Home Novel Seram/Misteri SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
Mmel Ismail
22/1/2019 22:01:18
25,869
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

Nazira mengulum bibirnya. Dia takut, cemas dan risau. Dia risau jika itu adalah satu perangkap untuknya. Dia risau jika abangnya akan mengurungnya dari keluar dari rumah dan kembali melarikan diri. Dia mula berfikir dua kali untuk masuk kedalam rumahnya. 

Dia memandang rumahnya yang tersergam mewah. Banglo dua tingkat itu sudah lama didiaminya sejak dia dilahirkan lagi. Rumah itu sudah sebati akan dirinya. Walaupun kedua matanya ditutup, dia masih tahu akan kedudukan dalam rumah tersebut.

Namun sejak kematian ibunya, dia mula kehilangan kemanisan keluarganya sendiri. Abangnya seringkali ke luar kota untuk urusan kerja. Ayahnya pula sibuk dengan perniagaan yang baru diceburinya dengan beberapa orang rakan. Tiada siapa yang mahu menemaninya sehinggalah dia bertemu dengan Andhika, seorang lelaki yang setia mendengar keluhannya.

Cuaca yang sudah semakin gelap membuatkan Nazira tidak lagi mampu untuk berfikir banyak. Dia nekad, jika abangnya mahu mengurungnya, dia akan mogok lapar. Dia akan bertindak di luar dugaan.

Beg pakaian kembali ditarik memasuki halaman rumah. Didepan muka pintu, dia berhenti sejenak. 

Tok! Tok! Tok!

Tidak lama kemudian, pintu dibuka. Tuan Andrian menjengul keluar. Senyumannya pantas terukir tatkala melihat anak perempuannya. Pantas dia keluar dan memeluk Nazira, erat.

Nazira hanya diam tidak membalas pelukan ayahnya. Dia khuatir jika itu hanyalah satu rancangan untuk memerangkapnya.

“Syukurlah Nazira dah balik,” ucap Tuan Andrian lega.

Nazira hanya mengangguk dan tersenyum nipis. Wajah tua ayahnya dipandangnya.

“Siapa tu ayah?”

Dari dalam terdengar laungan Farish. Nazira mula berundur beberapa tapak kebelakang, bersiap untuk melarikan diri jika abangnya mahu menangkapnya.

“Adik kamu,” jawab Tuan Andrian. Dia tidak sedar akan langkah berundur anaknya.

Mendengar kata adik, Farish bergegas keluar. Dia mahu melihat dengan mata sendiri akan kehadiran adiknya yang sempat membuatkan kepalanya sakit.

Farish tersenyum sebaik keluar. Dia tidak menyangka, hanya itu yang diperlukan adiknya untuk kembali ke rumah. Kebenaran untuk pergi ke Bario.

Geram dengan Nazira, Farish pantas menghampiri adiknya. Adiknya dipeluk erat. Nazira yang sedikit terkejut mencuba untuk menepis namun kudratnya tidak sekuat abangnya. Dalam sekejap, dia jatuh dalam pelukan abangnya.

“Geramnya abang dengan kau ni,” ujar Farish sambil menggosok kepala adiknya yang ada didalam dakapannya. 

Nazira hanya mengerang minta dilepaskan.

“Abang... Sakitlah.”

Farish tidak mempedulikan permintaan adiknya. Dia semakin menguatkan pelukannya/

“Abang...”

“Dahlah tu Farish, lembik pula adik kamu tu nanti,” tegur Tuan Andrian. Dia tersenyum gembira melihat kedua beradik tersebut. Hatinya kini lega.

Farish melepaskan pelukannya. Kepala adiknya kembali digosok. 

Nazira mencebik tidak berpuas hati. Rambutnya yang cantik kini sudah kusut dan kembang akibat gosokan abangnya yang kasar.

Farish hanya tersengih. Puas hatinya tatkala mengerjakan rambut adiknya yang baru sahaja direbondingkan beberapa hari yang lalu. Ikutkan hati, mahu saja dia mengigit hidung adiknya sebagai balasan akan perangainya kerana lari dari rumah.

“Dahlah, jom masuk. Hari pun dah malam,” Tuan Andrian mengajak kedua anaknya masuk.

Namun baru sahaja mereka ingin melangkah masuk, sebuah kenderaan Honda Accord berwarna putih susu berhenti betul-betul didepan rumah. 

“Siapa tu?” tanya Farish ingin tahu.

Tuan Andrian dan Nazira tidak menjawab.

Siapa sangka jika Sofia keluar dari kenderaan tersebut. Di tangannya ada beberapa buah beg kertas. Pasti Sofia telah membeli sesuatu.

Dalam hati, Nazira mula berfikir akan pemilik kenderaan tersebut. Dia bagaikan kenal akan kenderaan tersebut.

Takkanlah itu Dhika? Detik Nazira dalam hati.

Kenderaan itu berlalu setelah Sofia habis mengeluarkan barang beliannya. Lambaian dibalas dengan lambaian. Sofia masih tidak perasaan akan tiga pasang mata yang sedang memandangnya.

Sebaik Sofia masuk kedalam perkarangan rumah, dia agak terkejut. Matanya pantas tertumpu kearah Nazira.

“Awak dari mana Sofia?” tanya Tuan Andrian.

“Shopping,” jawab Sofia pendek. Senyumannya lebar tanda bahagia.

“Dengan siapa?” tanya Nazira pula. Dia mula penasaran akan pemilik kenderaan yang telah menghantar ibu tirinya pulang.

“Hello, itu bukan urusan awak ye.”

Nazira sedikit tersentak, tidak percaya itu jawapan yang diterimanya.

“Dahlah, I nak masuk. I nak berehat. Anyway, welcome home Nazira.”

Sofia masuk dengan banyak beg kertas. Tuan Andrian dan Farish terpaksa berganjak ke tepi untuk memberi laluan pada Sofia. Jelas jika wanita itu tidak menghormati keluarga tersebut. Serentak dengan itu juga Tuan Andrian melepaskan keluhan.


Jarum jam sudahpun menunjukkan pukul 10 malam. Namun Nazira masih belum melelapkan mata. Entah mengapa malam itu dia payah untuk melelapkan mata. 

Telefonnya yang ada diatas meja di sisi katilnya dicapai. Laman sosial Instagramnya mula dilayari satu persatu. Walaupun dia mempunyai pengikut yang agak ramai, namun tidak ada satu pun yang begitu dikenalinya. Dia hanya mengenali Andhika, sang kekasih dan juga dua orang rakannya lagi. Alia dan Edwin.

Instagram milik kekasihnya mula dilihat. Dia hanya mampu melepaskan rindu dari gambar tersebut. Sesekali dia tersenyum melihat wajah kekasihnya.

Gambar terbaru yang dipost kekasihnya membuatkan dirinya mula tertanya-tanya. Jam tangan yang dikenakan kekasihnya seolah pernah dilihatnya. Dahinya mula berkerut, penuh tanda tanya.

Komen dari rakan kekasihnya mula dibaca satu persatu. Ada yang memuji ketampanan Andhika tidak kurang juga yang memuji akan betapa cantiknya jam tangan mewah itu. Dia semakin tertanya-tanya.

“Dimana aku pernah nampak jam ni ya?” Nazira mula memandang siling. Dia mencari jawapan, cuba mengingat kembali.

Namun dia tidak menemukan sebarang jawapan. Otaknya seolah tidak mampu untuk berfungsi dengan baik.

Nazira mendudukkan dirinya. Entah mengapa tekaknya terasa haus. Selipar berbulu berwarna putih dipakai. 

Dengan langkah yang perlahan, dia melangkah ke pintu. Dibuka lalu keluar dan menuruni anak tangga.

Sampai di tingkat bawah, langkahnya terhenti tatkala dia mendengar akan satu pergaduhan kecil dari bilk tidur ayahnya. Walaupun pergaduhan tersebut disertai dengan suara yang tidak kuat, Nazira masih mampu mendengar dengan jelas.

Hatinya mula berbisik memintanya untuk menghampiri bilik tersebut. Dan Nazira hanya menurut. Dengan perlahan dia menghampiri, cuba untuk mencari tahu permasalahan yang timbul diantara ayahnya dan juga ibu tirinya.

“Takkanlah jam tangan pun awak tak mampu nak jaga?”

“Saya kan dah kata, saya mungkin tercicir jam tu. Saya pun tak sedar yang jam tu dah hilang,” Sofia membela diri.

Tuan Andrian melepaskan keluhannya. Dia bengang. Manakan tidak, jam tangan itu dibelinya dengan harga beribu ringgit dan kini telah hilang akibat kecuaian isterinya. 

Sofia pula dalam pada masa yang sama, hanya tenang seolah jam tangan itu tidak bernilai dimatanya. 

“Susahlah nak cakap dengan awak ni,” Tuan Andrian menarik selimut. Kesal benar hatinya.

“Habis tu awak nak saya buat apa? Menangis meraung macam tu?” 

Sofia menjeling. Sakit pula hatinya dengan sikap keras kepala suaminya itu. Suami yang sebenarnya tidak dicintai sama sekali. Apa yang dicintainya hanya duit suaminya. Duit yang akan membahagiakan dirinya.

Sebaik selesai menempek bedak diwajahnya, dia menuju ke katil. Suaminya yang baring membelakanginya dijeling sesekali lagi. Sempat juga dia menjulur lidah tanda benci.

Nazira yang ada diluar mula berganjak pergi. Baru dia tahu apa sebenarnya yang telah berlaku. Kehilangan jam tangan mewah mencari punca bergaduhan suami isteri tersebut.


Farish melemparkan pandangan keluar balkoni biliknya. Angin malam dibiarkan menyapa lembut wajah dan rambutnya. Dia masih berfikir akan keinginan adiknya untuk ke Bario. Namun dalam pada masa yang sama, dia terpaksa bersetuju. Ayahnya telah memberi keizinan.

Satu keluhan berat dilepaskan. Pelbagai bayangan aneh dan menakutkan mula menerpa masuk kedalam fikirannya. Dia bagaikan dapat merasakan sesuatu yang malang akan berlaku dan menimpa keluarganya. Satu kejadian yang berada diluar kawalannya.

Telefon pintarnya berbunyi. Farish menoleh lalu melangkah mendapatkan telefonnya. Nama rakan sekerjanya Midya tertera di skrin.

“Hello Midya,” ucap Farish sebaik menjawab panggilan tersebut.

Dia melabuhkan punggungnya diatas katil.

“Kau belum tidur?”

“Belum. Aku masih tak mengantuk,” jawab Farish.

“Oh. Macam ni Farish, pasal Nazira tu aku rasa kau kena cari sendirilah.”

“Kenapa pula? Apa maksud kau?”

“Susahlah aku nak cakap. Nanti aku kata, kau tak percaya pula. Bagusnya kau tengok sendirilah.”

“Apa hal sebenarnya ni? Tempat tu ada raksasa ke?” 

Farish mula mengerutkan dahi. Pelik.

“Bukan...”

“Dah tu?”

“Kau tengoklah sendiri di Google. Kau sendiri baca baru kau puas hati,” Midya masih enggan berterus terang. Yang pasti, bulu romanya sedikit meremang tatkala membaca berita tersebut.

“Tak boleh ke kau beritahu aku je terus? Aku malas nak cari ni,” pujuk Farish.

“Kalau dah malas, apa boleh buat. Dahlah, aku nak tidur ni. Mata aku dah mengantuk.”

Midya memutuskan panggilan tersebut. Dia sama sekali tidak memberi peluang pada Farish.

Farish pula mengeluh. Sakit pula hatinya akan rakannya yang enggan berterus terang itu.

Mahu tidak mahu, dia terpaksa mencari sendiri. Beg laptopnya yang ada ditepi almari diambil lalu kembali ke katil. Sempat juga dia menutup pintu balkoni dari terus membiarkan angin malam menerjah masuk kedalam biliknya.

Setelah menunggu beberapa ketika, Farish mula mencari carian yang diinginkannya. Sejarah mengenai Bario mula dilayari satu persatu. Keinginan adiknya ke Bario mula membuatkan dia penasaran. Dia ingin tahu bagaimanakah keadaan kawasan tersebut. Kawasan yang begitu jauh dari bandar.

Satu persatu laman blog dibuka. Masing-masing menyatakan keterujaan dan keseronokan yang dialami semasa melawat Bario. Beberapa keping gambar sebagai bukti membuatkan Farish mengangguk. Dia bagaikan berpuas hati.

Namun hatinya masih enggan menginzinkan adiknya untuk pergi. Hatinya masih berdegup kencang. Perasaan takut dan gerun lebih mendominasi hatinya.

Laptop ditutup. Diletakknya di tepi meja kecil di sisi katilnya. Badan yang agak penat mula dibaring sambil kedua tangan diletakkan dibelakang kepala. Siling bilik dipandang, seolah terdapat jawapan disitu.

Kenapa dengan aku? Kenapa aku rasa macam ada benda buruk yang akan berlaku?

Farish bertanya pada dirinya sendiri. Dia semakin tidak tenang. Perlahan matanya dipejam cuba menghilangkan pemikiran negatif itu.

Akhirnya dia tertidur. Kerisauannya mula ditinggal ditepi.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail