujan.

Hud tersenyum sinis tatkala sepasang mata itu menikam anak matanya dengan tajam. Sengaja mengejek figura yang hanya mampu menjadi penonton tanpa berhadapan dengannya sendiri. Dengan kemarahan yang mula membara, pemuda yang sudah kebasahan dengan hujan lebat itu lantas menujahkan tendangannya di hadapan musuh yang meluru ke arahnya dari arah hadapan. Musuh yang datang dari belakang turut menerima tendangan sisi daripada Hud sebelum seorang lagi menerima sepakan Hud yang hinggap ke wajahnya sehingga figura itu tersandar di bonet hadapan van. Kesempatan itu diambil oleh Hud dengan menghentak kepala penyerang di hadapan van putih sehingga van tersebut berbunyi dengan nyaring.

Apabila penyerang datang dari belakang, Hud terlebih dahulu menyiku wajah si penyerang dengan kuat lantas menujahkan tumbukan bertalu-talu ke wajah lelaki berparut di bahagian pipi kirinya itu sebelum lelaki itu tersungkur ke belakang. Seorang lagi mara dari belakang lantas menghentak belakang Hud dengan sebatang kayu besbol. Akibat serangan hendap itu Hud terdorong ke hadapan sebelum jaketnya dicengkam kuat oleh seorang lelaki yang kembali bangun. Lantas, lelaki yang berparut itu pula menujahkan tumbukan bertalu-talu ke wajah Hud sebelum tubuh Hud ditolak ke arah rakannya. Belum sempat Hud menegakkan posisinya, tubuhnya sudah dicengkam dari belakang bagi mengelaknya untuk terus melawan. Di hadapannya seorang penyerang terus meluru dan menujahkan tendangannya ke tubuh Hud. Namun, Hud tangkas mengelak dengan menyiku tubuh penyerangnya dengan kuat dari belakang lantas menyendengkan tubuhnya.

Akibatnya, penyerang itu tersilap sasaran lalu rakannya yang menjadi mangsa tendangan maut itu. Di kesempatan itu, Hud terus memijak belakang penyerang yang sudah mengerang kesakitan seraya menujahkan tendangannya bertubi-tubi ke tubuh penyerang itu. Melepaskan amarah apabila harinya diganggu lagi pada malam itu.

Dalam masa yang sama, si figura yang berada dalam kereta semakin tertarik dengan ketangkasan Hud melawan enam orang penyerang. Langkah pemuda itu masih tidak canggung walaupun ketuanya sudah menghantar penyerang yang datangnya daripada ahli kongsi gelap dan terdiri daripada kalangan pembunuh. Tidak dapat dinafikan bahawa anak muda itu memang handal dalam berlawan sehinggakan mereka tidak dapat menumbangkan seorang Hud Aidan.

"Lima minit. Dia masih tak tumbang bos. Kau nak aku buat apa? Bagi jalan yang mudah untuk matikan dia?" soal si figura serba hitam sambil melekapkan telefon ke telinganya.

Si ketua mendengus dengan berita yang disampaikan oleh orang kanannya. Gelas berisi Vodka yang berada di tangan dilempar ke tingkap hingga berderai pecah. Sesaat, dia ketawa sinis seraya mencapai revolver yang berada di atas meja. Senjata yang menjadi kelemahan seorang Hud Aidan itu diputar-putar sebelum dia terangguk-angguk dengan keputusan yang sudah singgah di benak fikiran.

"Bagi dia permainan yang ada kat poket kau sekarang. Eh, tapi jangan tembak kat tempat yang boleh bunuh dia pula. Aku masih nak bermain dengan si keparat itu!"

Sebaik sahaja arahan dikeluarkan, si figura serba hitam terus mencapai Glock yang terselit di belakang pinggangnya seraya turun dari van tersebut. Matanya fokus memandang ketangkasan Hud yang masih bergelut sebelum picu ditarik. Sasarannya sesekali tergugat apabila Hud semakin tangkas melawan penyerang-penyerang itu. Apabila peluang berada di depan mata maka senyuman sinis terukir di bibirnya.

Bang!

Hampir sahaja Hud rebah apabila tembakan terkena tepat pada bahunya. Dia kalih memandang figura berpakaian serba hitam yang masih menghalakan Glock ke arahnya. Serta merta pergerakannya terbejat. Rasa amarah sebentar tadi serta merta bertukar menjadi rasa gerun dan cemas yang membuatkan jantung Hud semakin berdegup kencang. Memorinya mula mengimbas detik-detik cemas lima tahun yang lalu. Seakan-akan sebuah pita rakaman yang kembali berlayar di ruang fikiran.

