Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
80,933
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 2

Sofea masih lagi berada di sebelah ibunya sambil menghabiskan Nona Manis yang sudah masuk ke tiga biji ke mulutnya. Kini pandangan Maznah beralih kepada Sofea pula sebaik sahaja bunyi enjin motor sudah tidak kedengaran lagi.

            “Tak habis-habis lagi makan. Nak naik berapa kilo lagi ni?” sengaja Maznah berkata begitu apabila melihat Sofea masih lagi berselera walaupun baru sahaja diberikan kritikan ke atas kuih buatannya itu. Sofea nampaknya seperti tidak mengambil hati dengan kata-kata ayahnya itu. Bagi Maznah pula kuih buatan anaknya itu tidaklah seterukyang dikatakan. Masih lagi boleh diterima oleh tekak dan masih juga laku untuk dijual cuma Maznah tidak mahu terus memberikan pujian melangit kepada Sofea supaya anaknyaitu dapat memperbaiki dari semasa ke semasa.

            “Mak ni..kalau Pea tak habiskan, siapa pula nak makan. Rugi je buat.” Sofea sudah pun menghentikan suapan dan mula menyusun semula pinggan dan cawan ke dalam dulang.

            Sofea lantas  menghilang diri masuk ke dapur setelah selesai mengemas meja. Memang kebiasaannya mereka sekeluarga akan minum-minumdi meja yang diletakkan di ruang beranda luar rumah. Selesai makan, tugas membasuh pinggan akan disandang oleh Sofea dan Sofea sedikit pun tidak kisah dengan tugasan tersebut kerana sememangnya dia suka bekerja di ruangan dapur.

            Bagi Maznah pula sejak tadi seleranya sudah terbantut untuk diteruskan.  Biarlah kopinya tidak terusik. Bukannya sekali dua tetapi sebelum ini  sudah beberapa kali suaminya itu tidak menjamah kopi buatannya dengan alasan yang pelbagai.Ada sahaja alasan yang diberikan termasuklah untuk menjaga suara. Kononnya jika minum kopinya, dia tidak dapat melantunkan suara dengan baik. Kurang konsentrasi untuk menyanyi apabila mulut berbau kopi dan macam-macam alasan lagi berkaitan suara yang tidak munasabah.

                                               *****

            “Along tak balik lagi ke mak?” tanya Sofea apabila melihat jam sudah pun menginjak ke angka enam setengah petang.

            Maznah membetulkan cermin matanya untuk memandang Sofea yang sudah pun duduk disebelahnya. Sengaja Maznah duduk santai di kerusi beranda membelek surat khabar sambil menunggu kepulangan Zaki dan juga Nazrul iaitu satu-satunya anak terunanya yang persis sikap seperti ayahnya itu.

            “Belum lagi. Sama la dengan ayah kau tu.Entah ke mana pergi pun tak tahu.” Balas Maznah menyambung semula membaca surat khabar yang sudah pun beberapa kali di ulang baca.  Sebenarnya dia juga sudah hilang mood untuk terus membaca akhbar tersebut lebih-lebih lagi apabila suami dan anaknya masih juga belum pulang.

            Sofea tidak pula melihat bayang Nazrul hari ini memandangkan pagi-pagi lagi abangnya itu sudah keluar. Memang begitulah kelazimannya sikap Nazrul apabila sesekali pulang ke kampung. Bukannya mahu tinggal di dalam rumah sebaliknya keluar untuk berjumpa kawan-kawan sekampung. Nazrul pula apabila pulang ke kampung selalu sahaja membawa gitarnya bersama. Sayang betul Nazrul kepada gitarnya itu kerana gitar itu sudah pun ada ketika Nazrul masih lagi bersekolah. Gitar tersebut merupakan hadiah pemberian ayahnya apabila Zaki mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

            Sofea masih ingat ketika Nazrul baru sahaja mendapat gitar itu, memang Nazrul tidak membenarkan dia menyentuh gitarnya atas alasan rosak. Sofea tidak dapat menerima alasan itu malah dia semakin berkobar-kobar untuk memetik tali gitar itu ketika Nazrul tiada di rumah. Nazrul pula seolah-olah mendapat tahu niat adiknya itu dan berusaha untuk menyembunyikan gitar kesayangannya itu supaya tidak diketahui kedudukannya oleh Sofea.

            “Assalamualaikum.”

            Kedengaran suara seseorang memberi salam disertai dengan bunyi enjin motor dimatikan. Maznah dan Sofea berpandangan serentak ke arah suara tersebut lalu menjawab salam.

            “Haa, baru balik Along?Ke mana la kau ni Along?” Maznah mula mengalih pandangan ke arah Nazrul yang dipanggil sebagai Along.

            Nazrul sekadar tersengih-sengih. Jika diberitahu kepada ibunya tentang hal sebenar, pasti ibunya itu akan terus-terusan  bertanya.

            “Eh, ni surat khabar hari ni kan mak.” Nazrul melirik-lirik ke arah surat khabar yang masih dipegang oleh ibunya. Maznah sekadar mengangguk. Nazrul senyum lebar. Ini sudah baik!

            “Ha, kau ni pula dari mana sebenarnya ni?” Maznah mengulang semula pertanyaannya yang tergantung tadi.

            “Jumpa kawan , mak..Eh,ayah mana mak?” tanya Nazrul yang menyedari motor ayahnya tiada di tempat biasa. Nazrul melingas ke sana ke sini. Kebiasaannya ayahnya akan berada dirumah sahaja pada waktu seperti ini. Nazrul sebenarnya berkobar-kobar untuk memberitahu satu berita baik kepada ayahnya. Memang sejak perjalanan pulang lagi Nazrul sudah berkira-kira untuk memberikan kejutan kepada ayahnya tetapi nampaknya ayahnya masih belum pulang jadi kejutan itu terpaksa disimpan dahulu.

            Maznah menjengket kening memandang Nazrul. Nazrul pula seolah-olah memahami pandangan ibunya yang pasti sedang tertanya-tanya motif Nazrul bertanyakan keberadaan ayahnya ketika ini.

            “Adik abang hari ni ada buat kuih apa-apa tak?” lantas Nazrul bertanyakan soalan yang tidak disangka-sangka kepada Sofea yang agak terpinga-pinga dengan soalan Nazrul yangtiba-tiba itu.

            “Er..er..”

            “Kalau ada cepat lah bagi Along rasa.” Nazrul sengaja menyiku lengan Sofea yang hanya duduk disebelahnya itu.

            Sofea lantas bangun dari kerusi diiringi dengan Nazrul yang turut sama bergegas masuk ke dalam rumah.

            “Mak, Along nak mandi dulu!” jerit Nazrul yang sudah pun menghilang dari pandangan mata Maznah.

            Maznah pula mula dihantui pertanyaan tentang motif Nazrul yang kelihatan beria-ia benar mencari ayahnya sebentar tadi.

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.