Home Novel Seram/Misteri SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
Mmel Ismail
22/1/2019 22:01:18
25,863
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 1

Bangunan Alpha, Kuala Lumpur.

   Pintu pejabat yang dibuka kasar mengejutkan Farish. Wajahnya tegang, seolah ingin menerkam mangsa yang ada didepannya. Wajah adiknya yang masuk dengan wajah mencuka tanpa rasa bersalah ditatapnya. Jika tidak mengingatkan itu adalah adiknya, sudah lama fail yang dipegang terbang dan hinggap di empunya badan.

   “Abang...”

   Nazira merengek. Kakinya turut dihentak-hentak tanda protes.

   “Apa lagi yang kau nak?” Farish membesarkan biji matanya, mencuba untuk menakutkan adiknya yang sudahpun berumur 22 tahun.

   “Abang ni jahatlah. Tak pernah nak faham Zira,” Nazira memuncungkan mulutnya, tidak senang.

   “Kau nak abang faham macamana lagi? Cuba kau tengok mulut kau sendiri, dah macam kuda laut.”

   Nazira menjeling. Hatinya sakit mendengar ejekan abangnya. 

   Farish diam. Dalam hati, dia mengetawai adiknya.

   Nazira kembali melangkah menuju ke pintu pejabat. Dia ingin balik. Tangannya mencapai pintu pejabat dan menutup dengan kasar. Sekali lagi Farish terkejut. Matanya sekejap dipejam menahan sabar.

   Tiba-tiba, pintu pejabat kembali dibuka. Farish yang baru sahaja ingin melabuhkan punggungnya kembali berdiri.

   “Abang...” Nazira menjengul, berharap abangnya akan berubah fikiran.

   “Dah, tak ada. Abang kata tak boleh, tak boleh. Titik,” balas Farish. 

   Tangannya mula digerakkan meminta Nazira untuk balik. Nazira kembali memuncungkan mulut lebih panjang. 

   “Jahat!”

   Pintu pejabat kembali menjadi mangsa keadaan. Sudah berapa kali pintu tersebut ditutup dan dibuka kasar.

   “Hoi, kau fikir abang kau ni kaya sangat ke nak ganti pintu setiap minggu?” marah Farish kuat. Sakit benar akan sikap adiknya yang masih tidak matang.

   Farish bergumam tidak berpuas hati. Kerusi empuk diduduk kasar. Dia turut menarik sebuah fail kasar, sehingga pen yang ada diatas fail jatuh ke bawah meja.

   “Ni lagi satu, tak pandai habis nak menyusahkan aku,” marah Farish lagi seorang diri.

   Mahu tidak mahu, dia terpaksa mengambil pen tersebut. Walaupun dia seorang pengarah syarikat menggantikan ayahnya, dia hanya mempunyai sebatang pen. Hanya itulah pen yang akan menjadi peneman dirinya setiap kali menghadiri mesyuarat dan menandatangani sebarang perjanjian.

   “Mana pula pen ni? Tadi ada dekat sini.”

   Dibawah meja, Farish terbongkok-bongkok mencari pen kesayangannya. Ketinggiannya yang sering diidamkan para wanita dalam diam memberi kekurangan pada dirinya untuk berbongkok. Pinggangnya sering terasa sakit. Entah kerana dia mempunyai tulang belakang yang lemah ataupun kerana dia kurang bersenam membuatkan dirinya kekurangan tenaga.

   “Kau cari apa?”

   Serentak dengan itu Farish menoleh kebelakang. Dia terkejut dengan teguran tersebut. Dan entah bagaimana, dia terhantuk. Matanya dipejam sambil sebelah tangan dikepala.

   “Eh, kau okay ke ni?” Midya mencuba untuk membantu. 

   “Kau dah tak pandai nak bagi salam ke?” marah Farish. 

   Kepalanya yang sakit digosok. Dia keluar dari bawah meja dan kembali berdiri. Pen yang dicari masih belum ditemui.

   “Sorrylah...”

   Midya hanya tersengih memperlihatkan giginya taringnya yang tertindih dengan gigi yang lain.

   “Banyaklah kau punya sorry,” balas Farish sambil menjeling. 

   Kerusinya yang terundur kembali ditarik. Dia duduk. Jelas dia terlihat penat.

   “Kau tak apa-apa ke ni Farish?” tanya Midya. Dia turut duduk diatas sebuah kerusi didepan meja rakannya.

   “Kau tak nampak aku tengah sakit kepala ni?”

   “Apahal kau bad mood ni? Datang bulan ke?” Midya mengusik.

   Farish kembali menjeling. Kepalanya masih terasa sakit akibat hantukan kuat itu. Badannya yang letih disandarkan ke kerusi, membiarkan Midya memandangnya.

   “Apahal kau ke mari?” soal Farish setelah rasa sakit kepalanya hilang.

   “Ni, ada laporan.”

   Midya meletakkan fail biru diatas meja rakannya. Farish pantas mencapai. Satu persatu helaian muka surat diteliti, sebelum kembali menutup fail tersebut.

   “Erm, nantilah aku bagi dekat kau.”

   Midya mengangguk. Malas dia hendak membantah. 

   “Tadi aku ada nampak adik kau. Kau dengan dia gaduh ke? Panjang muncung dia aku tengok,” ujar Midya ingin tahu.

   “Pedulilah dengan aku. Malas aku nak kisah,” balas Farish. Midya memuncungkan mulut tidak berpuas hati.

   “Nazira nak kahwin ke?” tanya Midya lagi. Dia enggan berhenti selagi tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku diantara kedua beradik itu.

   “Tak.”

   “Dah tu?”

   Farish melepaskan keluhannya. Permintaan adiknya benar-benar diluar kotak fikirannya. Dan sebagai seorang abang, mana mungkin dirinya akan melepaskan adiknya untuk pergi bersama dengan seorang lelaki yang bukan muhrim. Silap haribulan adiknya boleh menjadi mangsa seksual.

   “Hello, aku cakap dengan kau ni,” Midya menjentikkan jarinya didepan wajah Farish. Geram pula hatinya tatkala melihat Farish mengelamun dari menjawah soalannya.

   “Apa?” Farish mengangkat wajahnya sedikit, seolah lupa dengan apa yang ditanya rakannya.

   “Bagusnya kau ni kan. Belum tua dah pelupa nyanyuk bagai,” perli Midya.

   “Kau tanya apa sebenarnya tadi?”

Midya menjeling. Wajah rakannya dipandangnya dengan rasa menyampah.

   “Apa?”

   “Aku tanya apa yang sebenarnya adik kau nak sampai kau tak bagi apa yang dia minta? Selama ni aku tengok kau bagi je setiap kemahuan dia.”

   “Kau nak tahu sebab apa aku tak beri keizinan untuk dia kali ni?”

   “Kau bodoh ke apa ni Farish? Kalau aku tahu, kenapa pula aku nak tanya kau balik?” Potong Midya tidak sabar.

   Farish memandang dengan tajam. Geram benar dia akan sikap rakannya itu. Ingin saja dia menghempuk fail yang ada diatas meja ke kepala rakannya.

   “Farish, aku nak kau jawab soalan aku tau.  Bukannya tengok aku macam tu. Apa, kau ingat aku ni boleh transfer apa yang ada dalam otak kau dari mata aku ni?”

   Farish mengetap bibirnya geram. Dia menahan dengan penuh sabar.


Kafe Harmony, Kuala Lumpur.

Andhika hanya tersenyum mendengar luahan hati dan keluh kesah kekasihnya. Walaupun dia tidak pernah bertentang mata dengan abang kekasihnya, namun dia tahu bagaimana sikap Farish. Dari cerita Nazira, dia yakin bahawa lelaki itu adalah seorang lelaki yang tegas dan agak keras kepala.

   “Sayang... Macamana ni? Abang tak bagi ikut,” rengek Nazira.

   “Awak pujuklah dia. Mesti abang awak akan bagi,” balas Andhika.

   Nazira memuncungkan mulutnya. Keluhan turut dilepaskan.

   “Hei sayang, janganlah macam ni. Buruk,” Andhika mencuit hidung kekasihnya, sekaligus menerbitkan senyuman Nazira.

   Nazira hanya tersenyum. Lengan Andhika dipeluk erat. Sayangnya pada lelaki itu seolah tidak berpenghujung. Apa sahaja yang lelaki itu mahu, dia pasti akan menunaikan walaupun dia terpaksa membohongi abang dan ayahnya.

   “Saya tak tahu macamana lagi nak pujuk abang... Dia tetap tak nak bagi,” ujar Nazira.

   “Tak apa... Lain kali boleh cuba lagi.”

   Nazira mengangguk perlahan. Dia kembali teringat akan kata-kata abangnya. Keinginannya untuk ke Bario bersama-sama kekasih dan rakannya sama sekali dibangkang abangnya tanpa berfikir panjang.

   “Sayang, apa kata awak beritahu dengan ayah awak? Manatahu ayah awak bagi,” Andhika memberi cadangan.

   “Ayah? Ayah belum balik dari Jepun,” balas Nazira.

   “Telefonlah dia.”

   Nazira diam. Cadangan kekasihnya difikir sejenak. 

   “Nantilah saya cuba ya?”

   Andhika mengangguk. Dia mula tersenyum puas. Umpannya untuk menjerat Nazira mengena. Dia sudah tidak sabar hendak menghubungi Sofia.


Nazira melangkah dengan perlahan. Entah mengapa hatinya gerun tatkala melihat ada kenderaan milik abangnya parkir diperkarangan rumah. Jam tangan dipandang. Sudah pukul 6 petang. 

   Harap-harap abang tak bertukar jadi raksasa, getus hati Nazira.

   Nazira memanjangkan leher menjenguk masuk kedalam rumah. Dia mencari kelibat abangnya. 

   “Kau buat apa tu?”

   “Oh, mak kau!”

   Nazira terkejut. Dia berpusing. Sekali lagi dia terkejut. Abangnya ada dibelakangnya, memandangnya tajam. Ditangannya ada sebatang cangkul. Lagaknya tidak ubah seperti seorang tukang gali kubur.

   “A... Abang buat apa? Awal abang balik?” tanya Nazira gugup.

   “Kau dari mana?” tanpa menjawab pertanyaan adiknya, dia menyoal.

   “Erm... Zira dari kafe jumpa kawan.”

   “Jumpa kawan ke jumpa boyfriend?”

   Nazira menelan air liur. Pertanyaan abangnya seolah pertanyaan dari malaikat maut.

   “Jadi betullah kau dari jumpa boyfriend?” ulang Farish. Nazira perlahan mengangguk.

   Farish menghampiri Nazira yang masih tercegat di muka pintu. Batang cangkul yang ada dipegang erat. Nazira berundur beberapa langkah kebelakang, risau jika abangnya hilang kewarasan dan menghayun cangkul tersebut kearahnya.

   “A... Abang nak buat apa?” Nazira bertanya risau.

   “Aku nak masuk,” jawab Farish. 

   “Masuk?”

   “Yalah, masuk rumah. Kau nak aku tidur di luar ni ke?” balas Farish.

   Nazira tertunduk malu. Dia bergerak ke tepi memberi ruang untuk abangnya masuk ke dalam rumah. Perlahan mulutnya memanjang sebelum menurut langkah abangnya masuk kedalam rumah.

   “Tutup pintu tu. Nanti nyamuk masuk,” arah Farish tanpa berpaling memandang adiknya.

   Nazira kembali berpatah balik. Pintu rumah ditutup dan dikunci. 


Jam sudahpun menunjuk pukul 9 malam. Nazira mula memanjangkan leher menjenguk ke luar biliknya. Dia mencari kelibat abangnya yang tidak lagi terdengar.

   Dengan langkah yang perlahan, Nazira keluar dari bilik. Anak tangga menuju ke tingkat bawah rumahnya dituruni satu persatu. Dia takut akan kehadiran abangnya yang boleh saja muncul mendadak seperti hantu.

   Dapur dijenguk. Abangnya masih tidak terlihat. 

   Setelah puas mencari, akhirnya Nazira menemui abangnya. Rupanya Farish tertidur di sofa ruang tamu. Hanya suara televisyen yang terdengar.

   “Apahal tidur dekat sini?” Nazira berkata sendiri.

   Wajah Farish ditatapnya. Jauh didalam hati, dia kasihan dengan abangnya yang begitu gigih bekerja demi menampung hidupnya. Sejak kehilangan sang ibu akibat kanser hati, abangnya menjadi tempat untuk dirinya bermanja. Harapkan ayahnya yang sering ke luar negara, memang dia akan kehausan kasih sayang.

   Nazira kembali mengorak langkah naik ke tingkat atas sebelum kembali turun dengan sehelai selimut milik abangnya. Dengan perlahan selimut tersebut menutup tubuh badan abangnya.

   Televisyen yang hidup dimatikan. Abangnya dibiarkan tidur di ruang tamu. Lampu tengah dimatikan. Dia tidak mampu menganggu tidur abangnya. 


Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail