Home Novel Seram/Misteri Rahsia bukan rahsia
Rahsia bukan rahsia
Maryani Zailani
14/2/2024 00:27:17
20,654
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Prolog

Najwa berlari dengan sangat deras semasa menuruni anak tangga. Dia sudah tidak peduli. Biarlah ke mana-mana sahaja dia tidur malam ini! Menumpang di rumah kawan… surau atau mungkin di mana-mana gazebo!

Apabila dia mendongak ke atas sebaik sahaja tiba di bawah bangunan, dia ternampakkan seorang perempuan berambut panjang menutupi wajah dan berbaju lusuh, Najwa meremang!

Dia tahu, disebalik rambutnya, perempuan itu sedang menyeringi melihat dirinya diselubungi ketakutan. Bola matanya merah dan giginya tajam kekuningan! Pasti ‘dia’ sedang berasa menang dek ketakutan Najwa!

Najwa menekup kedua telinga sekuat hati. Dia boleh mendengar perempuan itu menghilai!


***


Najwa melihat sebatang kunci pada telapak tangan. Dia baru selesai melakukan pendaftaran kolej kediaman di pejabat. Sambil menyorong bagasi, menapak ke bangunan bertentangan. Ketika itu matahari sudah mulai menyorokkan kelibatnya. Yang tinggal hanya remang-remang senja.

Najwa dapat melihat beberapa pelajar baru selesai kuliah pulang ke kolej kediaman. Tidak ketinggalan, mereka yang menghabiskan masa dengan berbual santai di gazebo. 

Satu persatu anak tangga didaki sehinggalah tiba ke tingkat paling atas. Najwa terhenti di depan pintu rumah yang bakal dihuni. Sunyi sepi sehingga telinga mampu mendengar bunyi angin berdesir. Aneh. Kebisingan tadi lenyap begitu sahaja. Meliar pandangan melihat nombor rumah. Terdapat empat rumah. Dan, dia tidak melihat langsung sebarang cahaya dari bawah pintu ke semua rumah itu.

“Takkanlah aras ni tak ada orang? Semua rumah kosong ke? Jadi, aku sorang ke ni?” Najwa meneka-neka. Bayangan menakutkan mulai menerjah fikiran. Sudahlah senja! “Astagfirullah… astagfirullah!”

Meskipun ruangan itu diterangi cahaya lampu, Najwa perasan keadaan di situ sedikit malap. Auranya, terasa tidak nyaman. Angin senja menyapu lembut tubuhnya. Bulu roma tegak mendadak. Gelisah dan ingin segera masuk ke dalam rumah.

Najwa memusing tombol pintu. Tidak berkunci! Sebenarnya, bukanlah pelik pun. Memang pihak pengurusan tidak menguncinya. Saat Najwa mahu mengangkat bagasi, tiba-tiba terasa seseorang menolak bahunya sehingga dia jatuh tersembam! 

“Aduh!” Wajahnya terhantuk pada lantai marmar. Sakit sekali! Kuat sehingga dia mendengar sendiri bunyi hantukan itu. Najwa hampir menangis. Dia bangkit dan mahu berhadapan dengan sang pelaku. “Siapa yang…”

Baru sahaja dia mahu menghamburkan kemarahan… baru Najwa tersedar… tiada sesiapapun! Najwa memegang belakang leher. Dia berkhayal akibat terlalu penat dan tidak berhati-hati semasa melangkah sehinggalah tersadung, fikirnya. Najwa lekas memasukkan barangannya. Lampu dan kipas dihidupkan. Dia menutup pintu lalu menekan kunci tombol.  

Kini, barulah dia dapat menghayati suasana di dalam rumah. Seperti di luar tadi, aura di dalam rumah pun begitu! Hapaknya menebar ke seluruh ruangan. Jari-jemari mencalit pada permukaan meja. Berhabuk! 

“Nampak memang aku sendirilah ni!” Keluhnya sambil mengenangkan dirinya pelajar semester pertama yang mendaftar lewat akibat hal-hal tertentu. Terbayangkan rakan-rakan lain seronok menikmati waktu bersama dengan rakan baharu manakala dia, sendirian dan sepi. Boleh mati kutu bercakap dengan dinding!

Najwa mengambil swafoto dirinya berlatar belakang suasana rumah. Mahu dimuat naik ke status Whatsapp. Dia menaip kapsyen berupa lirik lagu ‘Kemarin.’ “Kini, sendirian di sini. Menantimu… tak tahu di mana?!” 

“Huh… dahaga!”

Najwa mengambil botol air yang diletak atas meja tadi. Diteguk sampai separuh botol. Diletak kembali atas meja. Tidak sampai sesaat Najwa memandang ke arah lain, botol air itu bergoncang kencang dengan sendirinya! Najwa terkejut sehingga terduduk! Air di dalamnya masih berombak. Terdiam untuk beberapa waktu, menghadam apa yang sedang berlaku. 

‘Aku ke yang tersenggol botol tu tanpa sedar? Mungkin aku tersepak? Mungkin… argh! Dah jangan fikir! Tak ada apa… tak ada apa.’ Najwa terus-menerus berdebat di dalam hati. Dipujuk-pujuk agar tidak berfikir secara berlebihan.

Najwa bangkit. Dia cuba untuk tidak berfikir secara mendalam. Tubuhnya sudah melekit. Bagasi disorong masuk ke dalam bilik. Seperti di ruang tamu, berhabuk… hapak! Terbersin-bersin.


***


“Segar badan aku!” Najwa selesai berpakaian.

Rambut dikeringkan menggunakan tuala. Telefon pintar atas meja belajar di ruang tamu diambil. Ada beberapa pesanan daripada kawan-kawan sekolah lama.

“Huh, rindu gila dekat diorang! Kan bagus kalau diorang ada dekat sini! Bolehlah pergi kafe sama-sama. Kelas sama-sama. Semualah sama-sama!”

Namun, emosi Najwa tergoncang. Keterujaan mendapat kiriman bertukar ketakutan! Dia menjerit sekuat hatinya sehingga hampir tercampak telefon pintar. Dadanya turun naik. Terperanjat! Betulkah apa yang sedang dilihat itu?

“Najwa… kau bergambar dengan siapa tu?”

“Wei, roommate kau pakai cosplay ke?”

“Kenapa dengan kawan kau tu? Cer citer sikit pasal kawan kau.”

“Meremang aku tengok status kau!”

Antara balasan daripada rakan-rakannya mengenai status Whatsapp dimuat naik Najwa awal tadi. Apabila Najwa meneliti kembali gambar itu, dia perasan samar-samar bayangan seseorang wanita berambut panjang menutupi wajah dan berpakaian putih lusuh sedang memaut bahunya seseolah mengikut sekali untuk berswafoto. Meremang bulu roma! Dia tahu, bukan manusia yang sedang menemaninya!

Sedang mahu bertenang, dia dikejutkan lagi dengan bunyi mesej masuk. Hampir gugur jantungnya! Najwa beristighfar sambil mengurut dada. Matanya meliar kiri ke kanan. Dia berasa diperhatikan. Tapi, di mana ‘dia’ bersembunyi?

Bum! Belum sempat berteka-teki, pintu gelongsor pada bahagian beranda tertutup dengan sendirinya! Kuat dan memeranjatkan sekali. Najwa sudah tidak fikir panjang, dia mencapai telefon pintar. Berlari tidak cukup tapak. Hampir-hampir jatuh tergelincir. Dia keluar dari rumah tanpa tujuan.

Semasa dia berlari, telinganya terdengar sayup-sayup bisikan halus berserta hilaian ngeri, “Kini, kau tidak kesepian. Aku sudah datang temankan kau!” Lagilah Najwa merinding!

Najwa terlihat pintu utama rumah bertentangan terbuka luas dan diterangi cahaya lampu. Dia cuba menjenguk. Jantungnya sudah berdengup kencang. Ada penghuni rupanya rumah itu! Barangkali tuan rumah baru pulang dari mana-mana. Najwa sempat menarik nafas lega. Tidaklah dia diselubungi ketakutan teramat tinggal sendirian di aras itu.

“Assalamualaikum!” Jerit Najwa. Tercunggap-cunggap.

 “Waalaikummussalam.” Kedatangannya disambut tiga orang penghuni rumah. Mereka terpinga-pinga melihat Najwa berkeadaan cemas. “Kenapa dik?”

 “Saya… boleh tak tumpang rumah kak malam ni?” Najwa berterus-terang. Tidak berani dia bermalam di rumah itu.

 “Eh, boleh! Tak ada masalah. Awak sorang je ke? Baru masuk?”

 “Ya. Saya belajar penerapan. Tak kenal sesiapa lagi.” 

 Najwa dipelawa masuk. Dia melihat di lantai, terbentang tikar bersama hidangan. Nasi putih, kangkung belacan, telur dadar dan ayam masak lemak cili api. Baunya sahaja sudah membuatkan dia meleleh air liur.

 “Kami baru nak makan. Awak dah makan ke, dik?”

 “Belum.” Laju Najwa menjawab. Memang perutnya berbunyi rancak. Pedih. 

 “Mai makan sama-sama.” Seorang lagi menyedok nasi ke pinggan.

 Mereka menikmati makan malam bersama-sama. Kebetulan Najwa memang tersangat lapar.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.