Home Novel Seram/Misteri TESIS
TESIS
Ninie Othman
13/11/2014 10:09:42
19,766
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
DETIK : 6

“Ni kes tak charge phone la ni.” Jason mengomel. Dia menyuap mi goreng ke dalam mulut. Perbincangan secara berkumpulan selalu sahaja membuatkan perutnya lapar.

“Aku rasa aku charge lah malam tadi. Pelik…” Azlan mengerut dahi. Seingat-ingatnya dia sudah mengecas bateri telefon bimbitnya itu. Tetapi mengapa pula ia mati secara tiba-tiba? Sudah mahu rosakkah telefonnya?

“Cuba aku try dengan phone kau pulak..” Dia mencuit lengan Jason yang sedang mengunyah mi goreng. Jason menyerahkan telefon bimbitnya.

Namun seperti telefon Azlan, telefon Jason juga mati secara tiba-tiba. Bateri yang penuh tiba-tiba kosong dan telefonnya termati sendiri. Dia hanya sempat menaip ‘Kota Hitam Semandin’ di kotak Google sebelum telefon tersebut tiba-tiba mati. Azlan mula berasa tidak sedap hati.

Jason berhenti mengunyah. Biar betul!

“Mati jugak ke? Kau pun tak charge phone jugak ke Jay?” Rita menempelak sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kali ini biar dia menggunakan telefonnya pula.

Internet dibuka, di kotak Google dia menaip nama tempat tersebut.

“Boleh?” Azlan dan Jason bertanya serentak.

Rita mengeluh. Data internetnya telah tamat. Rasanya baru petang semalam dia memperbaharui data internetnya itu. Takkan sudah habis? Tidak masuk akal betul.

Devi yang lebih banyak memerhati, memandang wajah rakan-rakannya seorang demi seorang. “Korang tak rasa pelik ke?”

Pertanyaan itu menarik perhatian rakan-rakannya.

“Apa yang pelik?” Sofia mengembalikan soalan tersebut kepada Devi. Dia melihat Devi macam tidak senang duduk. Seolah ada sesuatu yang tidak kena sahaja.

“Yelah, tiba-tiba phone tak boleh guna…Nak search pasal tempat tu pun tak boleh.” Ujar Devi penuh curiga. Sejak melihat gambar-gambar kota itu, suatu perasaan aneh segera menghantuinya. Kota itu kelihatan menakutkan pada pandangan matanya.

“Takde apalah. Kebetulan je tu.”

Kata-kata Rita tidak dapat mengurangkan rasa aneh dalam hati Devi. Awal-awal lagi kejadian yang aneh seperti itu terjadi pada mereka.

“Korang pasti ke nak pergi tempat ni?” Devi bertanya lagi. Dia inginkan kepastian.

Rita, Azlan, Sofia dan Jason mendiamkan diri. Mengapa Devi tiba-tiba berperasaan begitu? Menyeramkan sangatkah apa yang berlaku pada telefon bimbit mereka sebentar tadi?

“Takde apalah Devi. Biasalah tempat-tempat bersejarah macam ni. Mesti nampak creepy sikit.” Sofia cuba menenangkan rakannya walaupun dia sendiri turut berperasaan begitu. Baginya Kota Hitam Semandin nampak menakutkan.

“Lagipun ni kat Bukit Bendera je. Dalam negeri ni jugak. Takde apa-apalah Devi.” Rita menepuk perlahan belakang rakannya.

Suasana ceria tiba-tiba bertukar sunyi. Perbincangan secara berkumpulan itu tidak semeriah tadi. Masing-masing lebih banyak mendiamkan diri, melayan perasaan sendiri. Betulkah tempat itu tidak berapa elok?

“Kita jangan fikir yang tak elok. Be positive…Tempat tu memang menarik dijadikan bahan untuk tesis kita ni.” Azlan cuba menjernihkan keadaan. Mengarutlah semua itu.

“Lagipun kita ni dah kesuntukan masa tau. Dapat info tentang tempat ni pun dah cukup baik.” Jason menyokong kata-kata Azlan. Dia memandang Devi, mahu gadis itu memahami situasi yang sebenar. Usah diikutkan sangat perasaan seram itu.

Devi mengangguk perlahan. Dia cuba menjernihkan fikirannya yang dihantui perasaan seram sebentar tadi. Dia faham dengan tuntutan pelajaran mereka sekarang. Dia juga tahu betapa suntuknya masa mereka untuk menyiapkan tesis tersebut.

“Lagipun kita tak sure Prof akan terima ke tidak tempat ni. Entah-entah dia reject jugak.” Jason seolah merungut. Prof.Kamarul mungkin akan menolak mentah-mentah kertas kerja mereka kelak. Tiada siapa yang dapat meneka apa yang akan terjadi di masa hadapan. Tiada siapa di antara mereka yang dapat meneka apa yang akan diputuskan oleh penasihat akademik mereka itu. Adakah diterima ataupun ditolak.

“Betul jugak tu…Lemah semangat aku.” Azlan melepaskan keluhan yang panjang. Fikirannya sudah letih memikirkan hal tesis mereka. Entah bilalah kertas kerja mereka akan diluluskan oleh profesor itu.

“Kita cuba dulu. Jangan putus asa sebelum mencuba.” Rita menasihati rakan-rakannya yang sudah awal-awal lemah semangat. Belum cuba belum tahu.

Perbincangan hari itu ditamatkan sebelum masuknya waktu zuhur. Azlan dan Jason bergegas pulang ke desasiswa untuk mencari info mengenai tempat itu. Besar harapan Azlan supaya emailnya menerima balasan dari si pengirim email. Dia benar-benar memerlukan maklumat yang selanjutnya.

Azlan mengambil posisi di atas kerusi, dia menghadap komputer ribanya. Kotak emailnya dibuka dan diperiksa. Masih tiada jawapan. Dia mengeluh penuh hampa.

“Try Google tempat tu.” Jason mendekati Azlan. Nampaknya rakannya itu sedang memeriksa kotak emailnya.

“Okay.”

Google dibuka dan nama kota itu ditaip. Berjaya dibuka! Azlan dan Jason tersenyum lebar. Akhirnya!

“Eh…Mana gambarnya?” Jason mendekatkan wajah ke skrin komputer milik Azlan. Tiada apa yang keluar di situ. Kosong.

Azlan mencuba sekali lagi dan mendapat keputusan yang sama. Skrin komputernya menjadi kosong, dipenuhi dengan warna hitam.

“Tak bolehlah.” Dia berkata pelik. Takkanlah komputer pun ada masalah?

“Pelik betul. Tak faham aku…” Jason melabuhkan duduk di atas katil Azlan. Komputer pun bermasalah? Ingatkan telefon sahaja.

Azlan mencabut plug charger komputer ribanya dan kemudian menghidupkannya kembali. Dia membuka email sekali lagi. Alangkah gembira bukan kepalangnya dia apabila mendapat balasan daripada pihak sana. Dia bersorak gembira.

“Apahal? Apahal?” Soal Jason cemas. Dia kembali mendekati Azlan.

“Anynomous tu balas email aku. At last!”

“Check cepat!” Jason berkata teruja. Mesti ada maklumat-maklumat penting di dalam email tersebut.

Previous: DETIK : 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman