Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
222,657
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 15

Sudah lebih satu jam Zafran di bilik Shaza, berbincang projek baru mereka. Dia tidak memanggil Shaza ke biliknya kerana dia berasa bersalah terhadap Shaza dan merancang mahu memujuk. Sambil berbincang, Zafran tidak habis-habis mencuri riak suka duka wajah Shaza. Gadis itu bersahaja tanpa reaksi cemburu, benci, marah atau gembira berita yang baru didengarnya.

“Za, cakaplah sesuatu pasal semalam.”

“Pasal apa?”

Zafran mengeluh perlahan.

“Sebenarnya pertunangan kami dirancang papa awak, demi menjaga maruah keluarga.” Tanpa menutup fail yang masih terbuka di atas meja Shaza, Zafran sudah tidak sabar.

“Sebelum ini Ell nakal. Malas belajar dan gemar menghabis masa bersama rakan sebaya.”

“Ohw.” Shaza angguk-angguk, tidak langsung menunjuk rupa ingin tahu selanjurnya. Seakan cukup apa yang dicerita Zafran.

“Saya kawan baik Adam, Adam bawa saya masuk ke company ni. Saya dilayan baik keluarga awak, selalu ke rumah orang tua awak, selalu juga temankan Ell untuk ke mana-mana.”

Shaza angguk lagi, sambil menyemak-nyemak dokumen dalam fail dia mendengar teliti meski kurang berminat penjelasan Zafran.

“Asalnya saya nak bantu mama papa awak sebab nak balas budi, tapi akhirnya…” Zafran seakan kehilangan ayat akhir, tercari-cari perkataan sesuai gayanya.

Shaza senyum hampir tertawa. “Dan, akhirnya awak jatuh cinta pulak?” dia menyambung sambil tertawa.

No, bukan macam tu. Awak tak faham Za.”

“Zafran, tak ada kepentingannya sama ada saya faham atau tidak. Hal itu tak ada kaitan dengan saya kan?”

“Ada.” Zafran angguk bersungguh-sungguh dan bersungguh-sungguh mahu Shaza mencampuri. “Ada.”

“Ada?” Shaza senyum, berkerut juga dia dalam usaha menyembunyi rasa cemburu yang sudah tumbuh.

“Saya sayang awak, Za.” Serius benar dia. “Dulu, kini dan akan selamanya sama.” Lancar disudahkan hanya dengan satu nafas seakan sudah dilatih lama lidahnya.

Shaza tertawa besar, mata bersinar panas merenik membasah. Disembunyikannya.

“Hai, busy ke?” tanpa dijangka Elsa muncul di pejabat Shaza. Hanya sekali ketuk serentak ditolak dari luar, Elsa sudah terkedek-kedek masuk. Manja dan menggoda. Memang begitu sikapnya, boleh atau tidak menyemak dia tidak mahu tahu. Nadia sudah puas bernasihat supaya bersopan dan hormati privacy orang lain. Dia faham dan mahu menurut tetapi di setengah-setengah waktu, dilanggarnya juga lebih-lebih lagi jika yang melibatkan Zafran.

Zafran menoleh Elsa, Shaza mengambil kesempatan mengering matanya. Senyum dia manis menyambut.

“Hai sis.”

“Hai.” Shaza berpura-pura ramah menjawab sapaan Elsa. “Dari mana?”

“Rumah.”

Shaza hanya angguk, tidak ada lagi yang mahu ditanyakan. Segalanya masih janggal, kekok benar.

“Abang, makan jom?” Elsa sudah memegang bahu Zafran yang masih duduk di kerusi asalnya.

Shaza sekali lagi berpura-pura berkemas meja, tidak mahu melihat rupa Zafran dalam keadaan malu diperlakukan semesra itu oleh Elsa. Zafran pula pantas membaca waktu.

“Belum sampai waktu makan.”

“Ala, Ell lapar.”

“Dari rumah, tapi datang sini mengadu lapar? Kat rumah tak makan ke?”

“Ah, mama masak pedas.”

Zafran pandang Shaza, Shaza senyum angkat kening.

“Abang sibuk, belum habis discuss dengan kakak.”

“Oh ya?” Elsa menjengah-jengah di atas meja Shaza yang berselerak fail-fail dan kertas-kertas. Shaza dan Zafran membiarkan. Dia angguk-angguk faham.

“Akak, boleh tak abang keluar makan sekarang?”

Your darling is my boss. Terserah dia.”

Elsa renung Zafran yang berpura-pura sibuk melakar dan menulis. Elsa cuit bahu Zafran, Zafran mendongak. Elsa memberi isyarat bisu mengguna kepala dan mata, meminta Zafran menemaninya.

“Abang sibuk lagi, tak siap kerja nanti papa awak marah. So kalau lapar sangat, Ell keluar makan apa-apa dulu untuk alas perut, siap kerja nanti abang dengan kakak temankan Ell. Ok?” manis dia memujuk, Shaza tidak mempeduli. Terus tekun dengan kerjanya, menjaga juga rentak hati yang kian berdegup sakit. Ngilu benar melihat kemesraan pasangan bertunang itu dan pedih benar melihat layanan istimewa Zafran ke atas adik tirinya.

“Ok. Ell jalan-jalan dulu and booking meja.”

Zafran angguk bersungguh-sungguh. Elsa tidak menunggu lama, terus keluar meninggalkan Zafran dalam kebingungan.

“Abang.” Shaza mengejek perlahan tersenyum mengusik. Tidak berniat bersenda, mengusik Zafran juga tidak tetapi entah kenapa ringan benar lidahnya. Benci.

Zafran tidak mempeduli, berpura-pura tidak mendengar. Shaza masih merenung Zafran, berusaha senyum semanis mungkin tetapi dia sendiri merasa getarannya, lenguh senyum dalam keadaan memaksa diri. Zafran sedar dia sedang dimamah Shaza, berhenti dengan kerjanya lalu menampan renungannya. Shaza semakin memanis senyum.

“Kenapa?”

“Tak ada apa. Saja nak senyum, tak boleh?”

“Bukan tak boleh, tapi senyum awak tu macam ada yang tak kena.”

Shaza terus tertawa perlahan, tertunduk-tunduk dia menghenjut-henjut penyandar kerusi.

“Sebenarnya banyak yang awak tak tahu, Za.” Sendu bunyinya diiringi keluhan berat.

“Macam yang saya katakan tadi, tak ada kepentingannya sama ada saya tahu atau tak tahu.”

“Macam juga yang saya katakan tadi, awak memang kena tahu sebab saya sayang awak. Walaupun awak membuang saya, tapi dalam hati saya tetap ada awak.”

“Saya tak pernah membuang awak, Zaf. Bukankah awak yang nak sangat tinggalkan saya sebab saya tak ada apa-apa. Saya tak layak untuk awak, kalau kita teruskan perhubungan kita awak akan terus mundur, gagal dalam kehidupan.”

Zafran terlopong mendengar luahan Shaza, tidak faham nota terakhir apa yang dimaksudkan Shaza namun, Shaza tidak mahu memperpanjangkannya sebab katanya dia faham, bercinta diusia semuda mereka memang banyak keburukan dari kebaikan. Kerana itu dia pasrah, redha ketentuan Allah.

“Memang berpisah lebih baik dari terus bercinta-citaan. Selepas putus cinta baru saya sedar betapa pentingnya pelajaran sebab saya nak buktikan pada awak, saya tak tewas. Saya juga mampu hidup tanpa awak. Waktu bercinta dengan awak, saya berlajar sebab nenek suruh belajar, sebab nak bersama awak buat ulang kaji. Tak ada langsung semangat untuk berjaya. Syukur kita bertindak bijak dengan memutuskan perhubungan bodoh kita.” Puas rupanya Shaza dengan keputusan mereka.

“Ya, itu benar. Kita tersilap, mentah sangat berangan-angan membina mahligai di bulan sedangkan rumput pun kita tak habis hitung lagi. Tapi saya tak pernah menghina awak Za. Tak pernah.”

“Sudahlah Zaf, semua tu dah berlalu dah. Tak penting lagi untuk kita kenang.”

Zafran angguk bersungguh-sungguh. “Yang penting adalah sekarang dan akan datang. I still love you. Itu yang penting.”

“Eh, awak tak takut ke kut-kut Tuan Rusman awak pasang cc tv di sini? Awak sudah menduakan anaknya.” Berbisik bersenda.

“Awaklah anaknya yang sah.”

“Oh, kerana saya anak bos awak yang sah, maka awak nak berpaling tadah? Nak tinggalkan anak tirinya dan menggoda anak kandungnya?”

“Za!” Zafran sudah tidak terkawal emosi. Dia memegang kemas tangan Shaza yang berlunjur di atas meja.

“Hei! Jaga sikit.” Shaza menarik tangannya, keras. Kerusi juga ditolak dengan kaki menjauh dari meja.

Zafran kesal, angkat tangan berupa bersalah dan mengalah. Memohon maaf berkali-kali.

“Jangan anggap saya sehina itu, saya cintakan awak sebelum tahu siapa awak dan cinta saya tak pernah mati.”

“Okay, okay. Saya percaya dan saya faham. Baik kita jangan membincangkan soal hati dan perasaan di pejabat ini okay? Di sini tempat untuk berkerja, kita dibayar gaji untuk berkerja bukan untuk berpuisi cinta.” Shaza senyum mengusik Zafran yang tampak tegang, serius dengan perasaannya.

Zafran bingkas, hanya satu fail sempat diambil, dibawa bersama. Tanpa berkata apa-apa dia meninggalkan bilik Shaza dalam keadaan terguris dan kecewa benar, rajuk lelaki membuah kesal di hati wanita. Shaza terhenyak, kesal mencederakan Zafran. Dia sedar kata-katanya mungkin melukakan tetapi niatnya hanya untuk bersenda. Tidak langsung mahu menghina.

Tepat jam satu tengah hari Rusman muncul di bilik Shaza, mempelawanya keluar makan bersama. Shaza tidak menolak kerana mahu mengelak dari keluar makan bersama Zafran dan Elsa yang sudah dijanjikan. Tergesa-gesa dia mencapai beg tangan dan menarik Rusman pergi. Rusman terpinga-pinga, Shaza memberi alasan dia terlalu lapar.

KEBETULAN Shaza dan Rusman juga memilih tempat makan sama dengan Elsa dan Zafran. Hanya berselang satu meja, Elsa menempah untuk dia dan Zafran. Apabila ternampak Shaza dan Rusman sudah bersedia di meja mereka, Elsa membuat keputusan untuk berkongsi meja sahaja. Zafran terpaksa akur.

“Ell dari mana?” lembut gaya Rusman menyoal.

Shaza memerhati gaya manja Elsa dan cara Rusman memanjakan anak tirinya.

“Dari rumah, mama masa pedas. Ell tak ada selera.”

“Kenapa tak cakap dengan mama, nak makan apa? Ni keluar ke sini ni mama tahu tak?”

Elsa angguk, manja benar dia pada Rusman. Zafran hanya diam, terus menjamu seleranya yang langsung tidak bernafsu tengah hari itu.

“Lain kali jangan ganggu orang berkerja. Lepas waktu pejabat atau hari cuti boleh jumpa Abang Zaf. Hari kerja tak boleh.”

“Ini kan lunchtime apa salahnya?”

“Kadang-kadang lunchtime pun staff papa sibuk. Dari pukul lapan pagi sampai lima petang mereka dibayar gaji. Jadi, waktu itu commitment mereka kena sepenuhnya.”

Elsa mencebik benci, diam tidak membantah. Makan dan minum tanpa mempeduli Shaza di sisi Rusman. Sesekali dia meletak makanannya ke dalam pinggan Zafran dan sesekali mengambil dari pinggan Zafran langsung tidak menunjukkan silu. Zafran membiar, sesekali dia mengerling Shaza dan sesekali tersenyum kepada Rusman.

“Sha macam mana kerja? Okay?” Rusman beralih kepada Shaza.

“Okay.”

“Tak ada masalah?”

Shaza geleng, senyum memandang Rusman di sebelah. Rusman angguk, gembira.

“Perhubungan dengan Abang Adam?”

“Okay, Abang Adam baik, sedia bagi tunjuk ajar.” Sewaktu menuturkannya, dia mengerling Zafran. Kelihatan Zafran tidak mencampuri.

“Kalau ada apa-apa masalah jangan simpan, kita boleh bincang. Abang Adam memang keras sikit, tapi hatinya baik. Kalau Sha tak selesa dengan abang, berbincang aja dengan papa atau Zaf.”

Shaza angguk faham.

“Zafran, tolong tunjuk-tunjukkan Sha ya?”

Zafran angguk, perlahan menyebut insyaallah.

“Ell pulak bila nak mula kerja?”

Elsa kaget, dari tidak mahu mencampuri namanya disebut pula dan tiga pasang mata menempat di wajahnya.

“Bila nak stat tunjuk kebolehan? Belajar dah tamat dah.”

“Ala, nantilah. Penat berlajar pun tak hilang lagi.”

“Lagi berehat lagi penat, lebih baik terus pergunakan ilmu yang dipelajari.”

Elsa mencebir, terus melayan selera. “Mama upah papa cakap macam tu ya?”

“Tak.” Rusman geleng, sudu dan garfu sudah diletak di dalam pinggan. Hanya merenung Elsa.

“Ayat papa dengan mama sama aja, cuma iramanya saja tak serupa.”

“Mama dengan papa kan sehati sejiwa dan kami mahu yang terbaik untuk anak-anak.”

Elsa diam, hanya dengusan nafas sedikit keras kedengaran. Shaza tidak mencampuri, Zafran juga membiar.

“Papa dah sediakan tempat untuk Ell, bila-bila Ell rasa bersedia, terus beritahu papa.”

Angguk Elsa, puding pencuci mulut disudunya mengguna sudu kecil lalu dihulur ke mulut Zafran. Zafran mengelak, menggeleng perlahan. Malu dia diperlakukan begitu di hadapan Shaza dan Rusman. Shaza tidak mempeduli mesti sakit sudah sekeping hatinya, Rusman pula memerhati dengan mata hati.

“Tak nak?” Elsa tidak berpuas hati.

Zafran geleng.

“Kenapa? Bukankah abang suka puding ais krim ni?”

“Kenyang sangat dah.” Zafran beralasan.

“Owh, okay.”

Cara Elsa seakan sengaja mahu Shaza tahu selalunya Zafran tidak menolak disuap, Shaza faham. Mahu saat itu Zafran ditujah dengan garfu yang dipegangnya tetapi ditahan. Dia sekadar benci sendiri.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.