Aisyah, Syamira, Falora dan Bella termengah-mengah kepenatan
mendaki tangga menuju ke dorm mereka. Apatah lagi perut masih berat kerana baru
sahaja diisi kenyang-kenyang ketika makan malam tadi. Iman masih berlengkar di
atas katilnya. Sesekali kedengaran dia menuturkan sesuatu yang tidak begitu
jelas. Aisyah dan rakan-rakannya itu mentertawakan Iman.
“Dahlah berdengkur macam
kambing menggelupur, bercakap dalam tidur pulak. Janganlah dapat kakak ipar
macam ni!” seloroh Aisyah.
Syamira, Falora dan Bella
ketawa terkekeh-kekeh.
“Tak ada kerja lainkah
hah?” tengking Iman apabila melihat Aisyah dan rakan-rakan yang lain
mengelilinginya.
Aisyah dan rakan-rakannya
itu tergamam apabila tiba-tiba sahaja Iman bingkas dari tidurnya. Akibat
ketakutan, mereka terus melompat ke atas katil masing-masing.
“Haa... tahu pun
takut!” Iman menjungkitkan sebelah
keningnya kepada empat sahabat itu dan
tersenyum lebar.
Bibiey dan rakan-rakannya
pula muncul, juga termengah-mengah akibat mendaki tangga ketika perut
kekenyangan. Terdengar dari jauh gelak hilai dan senda gurau mereka. Jadi,
mereka agak gugup apabila melihat Iman
sudah bangun.
“Jangan salahkan kami
pulak, puas kami kejutkan kau, tapi tak bangun-bangun jugak!” jelas Bibiey.
“Aku tak kisah pun. Di
dalam almari aku tu, penuh dengan makanan. Kalau aku lapar, aku makanlah apa
yang ada. Falsafah aku, biar tak makan tapi jangan tak tidur!” balasnya selamba
lalu mencapai tuala dan bergegas menuju ke bilik air.
“Ada jugak orang macam
tu!” bisik Aisyah kepada Syamira, Bella dan Falora. Mereka menggelengkan kepala
masing-masing dan membuat bunyi berdecit.
Malam itu, dalam
perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, Bibiey,
Iman dan Jijah terserempak dengan pelajar lelaki yang menghala ke arah yang
sama. Iman menyindir Firdaus kerana berjalan tertunduk-tunduk tanpa menyedari
bahawa dia sedang beriringan dengan mereka. Firdaus lantas mengangkat kening
sebagai isyarat menyapa.
“Kita dalam perjalanan ke
rumah ibadah, hentikanlah berbuat maksiat. Masing-masing dah ada wuduk, tapi
masih mahu berzina dengan mata,” tegurNik Hazuan yang
jarang-jarang kelihatan bersama kumpulan pelajar lelaki itu.
Bibiey mencebik bibirnya
lalu menarik lengan Iman dan menyuruh rakan-rakannya yang lain supaya melangkah lebih pantas untuk mendahului
kumpulan pelajar lelaki itu.
“Ehm... kau tu pun sama
Iman, tegur mereka buat apa?” Bibiey terkilan.
“Eh, kat kelas mereka tu
bukan main rancak berborak dengan kita! Kat surau kena tukar imej pulak ke?
Macamlah aku ada feel kat mereka! Langsung tak ada thrill!Semuanya
serabai. Lagipun aku tegur cikgu tuisyen aku tu je.” Iman mempertahankan
tindakannya. Memaksudkan Firdaus yang selalu membantunya menyelesai masalah
dalam subjek Matematik Tambahan.
Jijah dan Wawa ketawa.
Hanya Anis yang diam seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Eh,Nik Hazuan tu smart
apa!” bela Jijah. “Dia dengan Nazuan lebih kurang je. Handsome!”
“Smartsekejap, bila gel kat
kepala tu dah cair, serabailah balik!” balas Iman lalu tersengih.
“Mak datuk mulut kau! Nak
ke surau, tapi mengata!” marah Bibiey lagi. “Memuji hanya kepada Allah...” Dia bertazkirah. “Sesama
manusia pula, jangan mengumpat...”
“Ya tak ya jugak, besok
aku minta maaf kat dia!” balas Iman selamba.
“Mana si Aisyah Kepoh dan
teamnya tu? Tak nampak batang hidung pun?” soal Anis.
“Daruratlah tu!” Iman
meningkah.
“Takkan semua sekali
kut?” Anis menyoal hairan.
“Biasalah tu... kan geng boria tu!
Boria Pulau Pinang. Boria anak mami,” balas Iman lalu ketawa kecil.
“Setahu aku yang bercakap
tu yang memegang status anak mami!” perli Bibiey.
Iman membuat muka
cemberut. Dia cukup marah dengan gelaran anak mami yang dilabelkan kepadanya
itu. Disebabkan irasnya yang ala-ala
Hindustan itu.
“Kau tu tak tahan gurau,
cuma kau aje yang boleh kenakan orang. Bila kena diri sendiri, datanglah baran
kau tu!” tegur Jijah.
Iman membiarkan kata-kata
itu berlalu. Ada sesuatu yang lebih memukaunya daripada tempelakan sinis Jijah
itu saat ini.
“Damn!” terdengar dia menyeranah
sendirian.
Mata Iman terpaku ke satu
arah. Dia asyik memerhatikan kelibat kain putih yang sedang mengibas-ngibas
seperti ditiup angin di puncak pokok beringin yang mengatasi ketinggian bumbung
surau itu. Dia bertasbih dengan agak kuat. Rakan-rakannya menoleh ke arahnya
dengan rasa hairan.
“Kenapa Iman?” Jijah yang
sudah berkerut dahinya kerana kehairanan,menjungkitkan bahunya.
Iman menggerakkan
bahunya. Mengisyaratkan tidak ada apa-apa yang perlu dihebohkan. Jijah
mendengus agak kuat. Tidak puas hati.
“Dinginnya angin malam
ni. Tiba-tiba aje pulak tu!” keluh Bibiey. Berasa seriau.
Iman mengerling ke arah
Bibiey seketika dan kemudian menapak ke hadapan dengan lebih laju. Dia
mendahului mereka masuk ke dalam surau. Kelibat yang dilihatnya tadi menggegar
sedikit pertahanan batinnya walau pun tidak sepenuhnya. Perlakuannya yang
terkocoh-kocoh itu menyebabkan
rakan-rakannya diserbu rasa hairan.
Ketika di dalam surau,
Iman bersimpuh di saf belakang. Matanya melilau ke saf hadapan yang belum
dipenuhi. Dia bangun semula. Hasratnya hendak
menambah bilangan jemaah pada saf ketiga yang masih jarang. Biar rapat.
Syaitan tidak mampu mencelah di antara saf yang rapat.
Tiba-tiba dia terpandangkan Aisyah di sebelahnya yang
sedang berteleku di atas sejadah. Dia sedang menekup sebelah mukanya dengan
telekung yang dipakainya. Gadis itu hanya memandang ke sebelah kanan,
seolah-olah sedang mengelak pandangannya daripada bertembung dengan sesuatu di
sebelah kirinya. Iman menghampiri gadis itu dan sama-sama duduk bersimpuh.
“Kau menangis ke Syah?
Ada masalah?” Tidak lagi kasar nadanya.
Aisyah menggelengkan
kepalanya. Dia melepaskan tangannya tetapi masih menunduk. Matanya mengerling
ke arah Iman. Dia berasa pelik dengan keramahan drastik senior sombong itu.
“Aku fikir kau menangis
tadi. Kadang-kadang aku ni memang snobbish sikit tapi aku tak dapat
tahan perasan aku bila melihat orang dalam keadaan sugul macam kau ni. Susah
betul jadi orang baik macam aku!” Iman cuba berseloroh.
“Kalau Syah tahu macam
ni, lebih baik masuk sekolah lain aje!”
Iman mengerut-ngerutkan
dahinya kurang memahami keluhan Aisyah. Dia menarik jari-jemari Aisyah yang
menutup mukanya, perlahan-lahan.
“Apa halnya ni?
Beritahulah Kak Iman. Ni tak pasal-pasal nak tukar sekolah. Apa hal?” Iman
masih gagal membaca permasalahan juniornya itu.
“Kak Iman, pandang ke
jendela sebelah kiri!” ujar Aisyah dengan nada
gementar.
Iman hanya menurut. Dia
membulatkan matanya dan selepas beristighfar, dia kembali memandang Aisyah.
‘Tadi kat atas... sekarang kat bawah pula. Ekspres betul,’ bisiknya.
“Itu fenomena biasa.
Relakslah. Aku ada, buat apa takut! Aku pun nampak benda tu tadi! Buat tak tahu
aje! Tadi dia kat atas. Penat agaknya, so dia turunlah. Sekejap dia ada...
sekejap tak ada,” seloroh Iman.
“Macam tu Kak Iman kata
fenomena biasa?” Aisyah pula mengerut-ngerutkan dahinya. Kaget dia menatap
wajah seniornya itu.
“Iyalah. Biasa. Alam ni
kan menjadi habitat pelbagai makhluk dan benda, termasuk jugak kita, Syah!
Tidak kira entiti itu bernyawa atau sekadar makhluk dari alam ghaib. Mereka
juga sah dikira penghuni alam ciptaan Tuhan
ini. Kadangkala deria keenam kita mengheret kita agar terserempak dengan
benda-benda macam tu, relakslah... Buat apa takut? Kita ni makhluk yang lebih
tinggi darjatnya daripada mereka,” jelas Iman bersahaja.
Aisyah menggelengkan
kepalanya. Kata-kata seniornya itu tidak dapat diterima oleh akalnya.
“Syah rasa nak terimalah
semula tawaran sekolah integrasi tu. Tak sanggup nak duduk di sini lagi kalau
macam tu punya bahana pun, Kak Iman kata fenomena biasa.”
“Eh, kat mana-mana
sekolah berasrama penuh benda tu gerenti ada punya! Entah-entah di sekolah
integrasi benda tu siap tinggal di dalam kelas lagi, siapa tahu? Anggap aje
benda tu sebagai aksesori dan dekorasi sekolah berasrama penuh!”
“Mulut Kak Iman ni
betul-betul laser!” Aisyah menunjukkan wajah ketakutan.
“Biasalah... dia pun
makhluk Allah juga. Cuma dia
makhluk yang telah dilaknat. Mungkin dia mengintai tu kerana kesal tidak
berkesempatan berbuat seperti apa yang kita buat sekarang ini. Mendirikan solat
dan berbuat ibadah. Mungkin juga dia menyesal kerana tidak menjiwai puisi Tun.
Dr. Mahathir, iaitu ‘Perjuangan yang Belum Selesai’. Jadi, kita yang masih
hidup ini, ambillah iktibar. Selesaikan perjuangan untuk ukhrawi kita agar
tidak terintai-intai seperti benda tu bila kita dah berhijrah ke alam yang satu
lagi nanti. Biar mati kita dalam husnul
khotimah!”
Aisyah merenung wajah
Iman. Sukar baginya hendak mempercayai kata-kata nasihat itu yang terluah dari
bibir Iman. Namun, nasihat Iman yang berbaur dengan kata-kata jenaka itu
membuatkan dirinya lebih tenang. Emosinya kembali stabil. Ketakutan juga
semakin pudar.
“Semasa mula-mula masuk
ke sekolah ni dulu, saya ingat Kak Iman sombong orangnya.”
“Mungkin raut wajah Kak
Iman yang macam artis Bollywood ni yang buat muka Kak Iman nampak sombong!” Spontan Iman menjawab.
“Eii... perasannya Kak
Iman ni!”
Tiba-tiba seorang senior
yang merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar, juga Penolong Ketua
(MPP), yang berada di saf hadapan menegur Aisyah. “Tak tau diam ke, hah
pendek?” Dia mempamerkan wajah garang.
“Hei... Nadwa, ini surau
kan? Biar beradab. Jangan nak tunjuk
garang di sini. Muka kena manis! Lagipun muka yang kau buat tu tak menakutkan
langsung!” Iman membela Aisyah.
Aisyah tersenyum. Wakil
MPP bernama Nadwa itu, membalas teguran Iman dengan wajah kelat. Senyuman Aisyah
itu seakan-akan menempelaknya. Terasa dia sebagai Penolong Ketua MPP, telah
diperlekeh oleh seorang yang rendah tarafnya berbanding dirinya..
Kasihan Aisyah!
Secara tidak langsung dan
tanpa disedari Aisyah telah menempah seorang musuh kronik pada hari pertama dia
berada di SMTSU. Yang pasti, itu bukanlah pertemuan terakhir Nadwa dengan
Aisyah. Nadwa yang amat pantang diperlekeh-lekehkan itu menyimpan agenda di
kepalanya hendak mengajar Aisyah suatu hari nanti!
Di saf belakang, ada mata-mata yang kehairanan, sedang memerhatikan Iman dan
Aisyah. Jijah, Bibiey dan Wawaberasa pelik bila melihat Iman melayan Aisyah dengan sopan
dan ramah sekali. Setahu mereka, Aisyah dan rakan-rakannya cukup fobia dengan
Iman. Tetapi tanda-tanya mereka terusir sebaik sahaja kedengaran seruan azan daripada muazin. Azan yang
dilaungkan oleh Nazuan begitu merdu sekali pada malam itu. Tersentuh hati
mereka yang mendengar. Begitu terasa akan Keagungan Ilahi.
“Ah, Nazuan... suaramu
benar-benar memukauku!” gurau Jijah. Rakan-rakannya menahan diri daripada
tergelak.
“Hormat azan!” tegur
Bibiey dan masing-masing patuh.
Selesai azan, Bibiey
menghulur sedikit tazkirah.
“Kita sepatutnya menjawab
azan bukan bercakap-cakap ketika azan. Azan ini diilhamkan oleh malaikat dalam
mimpi Abdullah bin Zaid dan Sayyidina Umar ra.
Iaitu setelah Junjungan kita bermusyawarah mencari jalan bagaimana hendak
memanggil para jemaah solat di masjid. Kemudian diajarkan kepada bilal oleh
Abdullah bin Zaid, bila disuruh Baginda Rasulullah saw. Bait-bait azan itu ilham daripada malaikat tersebut dan
jika yang datang itu daripada malaikat, apa maksudnya? Cuba guna akal logik!”
Bila masing-masing
terpegun, Bibiey menyambung.
“Setiap sesuatu yang
terjadi adalah menurut kehendak-Nya!”
Menurut HR Abu Dawud, Rasululullah pernah terfikir memanggil jemaah
bersolat dengan menggunakan loceng.
Tetapi Baginda menukar fikiran kerana memikirkan amalan itu sudah didahului oleh kaum Nasrani. Ketika Abdullah bin Zaid
menceritakan pertembungan mimpinya
dengan lelaki berjubah hijau yang
mengajarkannya azan itu, Rasululullah bersetuju. Baginda menyuruh azan itu
diajarkan kepada Bilal yang suaranya lebih keras dan kuat. Umar Al Khatab yang terdengar azan itu dari
rumahnya terus mencapai selendang dan bergegas menemui Rasululullah. Sahabat
Rasulullah itu menceritakan bahawa dia juga bermimpi tentang azan itu lantas
Rasulullah segera bertahmid.