DARAH BERSIMBAH DI RIMBA KEM MOTIVASIPenulis: Amiene Rev
Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com
Kem
motivasi. Di tengah-tengah hutan rimba, di kaki pergunungan. Malam itu, cengkerik
pun tidak berani berbunyi. Dari bawah cahaya bulan, kelihatan seorang budak
lelaki mengunyah jantung salah seorang mangsanya. Apabila diperhatikan
betul-betul, di sekeliling budak lelaki itu, penuh dengan mayat budak-budak dan
orang dewasa. Lelaki dan perempuan. Kematian mereka dalam pelbagai bentuk.
Budak itu menyapu darah merah dari dahi hingga ke dagunya. Tiba-tiba dia
terdengar bunyi ranting patah tidak jauh dari situ. Kelihatan seorang lelaki
berusia sekitar 25 tahun, fasilitator kem tersebut. Mata lelaki itu terbeliak
melihat budak lelaki itu. Budak lelaki itu menjerit sekuat-kuatnya sebelum
berlari seperti gorila dan menerkam ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu kecut perut
melihat serangan yang tidak dijangka itu. Sebelum sempat dia menjerit,
kepalanya dipulas hingga berbunyi tulang tengkuknya.
“Jangan
ada saksi...” Bisikan suara Saka Tok Long jelas kedengaran. Darah dan air liur
saling mengalir keluar dari mulut Sqall. Matanya merenung ke arah mayat
tersebut, tidak berperasaan.
-o-
Tahun
baru menjelma. Hari pertama persekolahan tahun ini tidak semeriah dulu.
Bilangan pelajar tingkatan satu tidak ramai. Kisah pembunuhan beramai-ramai di kem
motivasi masih lagi menghantui guru-guru dan pelajar-pelajar yang tidak pergi
ke kem tersebut. Tragedi tersebut menggemparkan negara.
“Kau
tahu tak, budak yang terselamat dari kem hari tu pun dah masuk sekolah ni,”
seorang pelajar memulakan perbualan.
“Budak
mana?” Rakan pelajar tersebut terpinga-pinga.
“Takkan
kau tak ingat, budak tu. Dia kan budak yang balik dari kem sebelum kejadian tu.”
Pelajar yang memulakan bicara tadi menjuihkan mulutnya ke arah Haiqal yang
berada agak jauh dari situ.
“Mana
kau tau? Kan semua orang dekat kem tu dah mati?” Sekali lagi rakan pelajar
tersebut terpinga-pinga.
“Aku
dengar orang cakap. Budak tu pelik tau, baik kau jauhkan diri daripada dia.”
Bersungguh-sungguh pelajar tersebut menyakinkan rakannya.
Begitulah
nasib Haiqal. Begitu cepat dia menjadi buah mulut pelajar-pelajar lain di
sekolahnya. Di sekolah, Haiqal terkenal sebagai seorang budak yang pendiam. Dia
tidak mahu berbual dengan sesiapa pun. Pun begitu, rupa paras Haiqal yang kacak
tetap menjadi tarikan di kalangan pelajar-pelajar perempuan.
-o-
“Semua
pelajar diminta mengisi borang kokurikulum ini. Pilih satu badan beruniform,
satu kelab dan satu permainan atau sukan. Untuk badan beruniform, boleh ikut
badan beruniform yang semasa di sekolah rendah dulu. Untuk kelab dan sukan
permainan, sila pilih ikut bidang yang diminati.” Cikgu Faridah, guru kelas
Tingkatan Satu Budi terus memberi panduan dan tunjuk ajar kepada
pelajar-pelajar tersebut. Hari tersebut adalah hari ketiga persekolahan.
Haiqal
yang duduk di belakang sekali terus mendiamkan diri. Dingin. Dia meneliti
borang kokurikulum di mejanya dengan rasa bosan. Gerak-geri Haiqal itu dalam
diam-diam diperhatikan oleh Khatijah yang kebetulan duduk di meja yang paling
dekat dengannya.
Khatijah
membuka zip kotak penselnya yang diperbuat daripada kain. Terdapat perkataan ‘DUPLI-KATE’
disulam pada kotak penselnya. Dia merenung kertas putih tersebut sambil
memusing-musingkan penselnya. Jari-jemarinya sungguh cekap. Haiqal memerhati
saja gelagat Khatijah itu dengan ekor matanya, pura-pura tidak kisah.
“Awak...
awak dah isi ke belum borang tu. Kejap lagi cikgu nak ambil balik, tau.”
Khatijah memberanikan diri bersuara.
Haiqal
buat endah tak endah sahaja. Dia pun mengisi borang tersebut dengan cepat dan
kemudian menyerahkan kepada Khatijah. Khatijah tersenyum. Dalam hatinya dia
bersorak. Dengan pantas dia menghafal nama setiap badan beruniform, kelab dan
permainan yang disertai oleh Haiqal. Dia meniru setiap apa yang ditulis oleh
Haiqal ke ruang kosong borang kokurikulum miliknya.
Tiba
di bahagian permainan, Khatijah mencebik. Bola sepak. Tidak ada bola sepak
untuk pelajar wanita di sekolah itu. Khatijah menulis sesuatu di borangnya. Dia
membaca apa yang ditulisnya berulang kali.
‘Ini
pasti jadi.’ Khatijah tersenyum.
-o-
Petang
itu satu kemalangan jiwa berlaku di simpang tidak jauh di depan sekolah. Kata
orang ada pergaduhan berlaku di depan sekolah. Budak yang mahu dipukul berlari
ke tengah jalan raya dan dilanggar kereta. Suspek adalah bekas pelajar yang
dibuang sekolah yang berdendam dengan pelajar tersebut. Darah mengalir dengan
banyaknya di atas jalan. Haiqal yang melihat kejadian itu tersenyum pahit. Saka
Tok Long ketawa berdekah-dekah.
-o-
Malam
itu. Kelihatan satu lembaga berbadan besar seperti gorila, berwarna hitam
kelabu menjilat-jilat bekas darah di atas jalan raya, tempat berlakunya
kemalangan siang tadi. Nampaknya, lebih banyak kemalangan jalan raya akan
berlaku di atas jalan raya itu.
“Luwe
getih...” ujar lembaga tersebut, perlahan-lahan.
LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV(sehingga
karya ini ditulis):
05 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah
06 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.1: SPESIES
18 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.2: SUAMI
20 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.3: RINDU
21 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.4: SRIKANDI
23 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.5: MUTASI
28 JUN 2015:Cerpen
Anak Kecil Di Tengah Malam
3 JULAI 2015:Cerpen
Jin Galah 0.6: REKRUT
15 OGOS 2015:Novel
IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular