Home Novel Seram/Misteri Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Farhah Aiddin
21/1/2018 05:15:50
38,582
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

6

Qasyaf membaringkan dirinya di atas katil. Anak matanya berlari seiring dengan kipas yang berpusing. Satu keluhan berat dia lepaskan. Selalunya bila dia berhadapan dengan makhluk halus yang hodoh itu, imaginasinya penuh dengan rupa mereka. Tetapi malam ini telinganya pula sibuk bermain kata-kata bunda tadi. Marah benar bunda dengannya.

“Syaf, ini amaran terakhir bunda. Kalau tidak, bunda hantar kamu tinggal dengan atok di kampung. Degil sangat!” Bagus juga kalau tinggal dikampung dari tinggal di sini dengan makhluk-makhluk yang menakutkan tu. Itu yang bermain difikiran Qasyaf setiap kali dia teringat amaran bundanya tadi.

Qasyaf bangun dari pembaringannya dan menghala ke meja belajar. Dia mengeluarkan pembalut buku di dalam laci sebelah kiri dan mengambil gunting dan sellotape yang berada di atas meja. Kemudian dia meletakkan semua buku-buku teksnya di atas permaidani untuk dibalutnya. 

“Buku pinjaman kena jaga betul-betul. Ini bukan hak individu.” Ayat yang selalu kak Nada ungkapkan. Rindu pulak nak dengar. 

‘Tok! Tok!’ Pintu bilik diketuk sebelum dikuak perlahan.

“Syaf, boleh papa masuk?”  

“Masuklah pa.”

Papa duduk di atas kerusi belajar Qasyaf. “Kenapa tak tidur lagi? Esokkan cuti. Boleh balut buku-buku teks ni.”

Qasyaf sengih. “Saja. Terlebih rajin pulak malam ni.”

Papa menggosok umbun Qasyaf seperti selalu. Dia masih rasa serba salah pada Qasyaf atas apa yang berlaku dulu dan tadi. Dulu dia tidak ambil apa-apa tindakan apabila isterinya selalu melepaskan amarah pada Qasyaf sehingga dia lupa anaknya itu juga perlukan perhatian dan kasih sayang.

“Jangan ambil hati dengan apa yang bunda katakan. Syaf tahulah bunda tu, dia mana suka benda-benda yang berkait dengan makhluk halus ni. Cuba Syaf pujuk bunda dan rapat dengan bunda, mungkin dia akan percaya kata-kata Syaf suatu hari nanti.” 

Tangan Qasyaf yang sedang menggunting pembalut buku terhenti. “Orang tak pandai bab-bab memujuk ni pa. Mau bunda terkejut beruk bila orang buat macam tu nanti.” Betul, dia bukan Qausar dan Qoyyim yang pandai ambil hati bunda mereka. 

“Pergi berguru dengan abang dan Ayim. Budak berdua tu juara dalam pertandingan menyejukkan hati puan Raden Aulia.” Gurau papa bila teringatkan tingkah laku dua anak bujangnya yang banyak akal itu.

Qasyaf tergelak geli hati. “Papa ni... pa lah pergi belajar dulu, dah mahir baru pa ajar orang pulak.”

“Aik! Papa pulak yang kena.” Hinggar suasana di dalam bilik Qasyaf dengan gelakkan dua beranak itu. “Okaylah Syaf, papa nak masuk tidur dulu. Jangan tidur lewat sangat. Kalau tak habis balut, sambung esok.”

“Okay. Malam.”

Encik Fakhri melangkah menuruni tangga dengan perasaan lega. Lega hatinya dapat menghiburkan Qasyaf. Dia tidak mahu lagi meninggalkan Qasyaf sendirian. Kata ayahnya, syaitan sangat suka dengan manusia yang menyendiri. Mereka akan cuba berkawan dengannya. 

“Pa.. Pa..” 

Langkahan encik Fakhri terhenti saat dia terdengar suara memanggilnya. Suara itu datangnya dari atas. Dia berlari semula ke atas. Matanya tercari-cari suara yang memanggil dalam nada ketakutan itu.

“Pa.. tolang Qolbi.. pa…”

Qolbi? “Qolbi kat mana?” Dia memanggil sambil berlari ke loteng bila menyedari suara itu datangnya dari loteng. “Apa Qolbi buat kat atas tu? Lotengkan tak siap kemas lagi.” 

“Pa.. gelap sangat.. takut.” 

Encik Fakhri yang baru sampai dipintu loteng, memulas tombol pintu. Pintu terkunci dari dalam. “Qolbi, cuba buka pintu dari dalam. Pintu ni terkunci.” Tiada suara yang menyahut. “Qolbi, dengar tak papa suruh ni?” Dia bertanya sambil mengetuk pintu loteng. “Qolbi…”

‘Click’ 

Bunyi pintu loteng terbuka dari dalam. Pantas kaki encik Fakhri berjalan masuk ke dalam loteng.

“Qolbi?” Mana pula perginya anak bongsunya itu. “Jangan main-main dengan papa.” encik Fakhri berjalan ke arah suis lampu. Dia menekan suisnya beberapa kali tapi tetap tidak mahu hidup. Tak akan rosak pula lampu loteng ni? Baru sahaja rumah banglo ini siap dibina, mesti semua lampu berfungsi. Desis hatinya.

Saat dia mengangkatkan kepalanya ke bumbung loteng yang bercermin tingkap, dia terus berlari mencari kerusi. “Eh buat apa kat atas tu? Bahaya!” Dia menghulurkan tangannya pada Qolbi yang sedang duduk di atas bumbung tingkap loteng. “Bahaya Qolbi!”

Muka Qolbi jelas ketakutan. Badannya menggigil. Tangannya kuat memegang hujung tingkap yang terbuka. “Takut pa.. Rasa nak jatuh.” Dia merenggek ketakutan tetapi dia masih tidak mencapai tangan papanya. 

“Jap! Papa cari meja.” encik Fakhri turun dari kerusi tersebut dan mengangkat meja untuk diletakkan di bawah kerusi supaya tangannya sampai untuk mencapai Qolbi. Belum sempat dia memanjat kerusi, sebelah tangan Qolbi terlepas dari tingkap loteng dan menyebab Qolbi hampir terjatuh.

“Pa tolong! Tolong!” jerit Qolbi ketakutan.

Pantas dia memijak kerusi dan berdiri untuk menarik Qolbi turun dari bumbung loteng rumahnya yang agak tinggi. Memang sengaja dia buat ruang loteng ini besar dan tinggi untuk dijadikan pustakaan mini rumah banglo mereka. Tangannya berjaya mencapai hujung jari Qolbi yang hampir jatuh ke bawah.

“Bertenang Qolbi. Kalau bergerak-gerak macam ni, boleh jatuh.” nasihat Encik Fakhri sambil berusaha menarik Qolbi masuk ke dalam loteng. Disebabkan tangan Qolbi yang berpeluh, pegangannya terlepas. 

“Qolbi!” Jelas dia mendengar sesuatu yang berkecai terhempas ke bawah. “Qolbi!” Jeritnya lagi. Dia masih tidak percaya dengan apa yang baru sahaja berlaku.

Tiba-tiba lampu loteng terpasang. Encik Fakhri yang masih tidak dapat menerima apa yang terjadi pada Qolbi terpaku tidak terkata.

“Pa, buat apa gelap-gelap kat loteng ni?” Soal Qaseh yang membuka lampu loteng. Di tangannya memegang tangan Qolbi yang sedang mengantuk. 

Encik Fakhri berpaling ke bawah. “Qolbi!” Dia menuruni kerusi dan meja untuk memeluk Qolbi. “Qolbi okay? Ada sakit kat mana-mana ke? Haish Qolbi ni, buat papa sakit jantung je. Qolbi buat apa atas bumbung loteng tu?”

“Apa papa merepek malam-malam ni? Dari balik tadi Qolbi ada dalam bilik orang.” Dia pergi ke atas loteng ni pun sebab terdengar papanya menjerit memanggil Qolbi. Walhal Qolbi berada dengannya di dalam bilik.

“Papa dengar Qolbi panggil papa, tu yang…” Kata-katanya mati saat dia berfikir balik kelogikkan ayatnya itu. Qolbi panggil dia?

Bertambah hairan Qaseh mendengar penjelasan papanya. “Pa.. Qolbi mana boleh bercakap.”

Allah! Qolbi bisu. Mana mungkin Qolbi memanggilnya tadi. Bulu roma encik Fakhri mula meremang seram. Seolah ada mata yang sedang memerhati dia, Qaseh dan Qolbi di loteng saat ini. “Jom turun bawah.” Ajak encik Fakhri. Jantungnya berdenyut dengan pantas. 

Saat mereka melangkah keluar dari pintu loteng, ada angin kuat yang berlalu pantas. 

“Apa tu pa?” Qaseh mula tak sedap hati. Tangannya dicapai encik Fakhri dan ditarik untuk beriringan turun ke bawah. “Pa…” Kaki Qaseh terpaku saat ada rambut panjang melilit sisi tangga.

“Baca ayat kursi. Jangan tegur.” Walau hati encik Fakhri juga bergelora saat dia melihat makhluk itu. Dia cuba untuk tenangkan dirinya supaya Qaseh dan Qolbi tidak terlalu takut. Cukup tiga kali mereka melafazkan ayat kursi dalam keadaan kelam kabut, makhluk itu hilang dari pandangan. Terduduk terus Qaseh di sebelah papanya itu.

Selepas puas memujuk Qaseh dan menemaninya sehingga tertidur, encik Fakhri melangkah keluar dari bilik Qaseh. Dia keluar dengan mulut terkumat-kamit membaca ayat kursi. Setiba di biliknya di tingkat bawah, dia masuk ke bilik air untuk mengambil wudud.

“Awak tak solat isyak lagi ke? Bukan kita pergi makan lepas solat isyak ke tadi?” Tanya puan Aulia yang hampir tertidur menunggu suaminya masuk ke bilik mereka.

Encik Fakhri membentang sejadah. “Saya nak solat sunat. Awak tidur lah dulu.” Tak mungkin lah dia menceritakan apa yang berlaku tadi pada isterinya. Pasti isterinya tak akan percaya. Dia mengangkat takbir dan terus khusyuk mendirikan solat sunat.



Warung hujung jalan riuh dengan kerenah manusia yang bercerita sesama mereka. Ada yang bersembang tak ingat dunia, ada yang mulutnya terkatuk rapat memikirkan strategi mengalahkan lawan dalam permainan catur dan ada juga yang melayan smartphone milik mereka.

Pak Mail dan Zaidi hanya berdiam diri sambil masing-masing menghirup kopi ‘O’ warung pak Said. Jiwa mereka tidak tenteram sejak tiga dari rakan sekerja mereka mati dalam keadaan mengerikan. Semuanya mati dalam kemalangan dengan badan hangus terbakar. Ada yang kepala terpisah dari badan. Sangat mengerikan!

“Assalamualaikum pak Mail, Zaidi.” Ucap Nuuh yang baru tiba di warung pak Said. Pak Mail dan Zaidi menjawabnya. Nuuh mengipas mukanya dengan surat khabar yang dicapai dimeja depan. “Apa halnya pak Mail beriya suruh saya datang jumpa pak Mail ni?”

“Bob meninggal dua hari lepas. Kemalangan.” Pak Mail bersuara agak berbisik.

“Innalillah wa inna ilaihi rojiunn. Dah dikebumikan ke? Kenapa tak beritahu saya awal-awal? Boleh saya ziarah dia.” 

“Semalam dah selamat dikebumikan. Kami panggil bos ke warung ni bukan je nak bagi tahu pasal kematian Bob tapi pasal dalang disebalik semua benda ini.” Zaidi membalas pertanyaan Nuuh. “Bos nampak bukit tu? Bos perasan tak apa yang kami perasan?”

Nuuh mengalihkan pandagannya ke arah bukit yang Zaidi maksudkan. Hanya bukit kosong yang berhutan sedikit. Apa yang cuba mereka sampaikan? “Bukit kosong je Zaidi, apa yang perlu saya perasankan?” Matanya masih memandang bukit itu bagi memastikan sesuatu yang perlu dia perasankan.

“Cuba bos fikir betul-betul dan tengok betul-betul? Bukit itu sama saja masa sebelum kita bina banglo encik Fakhri awal tahun lepas. Rupanya dari bawah kosong macam tiada rumah banglo pun atas tu. Walhal dah lebih setahun kita tebang pokok-pokok tu. Banglo pun dah siap dibina.” Tambah Zaidi lagi. 

Dia dan pak Mail yang tinggal tidak berapa jauh dari kawasan ini, selalu juga datang melepak di Warung Pak Said. Mereka tak perasan perihal itu sehinggalah satu demi satu rakan sekerja mereka mati dalam keadaan ngeri. Semua rakan sekerja mereka adalah orang yang sama-sama membina rumah banglo encik Fakhri. 

Nuuh mengerutkan dahinya. “Kamu jangan nak buat cerita Zaidi? Rumah Fakhri bukan jauh sikit ke dari sini.”

“Bos tengok betul-betul, jalan berbukit tu jalan menuju ke rumah encik Fakhri. Bukit tu pula tapak kita bina rumah dia. Sepatutnya dari sini dah boleh nampak rumah tu.” Pak Mail cuba menyakinkan Nuuh pula. 

“Ya tak ya jugak.” Tidak dapat dinafikan apa yang pak Mail dan Zaidi katakan memang betul. “Apa pula kaitan dengan kematian Bob?”

Zaidi mengetuk meja dan membuatkan beberapa mata memandang mereka. “Bob, Kamal, dan Salleh mati selepas kita siap bina rumah banglo tu. Semuanya mati dalam kemalangan yang mengerikan. Saya ingat lagi bos cakap tiap kali bos pergi ke tapak pembinaan rumah banglo atas bukit tu, bos rasa bulu roma bos meremang. Macam ada orang perhatikan bos. Sebenarnya bukan bos saja rasa macam itu, semua orang rasa. Cuma kami tak nak fikir sangat, kami nak siapkan rumah tu dengan cepat je.”

“Kamu dan pak Mail rasa mereka mati disebabkan puaka rumah Fakhri tu?” Sangka Nuuh. Sejak dia menghabiskan kerjanya sebagai kontraktor rumah Fakhri, dia tidak lagi melangkah ke rumah itu. Dan kalau boleh dia tidak mahu ke sana langsung. Bulu romanya sentiasa meremang. Hatinya sentiasa rasa ada yang memerhati setiap tindak-tanduknya di sana.

Serentak pak Mail dan Zaidi angguk. 

“Biar betul? Kenapa pula puaka tu nak bunuh mereka?”

“Kita kacau tempat dia, marah lah dia bos! Saya takut lepas ini giliran kita je. Saya tak banyak pahala lagi, dosa je menggunung.” Omel Zaidi kerisauan. Tidak mahu dia mati dalam umur yang masih muda, tambah pula mati dalam keadaan ngeri macam itu. Seram!

Susah Nuuh ingin percaya kata-kata Zaidi dan pak Mail tapi perasaannya juga merasakan hal yang sama. Ingatkan hanya dia saja yang merasakan tanah bukit itu berpuaka, rupa-rupanya pekerjanya pun sama. Apalah nasib Fakhri dan keluarganya. Fakhri tu kawannya semenjak sekolah menengah lagi tapi mereka tidaklah rapat sangat. Cuma sejak dia yang menjadi kontraktor rumah Fakhri, mereka banyak berhubung. Itupun berkaitan dengan rumah banglo itu.

“Bos ada dengar khabar encik Fakhri dan keluarganya tak? Ada apa-apa yang berlaku dalam rumah itu?” Soal pak Mail. Dia lebih risaukan penghuni rumah banglo itu sekarang. Mereka tinggal dalam rumah berpuaka itu.

Nuuh menggeleng. Sejak urusan dia dan Fakhri selesai, tidak pula mereka berhubung. Dia sibuk dengan projek barunya manakala Fakhri mungkin sibuk dengan proses perpindahan ke rumah banglo itu.

