Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
34,269
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 7

Keadaan yang terlalu hierarkikal dan kaku di sini menyekat kami para Marhaein. Ia seperti sebuah negara yang mana Raja hanya mendengar kata-kata bangsawan, tanpa mendengar terus dari rakyat. Raja begini hanya duduk memanas punggung dalam singgahsana, dunia luar dikhabarkan oleh mulut bangsawan sahaja. Jika bangsawan memutar realiti menjadi fantasi, maka berfantasilah Raja itu hingga kucing bertanduk. Hingga lingkup negara itu. Jika rakyat sedang kebulur, para bangsawan mengatakan rakyat masih kenyang, Raja itu menempah kerandanya sendiri, jika ia melarat sehingga berlaku revolusi.

 

Peraturan Nahmaran itu tiada tambahan nilai. Bahkan ia meletihkan kami. Kerja tanpa fleksibiliti ialah sebenar-benar kuli. Jika aku mahu berehat sepanjang petang, aku masih perlu melakukan kerja lagi mengikut jadual bodoh itu. Hasilnya sama sahaja. Ia sekadar karenah birokratik yang sengaja diada-adakan agar nampaklah bahawa kewujudan dia itu berguna sangat. Berfungsi sangat. Organized-lah kononnya. Sepertimana bangsawan yang mencadangkan pelbagai peraturan dikenakan demi mengawal rakyat selepas berlaku satu dua perkara yang mengganggu negara sebagai langkah ‘memadam kebakaran’ atau quick-fix solution sedangkan peraturan itu langsung tidak bertepatan dengan realiti semasa.

 

Setiap kali aku terpaksa menghadap tindakan-tindakan bodoh Nahmaran, aku teringat Danielle Lam. Oh, dengan peha putih dan skirt paras lutut warna hitam tanpa kedut dan blaus putih, sungguh seksi. Oh tidak lupa rambut hitam mengurai licin berkilau dan berbau syampu entah apa.

 

Namun wajah Adila pantas melintas dan menampar benakku. Adila sungguh cantik dalam baju kurung warna merah jambu.

 

Sebentar, berbalik kepada Danielle Lam. Bukan peha putih dan skirt pendek itu yang aku mahu ceritakan sebenarnya, ehem. Danielle Lam ialah bos aku sewaktu aku bekerja di syarikat terakhir.


Mengenangkan perangainya sebagai bos terhadapku sewaktu menguruskan projek besar itu meleburkan segala citra birah berahi yang menggoda nafsu. Dia cantik dan seksi namun sungguh psikotik. Lebur segala berahi tatkala deadline hampir, kerana kala itulah dia berubah menjadi naga.

 

Danielle Lam mengarah-arah aku sama seperti Nahmaran. Danielle Lam mungkin ada hubungan darah dengan Nahmaran. Bezanya Nahmaran lebih tua lebih berkedut. Jika mereka berdiri sebelah-sebelah, aku boleh katakan Nahmaran ialah nenek Danielle Lam. Namun tiap kali Danielle Lam memarahiku, aku tidak mengambilkira kewajaran marahnya sepertimana aku lakukan pada Nahmaran. Kerana ada sesuatu menanti andai aku tidak mengawal pandanganku dan membayangkan Adila.

 

Oh Adila. Engkaulah penyelamatku tiap kali aku tergoda dengan amoi seksi itu. Setiap hari selepas pulang dari pejabat, aku lega. Adila senantiasa menantiku dengan wajahnya yang menenangkan, tangan pasti sedang memegang senduk ataupun bajunya bersarung apron. Dia sanggup meletak jawatan sebagai peguam semata-mata turutkan perintahku agar menjadi surirumah sepenuh masa.

 

Demi sayangkan Adila dan menghindar dari amoi seksi di kantor itu, aku merancang untuk meletak jawatan. Namun projek terakhir itu datang tiba-tiba. Dengan elaun dari projek itu, aku boleh meninggalkan Malaysia dan mula menetap di luar negara, seperti perancangan aku dan Adila sejak mula kami berkahwin. Dan membawa Abuyo menerima pendidikan yang lebih baik.

 

**

 

Agak lama juga Nahmaran tidur tahunan.

 

Lama dahulu, ketika aku di tahun pertama, Nahmaran ‘tidur’ begini selama lima hari. Aku tiba-tiba jadi rindu dengan leterannya. Oh rindu? Abaikan. Aku rasa sungguh tenang. Awalnya aku tidak peduli langsung jika dia mahu tidur selamanya pun. Namun aku ingin tahu juga mengapa dia tidur lama benar.

 

Aku memberanikan diri bertanyakan Manhaman, iaitu satu-satunya pokok yang aku dapat lihat di situ, pada ketika itu. 

 

“Itu tidur tahunan. Memang lama. Setiap kita akan diberi tidur tahunan. Para Marhaein akan dapat lima hari, para Khadam sepuluh hari.”

 

Sejak aku tahu Nahmaran di dalam tidur tahunan, aku bersuka ria dan bermaharajalela. Aku berborak sakan dengan Kinatiao dan Kinabalon budak baru itu seolah-olah mereka berada dekat denganku, tanpa mengawal suara langsung. Isytrok masih disembunyikan kabus merah, tak guna kau Nahmaran! Manhaman pula tidak mengendahkan langsung kami berborak-borak dan bising-bising, asalkan kami bekerja dan sungai tidak kering, dia tidak kisah. Manhaman memang supporting.

 

Bahkan yang paling mengujakan, Manhaman turut berborak bersama kami!

 

Dari perbualan kami, aku mula mengenal Manhaman lebih dalam. Tidak, sebenarnya terbalik. Manhaman pula yang mengenali aku lebih dalam. Aku tetap kekal kurang pengetahuan berkenaan asal-usulnya. Manhaman dan Nahmaran masih kekal misteri. Cuma, aku lebih mengenali suara dan watak Manhaman pada ketika ini.

 

Manhaman bertanyakanku berkenaan kisah silamku di dunia dahulu. Disebabkan dia yang bertanya, dia, ketua tertinggi di sini, maka aku jadi terdorong bercerita. Bukan mudah seorang ketua mengalah dan menawar diri mendengar. Suara Manhaman tenang tidak seperti terkejar-kejar, setenang air sungai yang mengalir di sini. Suaranya menggamit rasa yakin untuk engkau bercerita dan meluahkan apa yang terbuku. Kualiti begini adalah kualiti pemimpin. Wajahnya tidak mengejar engkau atau seolah-olah dibuat-buat. Dia lebih banyak mendengar dan memberi ruang kepada kami berkongsi dan pantang dia menyampuk sebelum kami menghabiskan kata-kata. Dia mendengar, bukan pura-pura mendengar dan mencari-cari ruang untuk memotongmu. Jika dia kurang jelas dia pinta aku jelaskan lagi, bererti dia menerima kisahku dan bukan mendengar sekadar meluangkan masa atau sekadar mahu mengorek demi mencari bahan buat menikamku kembali.

 

Selepas aku mendengar suaranya lebih kerap dan melihat riak wajahnya aku tahu Manhaman orang yang boleh dipercayai. Aku tahu di balik pandangan demi pandangan bisunya dari hari ke hari sedang dia menyerahkan sepenuhnya kepada Nahmaran, dia risaukan para pekerjanya. Dia tahu pekerjanya sakit hati dengan Nahmaran. Ini juga kualiti pemimpin, kualiti yang aku tidak nampak pada Nahmaran yang padaku hanyalah seorang mandur atau pengawas, bukan pemimpin.

 

Dia bertanyakanku banyak berkenaan Isytrok, aku pun tak tahu kenapa dia begitu berminat tiba-tiba dengan Isytrok. Aku menceritakan kisahnya. Agak terperanjat juga Manhaman kerana tidak pernah dia tahu Isytrok pernah bekerja sebagai pengedar dadah. Nahmaran tidak pernah bertanyakan kisah silam kami. Apa yang penting padanya ialah engkau ada atau engkau tiada. Ada atau tidak pekerja untuk meniup sungai untuknya, itu sahaja. Kami hanyalah tangan-tangan dan kaki-kaki. Kami hanyalah jentera. Kami bukan manusia. Kami boleh dipakai buang atau dijual beli. Jika kami hilang, dia akan bawa sahaja pekerja baru. Senang cerita.

 

Sejak itu aku jadi lebih berkeyakinan untuk meneruskan kerja di sini. Aku tahu, Manhaman mempercayaiku dan aku mempercayainya, sesuatu yang aku tidak boleh lakukan dengan Nahmaran. Aku tahu aku boleh melangkah ke hadapan dan hiraukan sahaja pokok tua itu. Lantak dialah.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov