Home Novelet Thriller/Aksi Exotika : Haru Biru
Exotika : Haru Biru
Syafiqah Kadir
2/4/2021 18:42:17
31,471
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 4

"Betul kamu nak ikut ni?" Puan Zu bertanya untuk kesekian kalinya kepada Andi. Jelas sungguh resah di wajahnya itu. Andi mengangguk yakin. Salleh di sebelahnya hanya memandang mereka berdua tanpa berkata apa-apa. 


Asalnya mereka ke pejabat Puan Zu, penasihat akademik mereka merangkap pensyarah subjek Pengukuran, di Studio Alam Bina untuk hantar tugasan yang diberikan Isnin lepas. Namun mereka ditahan daripada beredar apabila Puan Zu dapat tahu Andi mahu ikut serta ke lawatan tapak pada keesokan hari.


"Kalau ada apa-apa jadi, bagaimana?" Pensyarah berusia separuh abad itu bertanya dengan nada risau. 


"Tak apa, puan. Saya boleh kawal diri," kata Andi, masih yakin. Puan Zu memandangnya lama, masih ragu-ragu.


"Kamu pernah kata begitu sebelum pergi ke Kem ProPel tahun lepas. Ingat apa jadi lepas tu?"


Andi sengih sambil garu kepala. Memorinya kosong pada malam hari kedua kem. Tahu-tahu sahaja dia terlantar di hospital. Salleh sendiri yang beritahu yang dia tiba-tiba bangun dari tidur sekitar jam 2 pagi, pakai hoodie sweater biru tua milik Salleh yang dijadikan selimut, kemudian tinggalkan pintu khemah terbuka, pergi ke empangan air berhampiran tapak kem dan terus terjun ke dalam kolam tadahan. Mujurlah En. Azri ternampak dia keluar dari tapak kem dan sempat selamatkan dia dari lemas.


"Kali ini saya yakin, puan. Lagipun, Salleh ada. Dia boleh jadi 'assistant' saya," kata Andi. Mata Salleh mencerlung ke wajah Andi, tidak puas hati. Amboi, banyak cantik muka kau!


Puan Zu mengangguk perlahan sambil hela nafas. "Baiklah kalau kamu yakin. Saya takkan halang kamu. Kamu dah cukup matang untuk tentukan keputusan sendiri."


"Terima kasih, puan," kata Andi, senyum manis. Salleh hanya membisu.


(...)


Andi pandang Salleh yang masih merenungnya tajam di celahan rak buku fiksyen di perpustakaan. Senaskah novel 'Vampire Rites', salah satu siri trilogi novel Inggeris karya Darren Shan ditarik keluar dari rak di hadapannya.


"Kenapa pandang saya macam tu?" Andi bertanya.


"Kenapa aku pula kena jadi 'assistant' kau ni untuk site visit esok?" Salleh bertanya, geram.


"Sebab... Dalam ramai-ramai orang kat kolej ni, awak saja yang betul-betul kenal 'mereka semua'," kata Andi sambil tersengih. "Awak mesti dah tahu apa nak buat kalau 'mereka' ambil alih, kan?"


Salleh terdiam. Betul juga kata Andi itu. Setakat ini dia sahaja yang sudah cukup faham perangai ketiga-tiga 'alter' - identiti lain dalam badan Andi ni, di kolej ini. Ya. Tiga orang semuanya, buat masa ini. Tidak pastilah kalau ada lagi yang lain tapi mereka tak disedari, kan. Dr. Fitri sendiri pun jumpa tiga 'alter' saja.


"Sekarang ni, aku rasa nak lepuk saja muka kau ni tanpa belas ihsan. Hisy, sabar jelah," bebel Salleh perlahan, masih tidak puas hati. Andi tersengih. 


"Hana dengan Zel pun tahu juga pasal 'masalah' kau ni, bukan aku je," kata Salleh lagi, merujuk kepada dua orang rakan perempuan sekelas mereka.


"Tapi, mereka tahu saja, kan? Jumpa tu, belum lagi."


"Diorang dah jumpa sebenarnya. Tiga-tiga sekali," kata Salleh bersahaja. "Zel siap bertumbuk dengan Malik si kaki gaduh tu lagi."


Riak wajah Andi terus berubah terkejut. "Serius?"


Salleh angguk sambil hela nafas. "Kau memang tak perasan, kan?"


Andi hanya membisu. Salleh sambung melihat-lihat deretan novel yang tersusun di rak fiksyen Melayu di hadapannya. Sebuah novel bertajuk 'Next Stage' karya Syam Syahrul Azmi yang separuh lunyai walaupun dibalut kemas dibelek-belek.


"Perpustakaan ni pun satu hal, bila entah nak update database. Dekat database, available dua naskah. Bila dicari, tak ada," bebel Salleh perlahan.


"Novel apa?" Andi tiba-tiba bertanya. Salleh pandang Andi sebelum meletakkan novel itu semula di rak.


"Novel 'Last Stage', siri 'Dark Hunter'. Baru saja terbit. Dalam... Tiga bulan lepas, lebih kurang."


"Tu novel Bahasa Melayu ke? Tajuk pakai Bahasa Inggeris."


"Yep. Bahasa Melayu. 'First Stage', 'Next Stage' dan 'Last Stage'. Siri novel thriller yang berjaya tambat hati aku pada fiksyen Melayu, walaupun dia bedal pakai tajuk Inggeris," kata Salleh, bangga.


Andi angkat sebelah kening. "Minat betul awak dengan siri tu," tambahnya lagi lalu mengambil novel itu. Bahagian blurb di belakang kulit novel dibaca sekilas.


"Ya. Siri tu pasal Erzen Laiss, pelajar Kendo, yang cari punca kematian keluarga dia. Ada kaitan dengan satu projek ni, namanya 'Projek Nameless'. Abang dia yang siasat pasal projek tu kena culik dalam 'Next Stage'. 'Last Stage' pula, kira penamat la. Siapa dalang di sebalik 'Projek Nameless' akan didedahkan di situ."


"Tengok latar, macam di Jepun," kata Andi lagi, sambil merenung kulit buku novel itu.


"Memanglah. Erzen ni asal sana. Keluarga dia keturunan samurai. Sebab tu dia guna pedang sebagai senjata. Siap ada kod etika lagi. Ala-ala hakim jalanan la."


"Apa kata awak beli saja novel tu di kedai buku? Sebagai tanda sokongan kepada penulis ni," kata Andi seraya meletakkan semula novel itu di rak. "Dia tulis novel tu bukannya petik jari terus dapat ilham. Mesti ambil masa juga nak buat research."


"Hm. Betul juga ya..." 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.