“Pak Mail rasa kita kena bagi tahu encik Fakhri pasal apa yang menimpa rakan sekerja kita dan gangguan-gangguan yang berlaku semasa proses pembinaan rumah tu. Kita bagi dia amaran suruh berhati-hati. Kalau rasa teruk sangat tinggal sana, suruh je dia pindah keluar. Bahaya bermain dengan makhluk halus ni. Buruk padahnya nanti.” Pak Mail memberi nasihat kepada Nuuh.

‘krr..krr..’ Bunyi getaran yang datangnya dari smartphone milik Nuuh. 

Nuuh menelan air liurnya saat melihat nama Fakhri yang menelefonnya. Ibu jari kanan menyentuh skrin smartphone. “Waalaikumsalam Ri. Kau apa khabar?”

“Baik alhamdulillah.” Encik Fakhri menjawab. “Kau ada hal ke sekarang? Aku kacau kau ke kalau nak cakap sesuatu pada kau sekarang ni?”

Nuuh memandang pak Mail dan Zaidi sebelum membalas pertanyaan encik Fakhri. “Tak sibuk sangat. Apa yang kau nak cakapkan?”

“Semalam aku kena ganggu dalam rumah banglo ni. Benda tu menyamar menyerupai anak bongsu aku. Aku rasa bukan aku je yang kena kacau, anak-anak aku pun sama. Risau aku Nuuh. Kau atau pekerja-pekerja kau ada kena ganggu ke sepanjang proses buat rumah ni?”

Pak Mail dan Zaidi yang hanya mendengar samar-samar suara Fakhri, mengisyaratkan Nuuh menceritakan apa yang mereka ceritakan tadi.

“Tak ada pulak. Aku rasa kau kena kacau sebab tak baca apa-apa kot sebelum masuk sana. Kau dah buat kenduri kesyukuran buka rumah ke? Panggil orang-orang surau buat kenduri kesyukuran buka rumah baru. Pergilah benda-benda tu.” Nuuh berdalih. “Kau banyak fikir ni. Aku rasa kau buat dulu kenduri tu, lepas tu kau tengok ada lagi tak benda-benda tu kacau kau sekeluarga.”

“Betul juga apa yang kau cakap tu. Aku akan cuba buat dalam masa terdekat ni. Terima kasih ya. Sorry ganggu kau hari minggu ni.” Encik Fakhri mematikan panggil.

Nuuh melepaskan nafas lega. 

“Kenapa bos tak cerita hal yang sebenar? Bos nak biar je encik Fakhri dan keluarganya terus tinggal dalam rumah banglo berpuaka itu? Bos tak takut ke apa-apa yang akan terjadi pada mereka sekeluarga?” Bertalu-talu Pak Mail melontarkan soalan tidak puas hatinya. Baru saja tadi mereka bercerita kejadian ngeri yang menimpa rakan sekerja mereka, boleh pula bosnya berselindung dari pemilik rumah banglo itu.

“Macam ni lah pak Mail, Zaidi. Saya rasa baik kita tunggu dulu sampai Fakhri tu buat kenduri kesyukuran buka rumah baru, buat bacaan ayat-ayat al-Quran dulu. Kalau dia telefon saya balik dan cerita dia diganggu makhluk-makhluk halus tu lagi, baru saya bagi tahu dia apa yang menimpa Bob dan yang lain. Mungkin juga Bob dan yang lain mati sebab ajalnya menjemput, bukannya sebab gangguan makhluk halus tu.” Nuuh mengangkat punggungnya dari kerusi. “Saya balik dulu lah. Assalamualaikum.” 

“Waalaikumsalam.” Sahut mereka perlahan. Tidak sangka bos mereka akan berkata begitu.

“Apa kita nak buat ni pak Mail?” Zaidi bertanya kerisauan.

Pak Mail melepaskan keluhnya. “Nanti pak Mail fikirkan cara lain. Kamu tu hati-hati, jangan tinggal solat dan jangan lupa baca al-Quran. Moga Allah lindung diri kita dari kekejaman syaitan yang dilaknat.”

“InsyaAllah.. Amin.”


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.