Kali ini, tubuhnya yang kejung tak mampu lagi digerakkan apabila kenangan buruk itu kembali bermain. Namun, sebahagian dari hatinya seakan-akan berbisik agar dia terus menguatkan dirinya dan tidak mempedulikan kenangan silam itu. Kerana musuh tahu kelemahan seorang Hud Aidan. Itu adalah sesuatu yang membahayakan!

"Encik Hud!"

Laungan kuat Afrina yang datang dari belakang serta merta menyedarkan Hud dari terus berperang dengan dirinya sendiri. Rasa sakit akibat tembakan mula terasa mencengkam sehingga dahinya berkerut kesakitan. Tangan lantas dilekapkan ke bahu kirinya yang mengalir dengan darah. Malahan, ketika van putih sudah dipandu meninggalkan dia yang terpinga-pinga ketika itu juga dia menyedari bahawa tembakan itu sememangnya sengaja dilepaskan untuk membuatkan dia kaku.

Kini yang berdiri di hadapannya hanyalah seorang gadis yang kelihatan pucat tak berdarah. Malahan, ketika Afrina membalut lukanya dengan sehelai kain ketika itu juga dia seakan-akan orang yang hilang arah. Fikirannya jadi bercelaru dengan perkara yang baru sahaja berlaku ketika ini.

SEBAIK sahaja Hud keluar dari ruang kecemasan, Afrina segera menghampiri pemuda yang baru sahaja mendapatkan rawatan itu. Tergaris senyuman di bibir pemuda itu melihat wajah Afrina yang sentiasa tegang jadi berkerut seribu. Entah mengapa, dia sedikit terkilan dengan keprihatinan Afrina membalut lukanya untuk mengelakkan darah dari mengalir dengan banyak. Lantas, Hud melabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan ruang kecemasan dibuntuti oleh Afrina.

"Macam mana dengan keadaan budak tu dengan nenek dia?" soal Hud. Sesekali, dia melekapkan tangan pada bahunya yang sudah menerima empat jahitan setelah peluru dikeluarkan.

"Nenek budak tu kena tahan dalam wad sebab darah tinggi akibat terkejut. Saya dah explain pada anak dia pasal yang kita tak sengaja terlanggar dia orang. Saya dah sampaikan juga pasal ganti rugi," jawab Afrina.

Buat seketika, Afrina dan Hud saling berpandangan. Masing-masing dengan wajah yang keletihan dengan marabahaya yang baru sahaja berlaku. "Salah aku. Kau tak ada apa-apa kesalahan pun. Kau? Kau okay? A... aku minta maaf..."

"Apa yang dah jadi sebenarnya ni? Kenapa dia orang kejar kita? Saya tak faham apa sebenarnya yang dah berlaku. Serius saya cakap yang saya tak okay. Lagi-lagi bila dia orang dah tembak bahu Encik Hud! Saya..."

Tak semena-mena, Afrina kematian kata tatkala hidungnya terasa gatal sebelum gadis itu terbersin akibat kedinginan malam. Sesekali, dahinya berkerut tatkala tekaknya terasa gatal. Lantas, dia berdeham bagi membetulkan tekaknya yang terasa perit.

"Saya tak nak..."

Sekali lagi Afrina kematian kata tatkala gadis itu terbersin. Dia segera menggagau tisu yang berada dalam beg. Tubuhnya mula terasa tidak enak dan saat ini Afrina hanya mahu melelapkan mata dan berehat. Kejutan demi kejutan membuatkan imunisasi tubuhnya mula dijangkiti virus.

"Aku minta maaf Afrina. Aku pun tak sangka benda ni akan jadi. Tapi kau memang betul-betul nampak tak okay. Aku temankan kau buat pemeriksaan..."

"Ya ALLAH, Afrina!"

Suara seorang wanita mematikan kata-kata Hud. Kelihatan tiga figura menghampiri Afrina yang sedang menutup hidungnya dengan sehelai tisu. Melihat wajah seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan pertengahan 50 an membuatkan Hud semakin serba salah. Sekuntum senyuman yang terasa pahit terbit di bibirnya yang lebam setelah bergelut sebentar tadi.

"Jadi kamulah majikan Afrina?" soal Encik Talib dengan nada yang tegas. Wajah anak muda di hadapannya itu dipandang dengan tatapan yang penuh dengan rasa amarah. Masakan tidak! Sudah pukul 12 pagi anaknya masih belum pulang ke rumah. Sebagai seorang ketua keluarga sudah semestinya Encik Talib berasa risau.

"Mama saya pesakit Afrina, pak cik. Saya minta maaf sebab..."

"Siapa pak cik kau? Aku was was dengan kau ni! Sebab kau... anak aku basah kuyup macam ni. Kau jaga ke tak kebajikan pekerja kau?" bentak Encik Talib.

"Abah, bukan salah Encik Hud. Semua ni sebab kecuaian Afrina sendiri sebab Afrina lupa nak baiki kereta dan lupa nak bawa power bank..."

"Betul tu abah! Tak payahlah abah salahkan abang ni. Kesian pula Isha tengok abang ni macam pucat semacam je," pintas Arisha seraya tersenyum ke arah Hud yang sudah memandangnya. Tatkala panahan mata Hud singgah di kornea matanya, tatkala itu juga senyuman Arisha melebar. Tak semena-mena, jantungnya berdegup kencang melihat wajah manis pemuda itu. Rasa dirinya seolah-olah sudah jatuh cinta pada pandangan pertama.

"Dah! Bawa Afrina masuk kereta. Tak pasal-pasal sakit Afrina tu. Kamu! Sekali lagi saya dapati kamu tak jaga kebajikan anak saya, saya tak akan teragak-agak gantikan jururawat yang baru untuk mama kamu tu. Assalamualaikum!" tegas Encik Talib seraya memimpin tangan Afrina yang asyik terbersin.

"Kejap abah! Ermm... hai! Assalamualaikum pembuka bicara, abang berbaju hitam ni nama siapa? Ada instagram tak? Err, twitter..."

"Naurah Arisha!" Tak semena-mena, suara petir Puan Sofea kedengaran tatkala anak bongsunya itu mula menggelitis di hadapan Hud Aidan. Sempat lagi, telinga gadis itu dipiat dengan kenakalannya mengusik majikan kepada kakaknya itu. Bebelan Puan Sofea membuatkan Arisha jadi kelu serta merta. Malu pula dibebel di hadapan 'crush' barunya itu.

Melihatkan kebahagiaan keluarga Afrina membuatkan Hud tersenyum sendiri. Dia sedikit cemburu. Gadis itu sempurna di matanya Hud Aidan. Ibu dan ayah yang protektif. Seorang adik yang ceria. Namun, entah mengapa ada sesuatu dalam diri Afrina yang membuatkan Hud panasaran. Kenapa Afrina tak seceria Arisha? Kenapa gadis itu sukar untuk menguntumkan sebuah senyuman?

MALAM ITU, sebaik sahaja Hud masuk ke dalam kamarnya usai pulang dari hospital, dia menerima sebuah bungkusan yang diletak di atas meja kerja. Segera dia membuka bungkusan itu. Hampir sahaja dia terduduk sebaik sahaja bau bangkai menusuk rongga hidungnya. Di dalam kotak itu terletak sepucuk pistol dan seekor bangkai kucing kecil yang berlemuruan dengan darah. Jantungnya mula berdegup kencang dengan kiriman kejam itu. Nota yang terselit di atas kotak dibaca.

Apa yang akan berlaku kalau perempuan tu terima nasib malang macam anak kucing dalam kotak hitam ni? Sebab dia ada dengan kau dalam waktu yang salah hari ni dia dah tersenarai dalam permainan kita. Kalau sesuatu yang buruk berlaku, kau fahamlah bahawa kau pembawa malang dalam hidup perempuan tu. Aku bukan apa, aku cuma nak menambahkan keseronokan dalam permainan kita ni. Jadi, kau tunggulah nasib perempuan tu macam mana. Sebelum tu aku akan senaraikan dulu siapa yang paling kau sayang. Aku akan bunuh jiwa kau perlahan-lahan sampai kau lelah untuk hidup lagi.

Hud terduduk setelah menerima nota berbaur ugutan itu. Afrina. Tak, dia tidak mahu Afrina masuk ke dalam ancaman ini. Gadis sebaik itu tidak seharusnya dianiaya. Sungguh, Hud jadi sesak tiba-tiba. Kotak memorinya kembali mengimbas semula detik kenangan hitam itu. Bunyi tembakan seakan-akan memenuhi kotak fikirannya. Semakin ligat ruang fikirannya memikirkan kejadian itu, dia semakin loya. Lantas, Hud meluru ke dalam tandas bagi memuntahkan isi perutnya. Nafasnya sudah turun naik apabila jantungnya turut berdegup kencang. Dia berkumur-kumur apabila dia kembali lega. Perlahan-lahan, pemuda itu memandang wajahnya di hadapan cermin. Tangannya menyentuh kesan lebam di birai bibir dan pipi kanannya. Apa sebenarnya yang dimahukan musuhnya ini? Kenapa mereka mahu dia menderita separuh mati? Sungguh, Hud benar-benar buntu!

Bersambung...

Terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan kalian. Kalau nak tengok trailer karya ni boleh tengok dalam wattpad saya ^_^ https://www.wattpad.com/story/232820056-kerana-aku-bukan-dia

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa