RAJA SYAITAN DAN 20 PERAJURIT BERKUDA
Penulis: Amiene Rev
Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com
Hutan rekreasi.
Sekali imbas bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku di kawasan kem motivasi
terssebut. Pokok-pokok yang tinggi dan besar dengan daun-daun hijau gelap pada
malam hari kelihatan tenang, kelihatan tidak ada satu apa pun kisah untuk
disampaikan. Kabus biru gelap setinggi sepuluh kaki perlahan-lahan merangkak
dari segenap sudut hutan itu. Beberapa lembaga perkasa menunggang kuda muncul.
Kehadiran mereka secara senyap-senyap itu mengundang lolongan sayu anjing-anjing
hutan dan unggas-unggas yang baru sahaja hendak merehatkan mata.
Alam jin.
Perkampungan jin hutan kelihatan tenang tanpa sebarang gangguan biarpun tidak
jauh dari tempat mereka itu, terdapat puluhan anak-anak manusia sedang tekun
mengikuti aktiviti program kem motivasi yang dianjurkan oleh sebuah sekolah di
bawah kaki gunung tersebut.
Ketika itulah,
sekalian lembaga yang menunggang kuda itu menapak perlahan-lahan menuju ke
perkampungan jin. Terdapat dua puluh satu penunggang kuda. Setiap seekor kuda
itu adalah lebih besar daripada sebuah van atau lori kecil. Ketua mereka berdiri di tengah-tengah. Dengan
topi besi bertanduk seperti kambing gurun, jubah hitam berapi yang mengalir ke
bumi, dan baju zirah besi berlambangkan tengkorak bertanduk di dada, lengkap
dari badan ke hujung kaki, Raja Syaitan Berkuda – Kimaris menjulang pedangnya
ke udara sebelum dihunusnya ke arah perkampungan jin itu. Lalu, sekalian
perajurit syaitan berkuda yang seramai dua puluh orang itu pun meluru ke depan
mengikuti raja mereka untuk menyerang perkampungan jin hutan.
Raja Syaitan Kimaris
melibas-libas pedangnya ke udara, lalu muncullah api berwarna hitam dan
membakar rumah-rumah kayu jin hutan yang berada di atas darat, di bawah tanah
dan juga di atas pokok. Jin-jin hutan yang berupa seperti mawas, harimau, ular,
burung hantu, jengking, rusa, kucing dan lain-lain haiwan pun menjerit
ketakutan.
Melihat rumah-rumah
mereka diserang, kesemua jin hutan pun bertempiaran lari. Alam jin gamat
menyampaikan berita, tentang amukan Raja Syaitan Kimaris, yang kini tunduk
kepada Pesuruh Iblis, Akalil yang berbangsa manusia itu. Khabar disampaikan
melalui bisikan angin, tersebar pantas lalu sampai ke pengetahuan Belian.
“Ini semua angkara kau
Belian, habis satu kampung kita diserang. Kau tahukah dengan siapa yang kau
cari pasal?”
Belian menyeringai.
Marah. Tidak puas hati dipersalahkan oleh pengikut-pengikutnya sendiri. Jauh di
dalam hatinya ada perasan takut. Serentak dengan itu juga Belian meninggalkan
rumah banglo besar itu, berlari mengikut haluan angin, kembali ke
perkampungannya. Kebimbangan Belian bertambah-tambah, lalu dia pun bertukar
menjadi bebola api dan memecut laju. Sekejap sahaja, Belian hilang dari daerah
itu.
Ketika Belian tiba di
perkampungannya, kelihatan berpuluh-puluh pengikutnya sudah pun tunduk dan
sujud menyembah Kimaris. Yang berani melawan sudah pun hangus terbakar di
merata-rata tempat. Melihat betapa dahsyatnya kekuatan Raja Syaitan Berkuda
itu, Belian pun melutut dan tunduk kepada Kimaris.
“Kau yang bernama
Belian, bukan?” Mata Kimaris berwarna ungu terang menyorot dan menyuluh dengan
ganas ke arah jin hutan itu.
Belian mengangguk
dalam ketakutan.
“Kau tunduk kepadaku
dan jangan kau ganggu darah daging Akalil itu lagi, maka kau akan selamat di
bawah pengampunanku.” Kimaris menghunus pedangnya, lalu diletakkan di bahu
Belian.
Belian bersetuju.
Peluang hidup mesti direbut.
“Jangan sesekali kau
pengapakan putera Akalil atau aku akan memburu dan menghapuskan kau dan
pengikut-pengikut kau.” Selesai berkata demikian, Kimaris pun mengarahkan
orang-orangnya beredar. Kuda hitam gergasi milik Kimaris berdiri dengan dua
kaki sambil meringkik megah sebelum berlari meninggalkan tempat itu. Jubah
Kimaris yang diperbuat daripada api hitam itu dibuai-buai angin yang laju
sehinggalah Raja Syaitan Berkuda dan pengikut-pengikutnya hilang ditelan kabus.
Belian dan
pengikut-pengikutnya masih belum berani bangkit dari sujud. Api hitam terus
membakar rumah-rumah mereka. Mayat-mayat jin hutan yang melawan telah rentung
menjadi abu.
Ketika itulah,
munculnya seorang budak lelaki. Wajahnya disapu dengan darah di bahagian tengah
dari atas dahi hingga ke dagu. Satu pertiga mukanya basah dengan darah. Budak
lelaki itu adalah Zaqwan Haiqal.
“Mulai hari ini,
kalian adalah pengikutku. Pada siang hari aku adalah manusia, dan pada malam
hari aku adalah Sqall, dan aku akan menghukum sekalian manusia dan jin pada
malam hari.” Suara Haiqal kedengaran garau, tidak seperti biasa. Bayang-bayang
Saka Tok Long kelihatan berdiri di belakangnya. Lembaga berbentuk seakan-akan
seekor gorila.
Ternyata, Haiqal
telah pun bersetuju untuk mewarisi Saka Tok Long.
-o-
Sebuah rumah usang.
Di dalamnya terdapat seorang wanita tua berusia sekitar seabad. Tok Long. Nenek
tua yang sudah bongkok itu menangis sendirian. Sejak dirinya ditinggalkan
Sarimah tempoh hari, nenek tua itu kerap menangis. Dia masih ingat ketika itu
Sarimah di dalam van, dia sedang membuat air di dapur. Kemudian ketika dia
telah menyiapkan air tersebut, van yang dinaiki Sarimah dan pengurus rumah
orang-orang tua itu pun berlalu pergi. Menyangkakan Sarimah tidak lagi mahu
bertemu dengannya, Tok Long melaung-laung dengan nada sayu memanggil Sarimah
tetapi van itu tetap berlalu pergi.
Sejak hari itu,
setiap awal pagi Tok Long sering merayau-rayau mencari jejak Sarimah tetapi dia
tidak tahu di mana Sarimah berada. Sampai waktu malam, barulah Tok Long pulang
ke rumahnya. Tok Long tidak tahu kenapa, tetapi dia berasa begitu dekat dengan
Sarimah. Tok Long tahu, Sarimah adalah seorang perempuan yang baik. Tok Long
tahu, dalam hati Sarimah ada semacam perasaan kehilangan. Tok Long mahu
menggembirakan hati Sarimah sebagaimana Sarimah mahu menggembirakan hatinya.
Pemergian Sarimah
begitu sahaja cukup melukakan hati Tok Long. Malam itu, Tok Long merenung
bintang-bintang di langit. Tok Long cuba mengingati kisah silamnya. Kenapa dia
menyisihkan diri daripada keluarganya.
Tok Long tidak mahu,
tidak mahu keluarga atau warisnya tahu di mana dia berada. Tok Long tidak mahu
saka yang menguasai dirinya diwarisi oleh anak cucunya. Tok Long menjauhkan diri
daripada semua yang mempunyai pertalian darah dengan dirinya supaya sakanya
tidak dapat mencari pewaris baru. Tok Long mahu matinya tidak diketahui. Tok
Long mahu saka itu tidak bertuan buat selama-lamanya.
Tok Long gagal...
Saka Tok Long telah memilih waris baru.
LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV(sehingga
karya ini ditulis):
05 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah
06 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.1: SPESIES
18 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.2: SUAMI
20 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.3: RINDU
21 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.4: SRIKANDI
23 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.5: MUTASI
28 JUN 2015:Cerpen
Anak Kecil Di Tengah Malam
3 JULAI 2015:Cerpen
Jin Galah 0.6: REKRUT
15 OGOS 2015:Novel
IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular