Pesawat
NAS AIR mendarat dengan selamatnya di LTA Bayan Lepas pada jam 8.00 pagi. Anak
syurga kami tidur sepanjang penerbangan itu. Iris hanya bangun bermain-main
selepas makan malam, kemudian tidur sehinggalah kami selamat mendarat.
Urusan
tuntutan bagasi menjadi lambat dan tergendala kerana ruang yang sesak disamping
terdapat berbagai penumpang lain, terutamanya pelancong membuat tuntutan bagasi
di situ. Sedangkan jemaah dalam dua kumpulan travel umrah sudah begitu ramai
serta sesak dengan bagasi masing-masing.
“Pastikan
ambil beg masing-masing, nanti jangan terambil beg orang lain, kelak susah,”
Ustaz Zakaria mengingatkan jemaah.
“Yang
mana dari kumpulan A, bila dah ambil beg sila berkumpul di sini,” Ustaz Zul
selaku mutawif bagi kumpulan A, berpesan supaya berkumpul di tempat yang telah
ditetapkan.
“Yang
mana dari kumpulan B, ikut Ustaz Zakaria!” Ustaz Zul berpesan kepada ahli jemaah
dari kumpulan B.
“Tujuan
kita berkumpul ini untuk pastikan setiap kumpulan cukup ahlinya, sebelum kita
berpisah buat sementara, kita nak ambil kesempatan untuk mengucapkan selamat
kembali ke tanahair dengan selamatnya,” Ustaz Zul memberi penjelasan.
“Tuan-tuan
dan puan-puan, saya bagi pihak mutawif bagi Tiram Travel, Ustaz Zakaria dan
Ustaz Roslan mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kerana memilih
Tiram Travel, untuk mengerjakan umrah dan ziarah,” Ustaz Zul merakamkan
penghargaan ini dengan menggunakan pembesar suara.
“Nanti
jangan lupa air Zam-Zam, tunjukkan passport
tuan-tuan, seorang satu kotak, “ Ustaz Zul memang suka berpesan
mengingatkan jemaah.
“Kami
mutawif ingin memohon maaf, jika ada sebarang kesilapan sepanjang saya dan
rakan-rakan mengendalikan perjalanan tuan-tuan dan puan-puan ke tanah suci,”
Ustaz Zakaria menyambung.
“Kami
harap akan berjumpa lagi di lain masa dan di lain ketika dengan Tiram Travel,
balas Ustaz Zul.
Ustaz
Zul menambah sambil diperhatikan oleh Ustaz Zakaria “Jangan lost contact pula. Hubungi rakan-rakan
kalau ada yang nak buat kenduri atau nak kahwin ka, Insya-Allah kami sampai.”
“Nanti
semua boleh dapatkan nombor telefon, boleh lanjutkan pertemuan ini dalam cara
yang berbeza,” Ustaz Zakaria menambah apa yang dikatakan oleh Ustaz Zul.

“Yang
nak kongsi gambar pun boleh, atau ada yang nak tulis buku merakamkan perjalanan
di tanah suci, dialu-alukan,” tambah Ustaz Zul lagi.
Kami
seramai 80 orang jemaah dari Tiram Travel kemudiannya mengaminkan doa yang
dibacakan oleh Ustaz Zakaria. Mohon supaya selamat dalam perjalanan balik ke
rumah masing-masing.
“Saya
tau ramai yang menunggu di rumah, kalau yang bawa kereta pandu hati-hati!”
pesan Ustaz Zul lagi.
Kemudiannya
kami bersalam-salaman dan berpelukan ala ‘Arab’, mengucapkan Salam perpisahan.
Semoga berjumpa lagi. Suasana agak sayu kerana kami telah bersama selama 13
hari 12 malam, di dua tanah suci (Haramain), perpisahan tentulah memilukan.
Entah bila akan bertemu semula.
Selepas
itu masing-masing bersurai. Ada yang dijemput keluarga dan ada yang balik
menggunakan perkhidmatan teksi.
Sedar
tak sedar jam sudah menunjukkan pukul 2.00 petang. Masing-masing kemudiannya
menuju ke kaunter air Zam-Zam. Tuntutan dibuat berdasarkan jumlah passport yang
ditunjukkan. Memang benar, jumlahnya sama tetapi kotak yang diterima dalam
pelbagai tanda dan label. Tidak mengapa asalkan jumlah botolnya mencukupi,
mengikut jumlah passport.
Kami
mengambil teksi limosine dan
memuatkan segala bagasi dan kotak-kotak berwarna Oren, mengandungi air Zam-Zam.
Selepas dua jam perjalanan barulah sampai di kampung kelahiranku. Menyusuri
laluan sempit di kaki Gunung Jerai, sehinggalah selamat tiba di rumah. Di sana
kenderaanku ditinggalkan. Kami akan berehat sebentar dan seterusnya kembali ke
rumah kediaman di Taman Mutiara Naga, Kepala Batas, Kedah.
Sesungguhnya
perjalanan ke dua tanah suci iaitu Madinah dan Makkah amatlah mengesankan di
jiwa. Berbagai peistiwa samada yang dialami atau didengari terakam dalam
perjalanan ini.
Kepulangan
kami membawa seutas tasbih yang dihadiahkan oleh seseorang kepadaku di Masjidil
Haram, sebelum solat Zohor terakhir dan sebelum Tawaf Wida.
Kemunculan
lelaki berjubah putih dengan serban yang rapi secara tiba-tiba di belakangku
dan terus menanyakan namaku, masih menjadi misteri. Wajah lelaki itu masih
dapat dibayangkan sehingga kini.
Berbagai
rakaman kisah misteri telah terakam bagi sesiapa yang mengalaminya di tanah suci.
Mungkin ada iktibar yang tersembunyi. Hanya Allah yang maha mengetahui setiap
apa yang berlaku. Kita hanya mampu memanjatkan doa memohon perjalanan kita ke tanah
suci diberkati dan segala amalan kita diterima. Tidak kira samada ibadah haji
atau pun umrah. Semua menginginkan yang terbaik.
Yang
baik dijadikan tauladan, manakala yang buruk dijadikan sempadan.
Kata
Professor Muhd Kamil “Biar apa pun yang berlaku di tanah suci, ianya sama
sekali tidak akan merubah kepercayaan dan keyakinan saya terhadap
kekuasaanNya.”
Itu
mesej yang aku terima daripada penulis buku “Travelog Haji”. Mesej ini diterima
melalui peti mesej (inbox) pada laman Facebook,
setelah aku menceritakan beberapa pengalaman di tanah suci kepada Professor
Muhd Kamil.
Beliau
yang sebelum ini telah memberi pandangan berhubung pertanyaanku mengenai umrah
anak kecil, telah menghadiahkan mutiara berharga kepadaku dengan kata-kata yang
diungkapkan olehnya.
Sesungguhnya
kunjungan ke tanah suci merubah sempadan Iman, itu yang dapat kucatatkan. Di
harap apa saja catatan yang ada di dalam buku ini sedikit sebanyak dapat
mengungkapkan kisah perjalanan mengerjakan umrah, sedikit sejarah tempat-tempat
ziarah dan amalan-amalan dalam mengerjakan ibadat Umrah.
Buku
ini bukanlah rujukan yang terbaik bagi panduan mengerjakan umrah. Ia hanyalah
catatan kecil tetapi signifikan, mengerjakan umrah bersama keluarga yang
disertai oleh seorang anak yang dilahirkan istimewa, seorang kanak-kanak yang
mengidap autisma, seorang anak syurga.
Wallahu’aklam.