Home Novel Seram/Misteri Misteri Jelmaan
Misteri Jelmaan
Nik Zah
15/11/2015 11:25:55
46,765
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 22

Lemah longlai lututku apabila menyedari bahawa Adik tiada di belakangku Apa sudah jadi? Apabila aku memandang sekeliling, aku bertambah terkejut kerana aku sebenarnya berada di kawasan tanah perkuburan.

Aku tidak menunggu masa yang lama lagi. Tanpa menoleh ke mana-mana  aku terus memecut motor kembali semula ke rumah. Aku sudah tidak menghiraukan hujan yang semakin lebat menerjah kepalaku. Apa yang penting, aku mesti sampai di rumah secepat mungkin!

            Disebabkan aku membawa motor dalam keadaan penuh kelam kabut dan tangan menggeletar, aku hampir terjatuh diseberang jalan kerana cuba mengelak sesuatu yang tiba-tiba melintas dihadapanku. Kakiku pula melecet apabila aku cuba menghentikan motor dengan menggunakan kedua-dua kakiku. Selipar jepun yang ku pakai juga sudah tercabut.Nasib baik aku tidak melanggar kenderaan lain kalau tidak pasti keadaan akan menjadi lebih teruk.Aku tidak menoleh ke belakang lagi apabila aku terdengar suara yang memanggil-manggil namaku dengan mendayu-dayu. Entah apa yang aku langgar tadi?

            Tanpa menghiraukan kakiku yang mula berdenyut sakit, terus sahaja aku meneruskan perjalanan ke rumah dan berharap tiada lagi perkara buruk berlaku. Aku tiba di rumah dalam keadaan basah kuyup.Apa yang mengejutkan aku ialah aku lihat Adik berdiri di muka pintu lengkap bersweater dengan muka yang masam mencuka. Baru sahaja aku ingin membuka mulut Adik sudah pun bersuara tanda tidak berpuas hati.

            “Kakak ni tinggal Adik macam tu je.Adik dah siap-siap dah pun.” Adik memandangku dengan pandangan tajam.

            Saat mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Adik itu membuatkan jantungku berdetak kuat. Bulu romaku juga sudah meremang ditambah pula dengan keadaanku yang basah kuyup disimbah hujan serta kakiku yang melecet sebentar tadi.

            Tanpa menghiraukan Adik yang masih berdiri di muka pintu, aku terus sahaja masuk ke dalam bilikku lalu menukar pakaian. Aku tidak menghiraukan suara ibu yang memanggilku dari luar apabila menyedari aku sudah pulang. Aku rasa kepalaku berat dan aku sudah tidak sedar apa-apa lagi selepas itu.

 

Aku tersedar apabila menyedari ada tangan yang memegang dahiku. Aku cuba membuka mata walaupun masih lagi terasa berat. Sebaik sahaja terpandang wajah ibu dan abah ,aku terus sahaja memeluk ibu. Terasa damai apabila berada dalam pelukan ibu.

            “Dah pukul 10 pagi Nora. Kamu tak bangun lagi. Dahi kamu pun panas ni.Kamu demam ya.” Tutur ibu lembut sambil terus sahaja mengelus rambutku. Kelihatan bengkak mata ibu mungkin disebabkan kerap berjaga malam apabila menjaga Rahman yang kerap meracau tidak tentu masa.

            Terus sahaja aku ceritakan apa yangberlaku malam tadi dan nyata sekali ibu  agak terkejut dan berpandangan sesama sendiri.

            “Semalam Adik mengadu sakit kaki.Jadi memang dia tak ke mana-mana. Ibu suruh dia tidur awal. Sekejap lagi abah nakhantar Adik ke hospital. Nak check semula kakinya tu. Macam bengkak.” Terang ibu dan dibalas dengan anggukan oleh abah. Aku meneguk liur.

            “Abah kamu pun dah panggilkan Lebai Mat semalam bila kamu lambat sangat pulang. Ibu perasan kamu dah pulang tapibila ibu panggil tak pula kamu menyahut.” Sambung ibu lagi.

            Mendengarkan penerangan ibu membuatkan kepalaku berpusing semula. Apakah yang berlaku dalam keluargaku sebenarnya?

Previous: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.