Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik keempat belas

Detik keempat belas.

Zamia bergegas membuka pintu utama dengan kain telekung yang masih tersarung di badan. Kedengaran sayup-sayup bunyi ketukan dan suara wanita di luar. Daun pintu dikuak separa luas, sesusuk tubuh seorang wanita yang tua sedikit dari ibunya sedang terpacak di hadapannya.

“Ye, boleh saya bantu?” Zamia terpaku di muka pintu. Wanita yang berpakaian kurung kedah serta berselendang putih tersenyum mesra ke arahnya.

“Ni Mia ke?” Soal wanita itu. Zamia mengangguk.

“Nama makcik Mak Tam..” Jelas orang tua itu. Zamia mengangguk dalam keliru. Dia lebih banyak mendiamkan diri dan membiarkan Mak Tam sahaja yang berbicara.

“Mak Tam ke sini sebab nak tolong Mia buat kerja-kerja rumah.” Mak Tam tersenyum mesra sambil merenung tepat ke wajah Zamia.

Wajah wanita yang bernama Mak Tam itu direnung lama. Lembut sahaja air mukanya, Zamia berasa senang.

“Masuklah dulu Mak Tam.” Pelawa Zamia. Mak Tam melipat payungnya yang basah lalu menyandarkannya ke dinding anjung banglo tersebut. Dia melangkah masuk dengan senyuman meleret di bibirnya.

“Duduklah Mak Tam, Mia buatkan air kejap.”

Zamia mahu ke dapur namun ditegah oleh Mak Tam.

“Tak payah susah-susah Mia. Mak Tam yang sepatutnya buat semua tu. Mia duduklah sini, kita berbual-bual.” Ujar Mak Tam sambil menepuk-nepuk sofa dengan sebelah tangannya. Zamia tidak membantah, terus sahaja dia melabuhkan duduknya di sebelah Mak Tam.

“Mak Tam sebenarnya baru balik dari Melaka, melawat anak saudara yang baru bersalin kat sana.”

“Oh ye ke..” Zamia mengangguk. Cuba untuk berkomunikasi.

“Mak Tam ni sebenarnya ibu kepada Imriz.” Mak Tam tiba-tiba memberikan penjelasannya. Mata Zamia terbeliak apabila mendengar nama Imriz disebut oleh wanita itu. Ibu kepada Imriz?

“Mak Tam ni ibu kepada abang Riz?” Zamia menyoal sekali lagi. Seperti tidak percaya pula dia bahawa orang tua itu adalah ibu kepada Imriz.

“Ye. Imriz tulah satu-satunya anak Mak Tam. Dah besar Mia ye, cantik..” Puji Mak Tam sambil membelai kepala Zamia.

“Mak Tam kenal dengan tok aki dan tok wan tak?” Zamia mula berminat untuk berbual dengan wanita itu. Mak Tam segera mengangguk.

“Mestilah kenal. Mak Tam ni dah macam anak angkat diorang..” Balas Mak Tam sambil tergelak. Terkenang dia pada arwah suami isteri itu, baik sekali orangnya.

“Mak Tam datang sini sebab abang Riz suruh ke?” Soal Zamia serba-salah. Kalau boleh dia tidak mahu menyusahkan wanita itu. Dia sendiri mampu untuk melakukan kerja-kerja rumah di banglo tersebut.

“Riz bagitau Mak Tam pasal kedatangan Mia dengan Danny ke sini tapi masa tu Mak Tam masih di Melaka. Tak sempat tengok abang Mia.” Kata Mak Tam penuh sesal.

“Siapa isteri abang kamu?” Tanya Mak Tam penuh minat.

“Nama dia Ain Shakina. Kak Ain dah jadi anak angkat ibu dengan ayah sejak di sekolah menengah lagi.” Jelas Zamia panjang lebar. Orang tua itu mengangguk-angguk faham.

“Laa, orang dekat jugaklah ni. Beruntung badan.” Ujar Mak Tam lalu ketawa gelihati.

“Mak Tam tak payahlah susah-susah tolong Mia kat sini. Kesian Mak Tam baru aje balik dari Melaka, mesti letih tak hilang lagi.” Zamia berkata simpati. Garis-garis keletihan di muka ibu itu jelas kelihatan.

“Alah, apa yang susahnya Mia, memang Mak Tam suka sangat dapat meluangkan masa dengan Mia kat sini. Bukannya selalu kan?” Pandai sekali orang tua itu mengambil hati Zamia.

Dia menguntum senyuman mendengar kata-kata Mak Tam. Lidah orang tua itu petah sekali berkata-kata, pasti dia tidak akan kesunyian sepanjang berada di situ. Sekurang-kurangnya ada juga teman untuk diajak berbual.

“Eh, Mia lupa nak buka kain telekung ni..Asyik sangat berbual.” Zamia menepuk dahi menyedari dirinya yang masih lengkap berkain telekung. Mak Tam tergelak melihat telatah gadis muda itu.

“Pergilah buka telekung tu dulu, Mak Tam nak ke dapur kejap.” Mak Tam bangkit dari duduknya lalu berlenggang ke dapur.

Di dapur, orang tua itu sibuk sekali menjerang air di atas dapur gas. Zamia menjengulkan mukanya di muka dapur dan tersenyum melihat kesibukan Mak Tam menyediakan makan petang itu.

“Mia boleh masak, Mak Tam pergilah berehat.” Katanya sambil mengambil alih pisau dan papan pemotong dari tangan orang tua itu.

Mak Tam berlalu ke peti sejuk dan mengambil kobis. “Mia suka makan sayur masak lemak kan?”

Pertanyaan Mak Tam mengejutkan Zamia. Bagaimana Mak Tam tahu makanan kegemarannya? Adakah Imriz yang telah memberitahunya?

“Imriz yang bagitau mak Tam.” Mak Tam seolah tahu apa yang sedang bermain di minda Zamia.

“Mak Tam nak masak sayur masak lemak ke?” Zamia mengusik. Perutnya tiba-tiba berkeroncong. Mak tam mengangguk dan tersengih menyerlahkan giginya yang kuning.

Zamia kagum melihat lauk-pauk yang tersusun di atas meja makan. Aroma masakan Mak Tam memikat seleranya. Sayur masak lemak memanggil-manggilnya untuk menjamu selera.

“Duduklah Mia, Mak Tam dah siap masak dah. Bolehlah makan sekarang.”

Zamia menarik kerusi dan melabuhkan duduknya di situ. Dia menoleh ke arah Mak Tam dengan senyuman manis. “Mak Tam pun makanlah sekali.”

Mata keduanya bertemu. Seketika kemudian, orang tua itu menggelengkan kepalanya. “Mak Tam dah kenyang.”

“Mak Tam makan apa?” Zamia menyoal hampa.

“Nasi lemak pagi tadi. Orang tua macam Mak Tam ni tak makan banyak Mia.” Mak Tam berseloroh. Hati Zamia digeletek kelucuan.


Hujan masih lagi lebat seperti tadi. Titis-titis hujan terus gugur membasahi bumi. Pokok gergasi bergegar seolah dihentam sesuatu. Seketika kemudian, bisikan-bisikan aneh kedengaran membelah hujan lebat. Ada tikanya guruh turut berbunyi seirama dengan kilat petir yang sambar-menyambar di langit kelabu.

“Astaghfirullahalazim!” Zamia beristighfar panjang tatkala kilat petir meraung di kaki langit.

Mak Tam bergegas ke ruang tamu untuk menutup suis elektrik yang terpasang. Zamia yang baru hendak menjamu selera bingkas bangun untuk menutup jendela dapur yang terbuka.

“Kuatnya kilat. Hujan pun lebat. Macam nak banjir aje Terengganu ni.” Keluh Mak Tam ketika kembali ke dapur.

“Entahlah Mak Tam. Nampak gayanya macam tulah.” Balas Zamia perlahan. Dia mempelawa wanita itu duduk dan mengajaknya menjamu selera bersama.

“Makanlah sikit Mak Tam. Tak seronoklah makan sorang-sorang.” Zamia memujuk. Akhirnya Mak Tam terpaksa mengalah. Dia menjamu selera dengan Zamia walaupun hanya beberapa suap nasi sahaja. Dia lebih banyak memerhatikan gadis itu makan.

Mak Tam meminta diri untuk pulang ke rumah sebelum masuknya waktu asar. Dia perlu memasak di rumah sebelum Imriz pulang dari kerja. Esok pasti dia akan ke situ lagi.

Zamia menghantar kepulangan Mak Tam dengan hati yang berat. Baru bersua muka dengan orang tua itu hatinya sudah terpaut pada kemesraannya. Mak Tam seorang yang happy go lucky dan senang diajak berbual. Tidak sabar dia menantikan kedatangan orang tua itu esok.

Telefon bimbitnya berbunyi-bunyi. Panggilan yang datangnya daripada Danish itu dijawab ceria.

“Alhamdulillah…” Ujarnya penuh kesyukuran.

Danish yang baru sampai di Kuala Lumpur bergerak menuju ke jendela bilik tidurnya. Ain pula sudah lama beredar ke bilik mandi untuk mencuci mukanya yang lesu.

“Mia okay ke kat sana?” Danish masih dengan kerisauannya.

“Alhamdulillah Mia okay. Abang berehatlah dulu..” Usul Zamia mahu mengalih topik perbualan. Jenuh dia mahu melayan kebimbangan abangnya itu.

“Hmm..Okay. Nanti abang call lagi tau..Jaga diri baik-baik kat banglo tu. Assalamualaikum.” Pesan Danish bersungguh-sungguh sebelum mematikan talian.


Hujan lebat telah pun berhenti. Langit yang kelam bertukar cerah. Zamia berlalu ke jendela bilik tidurnya dan melayan perasaannya di situ. Memori indah bersama abang kandungnya menerjah ke ingatan.


Kediaman Encik Zahari dan Puan Hatila.

Alat kawalan jauh televisyen dirampas oleh Danish. Zamia yang sedang menonton drama mendengus marah. Selamba sahaja remaja lelaki berumur tujuh belas tahun itu menukar siaran di televisyen.

“Orang nak tengok dramalah!” Bentak Zamia tidak puas hati. Dia cuba merampas alat kawalan jauh itu namun Danish pantas seperti lipas kudung.

“Jangan bising, abang nak tengok bola ni.” Remaja lelaki itu berkata selamba. Zamia mengetap bibir. Danish memang suka mengganggu ketenteraman hidupnya!

“Pergilah tengok kat atas! Boleh tak jangan kacau Mia tengok drama ni!” Zamia mula hilang sabar. Merah padam mukanya menahan marah. Danish tetap selamba. Dia langsung tidak mempedulikan kata-kata adiknya. Dia asyik menonton perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung di televisyen. Sesekali mulutnya murai memarahi kecuaian para pemain.

“Bak sini remote control tu!” Zamia cuba merampas alat kawalan jauh dari tangan abangnya namun gagal.

“Syyh! Abang nak tengok bola ni. Diam boleh tak!” Danish memarahi adiknya. Zamia mendengus dan menyepak tulang keting Danish sekuat hatinya. Baru padan dengan muka lelaki itu!

“Siap kau Mia! Berani kau sepak kaki abang…Aduh..” Danish berguling-guling di atas lantai sambil menggosok-gosok tulang keting yang pedih.

Zamia menjelirkan lidahnya. “Padan muka!”


Bibirnya menguntum senyuman apabila mengenangkan saat-saat remajanya dengan Danish. Sifat pembuli Danish seringkali membuatkan dia berasa benci dengan abangnya itu. Namun itu dulu, kini dia amat merindui kehadiran abangnya dan selalu ingin mendengar celoteh nakal dari mulut lelaki itu. Kerinduannya pada Danish datang membuak-buak.

Bertubuh tinggi lampai, berkulit putih melepak, berhidung mancung, bermata sepet dan berbibir nipis seperti hero Korea. Tambahan pula ibu mereka, Puan Hatila mempunyai darah kacukan cina-melayu. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Kemudian, wajah Ain pula mengisi layar mindanya. Gadis kacukan arab-melayu itu sungguh menawan hati. Sudahlah cantik, baik hati pula tu. Hati Zamia memuji-muji kakak iparnya. Zamia menarik nafas dan menghelanya penuh nikmat. Suasana lembab menambahkan kedinginan petang itu.

“Termenung jauh nampak?”

Zamia tersenyum apabila ditegur begitu. Dia berpaling ke belakang namun tiada sesiapapun di situ. Langsir terbuai-buai mengenai kulit mukanya. Suasana yang sepi menjadi semakin hening.

Zamia memandang ke sekeliling bilik tidur itu. Hanya dia yang berada di situ. Peluh dingin mula mengalir di dahi. Dia bangkit dari duduk lalu mengatur langkah perlahan-lahan ke ruang tamu.

Ruang tamu sunyi-sepi sahaja. Pintu utama masih berkunci kemas. Sudut itu tetap seperti tadi, tidak terusik. Tiada tanda-tanda dimasuki oleh seseorang. Otak Zamia berputar ligat, siapa yang menegurnya sebentar tadi?

“Macam suara Mak Tam..” Gumamnya. Dia bergegas ke tingkap, mengintai jika Mak Tam ada di luar.

“Cari siapa tu?” Suara itu sekali lagi menegurnya dari belakang. Zamia pantas menoleh namun tiada sesiapapun di situ kecuali dirinya. Jantung Zamia berdegup pantas. Dia memberanikan diri ke dapur untuk meninjau keadaan di situ.

Keadaan dapur juga sama seperti di ruang tamu. Tiada apa-apa yang aneh di situ. Kini dia yakin bahawa suara itu bukanlah milik sesiapa yang bergelar manusia. Pasti ia dari iblis dan syaitan.

“Allahuakbar..Allahuakbar..” Zamia berbisik dan mula membaca ayat kursi dengan suara yang agak lantang. Tempikan nyaring bergema dan melolong meminta gadis itu menghentikan bacaannya. Zamia menarik nafas, cuba mengumpul kekuatannya. Kemudian dia beredar ke bilik air untuk berwuduk kerana sudah masuknya waktu asar.

Jendela yang terkuak ditutup kemas. Dia sudah hilang mood untuk melayan fikirannya di situ lagi. Langit juga sudah mulai jingga menandakan sudah hampir waktu senja.


Selesai solat, Zamia membaca surah yasin dengan begitu merdu sekali. Bunyi-bunyian aneh di luar tidak dipedulikan. Dia berlindung di bawah kekuasaan Yang Maha Esa. Tiada apapun yang boleh melawan kekuasaanNya. Iblis dan syaitan hanyalah hamba ciptaan Allah sama seperti dirinya. Tiada sebab untuk dia berasa takut pada makhluk yang telah dilaknat oleh Maha Pencipta itu.

Langit malam mula melabuhkan tirainya. Nyanyian cengkerik dan unggas hutan sayup-sayup kedengaran di kiri kanan banglo biru. Zamia lebih banyak memerap di dalam bilik tidurnya pada malam itu. Selesai sahaja solat maghrib dan isya’, dia duduk bersila di atas katil. Dia bingung memikirkan banglo biru. Tidak semena-mena dia kembali diganggu.

Beberapa hari sebelum abang dan kakak iparnya pulang ke Kuala Lumpur, suasana di banglo itu baik-baik sahaja. Dia mendapat kekuatan dirinya semula ketika tinggal di situ. Dia telah mendapat kembali semangatnya yang hilang selepas pemergian Azriq.

Komputer riba berwarna merah jambu diambil dari dalam beg sandangnya yang tersandar di sisi almari pakaian. Sudah dua minggu dia tidak menyentuh komputer ribanya itu. Pasti banyak e-mel yang diterima daripada teman-teman rapat dan juga jauh.

Jemarinya menari laju di atas papan kekunci. Dia memeriksa beberapa e-mel yang diterima. E-mel yang ditulis oleh teman sebiliknya ketika dia menuntut di Pulau Pinang menarik perhatiannya. E-mel yang ditulis oleh gadis yang bernama Shalia itu membuatkan air matanya mengalir ke pipi. Dia tersengguk-sengguk di hadapan komputer ribanya.


“Buat temanku Zamia Izaiqa, sabarlah menerima dugaanNya. Aku cuma mahu sampaikan pesanan arwah sebelum dia pergi buat selama-lamanya. Tiga hari sebelum dia kemalangan, dia berpesan supaya aku menjaga kau dengan sebaik-baiknya kerana dia tidak pasti jika dia akan selalu berada di sisi kau..Dia sering bermimpi buruk sebelum dia meninggal dunia. Kau kat mana sekarang ni? Dah lama kita tak berjumpa..Apa-apapun jaga diri, ketahuilah bahawa Dia lebih mengasihi Azriq.

Wassalam~ Shalia.”


Zamia menyembamkan wajahnya ke katil dan menangis teresak-esak. E-mel tersebut dihantar selepas sehari Azriq meninggal dunia. Jika dia membacanya lebih awal, pasti dia akan bertemu dengan Shalia untuk mendengar cerita yang sebenarnya. Rupa-rupanya Azriq pernah menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya.

Setelah tangisannya reda, Zamia menguatkan diri untuk melayari laman sosial miliknya. Dia ingin membaca status-status terakhir yang ditulis oleh lelaki itu.

“Nightmares..”

Status tersebut ditulis oleh Azriq seminggu sebelum dia kemalangan. Zamia meneliti profil akaun milik lelaki itu.

“Hati aku tak tenang, seolah ada sesuatu yang aneh melemaskan aku.”

“Mimpi buruk lagi...”

Itu di antara status-status aneh yang pernah ditulis oleh Azriq di saat-saat akhir hayatnya. Tiada satupun yang menggembirakan, semuanya aneh dan menyeksa batin lelaki itu.

Mimpi-mimpi aneh? Mengapa tunangnya itu tidak pernah menceritakan tentang mimpi-mimpi aneh itu padanya? Zamia buntu. Dia harus mencari jawapan kepada semua kekusutan ini. Jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Dia mematikan komputer ribanya dan bersedia untuk tidur. Selepas membaca ayat-ayat suci, dia segera terlena.


“Saya diganggu mimpi-mimpi buruk…Mimpi buruk… Mimpi buruk!!”

Zamia tersentak. Kelopak matanya terbuka luas. Dahinya berpeluh-peluh.

“Dah subuh..” Bisiknya. Dia meraup muka yang lenjun dibasahi peluh. Azriq muncul dalam tidurnya lagi. Mungkin kerana dia terlalu memikirkan Azriq malam tadi.

“Allahuakbar, aku lupa tutup jendela ke malam tadi?” Zamia terlopong ketika melihat jendela yang terkuak luas. Dia bergegas menutup jendela lalu beredar ke bilik mandi untuk mandi dan berwuduk.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman