Home Novel Seram/Misteri Potret Dua Wajah
Bab 1
“SEKOLAH mula esok!” Gema pekikan daripada beberapa buah dorm di Asrama Puteri dan Asrama Putera menggamatkan kembali suasana di Sekolah Menengah Teknik Seri Utama, Selangor. Atau lebih dikenali dengan nama singkatan SMTSU itu. Sebut saja SMTSU seantero negara kenal.

Bibiey, Jijah, Wawa, Anis dan Iman mengangkat beg pakaian masing-masing ke Dorm Kenanga yang terletak di tingkat empat Asrama Puteri. Di situlah mereka akan menginap untuk menghabiskan tahun akhir persekolahan. Rakan-rakan penghuni dorm yang sama kelihatan sibuk berkemas kerana terpaksa berkejaran dengan waktu makan malam. Jika terlewat, peluang untuk makan malam mungkin terlepas.

Tidak ada sesiapa pun yang sanggup berlapar malam nanti. Yang pasti, kesibukan pada hari pertama di asrama membuatkan mereka begitu letih. Tidak berdaya lagi hendak menyelongkar makanan yang ada di dalam beg untuk dijadikan alas perut.

“Tak sukalah sekolah spooky ni! This damn haunted school!” rungut Anis, menghina.

Serentak Iman yang sedang tercegat di hujung katilnya mendakap tubuh sendiri yang menggigil tiba-tiba. Bagaikan ada tiupan angin dari Kutub Utara tak semena-mena yang menyelinap masuk lalu mengisi ruang udara di antara dia dan Anis, begitulah ibarat dingin yang dirasakan Iman. Atau hadir unsur ghaib di situ yang tidak gemarkan perkataan itu disebut?

“A supernatural being is haunting our school...” lagi Anis menceceh tanpa tujuan.

Spontan Bibiey yang tertoleh-toleh menekup mulut Anis sambil memuncungkan mulutnya ke arah Iman yang nampak bagaikan dipukau. Iman kelihatan terkial-kial menanggalkan tudungnya dengan muka berkerut-kerut, seolah-olah fikirannya dikuasai sesuatu. Mata Anis juga turut singgah di situ. Rakan sekelasnya yang mudah naik angin. Anis menggeliat-geliatkan mukanya supaya Bibiey segera melepaskan tangannya tapi Bibiey sebaliknya menjegil ke mukanya.

Anis menjungkit kedua-dua keningnya sambil mem-beliakkan matanya. Barulah Bibiey mengalihkan tangannya dari mulut gadis itu. Iman pula terus diam terbata-bata. Masih terpinga-pinga diharu fenomena sekilat tadi.

Iman yakin hanya dia yang mengalami kejadian aneh itu. Apatah lagi, bila melihat yang lain-lain berlagak normal dan selamba saja. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku seketika tadi.“Kalau tak kerana idola aku, Cikgu Elida yang glamor tu, aku tak pandang pun sekolah ni!” rungut Anis. “Sejak peristiwa hitam yang mengaibkan nama sekolah kita dulu, Cikgu Masriezal yang handsome tu pun, turut hilang.” Kemudian Anis menoleh ke arah rakan-rakannya. “Ada dia jenguk sekolah kita ni lagi tak? Bukan aku aje yang tertanya-tanya ke mana Cikgu Masriezal itu menghilang.”

“Banyaklah cikgu idola kau! Kau tak tahu ke Cikgu Elida pun dah pindah. Tak mengajar di sini lagi? Mungkin ikut jejak Cikgu Masriezal tinggalkan sekolah kot! Patah hatilah tu. Cikgu handsome dah blah. Tapi bagus jugak sebab tak ada lagi cikgu ‘pompuan’ yang akan membebel kat kita. Aku dengar Cikgu Elida tu sekarang mengajar di sebuah sekolah yang lain di Selangor. Melepaslah nampaknya kau Anis. Tak ada cikgu lagi yang nak jadikan kau pelajar favourite!” sindir Jijah mencebir.

Anis terjelepok di atas katilnya. Dia kelu tiba-tiba. Wajahnya berubah kecewa, persis kekasih yang telah dipinggirkan.

“Tak ada lagi Cikgu Masriezal yang kupuja-puja. Tengok muka kacak dialah yang membarakan semangat aku berkobar-kobar untuk belajar. Aku dah tak suka sekolah ni lagi. Dah tak ada thrill lagi. Lagipun sekolah ni ternak macam-macam hantu!” rajuk Anis bercampur geram.

“Diamlah! Jangan berseloroh tentang benda-benda merepek macam tu. Tolong jangan hilangkan semangat para junior kita yang ingin menuntut ilmu di sini. Ingat! Kedatangan mereka ke sini tidak lain adalah untuk memperkasa ilmu di dada, bukan untuk hanyut bersama kisah-kisah kau tu!” Bibiey mulai bosan dengan rungutan dan sungutan daripada Anis. Takut lentur ‘mood’ ceria para junior lain yang ada di situ. Sebagai senior, mereka patut jadi contoh.

“Aku bukan macam Anis... aku betul-betul sukakan sekolah ni. Aku sukakan kisah cinta yang sentiasa tiada penghujungnya di sekolah kita yang hebat ini. Kau ingat tak dulu? Cikgu Elida pernah beritahu yang Cikgu Suriana bertemu jodoh di sekolah ini. Suaminya yang jadi ADO di Selangor tu dulu pernah mengajar di sekolah ni juga. Romantiknya.” Jijah meneleng seraya menggayakan tangan-nya persis seorang pelakon teater. Jijah menyambung, “Kemudian, tersebar pula kisah cinta antara Cikgu Masriezal dengan Kak Dania... lagilah romantik!” sambungnya.

Bibiey mendekati Jijah dan merenungnya tanpa suara dengan isyarat amaran di matanya. Namun, Jijah langsung tidak mempedulikan renungan Bibiey itu.

“Hmm... Cikgu Masriezal... Cikgu Masriezal, we missed you!” Jijah ketawa lalu melayang-layangkan flying kiss ke arah jendela yang terbuka. Dia lupa, isu Dania mudah menyentuh perasaan Iman.

“Kalau Cikgu Masriezal nampak kau buat macam tu, kau tahu kan apa dia akan kata, you girls, don’t gesticulate when talking. You look awful!” sampuk Wawa tumpang semangkuk.

Mereka sentiasa teruja apabila berbicara tentang Cikgu Masriezal. Kisah guru kacak dan berkaliber itu menjadi salah satu topik menarik yang sering meniti di bibir mereka.

“Kau memanglah awful Wawa, tapi Cikgu Masriezal tu hmm... awesome!” Jijah ketawa kecil. Dia melentukkan kepalanya dengan senyum disimpul-simpul.

“Gatal!” herdik Wawa.

“Semuanya gatal! Dari tadi asyik Masriezal... Masriezal!” jerkah Iman.

“Syhh... isu Cikgu Masriezal tu sensitif, tak nampak ke Iman dah naik berang tu?” Bibiey memandang ke arah Iman. Masing-masing terdiam. Iman cuma mendengar tanpa memberikan sebarang respons.
“Eh, time makan macam mana ni ha? Perut aku dah mengamuk.” Tiba-tiba kedengaran suara Aisyah yang ber-tanya. Dia penuntut tingkatan empat.

“Time makan untuk penuntut tingkatan empat pada pukul 2.00 petang. Manakala senior seperti kami akan makan dulu. Jadi, kau orang cuma dapat makan sisa kami ajelah. Kau orang kena pergi solat dulu. Lepas tu baru isi perut! Itu, kalau jadual untuk makan tengah hari. Tapi sekarang hanya tinggal dinner aje, jadi Maghriblah. Haa... waktu makan malam barulah kau orang dinaikkan sama taraf dengan kami. Boleh makan sama-sama. Tapi hanya untuk makan malam aje ya? Mind that!” Provokasi daripada Iman, ditujukan kepada Aisyah dan rakan-rakannya.

Jijah dan Bibiey ketawa sambil menekup mulut. Mana-kala Wawa dan Anis sudah mula sibuk memunggah keluar barang-barang mereka dari beg pakaian tanpa mempedulikan suasana riuh-rendah tersebut. Kelihatan mereka begitu bersungguh-sungguh hendak membereskan segera segala urusan. Kisah Cikgu Masriezal lenyap seketika!

“Double standard!” rungut Falora perlahan. Dia rakan sekelas Aisyah.

Hanya Bibiey yang paling hampir dengannya dapat mendengar rungutan Falora. Bibiey menyimpul senyum di hujung bibir.

“Alamak, perfume aku tertinggallah! Macam mana ni?” Sekali lagi gema suara Anis memecah ruang. Kalut betul.

Dia menghenyak punggungnya di atas katil. Mula menarik muka panjang sambil menghentak-hentakkan kakinya ke lantai.

“Barang penting macam tu pun aku boleh lupa!” gerutunya lagi benar-benar kesal. “Bibik kat rumah aku tu memang tak berguna. Kalau aku telefon suruh papa hantarkan, mesti berjela-jelalah leteran papa aku tu. Mampus aku!” Dia merenung geram ke arah lokarnya. Wajahnya nyata terkilan.

“Bangun! Katil aku tu!” jerkah Iman sambil menarik tangan Anis dan menghalakan tubuh gadis itu ke arah katil yang telah tersedia untuknya. Iman kemudian menghempas tubuhnya lalu meniarap di atas katil itu. Kelegaan!

Anis merengus, tetapi tidak pula membantah. Masih kesal kerana terlalu alpa. Baginya, pewangi dan apa-apa sahaja deodoran adalah penentu imejnya. Ini penting!

“Macam mana aku boleh lupa? Aku dah siapkan beg kecil khas untuk barang-barang tu. Siap warna oren lagi. Jelas boleh nampak punya. Malang betul nasib aku! Cikgu Elida aku dah tak ada, barang aku pula tertinggal. Cikgu Masriezal tu pun dah ghaib entah ke mana. Apa lagi yang aku ada? Aku dah tak ada apa-apa!” rungut Anis, memuncungkan mulutnya dengan rasa terkilan yang tidak habis-habis.

Jijah mentertawakan aksi Anis. Sejak awal mulutnya asyik membebel dan mengomel. Lucu juga. Iman yang bosan mendengar rungutan Anis yang tidak henti-henti, mencapai bantal dan menekup belakang kepalanya.

“Hai, perempuan... perempuan!” Terdengar komen daripadanya yang sudah bosan mendengar.

”Kata orang tak baik tidur meniarap!” Bibiey mengingatkan.

Pantas Iman berguling dan tidur mengiring. Dia me-rapatkan kelopak matanya.

“Barang kau masih berterabur lagi Iman. Aku tak sanggup tolong kau berkemas. Aku dah tak ada tenaga ni!” omel Jijah. 

Iman berpura-pura tidak mendengar. Anis masih lagi merungut-rungut tentang wangi-wangiannya yang tertinggal di rumah.

“Apa susah-susah? Pakai aje roll-on Wawa. Kebetulan dia bawa banyak pula pewangi tu...” cadang Jijah. 

Pantas Anis menoleh ke arah Wawa. Ada sepercik sinar di matanya. “Boleh ke Wawa? Sehari dua aje. Nanti aku suruhlah driver bapa aku hantarkan! Tak payah kongsi lagi! Kau sendiri tahulah dalam masa dua minggu ni peraturan asrama ni ketat gila. Bukan boleh keluar tak tentu pasal. Kalau boleh keluar, aku pun boleh borong kat kedai di depan tu. Tapi masalahnya, no way out. Kita terkurung sepanjang minggu orientasi dan ragging ni!” Dia mengerling. Wawa dengan mata merayu simpati. Harap-harap Wawa tidak begitu berkira sangat dengannya.

“Kau tak payahlah nak mengayat aku panjang-panjang.” Wawa tersengih. “Baju kau baju aku. Duit kau pun duit aku. Dan barang kau... dah tentu barang aku juga!” Wawa memandang Jijah di sisinya lalu mereka ketawa berdekah-dekah.

“Kelakar sangatlah tu!” tingkah Iman dengan bibir ter-juih. “Eii... kongsi ketiak!” Dia melakonkan aksi geli-geleman.

“Oh, tak tidur lagilah rupanya ya? Cepat kemas barang kau tu Iman!” suruh Jijah. “Beg sampai dua tiga, ganggu laluan orang aje! Bangun kemas!” Jijah menepuk punggung Iman dengan sekuat hatinya.

Iman bangun dan menyapu punggungnya yang terasa perit. Dia bersandar pada palang katil yang diperbuat daripada besi itu. Mulutnya dimuncungkan.

“Kau ni nak cari pasal dengan aku ke?” Iman mencerlungkan matanya tepat ke arah Jijah. Kemudian, dia berbaring semula dan mengiring ke arah yang bertentangan.

“Huh, otai!” perli Syamira. Rakan sekelas Aisyah.

Aisyah menjungkit kedua-dua belah keningnya dan mencebik. Ekor matanya mengerling ke arah seniornya itu.

“Sombong...” celah Aisyah.

“Kalau kau nak duduk lama kat dorm ni, jangan cari pasal dengan aku!” balas Iman yang terdengar, seraya mengangkat bantal yang menutup mukanya. Dia mengiring mengadap Aisyah dan Sharmila. Wajah kedua-dua orang gadis itu direnungnya dengan tajam sehingga memaksa mereka menoleh ke arah lain. Kemudian, dia kembali menekup mukanya dengan bantal.

“Dah! Dah! Cukup, jangan berperang lagi! Dah tahu Iman tu hantu tidur, janganlah ganggu dia.” Bibiey mengusul damai.“

Ada setengah jam lagi time makan, aku baring dulu. Nanti kau kejutkan aku ya, Jijah?” pinta Iman dan berdengkur sebaik sahaja kepalanya mencecah bantal semula.

“Memang sah hantu tidur!” tawa Wawa.

“Sepatutnya solat dulu baru tidur, setidak-tidaknya apa yang masuk ke dalam mimpi kita, semuanya bukan daripada gangguan syaitan, betul tak?” sindir Aisyah.

“Awal-awal lagi Iman dah solat Asar,” bela Bibiey sambil turut berbaring melepaskan penat. Dia menekup mulutnya dengan bantal kerana tidak berhenti menguap.

Melihat rakan-rakannya berbaring, Jijah turut melompat ke atas katilnya. Beberapa orang penghuni dorm itu menjuihkan bibir kerana cemburu melihat Bibiey dan Jijah berpeluang berehat setelah selesai mengemaskan barang-barang mereka.

Di bawah blok Asrama Putera, Farhan, Nazuan, Marin, Firdaus dan Nasser sibuk menurunkan beg pakaian mereka dari kenderaan. Setelah sebulan lebih menghabiskan cuti penggal, masing-masing sudah tidak sabar hendak memulakan sesi persekolahan yang baru. Bagi mereka, belajar adalah satu kepuasan dan keseronokan. Malah, kejayaan dalam menyaingi antara satu sama lain juga bagaikan satu kemenangan yang sangat bermakna.

“Asyik-asyik dapat dorm tingkat empat ni. Kenapa tak request tingkat satu aje?” rungut Nazuan sambil mendongak melihat bangunan asrama empat tingkat itu.

“Kau tu tak ada hak nak komplen apa-apa. Maklumlah orang dah kena penalti. Jadi, kalau diberi peluang tinggal di stor asrama ni pun, dah cukup bagus!” pintas Firdaus serta-merta.

“Mulut tu jaga sikit. Melayang penumbuk sulung aku ni, tak pasal-pasal kau pakai lipstick nanti!” Nazuan bengang diejek Firdaus.

“Eii... takut sangatlah aku!” ajuk Firdaus dan sekali gus mengumpan ketawa tiga orang lagi rakannya.

“Kita dapat dorm sama aras dengan Iman dan geng-gengnya. Bolehlah kita teropong apa mereka buat setiap malam selepas prep. Kira bertuahlah tu!” Marin mencelah sambil tersengih-sengih.

“Ingat, major exam tahun ni, tak boleh main-main lagi,” tingkah Firdaus yang skema sambil mengangkat kening kepada Marin.

Marin tersengih. Sememangnya dia mengakui kata-kata Firdaus itu kerana peperiksaan SPM yang akan mereka hadapi pada hujung tahun ini bakal menentukan hala tuju masa depan mereka.

Dalam dormitori, mereka mencari katil dan lokar masing-masing.

“Eh, Marin, kau tolong ambil barang-barang aku kat tangga! Letihlah,” pinta Nazuan. Dia memandang Marin dengan muka mengarah.

“Tunggu aku selesai unpack dulu!” jawab Marin acuh tak acuh kerana ingin cepat menyudahkan kerja-kerjanya.

Dalam kalangan penghuni asrama, boleh dibilang dengan jari penuntut yang mempunyai sikap suka berkerjasama dan ada toleransi seperti Marin. Dia bersedia membantu rakan-rakannya dalam apa jua keadaan sekali pun!

Firdaus dan Farhan pula adalah antara pelajar cemerlang di sekolah itu. Nazuan pula memang kuat mengarah. Dia dikagumi kerana kepakarannya berdebat. Selain juara bahas peringkat negeri, dia juga merupakan bintang bola sepak menjadikannya popular dalam kalangan penuntut Sekolah Teknik dan Integrasi.

Kehadiran Nazuan amat diperlukan dalam kumpulan mereka. Hanya dia yang mampu mengekang gangguan daripada pelajar-pelajar yang lebih nakal dan agresif di sekolah tersebut. Walaupun kini sudah mengubah sikapnya sebaik sahaja masuk ke tahun akhir, dia tetap dilabel sebagai top delinquent.

Sebenarnya, Firdauslah yang secara senyap-senyap telah menemui Warden Asrama Putera meminta agar mereka dikekalkan di tempat yang sama sewaktu di tingkatan empat dahulu. Sesungguhnya berada di tingkat paling atas, iaitu di Dorm Jati merupakan tempat paling strategik bagi ulat buku sepertinya. Selain sunyi daripada pencerobohan bunyi bising dan hentakan kaki pelajar yang lalu-lalang, kawasan tersebut lebih berangin. Kondusif. Memang jenuh hendak turun naik. Namun bagi Firdaus, amat berbaloi jika dikaji dari aspek lain yang lebih memberikan manfaat.

“Agaknya ada guru baru tak yang boleh sponsor aku makan tahun ni? Kenapalah Cikgu Masriezal blah,” gerutu Nazuan tiba-tiba.

Masing-masing terdiam sejenak kerana memikirkan tentang Cikgu Masriezal yang telah meninggalkan sekolah tersebut. Terbayang orangnya yang cukup berketrampilan dan bergaya. Mereka gemar kepadanya. Guru muda itu memang dikenali sebagai seorang yang pemurah kerana sering membelanja pelajar-pelajar di bawah bimbingannya. Selain amat kacak orangnya, dia cukup dekat di hati para pelajarnya.

“Macamlah mak bapak kau tak bagi duit. Aku tengok kau loaded aje!” dengus Firdaus.

“Loaded satu hal, sponsor satu hal! Eh, aku misslah kat cikgu tu! Cikgu tu sayang kat aku. Aku suka motivasinya!” balas Nazuan dengan riak terkilan.

Rakan-rakannya mengakui akan hakikat tersebut. Cikgu Masriezal memang motivator semulajadi.

“Peristiwa hitam itu yang membuatkan cikgu tu blah. Dia tak tahan difitnah. Aku tak pernah pun anggap dia bersalah. Kau orang pulak macam mana?” Nazuan membela.

Farhan dan Firdaus saling berpandangan. Mereka menghamburkan keluhan berat serentak.

“Kalau buat salah pun tak payahlah pergi. Lama-lama mulut yang bercerita tu diamlah,” komen Farhan selamba.

Nazuan tidak puas hati. Ucapan Farhan itu seperti menuduh. Dia yakin, heronya itu tidak bersalah!

“Dahlah. Tak seronok cakap pasal tu. Aku rasa sedih pulak. Cikgu Masriezal tu dah macam clique aku.” Nazuan merendahkan nada. Jarang dia berbicara seperti itu. Selalunya, tutur bicaranya kasar sahaja. Kehadiran Cikgu Masriezal suatu masa dulu memang telah meninggalkan impak besar kepadanya. Telah menganjak sikapnya ke arah yang lebih baik.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh