Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
82,407
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 20

Mereka tiba ke destinasi yang dituju tepat jam lima petang. Sudah lama Zaki tidak memandu kereta Proton Saganya itu kerana sebelum ini dia lebih gemar menunggang motor sahaja. Lagipun dia bukanlah selalu keluar ke tempat yang jauh. Sekadar keluar sekeliling kampung, memadai sahaja menunggang motor. Duit minyak juga jimat.

Maznah terkebil-kebil apabila melihat bangunan di hadapan matanya ini.Sebenarnya sejak tadi Maznah sudah tidur dan dibiarkan sahaja suaminya itu membawanya ke mana sahaja. Malas untuk dia bersoal jawab lagi.

            “Maznah, tunggu kat sini sekejap. Abang nak keluar.”

            Tanpa menunggu jawapan Maznah, Zaki terus sahaja keluar dari perut kereta dan menuju ke arah pondok pengawal keselamatan. Sebelum itu sempat dia mengambil sesuatu di bonet belakang. Maznah hanya memerhatikan gelagat suaminya dengan ekor mata. Memang Maznah tidak menyangka bahawa suaminya itu tidak bergurau dengan kata-katanya sebentar tadi. Maznah cuba bayangkan andai benar suaminya itu menjadi pelakon, pasti semakin sunyi dirinya di rumah nanti kerana sering ditinggalkan. Tiba-tiba Maznah resah sendiri.Ah, tak mungkin.

Maznah mula gelisah kerana suaminya itu masih tidak muncul-muncul walaupun sudah sepuluh minit berlalu. Baru sahaja Maznah berkira-kira untuk keluar, muncul Zaki dengan langkah yang sengaja dilambat-lambatkan sambil tersengih-sengih. Mesti ada berita gembira hendak disampaikan suaminya itu sebentar lagi.

            “Abang jumpa siapa tadi?” Maznah bertanya sebaik sahaja suaminya itu sudah pun masuk ke dalam perut kereta.

            “Laa, awak nak tau jugak ke? Nanti la dulu saya bagitahu.”

            Maznah mula menyirap.Dah la dibiarkan tunggu lama di dalam kereta kemudian bila ditanya mahu disorok lagi jawapannya. Maznah menarik muncung.

            “Yelah, yelah. Tadi abang borak-borak dengan pengawal kat situ. Itu je la..”

            Maznah mengangkat kening. Itu sahaja?

            “Tak percaya? Tak percaya sudah.” Zaki mula menggerakkan gear kereta dan bersedia untuk berlalu dari situ.

            “Kita nak terus balikkan.” Ketika ini Maznah mahu terus balik sahaja ke rumah, lagipun tiada apa-apalagi yang penting di sini sedangkan tempahan menjahit sudah menunggu di rumah.

            “Tak..” jawab Zaki ringkas, lagipun dia fikir masa sudah jauh petang. Lebih baik dia berehat dulu dan memulakan perjalanan semula pada esok hari. “Kita pergi rumah Nazrul dulula.” Zaki memberikan jawapan selepas membuat perkiraan di dalam kepala.


***

Kedatangan Maznah dan Zaki disambut penuh ceria oleh Nazrul. Kebetulan pula rakan serumahnya balik ke kampung dan hanya dia sahaja ada di rumah sewa.Bukan selalu Maznah dan Zaki ke rumah sewa Nazrul. Zaki pula tiba-tiba sahaja membuat keputusan untuk ke sana.

“Along, tak lama lagi ayah akan jadi popular.” Terus sahaja Zaki bersuara sebaik sahaja selesai melaksanakan solat Maghrib. Kini mereka tiga beranak duduk di kerusi makan untuk bersiap sedia makan malam. Nazrul sudah awal-awal membeli lauk di kedai dan kini hanya perlu menyuap ke mulut sahaja.

Maznah menjeling suaminya itu. Wah, dalam kereta tadi senyap sahaja. Kinibila bertemu anak kesayangan baru ingin membuka mulut. Mahu sahaja Maznah pulang ke rumah saat itu juga, biarlah mereka dua beranak berborak sakan sampai esok pagipun.

“Eh, betul ke ayah?” Nazrul juga sedikit terkejut dengan pengumuman terbuka ayahnya itu. Kelihatan jelas riak gembira di wajah ayahnya itu.

“Ayah dah pergi uji bakat tu ke? Ops..” Nazrul memandang ibunya yang sudahpun mendehem di sebelah ayahnya.

“ Ayah dah bagi suara ayah kat orang tv tu. Nanti mereka telefon ayah.” Zaki tersengih-sengih tetapi kali ini Nazrul diam. Maznah juga terus memandang suaminyayang masih lagi dalam mood ceria.

“Apa abang cakap ni? Tadi abang cakap yang abang jumpa dengan pengawal kat situ. Ni bagitahu bagi suara pulak? Tak faham la saya.” Maznah mengerut dahi  sambil tangannya sudah pun menceduk lauk ke dalam pinggan.

“Ye la, tadi saya bagitahu pengawal tu yang saya nak ke bangunan atas tu tapi dia tak benarkan. Dia minta saya tinggalkan pesanan, kemudian saya bagi la pada dia cd suara saya tu. Tu je la.”

 “Eh, bila pula abang pergi rekod suara?Saya tak tahu pun.”

“Tu la awak tak tahu. Awak kerjanya asyik membebel je. Minat saya ni awak tak ambil tahu pun. Along, kenapa diam je ni?” Zaki mengalih pandang kepada Nazrul yang menyuap perlahan-lahan nasi ke dalam mulut.

“Ayah, Along risau satu je..”

“Apa dia?” Zaki mula berdebar. Apa yang ingin Nazrul katakan ini?

Previous: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.