Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
35,590
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 8

Pokok tua kembali terjaga. Bermulalah kembali neraka kami.

 

“Hah tunggu apa lagi? Takkan nak kena maki baru nak tiup?”

 

Kenapalah ada penyelia buta begini. Aku baru sahaja habis satu tiupan dan sedang berehat, tak nampak ke tadi? Tunggulah dulu sehingga aku selesai berehat.

 

Kinatiao dan Kinabalon cepat-cepat menala mulut ke loceng masing-masing dan mula meniup. Sungai mereka masih mengalir, namun kerana ketakutan, mereka sambung tiup sampai berombak-ombak sungai mereka terlebih tenaga. Aku hanya memekak telinga.

 

“Abuzen? Engkau dengar tak?”

 

Aku masih menuli.

 

“Hei Abuzen, aku bercakap di sini dengar tak? Tolong jangan kurang ajar!”

 

Masih, aku sengaja kakukan sendi. Mulut sedang mengunyah piza. Ya, aku sekarang dinaikkan pangkat menjadi Khadam Kiri. Dua hari sebelum pokok tua itu bangkit, aku dinaikkan pangkat terus oleh Manhaman, kerana mengambilkira aku sudah pun melepasi tahun ketiga di sini dan juga prestasi kerjaku. Aku konsisten dalam sebulan lepas, meniup lebih dari sepuluh kali sehari setiap hari.

 

Ya lebih dari sepuluh jam sehari, dengan satu tiupan selama sejam. Engkau fikir engkau tidak akan boleh melakukannya di dunia nyata.Namun di sini amat berlainan. Mungkin akibat makanan yang digugurkan dari dahan itu memberikan engkau tenaga luar biasa. Aku tidak faham mengapa Isytrok masih tidur. Apakah tubuhnya bertindak balas negatif dengan tenaga? Yakni, semakin bertambah tenaga, semakin letih dia? Entahlah. Isytrok memang misteri. Aku masih belum berkesempatan bertemunya. Aku rindu engkau Isytrok.

 

Aku masih tidak menghiraukan Nahmaran.

 

Kinatiao dan Kinabalon memandangku. Aku hanya anggukkan kepala memaklumkan mereka aku tahu aku diseru.

 

“Hei Abuzen, nak aku lapor kepada Tuanku Manhamankah?” Laju dia mengugutku. Aku sudah boleh ramalkan. Ketua begini memang cepat menggunakan kuasanya. Mereka tidak akan berlembut demi meraih hormat. Mereka cepat menggunakan kuasa kerana mereka tahu mereka tidak akan dihormati dengan sikap begitu. Kuasa adalah nadi mereka. Tanpa kuasa, mereka hanyalah tin kosong. Mereka tiada kepimpinan untuk menarik manusia. Mereka hanya ada kuasa dan mereka amat bergantung kepadanya.

 

“Pergilah laporkan.” Aku mencabarnya selamba.

 

“Baik, jika itu yang kaumahukan!” Bentak Nahmaran seraya memanjangkan akarnya ke lubang telinga Manhaman. Khadam Besar boleh berkomunikasi secara rahsia menggunakan akarnya.

 

**

 

Lubang telingaku dicapai akar Manhaman.

 

Manhaman menegurku menggunakannya.

 

“Abuzen, bagaimana denganmu? Engkau baikkah?”

 

“Aku baik sahaja Manhaman.” Aku tidak memanggilnya dengan gelaran Tuanku. Di kali lepas sewaktu kami berborak, dia mengakui dia tidak suka gelaran itu. Namun dia menasihatiku sekiranya Nahmaran ada bersama, aku harus menggunakan gelaran itu atau aku akan dileterinya lagi.

 

“Ada apa-apa yang kau ingin kongsi denganku? Apa-apa yang kau gusar sekarang... tiada siapa yang mendengar kita sekarang.”

 

Alangkah baiknya jika Manhaman berkomunikasi begini denganku sejak dulu lagi. Oh, mungkin kerana pangkatku sudah naik menjadi Khadam Kiri. Manhaman tidak akan berkomunikasi dengan Marhaein menggunakan akar. Ia menggunakan banyak tenaga dan mengurangkan tenaga yang menghasilkan kabus-kabus merah di sekeliling kami. Lebih baik tenaga itu digunakan untuk berkomunikasi dengan lapisan Khadam sahaja. Lapisan Khadamlah yang akan menggunakan tenaga masing-masing jika perlu komunikasi dengan Marhaein secara rahsia.

 

Ya, kabus-kabus merah itu dihasilkan oleh para Khadam Besar dan Manhaman. Mereka melabur tenaga untuknya. Tenaga itu pula mereka dapat dari cahaya entah dari mana yang memerahi langit kami.

 

Jika Manhaman sanggup melabur tenaga begini demi berkomunikasi secara rahsia denganku, bererti aku salah seorang dari kalangan mereka yang mendapat tempat terpenting di hatinya dan layak dilaburkan tenaga. Aku masih Khadam Kiri dan belum Khadam Besar mahupun Kanan namun menyedari hakikat ini memberi aku keyakinan untuk tetap pada pendirianku melawan Nahmaran. Aku tahu aku ada Manhaman di belakangku.

 

Aku dapat lihat kabus merah yang membalut Isytrok sekian lama makin pudar. Semakin lama tanah yang menempatkan Isytrok dan pokoknya semakin jelas. Namun aku tidak nampak kelibat Isytrok.

 

“Isytrok.” Kataku. “Di mana Isytrok? Manhaman, di mana Isytrok?”

 

“Oh, Isytrok sudah keluar. Dia sudah empat tahun di sini.Namun dia pinta sambung setahun penjara di dunia. Dia mahu melihat ibunya.”

 

Air mataku mengalir. Aku tidak sempat bertemunya untuk meminta maaf secara berdepan. Aku adalah punca mengapa dia dikurung kabus dan dihalang dari bercakap dengan Marhaein lain. Aku adalah puncanya! Aku mementingkan diri!

 

“Dia ada bertanyakanku berkenaanmu. Dia kata usah risau berkenaan insiden dulu. Engkau tak bersalah katanya.”

 

Oh... aku pasti akan bertemumu Isytrok sekembali ke dunia nanti.

 

“Dan kabus...”

 

“Oh, kabus itu hilang kerana Nahmaran menghubungiku tadi menggunakan akar. Ia akan kembali menutupnya.”

 

“Nampaknya Nahmaran telah memberitahumu, seperti katanya.”Ujarku.

 

“Ya. Aku tahu engkau tidak akan mengabaikan kerjamu. Walau seteruk manapun Nahmaran melayanmu.”

 

Aku diam. Biarkan dia sahaja berkata. Aku belajar kemahiran ini daripada dia juga. Banyakkan mendengar dan memerhati, kurangkan menyampuk. Aku sudah mula mengikut rentaknya. Rentak seorang pemimpin yang mampu meraih rasa hormat dan percaya.

 

“Aku faham situasimu Abuzen. Aku tidak boleh memaksamu menyukainya. Jika engkau rasa gusar, ceritakanlah padaku. Aku akan cuba kurangkan bebanmu mengikut apa yang aku berupaya lakukan. Lagipun lebih senang sebab engkau Khadam Kiri sekarang.”

 

Mengikut apa yang kau upaya lakukan? Manhaman, engkau paling berkuasa di sini! Siapa pula yang menghadkan upayamu untuk mengubah sesuatu?? Siapa? Nahmarankah? Tak logik. Nahmaran hanya Khadammu.

 

“Manhaman, aku mahu melapor terus kepadamu. Aku mahu engkau jauhkan Nahmaran dariku. Biarkan dia menyelia pekerja lain di sini.Sedang aku, benarkan aku melapor terus kepadamu dan melangkau Nahmaran. Aku pohon, Manhaman. Aku tidak tahu sampai bila aku boleh bertahan atau aku mungkin akan meletup bila-bila masa di sini.”

 

Manhaman berdiam seketika, cuba mengatur ayat dan merencana penyelesaian di dalam lingkungan had ‘upayanya’. Aku masih tidak tahu siapa yang ‘menghadkan’ upayanya.

 

“Beginilah, aku benarkan.”

 

Aku bersorak dalam hati.

 

“Namun untuk sebulan cuma.” Sambungnya.

 

Berderai semua harapan yang mengembun. Hilang derai sorak jaya jadi abu tinggal abu.

 

“Jika engkau melepasi tahap yang aku mahukan, aku akan bebaskan engkau dari melapor kepadanya. Engkau akan melapor terus kepadaku selamanya sehingga engkau dibebaskan.”

 

Dia menyambung selepas berhenti sejenak, “Namun engkau akan bekerja di sini dan menghadapnya juga, Abuzen. Engkau tidak boleh berterusan begini. Engkau perlu belajar menghormatinya juga meski engkau membencinya. Engkau pekerjanya yang telah aku tetapkan dan engkau juga adalah aset kepadaku.”

 

Sudah. Aku rasa tak masuk akal langsung kata-katanya. Bagaimana engkau boleh menghormati orang yang langsung tidak layak dihormati? Yang dibenci lagi?

 

“Kerana jika engkau tidak menghormati Khadamku, ia sama seperti tidak menghormatiku.”

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov