Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
34,269
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 6

Aku tak faham mengapa Nahmaran menaikkan pangkat Isytrok kepada Khadam Kiri baru-baru ini, sedangkan yang penat-penat bekerja itu aku. AKU.

 

Terbakar aku tatkala melihat Isytrok memakan piza yang dijatuhkan dalam bentuk cebisan-cebisan oleh dahan di atasnya. Setiap cebis berbentuk nuget ayam dan lengkap dengan keju dan bersalut tepung dan di dalamnya ada inti daging dan sos tomato. Dia memandangku seraya berkata,“Maaflah kawan. Aku tak boleh bagi engkau dengan tangan berikat begini. Kau nak ke?”

 

Aku nak! Aku nak! Begitulah riak wajahku menjerit dan dibaca Isytrok.

 

“Haih. Camnilah, aku campak guna mulut. Kau kisah ke? Sebab dah kena mulut aku sikit.”

 

“Aku tak kisah.” Air liur bertakung membayangkan piza yang dihidang Adila dulu. Abuyo rembat semua kerak berkeju. Kali lain kami makan, aku pastikan kerak berkeju aku ambil dahulu sebelum lesap dilahap Abuyo.

 

“Terima kasih Isytrok.”

 

Isytrok memang rakan yang baik. Dia tidak pernah berlagak. Cuma satu sahaja sikapnya yang aku tak suka, iaitu pemalas. Namun aku lihat pabila dia melakukan sesuatu, dia lakukan dengan bersungguh. Jika dia terlepas meniup, dia mampu mengejar kembali bilangan tiupan yang tertinggal. Dia cekap, namun pemalas. Sangat pemalas.

 

Aku fikir jika dia bersungguh bersaing denganku, bila-bila masa sahaja dia mampu memintasku. Bila-bila masa sahaja dia mampu naik menjadi Khadam Kanan. Ya, bukan Kiri, aku ulang, KANAN. Khadam Kanan. Dengan naik pangkat menjadi Khadam Kanan, engkau akan mendapat ayam goreng McDonalds. Yang spicy punya.

 

Namun dia masih dengan malasnya, dengan tidurnya. Aku fikir aku kenal orang begini dahulu. Mereka nampak pemalas di pejabat, namun merekalah life-saver, mereka penyelamat dalam diam, mereka Batman, mereka tidak tertakluk pada peraturan. Sedang aku, aku jenis mengikut peraturan, jenis kata orang schema. Jenis orang seperti Isytrok ini biasanya kurang tersusun, kerja tak mengikut waktu normal, dan cepat naik pangkat.

 

**

 

Piza yang dicampak Isytrok itu terjatuh ke lembah bawah yang memisahkan tanah-tanah kami.

 

Nahmaran ternampak piza itu tatkala ia melayang dari mulut Isytrok.

 

“ISYTROK!” teriak Nahmaran. Aku terbungkam. Jantung berdetak-detuk kencang. Pertama kali aku melihat Nahmaran begitu marah. Pertama kali juga aku lihat dia memarahi Isytrok.

 

Aku pantas menyampuk, “Maafkan aku Puanku. Aku yang meminta piza dari Isytrok. Maafkan aku. Ini semua salahku.”

 

“ENGKAU DIAM ABUZEN!” Suara Nahmaran menggegar buana merah.

 

Aku menggetap bibir.

 

Isytrok tunduk kaku di pokoknya. Aku lihat wajah sesalnya tatkala dia sekali-sekala mengangkat muka.

 

Manhaman hanya memerhati. Aku tidak nampak marah atau kasihan atau sedih atau gembira terlukis di wajahnya. Cuma yang aku nampak dia tiada telur. Telur jantannya tersekat masuk ke dalam kelangkang balik. Aku tahu dia takut benar dengan Khadam Besar Nahmaran. Di hadapanku dia jelas ketua, namun ia hanya simbolik. Ketua sebenar adalah Nahmaran. Nahmaran memboneka Manhaman sesedap rasa hati. Nahmaran mencengkam alam merah ini dengan kuku besi.

 

“Bukankah aku telah nyatakan seawal masuk ke sini, yang engkau dilarang berkongsi makanan dengan Marhaein lain? Engkau tak ingatkah?” Soal Nahmaran. Wajah berangnya masih membakar merah.

 

“Maafkan aku Puanku. Aku kasihan dengan Abuzen.”

 

“Mulai hari ini, engkau dilarang bercakap dengan semua Marhaein!” Bentak Nahmaran. Sejurus dia menghabiskan kata-kata, kabus merah melitup kembali tanah yang menempatkan Isytrok seperti selalu. Di balik kabus merah yang makin menebal itu, Isytrok dan aku sempat bertentang mata. Aku tidak melihat secebis marah pun pada Isytrok tatkala dia memandangku, hanya kesedihan.

 

Aku termenung lama selepas itu. Yang masih dapat kulihat ialah Kinatiao dan Kinabalon. Namun keduanya tidak memandangku langsung kerana sibuk dengan tugas meniup. Mereka juga baru sahaja ditiau dan dibalun bebelan Nahmaran dan sudah cukup letih dengan semua itu, apatah lagi punya tenaga melayanku.

 

**

 

Sejak peristiwa itu aku nampak Nahmaran semakin ketat mengawal kami. Dia mengenakan waktu-waktu meniup. Engkau mesti meniup pada waktu-waktu itu sahaja. Tiada fleksibiliti, tiada keanjalan. Semua ketat dan kaku, sekaku wajah tuanya.

 

Di sini, engkau boleh sahaja meniup di waktu yang kau suka, asalkan engkau tidak membiarkan sungaimu kering. Sebagai contoh jika engkau mahu berehat sepanjang petang, engkau boleh melangsaikan kelima-lima tiupan di waktu pagi sekaligus. Sungai akan mengalir berterusan di waktu petang tanpa kau perlu tiup lagi kerana ia membawa tiupan pagi kau ke petang. Di sini ada semacam kapasitor semulajadi di mana ia menyimpan tenaga tiupan engkau dan digunakan semula di waktu petang, seperti perata arus dalam janakuasa elektrik di duniaku dahulu, atau empangan yang menyimpan air di waktu kurang guna agar dapat dilepaskan di waktu lebih guna.

 

 

Namun Nahmaran sememangnya pakar dalam menyakitkan hati kami. Sengaja dia menyusun agar kami melakukan kerja sepanjang hari dan nampak sentiasa sibuk sepanjang hari. Agar kami tiada masa senggang yang panjang, agar kami sentiasa diganggunya dan rasa terganggu. Agar kami tidak tenang dan agar jiwanya, ya jiwanya, jiwa Nahmaran itu tidak kosong. Dengan membuatkan kami sakit hati, jiwanya yang kosong dan bosan itu terhibur. Aku hairan bagaimana makhluk begini boleh wujud. Aku pernah membaca dahulu, psikopat boleh wujud dalam bentuk penjenayah dan juga pekerja kolar putih. Aku fikir Nahmaran ialah jenis psikopat yang wujud dalam bentuk kolar putih. Mereka terhibur dengan menyeksa pekerja lain.

 

Aku menyumpah-nyumpah. Manhaman seolah bersimpati dengan nasibku namun apakan daya, telurnya hilang pabila Nahmaran tenung. Telurnya diikat-ikat dan disimpul geti agar hormon lelakinya tidak terlepas dan mendorongnya untuk melempang Khadam Besar kesayangannya itu. Manhaman kadangkala berani menegur Nahmaran pabila jelas Nahmaran nampak seperti membuli kami atau menyalahgunakan kuasa atau tidak berlaku adil, namun pabila ada kesalahan serius seperti yang dilakukan Isytrok, Nahmaran berani malah melakukan apa sahaja atas tiket ‘kami telah bersalah atau melanggar disiplin’, maka dia menggunakan tiket itu untuk pertingkatkan lagi kawalan disiplin dan padanya, Manhaman tiada hak untuk menghalangnya. Di situlah Manhaman mula hilang telur. Di situ jugalah Manhaman berfikir ‘oh, nampaknya para Marhaein sudah berani naik kepala”, iaitu pendapat yang dibentuk oleh Nahmaran kerana hanya Nahmaran sahaja yang dia dengari. Dia tidak mendengar kami secara langsung. Padanya, kami hanyalah pekerja Nahmaran, bukan pekerjanya. Dan dari situ, dia akan berfikir, “baiklah, aku serahkan semuanya pada Nahmaran untuk memperbaiki keadaan.” Dia terlalu percayakan Nahmaran. Dia terlalu melebih-lebihkan Nahmaran.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov