Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
222,673
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 6

SUDAH 15 minit dia hanya bermenung di tempatnya. Kerusi berpenyandar tinggi dipusing membelakangkan pintu masuk dan meja tulis, dia menghadap dinding tembok berwarna mutiara. Meja masih kosong seperti semalam dan kelmarin, hiasan juga serupa, dua batang pen merah dan hitam terpacak di tapaknya, sebuah telefon pejabat dan bingkai gambar meja mempamer foto dia sewaktu bayi, ibu dan papa. Dingin ruang sederhana itu tidak mampu menyejuk panas hati, dia berusaha bertenang sendiri. Tidak juga giat berfikir kerana rencana sudah bertekat, dia harus pergi, cuma berasa berketul di hati mengapa dia dilayan sebegitu jelek. Dia terasa benar-benar terhina dik penghinaan anak sulung Nadia, penghinaan serupa pernah diterima dari Zafran lama dahulu, sewaktu dia masih mentah benar. Kecederaan dahulu masih berdarah kini dia dilukai lagi namun dia puas sudah.

Belum pernah dia sejahat dan sebiadap itu. Nek Piah sudah mengajarnya peradaban, gaya bertutur seorang gadis timur dan kesopanan berhadapan orang yang lebih usia dan yang lebih muda. Dia akur dan tidak pernah melanggarnya tetapi hari itu tanpa sengaja dia muntah sudah. Kebencian yang cuba dipupuk sejak lama dahulu pada Zafran ditambah dengan kata-kata kesat Adam yang tidak sedar dirinya berpijak di mana membuat dia seketika lupa diri. Tidak langsung takut dia meski semua mata menumpu dia, dia terus berani malah berasa besar berbanding dua yang masih duduk.

Shaza hanyut ke momen silam juga tanpa sengaja…

‘Terima kasih kerana memberi saya pengalaman bercinta di usia terlalu muda, cinta monyet yang menjelekkan. Untuk pengetahuan awak, saya akan tinggal bersama orang tua saya di bandar. Awak memang tak layak untuk saya, langsung tak layak. Jika saya terus bersama awak, hidup saya hanya di kampung ini. Kerana itu saya dengan ini secara rasminya mengumumkan perhubungan kita berakhir di sini. Awak tidak pernah ujud dalam hidup saya. Bye…’

Seperenggan ayat di dalam surat itu disisip di pangkal hati, sampai mati dia tetap ingat penghinaan kesat itu dan dia nekat untuk tidak bertemu lelaki itu lagi! Tidak juga mahu membalas surat itu. Biar!

Telefon bimbit di atas meja di belakangnya bernada panggilan lama, mengejutkan Shaza. Mengeluh dia perlahan, menyimpan kesakitan semalam sebaik-baiknya. Nada panggilan mati, sejurus bernada lagi. Walau rasa malas melayan sebarang gangguan, dia memusingkan juga kerusinya, mencapai telefon itu kemudian memusingkan semula kembali menghadap dinding membelakang pintu masuk dan meja. Dia memberi salam selepas menyebut ‘hello’.

“Ya mama, ada apa?”

“Dah habis meeting kan?”

“Dah, kenapa?”

Nadia tertawa lembut dihujung sana. “Mama call papa tadi tanya, papa kata meeting berlangsung baik, Abang Adam dan Zafran terima kasih Sha. Tahniah sayang, bersusah senanglah dengan Creative Advertising.”

“Okay ma, insyaallah.” Shaza malas benar namun, dilayankan juga dengan hati separuh rela.

“Kita lunch sama tengah hari ni? Mama kat luar ni, beli barang sikit.”

Shaza membaca muka jam tangan. “Baru pukul sebelas setengah.”

“Ya, nanti pukul satu Sha turun, mama tunggu dalam kereta.”

“Dengan siapa lagi kita ma?”

“Kita berdua aja.”

“Oh, tengoklah nanti. Apa-apa nanti Sha akan call mama.”

“Ok, mama tunggu.”

Shaza angguk walaupun tidak mungkin Nadia melihat anggukannya. Sebelum menyudahkan perbualan dia menyebut ‘ok’ juga. Dia meletak telefon kembali di atas meja di belakang tanpa memusing kerusi, hanya tangan dihulur ke belakang. Terus juga dia menghadap dinding.

Di luar rupa-rupanya Zafran sudah lama memerhati melalui dinding cermin di sisi pintu yang bertutup. Sudah lama dia berdiri di situ menyaksi kekecewaan Shaza. Dia bersimpati walaupun rasa sakit semalam masih ada. Memang sudah lama dia berhajat mahu bertemu Shaza untuk meluah apa yang dia rasa dan rasakan. Dia mahu Shaza tahu apa dilaluinya selepas gadis itu memutuskan perhubungan mereka tetapi melihat teruknya Shaza ditikam abang tiri dan mulusnya keikhlasan yang terpancar di rona wajahnya, Zafran berubah simpati. Mahu benar dia memujuk, menenang dan memanja seperti mana Nek Piah pernah memanjakan. Diketuknya pintu perlahan, selepas tiada respon, dia mengetuk lagi. Shaza memusing kerusi merenung ke pintu, angguk membenar sesiapa juga mahu menemuinya di situ.

“Assalamualaikum Za.” Perlahan, lembut dan merdu benar intonasinya. Hanya dia, mengguna nama singkat itu sejak di zaman kanak-kanak. Tiada siapa tahu walaupun Enna.

Shaza mengeluh berat namun menyembunyi rasa sakit, tidak mahu dilihat Zafran apa yang dia rasa saat itu. Dia mahu dilihat kuat oleh Zafran. Salam dijawabnya sesingkat salam yang diberi, duduknya dibetulkan, diselesakan seraya memberi isyarat duduk kepada Zafran. Zafran duduk, mata masih diletak pada seraut wajah tenang Shaza.

“Ya Encik Zafran, ada apa ya? Kenapa you tak mintak saya saja ke sana?”

“Za, lama saya cari awak.”

“Oh ya? Kenapa ya?”

“Saya cuba untuk lupakan awak, cuba untuk membenci awak tapi saya tak mampu.”

Shaza berkerut dahi, direnung Zafran sedikit lama, berusaha menunjuk kuat dan berani meski dalam dadanya berdegup kencang.

“Saya rindu awak, rindu zaman gembira kita.”

Shaza mengeluh bosan. “Zaman gembira kita? Saya tak ingat langsung.”

“Zaman kanak-kanak, zaman cinta monyet.” Zafran memperjelas.

Shaza berpura-pura sibuk menyemak telefon bimbit dan mengalih perletakan telefon itu, sengaja mahu lari dari cengkaman mata Zafran. Dia kian terdera.

“Za, please…”

“Tolong apa?” lembut seakan memujuk namun, dia berasa sakit benar.

“Kita lupakan jika ada sengketa zaman lampau kita, kita mulakan hidup baru sekarang. Saya bersedia memaafkan awak.”

Mencerlang mata Shaza, berkerut kening. Tidak faham dia mengapa dia harus dimaafkan dan apa kesalahannya sedangkan dia yang dihina melalui surat pertama dan terakhir.

“Kalau keluarga tiri awak layan awak teruk, saya sokong awak tinggalkan tempat ini tapi bagi peluang saya tolong awak.”

“Tadi awak mintak tolong dari saya, sekarang awak nak tolong saya? Apa sebenarnya apa yang awak nak Zafran?” semakin deras, semakin keras dia.

“Awak dah berubah sekarang. Shaza yang saya kenal dulu tidak macam ni, dulu awak lembut, manja, sentiasa nak saya tolong awak.”

“Namapun masa lalu kan? Sekali air bah sekali pantai berubah inikan pulak berkali-kali banjir, maka berkali-kalilah saya berubah.”

“Tapi tak mustahil pantai akan berubah kembali kepada asal, kan?”

“Semua itu kerja Allah, Dia Maha Mengetahui, Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana. Kita hanya boleh tunggu dan lihat.”

“Saya tak tahu mengapa awak mintak putus sedangkan saya hanya nak tinggal bersama orang tua saya di bandar. Bukan saja-saja nak tinggalkan awak, tapi mengapa awak mintak putus dan terus menyisihkan saya?”

Berkerut lagi kening Shaza, sungguh dia tidak faham lagu apa yang dinyanyikan Zafran. “Saya tak faham…” tidak sempat disudahkan, Rusman memberi salam sebaik pintu bilik dikuaknya perlahan.

Zafran dan Shaza menoleh hampir serentak.

“Dah mula berbincang pasal kerja ke?” perlahan dia menghampiri meja Shaza.

Shaza senyum, garu-garu kening dalam usaha dia menyimpan rasa yang berantakan.

“Papa dah selesai berbincang?”

Rusman angguk, duduk dia di sebelah Zafran. Bahu lelaki itu ditepuk lembut, tampak sayang pada pekerja itu. Zafran juga senyum, jelas hormat pada bosnya.

“Projek baru tu, awak nak serah pada Sha handle ke?” Rusman berharap Shaza diberi kepercayaan mengendali sebuah projek baru yang boleh membantu dia menunjukkan bakat.

“Itulah, tengah berbincang dengan Cik Sha ni. Rasanya geometri dan rekaan kreatif tak lari jauh, tetap seiring. Perlu seni dalam diri.” Zafran memuji dan memberi kepercayaan.

“Ya, ke dua-duanya dalam satu kotak. Lagipun pengajian hanya pembuka minda, keluar dari kotak, sijil adalah suatu pengiktirafan kepada pencarian ilmu itu, bukti kita tekun dalam pencarian ilmu, yang penting adalah kreativiti dan usaha kita. Rasanya hanya beberapa peratus saja apa yang kita belajar di university, kita practice dalam kerja, betul tak? Selebihnya datang dari usaha sendiri.”

“Betul, dan bakat berniaga yang diwarisi dari orang tuanya.” Zafran memberi maksud bakat Rusman pasti turun kepada Shaza.”

“Saya pun rasa macam tu dan Sha banyak mewarisi keperibadian ibunya. Tenang, diam-diam berisi alih-alih meletup kejayaannya.” Berkali-kali Rusman merenung Shaza dan Zafran silih berganti. Dia sedar ada kesakitan di dalam hati anaknya tetapi didiamkan. Tidak mahu bertanya di hadapan Zafran.

Shaza hanya diam, senyum tidak berjaya dimaniskan meski berusaha benar dia, tetap pahit.

“Sha, habis berbincang dengan Zafran nanti, masuk bilik papa?”

Shaza angguk, masih juga senyum bergetar. Tampak lenguh dia bersembunyi di sebalik senyum itu. Rusman bangun selepas menepuk bahu Zafran dua kali, lembut, penyayang dan menghargai. Zafran turut bangun tanda hormat.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.