Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
34,274
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 9

KHADAMKU.

 

Aku rasa sakit di perut, seolah-olah ditumbuk di bahagian itu sewaktu mendengar perkataan itu. Jika aku Khadam Kiri, dan Nahmaran Khadam Besar, dan kami sama-sama Khadam, apakah aku bukan Khadamnya?

 

KHADAMKU?

 

Apakah ada pangkat lagi istimewa, lagi khas di dalam kepalanya yang aku belum tempati, yang dia khaskan dalam banyak-banyak tempat khas di kepalanya kepada Nahmaran?

 

Ah, aku sudah pening kepala. Sebelum aku menyumpah seranah Manhaman pula, aku minta diri dahulu dari meneruskan mendengar. Manhaman bersetuju. Mungkin dia juga pening melayan karenahku. Aku tidak mahu menyumpahnya tatkala hormatku terhadapnya sudah mula membenih. Aku mahu menghormatinya dan aku mahu mempercayainya.

 

Aku mengambil masa menghadam perkataan itu. KHADAMKU. Perkataan itu benar menikam benak menunjal hati. Aku sungguh membenci perkataan itu. Lagi ia terngiang lagi aku meradang. Ia memberi konotasi buruk. Ia satu perkhabaran buruk. Ia mengisyarat kecondongan mutlak Manhaman kepada Nahmaran tanpa alasan, satu dikri, satu ikatan yang tidak boleh dipersoalkan. Seperti sudah termaktub oleh kata-katanya bahawa aku harus menghormati seseorang yang amat kubenci. Bahawa aku tidak boleh mengubah keadaan yang membelengguku, bahawa Manhaman mengatakan kepadaku akulah yang harus mengubah diriku, akulah yang harus meninggalkan tempat ini jika aku tidak menggemari Nahmaran, bahawa tempat ini bukanlah untukku. Ia tempat Manhaman dan Nahmaran sahaja. Ia tempat mereka berdua! Dan aku tiada hak meminta itu ini!

 

Aku mahu menebang Nahmaran. Aku mahu menebang pokok tua itu. Namun bagaimana?

 

Aku tahu. Aku akan menghilangkan Nahmaran dariku. Bukan secara fizikal. Namun secara psikologi.

 

Bagaimana jika kalian bertanya?

 

Begini, aku tidak akan menghiraukannya, sehingga aku keluar dari sini.

 

Aku akan menuli telinga jika dia bersuara, aku akan membisu mulut jika dia meminta aku menjawab, dan aku akan terus melakukan kerja-kerjaku, sehingga sampai tempoh aku dibenarkan keluar dari sini. Aku akan mengulang apa yang telah aku lakukan yang mendorong dia mengadu kepada Manhaman.

 

Aku tahu aku mungkin akan letih, dan dia juga mungkin akan letih. Aku tahu aku akan dihukumnya, aku mungkin akan dikurangkan makan dan tidak dinaikkan pangkat. Tetapi aku juga tahu aku tidak akan dipecat. Kerana selagimana aku melakukan kerja-kerjaku seperti yang diminta, aku tidak akan dipecat. Kerana keberadaan aku di sini pun adalah satu hukuman. Dan dia tiada hak memecatku.

 

Andai kata, dia memecatku juga. Apa pilihan yang masih aku ada? Aku mungkin akan bertemu pihak berwajib dan aku akan jelaskan semuanya berkenaan mereka yang telah mengkambinghitam aku. Aku akan mohon kesku diteliti semula.

 

Namun aku tiada bukti untuk menyokongku. Ia terlalu berisiko. Aku mungkin akan kekal dipenjara dan sama ada akan kembali dihantar ke sini dan terpaksa meneruskan sepuluh tahun penjara atau disambung di dunia di mana ia bakal memalukan diriku di hadapan keluarga.

 

Kecualilah jika isteriku sedang benar melakukan sesuatu di dunia luar sana, bertungkus-lumus mengumpul bukti dan berjaya menggesa pihak berwajib meneliti kembali kesku, mungkin, mungkin ada sinar harapan di situ.

 

Apakah benar masih ada harapan? Sudah tiga tahun berlalu dan aku masih di sini.

 

**

 

“Ya, ibu.” Abuyo menyahut panggilan telefon ibunya.

 

“Macamana kelas?”

 

“Buyo tak paham apa pun. Lecturer bebel entah apa Buyo tertidur lepas sepuluh minit.”

 

“Buyo, Buyo kena pass program matriks kali ni? Buyo tu SPM dah la fail.”

 

“Buyo tahulah... ibu, abah macam mana?”

 

“Abah ok je, baru tadi mak tukar drip bag dengan perisa piza. Doktor kata tahun ketiga kena tukar piza pula.”

 

“Ibu, Buyo nak balik esok.”

 

“Hah?”

 

“Buyo dah tau apa ‘penyakit’ abah.”

 

**

 

Abuyo gusar. Apa sahaja yang dilabun dikisahkan pensyarah di hadapan tidak berjaya ditelan apatah lagi dihadam. Abuyo mengelamun. Ke Bumi Abuyo, ke Bumilah kamu!

 

Abuyo nampaknya masih di Pluto.

 

Zahid di sebelah menyiku.

 

“Hei bro, kau dah siap ke tutorial Advanced Chemical Reaction?”

 

“Tutorial? Benda apa tu?”

 

“Kau ni dah jauh sesat ni. Tutorial pun tak tahu.”

 

“Weh Zahid. Kau pernah tak tengok drip bag dalam wad hospital?” Soal Abuyo tiba-tiba.

 

“Kenapa tetiba tanya?”

 

“Apa content drip bag tu?”

 

“Kenapa kau nak tahu? Eh, Abuyo. Engkau ada masalah ke? Engkau dari tadi mengelamun, lepas tu tanya aku soalan pelik.”

 

“Kau tahu ke?”

 

“Yelah, yelah aku tahu. Kadang-kadang ubat, kadang-kadang garam.”

 

“Aku rasa anehlah.”

 

“Kenapa?”

 

“Ada pernah kau lihat drip bag berisi cecair perisa makanan-makanan? Macam piza, ayam goreng, biskut...”

 

Zahid pecah ketawa. Abuyo buat muka toya. Aku dah agak dah...

 

Abuyo bengang dan bingkas bangun meninggalkan Zahid. Zahid menghalangnya. Pelajar- pelajar lain sudah meninggalkan dewan sebaik kuliah tamat.

 

Sorry lah kawan. Okey-okey aku dengar aku dengar. Aku janji tak gelak lagi. Kau nak cerita lebih lagi kat kafe ke?”

 

“Ya. Benda ni serius. Kau jangan gelak ok?”

 

“Okeylah okeylah aku janji aku tak gelak lagi. Sensitiflah kau ni.”

 

Zahid memberi pandangannya sewaktu mereka duduk-duduk di kafe.

 

“Camni Buyo, kat Fakulti Bioteknologi sana – ”

 

“ – Fakulti awek kau tu kan?” Potong Abuyo.

 

“Bingo! Kau memang pick-up benda-benda gini. Tapi bukan berkenaan dia.”

 

“Habis tu?”

 

“Dekat sana ada seorang student jual benda macam jus Ribena dalam beg plastik yang ada muncung plastik tu dan kau boleh sedut melaluinya. Dia jual macam-macam perisa. Sebelum waktu kuliah dia akan masuk bawa beg besar penuh dengan benda tu yang student lain tempah.”

 

“Perisa apa yang ada?”

 

“Macam-macam. Perisa rendang, perisa opor, perisa kari. Macam-macam ada, perisa buah-buahan pun ada. Aku dengar dari awek aku, bapa penjual tu CEO syarikat bioteknologi, syarikat yang buat makanan untuk angkasawan. Kalau kau makan benda camni yang perisa rendang contohnya, kau akan dapat rasa kenyang dan penuh lengkap dengan aftertaste seolah-olah makan rendang sebenar. Dan yang paling best, kau tak akan berak! Benda ni sangat penting buat angkasawan sebab berak ni susah kat atas sana. Tahi terapung-apung nanti susah!”

 

Tatkala Zahid menyebut berak dan tahi kuat-kuat, pelajar lain yang sedang makan di kafe itu memandangnya dengan wajah berang. Yang mengangkat makanan dengan sudu terhenti membatu, yang menyuap makanan terluah semua. Dia memperlahankan suara.

 

“Jadi, kau nak kata benda-benda ni sama dengan drip bag yang aku cakap tadi?”

 

“Pandai pun. Aku memang dah suspect lama benda ni. Aku rasa bapa dia ada deal dengan agensi kerajaan. Biasalah, nak buat untung punya pasal, sampai jual ke dalam universiti juga. Memang pandai. Macam Brahim’s jual makanan flight kat supermarket shelves juga demi nak dapat untung alternatif.”

 

“Siapa nama budak tu?”

 

“Farid. Ni nombor dia.”

 

Sebaik mendapat nombor Farid, Abuyo bergegas pergi. “Ciao! Thanks bro!

 

“Eh kau nak ke mana? Tunggulah dulu.”

 

Permintaan Zahid tidak dihiraukan.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov