Pada malam itu ketika berada di dorm, Aisyah
menceritakan perbuatan Nadwa terhadapnya kepada Bibiey.Air muka Aisyah jelas
bimbang. ‘Point’ merit memang
digunakan sepenuhnya di sekolah itu. Melakukan kesalahan seperti yang
dilakukannya memang menghakis kedudukan ‘point’.
Kalau merosot teruk, dia tentu akan ditendang keluar dari asrama . Keyataan itu sungguh perit buat pelajar yang
tiba dari jauh. Mereka terpaksa mencari tempat tinggal di
luar. Parah. Dia ada memberitahu Nadwa
akan kesulitannya itu, namun Nadwa pura-pura tidak mendengar.Kejam sungguh!
“Aku bukan nak sokong dia. Malah, ramai warga
pelajar yang separuh mati bencikan Nadwa tu. Tapi kami tak dapat nak buat
apa-apa. Kau salah oranglah Syah! Dia tu hanya takut kat Iman aje. Kau ingat... kau sorang je
ke yang meluat kat dia? Kami pun sama!
Tapi kau pun salah. Dah tahu galeri tu dia yang jaga, pergilah ke sana pada
waktu yang sesuai. Ni tidak, kau pergi masa subjek Kimia yang kau tuang. Kalau
ponteng kelas banyak markah akan dipotong tau,” leter Bibiey. Nasihatnya jujur.
“Lain kali Syah janji tak
ponteng kelas lagi,” janji Aisyah setelah memikirkan logiknya kata-kata
seniornya yang baik hati itu.
Bibiey tersenyum lalu
melabuhkan tubuhnya di atas katilnya. Seketika kemudian tanpa
bertangguh-tangguh lagi Aisyah pun melakukan perkara yang sama.
“Lukisan di galeri tu
cantik-cantik ya, kak?” pancing Aisyah
yang tiba-tiba membangkitkan isu mengenai
lukisan-lukisan yang dilihatnya di galeri SMTSU itu. Bibiey
memicing ke arah Iman. Keberatan hendak melayan soalan
Aisyah. Iman masih bersedih dengan kematian arwah Dania yang merupakan kakak
angkatnya itu. Lukisan-lukisan itu adalah karya-karya hebat kakak
angkatnya itu.
Iman yang berada di
katilnya serta-merta menoleh kepada Aisyah. Wajah Iman yang ceria selepas
bergurau dengan Jijah tadi, terus bertukar suram. Wawa yang berdiri
berhampiran, mengisyaratkan telunjuknya ke bibir menyuruh Aisyah berhenti menceceh
pasal lukisan-lukisan tersebut. Namun,
Aisyah tidak mengendahkan. Dia sebenarnya
tidak faham maksud isyarat Wawa
tersebut.
“Siapa pelukis-pelukisnya
kak?” soal Aisyah ingin tahu. Kali ini
mukanya dijuruskan kepada Iman... Wawa mengetap bibir. Geram dengan sikap
‘bendul’ Aisyah itu.
Iman pada mulanya
mendiamkan dirinya. Akhirnya, acuh tak
acuh memberikan jawapan.
“Bekas pelajar kat sini!”
“Takkan dia seorang je
yang melukis untuk galeri tu?”
“Ada juga lukisan pelajar
lain, tapi cuma beberapa buah aje sebab lukisan mereka masih tidak menyamai
taraf lukisan dia tu. Pengetua kata, bila dah ada lukisan lain yang berjaya
melepasi taraf, barulah lukisan dia tu akan diturunkan satu persatu.”
“Siapa dia tu?” Aisyah
semakin teruja ingin tahu. Hebat
sangatkah pelajar yang bernama Dania ini?
Iman merengus, tetapi tetap memberikan respons. Dia
tidak sampai hati mengabaikan soalan juniornya itu. Dia tidak mahu dilabel
sebagai senior sombong lagi.
“Lukisan-lukisan tersebut
merupakan seleksi karya para pelajar. Sebahagian besarnya dilukis oleh Kak
Dania. Arwah Kak Dania! Puas hati sekarang?”
“Arwah?”
“Dia senior kita. Dia dah
meninggal dunia! Masih tak faham lagi ke?” Iman mengeraskan nadanya.
Aisyah terkedu. Ekspresi
Iman yang sudah berubah ditenungnya.
“Saya buat Kak Iman sedih
ke? Maafkan saya, ya?” pinta Aisyah jujur.
Iman mengangguk lalu mencapai failnya dan terus
beredar dari dorm itu. Seketika kemudian, dia kembali menjengukkan kepalanya
dan memandang Aisyah.
“Maaflah Syah, Kak Iman
nak pergi prep!” kata Iman. Kemudian menghilang semula.
“Kenapa Kak Iman lain
macam aje?” tanya Aisyah, berpaling kepada Jijah.
“Kau tu bodoh! Orang dah
bagi isyarat, tapi masih nak teruskan jugak, bisa betul mulut kau tu. Dia baru
nak sukakan kau... kau musnahkan semuanya.”
Aisyah kelu. Hatinya
tiba-tiba rasa sebal.
“Jomlah kita pergi prep.
Anis tolong bawa biskut, nanti mengantuk!” Jijah berkata sambil mengerling
Aisyah.
Anis membuka almari dan
mencapai biskutnya. Kemudian, dia meletakkannya semula di tempat asal. Lokar
ditutup. Dia sebaliknya, beralih ke lokar Iman dan mencapai sebungkus biskut.
“Hoi, jangan mencurilah!”
halang Bibiey sambil bingkas dari
katilnya.
Anis menoleh ke arah
Bibiey dan menjuihkan bibirnya.
“Iman dah pesan, biskut
ni dia suruh kita habiskan. Tahu tak kenapa? Sebab biskut ni, secret admirer
dia yang bagi. Kau orang tu tahu apa? Jomlah pergi prep, jangan buang
masa!” ajak Anis.
“Siapa? Abu Dzar ke?”
tanya Jijah ingin tahu.
“Kalau Abu Dzar yang
bagi, tentu Iman dah bingkaikan. Yang ni, orang lainlah!” Wawa melawak. “Aku
gurau aje. Jangan beritahu Iman, dia tak suka bercerita tentang pakwe-pakwe
ni. Pecah rahsia ni, pecah bibir kau!” Wawa memberi amaran.
Keempat-empat rakan itu
keluar sambil menghadiahkan jelingan tajam kepada Aisyah. Aisyah, Bella,
Syamira dan Falora tunduk dan mengerling sesama sendiri.
“Naluri ingin tahu kau
ni, boleh membunuh kau, Syah!” marah Falora sebaik sahaja keempat-empat orang
senior mereka itu keluar. Mereka juga turut bangun menuju ke prep.
“Cuba jadi macam kami ni, kan elok? Diam aje. Tutup
mulut. Tak payah banyak cerita. So, takda sesiapa pun yang nak membebel kat
kami. Aman dunia!” perli Bella yang cantik, sambil mengerling ke arah Falora.
Pantas Falora mengangguk.
Tetapi Aisyah langsung tidak mengendahkannya. Tanda tanya kenapa Iman begitu
sedih setiap kali nama pelukis itu ditimbulkan
begitu mengocak benaknya. Semua orang akan mati. Tapi dia pasti kesedihan Iman bukan
disebabkan faktor itu.
Dia melangkah dengan
malas untuk ke kelas. Di dalam kelas itu nanti, para pelajar akan mengadakan
sesi perbincangan dan ulang kaji pelajaran. Apa yang nak dibincangkan?Kelas kan baru bermula?
Macam mana nak bincang kalau kat kelas pun,
baru je buka buku. Ish... ish.
Syamira, Bella dan Falora
mendahuluinya di depan. Disebabkan leka
memikirkan isu yang dibangkitkannya ketika di dorm tadi, menyebabkan dia
tertinggal jauh di belakang.
Tiba-tiba sahaja angin
yang bertiup terasa amat dingin. Terlalu
dingin. Aisyah melihat seperti ada kelibat berwarna putih sedang berjalan
beriringan dengannya. Dia menoleh.
Namun, tiada sesiapa di sebelahnya. Dia meneruskan langkahnya, dan
sekali lagi ekor matanya menangkap kelibat berwarna putih itu. Bulu roma di
tengkuknya sudah meremang. Wajahnya
menjadi pucat lesi.
Dia ingin berlari ke arah
rakan-rakannya. Tetapi kakinya seperti
disimen di situ. Dia teringatkan bayangan yang dilihatnya ketika dia di surau
tempoh hari. Jantungnya terasa seperti hendak tercabut. Akhirnya, diajatuh terjelepok di lantai koridor. Aisyah sudahtidak
sedarkan diri.