Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
242,533
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2

SELANG 10 minit, Rayyan dan Eve akhirnya sampai di Wisma Ajmain tanpa sebarang gangguan. Perjalanan mereka lancar kerana menurut laporan Grace, kedua-dua buah kereta yang mengekori tadi sudah pun berjaya dilencongkan ke tempat lain.

Sebaik sahaja mereka berdua tiba di dewan pembidaan, ramai pembida sudah pun menunggu proses bidaan yang akan bermula sekejap lagi. Dalam kesesakan orang ramai, mata Eve menangkap kelibat Sir Jim yang kini melangkah ke arahnya.

Tanpa berlengah, cepat-cepat dia membetulkan rambut dan bajunya agar kelihatan lebih kemas. Rayyan yang berada di sebelahnya turut memberikan isyarat kepadanya agar berlagak biasa.

Hi, sweety. Uncle ingat papa you yang akan datang hari ni.” Sir Jim menghulurkan tangan untuk bersalaman. Lantas, huluran tangan tersebut disambut hambar oleh Eve.

“Alah uncle ni, Eve kan yang sekarang ni uruskan Campbell Corporation. Takkan uncle lupa kot?” balas Eve sambil mengukir senyuman semanis madu.

Perasaan menyampah yang semakin menggunung dalam hatinya mesti ditutup dengan sebaik mungkin. Sir Jim ialah pesaing terbesarnya dalam dunia perniagaan. Walaupun berumur sebaya dengan papanya, lelaki ni memang tidak boleh diberi muka sangat.

Mendengar ayat Eve, Sir Jim ketawa besar. Dalam hati, perasaannya mendongkol geram. Macam manalah anak buahnya buat kerja sampaikan Eve terlepas juga ke sini?

Dia sudah menghantar dua pasukan untuk menghalang perjalanan gadis itu kerana dia tahu Eve Campbell sangat handal dalam merebut projek bertaraf mega. Dalam masa enam bulan sejak syarikat itu diterajui oleh ketua pegawai eksekutif muda tersebut, saham syarikat semakin mencanak naik dan keuntungan berlipat kali ganda juga dapat dikaut.

Projek yang mesti didapatkan pada hari ini pula ialah projek cari gali emas di Vietnam. Usaha sama Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Vietnam ini sangatlah jarang-jarang berlaku. Jika termeterai perjanjian perniagaan ini, maka syarikat yang berjaya memperoleh tender projek akan menjana keuntungan berjuta-juta atau mungkin juga berbilion ringgit.

“Jom uncle, majlis dah mula.” Eve mengajak Sir Jim sekadar berbasa-basi.

Sir Jim mengacip giginya dengan kemas. Perasaan geramnya menggunung dek ambang kekalahan bagaikan menari-nari di hadapan mata.

Setelah majlis pembukaan acara tamat, kini tibalah masa untuk slot pembidaan dibuka. Pembidaan kali ini agak menarik kerana pemenang ditentukan oleh pembentangan rancangan perniagaan.

Sekejap lagi, giliran Eve untuk membentangkan rancangan perniagaan syarikatnya akan tiba. Namun, ketika dia ingin mengambil pendrive dari tas tangannya, barulah dia menyedari bahawa pendrive itu telah hilang!

‘Kenapalah aku ni cuai sangat tak backup dokumen tu ke cloud? Sekarang, tengoklah apa dah jadi!’ Eve mengeluh sendiri. 

Muka berkerut-kerut Minah Salleh itu disedari oleh Rayyan yang duduk di tepinya.

‘Bala apa pulak kali ni?’ Dia menjongket kening menanyakan apa yang berlaku. Risau betul jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam majlis ini.

Memahami isyarat kening yang diberikan oleh Rayyan, Eve segera menulis masalah tersebut di atas sekeping kertas kecil dan menghulurkannya ke bawah meja. Sengaja dia berbuat begitu untuk mengelakkan orang lain lebih-lebih lagi musuh perniagaannya berasa curiga.

Rayyan pula apabila membaca tulisan tersebut, dia tidak terus bangun bahkan senyap dan mindanya difokuskan kepada saat ketika mereka berdua mula-mula sampai di wisma ini. Seketika, dia membuka mata lalu bingkas bangun dari kerusi dengan alasan mahu ke tandas.

Namun, lagaknya yang nampak tenang ketika keluar dari dewan dipandang sinis oleh Sir Jim yang berada di meja bersetentangan dengan Eve. Nampaknya, backup plan dia tidak mengecewakan!
Sebaik sahaja keluar dari dewan, Rayyan segera menghubungi Syafiq dan menjelaskan situasi.

“Falcon, kau tengok CCTV berhampiran,” suruhnya dengan nada geram.

“Kejap, Boss.” Dalam masa dua minit, dia memaklumkan keputusan penggodamannya kepada Rayyan. Seperti dijangka, laporan itu disambut dengan keluhan kasar.

"Boss, dari CCTV ni memang aku nampak ada seorang pelayan air seluk poket baju Cik Eve dari belakang. Nampak macam profesional. Kalau ikut kedudukan dia sekarang ni, dia menghala ke parkir lot bawah.  Sana tu parkir untuk van dan kereta tetamu wisma ni," jelas Syafiq dengan panjang lebar.

Tanpa membuang masa, Rayyan segera berlari turun ke lot parkir. Dalam larian, matanya sempat mengerling kepada jam tangannya dan sekali lagi jantungnya berdegup kencang. Masa yang berbaki hanya 15 minit saja lagi sebelum tiba giliran Eve membentangkan rancangan perniagaannya. Habislah jika dia gagal dapatkan balik pendrive tersebut.

"Falcon, situasi." Rayyan meminta laporan perjalanan suspek sambil lariannya dihentikan dan langkah kakinya diperlahankan. Kini, dia berada di parkir lot bawah bangunan Wisma Ajmain.

“Suspek berada selang tiga buah kereta dari sebelah kanan. Hati-hati, dia ni ada senjata,” jawab Syafiq.

Rayyan semakin memperlahankan langkahnya lalu bergerak dengan lebih berwaspada. Matanya juga ditajamkan bagi mengesan kehadiran musuh. Pada hematnya, musuh itu pun sudah menyedari dirinya diekori. Dari pantulan cermin kereta yang berada di sebelah kanannya, Rayyan dapat melihat pergerakan mencurigakan dalam siaga seorang lelaki berhoodie di belakangnya.

Seketika, dia menyeringai sebelum mengelak daripada serangan mengejut si musuh dari arah belakangnya. Buku limanya dikemaskan dan langkahnya juga lebih disiagakan dengan matanya juga turut tajam dalam memerhatikan langkah penyerang yang seterusnya.

Daripada hasil analisis terhadap musuh tersebut, dia sudah dapat membaca dan mengagak langkah serangan selepas ini. Seperti yang dijangka, musuh tersebut hanya bertindak melibaskan pisau lipatnya secara membuta tuli dan sekadar membelah angin.

‘Huh, amatur sangat. Patutlah lemah,’ ejek hati Rayyan kepada si musuh.

Melihat kepada tindakan Rayyan yang pantas mengelak, menepis dan tidak membalas serangannya sedikit pun, si musuh mulai mengatur langkah lain.

‘Aku tak boleh kalah,’ getusnya hatinya. Lantas, dia menyerang lagi dengan bertalu-talu sehabis daya. Baginya, menyelesaikan misi yang diberikan adalah priority penting. Habislah kalau dia gagal. Tidak ada penamat yang indah untuk seorang penjenayah.

Namun kerana tersilap langkah, tiba-tiba satu tumbukan maha kuat hinggap di dagunya dan ketika itu juga dia terasa tangannya dikilas ke belakang. Dia cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri, tetapi lagi dironta lagi kuat tangannya dikilas.

“Hei, bodoh! Mana pendrive tu?” soal Rayyan garang.

“A… aku kena upah je bro. Tolong bro... tolong lepaskan aku,” rayu si musuh dengan suara menggeletar. Jerkahan lelaki itu membuatkannya berasa amat kecut perut.

Mendengar rayuan itu, Rayyan menggeleng. Budak ini memang silap besarlah jika berani cari pasal dengan Campbell Corporation, tambah-tambah pula ketika dia yang bertugas. Dia memiliki tali pinggang hitam dalam judo dan taekwando. Mana mungkin dia dikalahkan oleh penyerang hingusan?

“Kau ni muda lagi. Sepatutnya, kau kerjalah elok-elok jadi pelayan tu, bukannya jadi pencuri macam ni. Bebal,” marah Rayyan.

“Aku minta maaf bro,” rayu musuh itu lagi dengan kepalanya ditundukkan ke bawah.

“Bro, bro! Siapa bro kau hah? Dah, bagi balik barang yang kau curi!” tekan Rayyan.

“Ahh... sakit weh, sakit. Bukan aku tak nak bagi balik. Tapi…” balas musuh dengan serba-salah.

Melihat itu, Rayyan memulas lagi tangan si penyerangnya itu dengan lebih kuat. Saat itu juga, dia melihat cecair jernih mulai membasahi seluar jeans yang dipakai oleh musuhnya itu. Terus dia menjarakkan sedikit badannya. Kalau terkena air kencing, haru pulak nanti.

Arkk... okey. Okey. Aku bagi. Aku bagi. Okey aku bagi. Tt... tolong lepaskan aku.”
Musuhnya itu akhirnya mengalah lalu Rayyan melonggarkan pulasannya.

Melalui isyarat tangan yang ditunjukkan oleh musuh itu, Rayyan berjaya mendapatkan semula pendrive yang disimpan di dalam poket hoodie si musuh.

“Ace, kau kat mana sekarang?” tanya Rayyan kepada Ren Hau melalui earbud yang terletak di telinganya. Tiada jawapan daripada Ren Hau melainkan kedengaran bunyi derapan langkah larian menuju ke arah mereka berdua.

“Ace, May, bawa budak ni masuk lokap. Menyusahkan orang betul. Hei, budak! Jangan risaulah, duduk kat dalam tu dapat makan free!” kata Rayyan lalu menolak si musuh kepada Ren Hau.

“Oh, hati-hati sikit. Budak tu terkencing,” pesannya pula sambil mengulum senyum.
Hatinya tergeletek lucu melihatkan reaksi geli yang terzahir di wajah Ren Hau. Grace pula hanya mengangguk akur lalu mereka berdua segera mengheret musuh itu pergi dari situ.

Tanpa membuang masa, dia terus berlari menuju ke dewan utama di mana pembentangan berlangsung. Sesampainya di sana, dia terus menapak laju ke skrin komputer lalu menayangkan pelan perniagaan Campbell Corporation. Dari bawah pentas, dia dapat melihat isyarat bagus daripada Eve.

‘Alhamdulillah, settle masalah.’ Rayyan melepaskan nafas lega. Hari ini sungguh tak relaks!



SEJURUS pintu Dewan Utama Wisma Ajmain terbuka, Hana Mikayla bersama sekumpulan wartawan lain menyerbu masuk dan bersesak-sesak di hadapan pintu. Masing-masing tidak mahu kalah dalam menyoal orang penting yang menghadiri acara itu bagi mendapatkan berita eksklusif bidaan projek bernilai jutaan ringgit daripada Kerajaan Vietnam.

“Cik Eve Campbell!” jerit para wartawan.

Terdengar saja teriakan nama itu, Hana terus berlari mendapatkan wanita berketurunan Mat Salleh tersebut. Eve yang elegan dalam sepersalinan set pakaian kot ungu berserta fesyen ikatan rambut blonde yang disanggul kemas kelihatan sangat cantik.

“Apa rahsia Cik Eve dalam memenangi bidaan ni? Bidaan ni bukannya senang nak dapat,” soal Hana sambil berhimpit-himpit dengan wartawan lain.

“Macam mana Cik Eve berjaya dapatkan projek ni?” Wartawan lain pula menyoal, juga bersesak-sesak.

“Apa perasaaan Cik Eve?” tanya lagi wartawan yang lain.

“Tahniah Cik Eve!” jerit wartawan lain pula.

Persoalan demi persoalan yang diterima daripada wartawan terus bertali arus dan Eve hanya sempat menjawab apa yang patut sahaja. Tepatnya, dia mahu segera kembali ke pejabat kerana sudah pasti papanya sedang bergembira sekarang. Lagipun, mustahil hartawan itu tidak gembira apabila anak emasnya sekali lagi berjaya mengharumkan nama syarikat Campbell Corporation. Nampaknya syarikat gergasi miliknya bakal bertapak 40 tahun lagi dengan kehadiran pewaris seperti Eve.

“Maafkan kami. Cik Eve akan buat sidang media pagi esok di ibu pejabat Campbell Corporation. Jadi, mohon beri kerjasama.” Rayyan terpaksa mencelah sekali gus mengiring Eve masuk ke dalam kereta yang sudah diparkir di lobi wisma.

Ren Hau yang bertindak sebagai pemandu serta Grace sebagai pembantunya sudah bersedia berdiri di muka pintu kereta.

“Nanti dulu Cik Eve!” halang sekumpulan wartawan.

“Cik Eve!” jerit wartawan lain pula lalu cuba menyaingi langkah Eve yang dikawal ketat oleh Rayyan.

Melihat situasi itu, Rayyan mendengus dalam hati. Memang wartawan ini sejenis manusia yang tak reti bahasa ke? Kerana itu, dia terus-menerus melindungi Eve daripada serbuan rapat para wartawan seterusnya mengiringnya masuk ke dalam kereta.
Setelah memastikan Eve selamat masuk, dia memberi isyarat kepada Ren Hau agar terus beredar dari situ. Namun, sebelum sempat dia mengangguk, tiba-tiba Eve menurunkan cermin kereta.

“Tak naik sekali?” tanya Eve dengan senyuman nipis. Sungguh, jika tidak kerana Rayyan yang menjadi hero menyelamatkan bidaan projeknya hari ini, mahu dia meraung tergolek-golek di lantai wisma masa itu juga!

Rayyan lantas melemparkan senyuman lebar dan tangan kanannya juga menayangkan anak kunci kereta ke muka Eve.

“Ni nak campak ke mana baby aku ni?” sengihnya.

Melihatkan ulah lucu Rayyan, serentak Eve, Ren dan Grace ketawa. Aduhai, Rayyan dan BMW i8 hitam metaliknya berpisah haram!

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20