Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
118,225
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 19

IRWAN keluar dari biliknya setelah bersiap-siap. Awal pagi begini inilah rutinnya setiap hari. Suasana di ruang tamu suram dengan cahaya yang malap. Sunyi sepi. Dilihat Nizam tiada di sofa seperti kebiasaannya.

Lalu dia memetik suis lampu di tepi dinding. Terang benderang. Dia meliarkan pandangan. Bayang Nizam tiada di mana-mana. Di bilik air pun tiada kerana lampu tak menyala. Selalunya, Nizam yang buka lampu ruang tamu.

Dahinya berkerut. Lantas dia meluru ke bilik Nizam. Pintu diketuk beberapa kali.

“Zam! Zam! Kau dah siap belum?”

Senyap.

Irwan mengetuk sekali lagi. Keras sedikit daripada tadi.

“Zam! Kau dah siap ke? Zam! Zam!”

Masih tiada respons dari dalam bilik. Barangkali Nizam masih diulit mimpi. Sedangkan jam sudah hampir ke pukul 6.00 pagi. Irwan tak menunggu terus membuka pintu. Mujur tak berkunci.

Bilik itu gelap. Dibuka pintu luas-luas. Dilihat tubuh Nizam masih di atas katil.

“Laa... tidur lagi.”

Lalu dia memetik suis lampu bilik itu. Nizam kelihatan tidur merengkuk dengan selimut separas leher. Nampak kepala saja.

“Nizam, bangun. Aku nak hantar kau kerja ni.”

Nizam langsung tak berkutik. Kaku.

Irwan menggoyang-goyangkan kaki Nizam.

“Weh, bangun weh. Bangun. Nak kerja ke tak nak ni?”

Irwan bertambah pelik. Nizam tak pernah begini. Dia mula risau.

“Nizam... Nizam...” Digoyangkan bahu Nizam pula.

Nizam berkeruh seketika dengan mata yang masih terpejam.

Lantas Irwan menyentuh dahi sepupunya itu. Sangat panas!

“Kau demam ni, Zam. Ya ALLAH...”

Nizam tetap kaku.

“Aku hantar kau pergi klinik nanti.”

Nizam tidak bereaksi.

Irwan cepat-cepat menutup lampu dan keluar dari bilik itu. Dikeluarkan telefon bimbit dari poket seluar dan terus menghubungi Fauziah.

“Assalamualaikum, mak uda.”

“Waalaikumussalam. Ada apa, Irwan?” Hajar yang tak pernah-pernah menerima panggilan daripada Irwan awal pagi begini sudah berdebar-debar. Dia berasa tak sedap hati.

“Badan Nizam panas sangat ni, mak uda.” Irwan mengadu.

Hajar terkedu tak terkata. Tak mampu dia nak bersuara.

“Dia sakit semula ke, mak uda? Apa saya nak kena buat ni? Nak kena hantar ke klinik ke, terus ke hospital? Atau bawa dia jumpa psikiatri?” Tak tenteram Irwan dibuatnya. Ke hulu ke hilir dia berjalan tak tentu arah.

Menggeletar tangan Fauziah. Serasa tubuhnya terawang-awang.

“Mak uda, mak uda...” Irwan kerisauan. Talian di hujung sana sunyi sepi.

“Err... ya... err...” Fauziah buntu dengan riak wajah kekosongan.

Irwan mula perasan yang Fauziah sedang dalam kondisi terkejut dan susah hati.

“Bertenang, mak uda. Bertenang. Nizam ada dalam bilik. Dia tidur lagi. Saya call mak uda bukan nak buat mak uda terperanjat. Cuma nak tahu keadaan Nizam bila jadi macam ni.”

Fauziah membatukan diri.

“Penyakit Nizam datang semula ke, mak uda?” Irwan menyoal kembali soalan itu.

“Mak uda datang ke sana sekarang. Mak uda datang ke sana.” Tanpa menjawab soalan Irwan, Fauziah membuat keputusan.

Belum sempat Irwan menghalang, talian sudah terputus. Dia risaukan keadaan Fauziah pula. Kepala digaru-garu kasar. Menyesal pula dia menghubungi emak saudaranya itu.

**********

MASUK saja ke kawasan Wisma Hasbullah, mata Hajar meliar mencari batang tubuh Nizam. Di pos pengawal dia nampak Kamal dan Yon berdua. Dipandu kereta ke kawasan parkir basement. Perlahan-lahan dia memandu sambil mencari lelaki itu.

Sehinggalah sampai ke lot parkirnya, masih tak nampak bayang Nizam. Yang dia nampak seorang pengawal keselamatan yang tak pernah dilihat sebelum ini.

Tak puas hati, dia pusing sekali lagi di ketiga-tiga tingkat kawasan parkir itu. Masih tak nampak di mana Nizam berada.

Ketika melalui pengawal keselamatan baru itu, dia memberhentikan kereta. Cermin tingkap diturunkan.

Excuse me... Nizam kat mana?”

Lelaki yang menunggang motosikal itu menggeleng-geleng.

“Dia tak datang hari ni. Saya ganti dia jaga sini.”

Hajar tercengang sebentar.

“Ohh... dia MC?”

“Tak tahulah. Tapi dia memang tak datang kerja hari ni.”

Hajar terangguk-angguk. Ada riak terkilan pada wajahnya.

“Okey, terima kasih.” Dia beredar ke lot parkirnya pula.

Setelah mematikan enjin kereta, dia mencapai bekas bekal yang dibawa. Dia masak nasi lemak sambal sotong ini semata-mata nak berikan pada Nizam. Tapi lelaki itu tak kerja pula hari ini.

Dia melepaskan nafas panjang yang lemah. Tak tahu nak berikan bekal itu kepada siapa. Dia sudah bawa bekal untuk dirinya sendiri. Meen bersarapan dengan si buah hati. Nak beri pada Lukman? Memang taklah! Daripada bagi Lukman, lebih baik dia bagi anjing makan.

Sakit hatinya setiap kali membayangkan wajah Lukman. Tak henti-henti menghantar mesej. Tak jemu-jemu memujuk rayu macam tak pernah buat salah padanya. Meluat!

“Hmm... bawa saja bekal ni naik atas. Manalah tahu kalau-kalau ada staf yang tak sempat nak breakfast, nasi lemak ni jadi rezeki dialah.” Hajar membuat keputusan sendiri.

Ada riak sedikit kecewa di wajahnya kerana tak dapat memberi Nizam rasa air tangannya kali ini. Dia bangun awal pagi untuk menyiapkan nasi lemak tersebut. Bahan-bahannya sudah disediakan sebelum tidur. Pagi-pagi dia cuma perlu memasaknya saja.

Silapnya juga tak pernah meminta nombor telefon daripada Nizam. Kalau tak, sudah tentu dia akan menghubungi lelaki itu saat dan ketika ini juga.

Memanglah dia tahu di mana Nizam tinggal. Dia yang menghantar Nizam pulang ke rumah malam kelmarin selepas sama-sama menjamu selera. Tapi rasa tak manis pula seorang gadis pergi ke rumah lelaki yang tiada kaitan apa-apa dengannya.

Yang peliknya, kenapa dia rasa mahu berbuat baik pada Nizam? Betul, lelaki itu dah menolongnya daripada dibelasah Lukman. Tapi tak perlu sampai membalas budi begini. Entahlah... tak tahu kenapa nalurinya sebaik ini pada Nizam.


Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.