Langit
jingga menarik perhatian setelah hampir 10 minit merenung skrin komputer
ribanya. Waktu diperiksa, sudah melepasi pukul 6 petang. Awan kelabu yang
berarak perlahan di kaki langit juga turut menarik perhatiannya. Hujan yang
turun sejak tengahari tadi masih belum reda sepenuhnya, rintiknya masih ligat
membasahi bumi. Kemudian matanya diarahkan kembali ke komputer, fikirannya
berserabut.
Jason
yang terbaring di atas katil kini sudah lena diulit mimpi. Dengkuran kecil
menghiasi keheningan yang mula tercipta dalam ruangan tersebut. Entah apa yang
dimimpikannya, hanya dia yang tahu.
Devi
menyelak tirai yang menutupi tingkap di hadapannya. Hujan masih belum berhenti
sejak tadi, seperti mahu banjir sahaja gayanya. Sekaki payung yang tergantung
di sisi jendela membuatkan dia tersenyum pahit. Boleh pula dia terlupa untuk
membawa payung ketika ke universiti tadi. Mujur Rita datang menyelamatkan
mereka dari dibasahi hujan. Sejak dua menjak ini, gadis berkulit sawo matang
itulah yang bertindak sebagai penyelamat mereka. Dia tergelak sendiri.
“Happynya? Dah ada boyfriend ke?” Sergah Sofia daripada belakang. Melihat Devi yang
tersentak hebat, gelak tawanya pantas meniti di bibir.
“Sorry,
sorry…” Pohonnya dengan tawa yang masih berbaki di mulut.
Devi
mencebik. Memang kaki sergah! Nasib baik dia tiada sakit jantung, kalau
tidak…Hish!
“Kalau
aku ada heart attack macam mana?”
Sofia
tersengih macam kerang busuk. Gadis India yang berbadan kecil molek itu
dirapati. “Ala, sorrylah. Janganlah merajuk, nanti tak comel macam aku…”
Devi
menggeleng dengan senyuman di wajahnya. Sofia memang nakal.
“Jom,
dinner…”
Rita
memanggil dari dapur. Gadis itu telah menyiapkan juadah untuk makan malam.
Lauk-pauk yang sepenuhnya dibeli dari kedai makan itu disalin ke dalam pinggan
mangkuk dan disusun rapi di atas meja. Nasi putih semalam masih berbaki dan
masih elok untuk dimakan pada hari itu.
“Kau
kena start masak untuk kitorang Fia…”
Kata-kata
Devi membuatkan Rita dan Sofia memandang ke arahnya dengan penuh minat. Kenapa
Devi tiba-tiba berkata begitu? Pelik…
“Kenapa?”
Sofia bertanya sambil mengaut ayam goreng pedas dari mangkuk yang terletak di
hadapannya. Perut yang berkeroncong segera diisi.
Devi
tersengih, “Nanti kau nak kahwin dengan Jason. Kau kenalah pandai masak.”
Jawapan
tersebut membuatkan Sofia hampir tercekik daging ayam yang sedang dikunyah. Rita
menahan tawa. Memang betul apa yang dikatakan oleh Devi itu, seorang isteri
haruslah pandai memasak dan pandai melayan suami.
Sofia
meneguk air kosong dengan rakus. Cuba menurunkan daging ayam yang terlekat di
kerongkongnya.
“Jangan
mengarutlah.” Sofia menyambung makannya yang terganggu sebentar tadi. Tiada
masa dia mahu melayan kenakalan gadis itu. Lebih baik dia mengisi perut yang
lapar.
“Apa
pulak yang mengarutnya? Betullah apa yang Devi cakap tu…Kau akan kahwin dengan
Jason nanti.” Rita mengusik Sofia yang sedang menikmati makan malam. Tidak lama
lagi pasti gadis berkulit putih melepak itu membebel macam mak nenek.
“Lama
lagilah!” Balas Sofia sambil menjuihkan bibir. Nak makan pun susah! Ada-ada
sajalah mereka berdua ni!
“Mana
ada lama. Setahun lebih lagi je pun…” Rita berkata selamba. Suka benar dia
mengusik rakannya itu. Sayur kailan masak tiram dikunyah penuh selera.
“Betul
tu…” Sokong Devi bersungguh-sungguh.
Sofia
mengetap bibir. Nasi yang berbaki di dalam mulut dikunyah dengan penuh geram.
Rita dan Devi menahan tawa. Mahu meletuplah tu.
Guruh
kedengaran menyanyi di kaki langit. Hujan lebat kembali menyimbah ke bumi.
Memercik membasahi belakang kereta yang diparkir di halaman rumah sewa. Langit
kelam bertukar gelita, kedinginan terasa menggigit hingga ke tulang hitam.
Jason
terpisat-pisat buat beberapa saat. Bahunya disentuh seseorang sebentar tadi.
Dengan mata yang masih mengantuk, dia merenung Azlan yang sedang memandang ke
arahnya. “Ah, kenapa Lan?”
Azlan
menghalakan jari telunjuknya ke jam loceng yang terletak di atas meja. “Dah
pukul 8 malam. Kau tak lapar ke?”
Jason
menoleh dan melirik jam loceng yang dimaksudkan. Sudah malam rupanya, lama juga
dia terlelap tadi. Terasa lenguh seluruh tubuhnya, urgh…
“Uhm…”
Ringkas jawapannya. Masih mengantuk.
Baju
panas yang tergantung di dalam almari disarungkan ke tubuh. Dia mahu ke café
untuk memesan makanan panas. Perutnya berkeroncong sejak dari tadi, sudah
sampai masanya untuk diisi. Jason yang tersandar di dinding dipandang sekilas
lalu.
“Jom...”
Jason
menggosok muka yang sembab dengan kedua telapak tangannya. Kepenatan jelas
terpamer dari raut wajahnya. Penat memikirkan tesis yang harus disiapkan
sebelum bergraduasi nanti. Bunyi hujan di luar bagaikan muzik di telinganya.
Membuai-buai perasaannya yang sedang mengantuk.
“Hujan?”
Soalnya dengan suara yang putus-putus. Azlan mengangguk sebagai mengiakan
pertanyaan tersebut.
“Nak
pergi tak?” Azlan sudah bersedia di hadapan pintu dengan tangan yang
menggenggam tombol pintu. Lapar bukan kepalang. Jason pun terhegeh-hegeh betul,
mahu makan ke tidak ni?
Jason
tersengih. Nampaknya Azlan sudah naik marah. Dengan rambut yang separuh
berserabai, dia bangkit dari katil empuknya dan bersiap-siap untuk ke café
bersama Azlan. Kalau diikutkan hati, memang dia memilih untuk tidur dari makan
malam namun tidak sampai hati pula dia melihat rakannya itu ke café seorang
diri.
“Agak-agaknya
diorang dah jumpa belum lokasi untuk tesis kita tu?” Soal Sofia sambil menyusun
pinggan mangkuk ke atas rak besi.
Rita
yang sedang asyik mengelap meja sekadar menjungkit bahu. Dia sendiri pun tidak
pasti.
“Entahlah, dah kot?” Jawabnya acuh tidak acuh.
“Prof.Kamarul
ni cerewet sikit. Tak larat aku kalau dia reject paperwork kita.” Sofia
mengomel. Setiapkali memikirkan hal tersebut, pasti otaknya berserabut.