Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Tinta Ana
2/12/2020 21:34:56
57,109
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

Dikawasan yang sunyi dan suasana yang menginjak senja, pasti tidak ada maksud yang baik jika seorang lelaki menunggu seorang perempuan begini. Dari perangai Zam Ayni juga boleh tahu, memang tidak ada perkara yang baik sedang bermain difikirannya. Tapi Ayni sedaya-upaya tidak mahu menunjukkan rasa takut. Jadi, dia menarik nafas panjang, menunjukkan raut wajah seberani mungkin.

“Kenapa kau tunggu aku?” soal Ayni.

"Aku masih ada urusan lagi dengan kau!"

"Urusan apa lagi? Sebab kau aku kena buang kerja, tau tak? Jadi sepatutnya aku yang marah sekarang!"

Zam tergelak. "Cakap banyak pulak perempuan ni! Sekejap lagi kau tahulah nasib kau!"

Nasib apa? Dia hendak buat apa? Boleh tak kalau cakap dengan jelas? Tapi Ayni tidak berani untuk bertanya. Raut muka Zam juga cukup menakutkan. Ayni pasti, tidak kira apa pun yang terlintas di fikirannya, pasti bukan hal yang baik. Apatah lagi Zam sedang menghampiri Ayni dengan senyum yang juga menakutkan. Biarpun tidak mahu, Ayni mengundur beberapa langkah ke belakang tanpa sedar. Zam bagaikan gembira melihat reaksi Ayni.

Tidak ada banyak pilihan pun untuk Ayni. Hendak melawan, memanglah kudratnya tidak sekuat Zam. Sekuat mana tenaga seorang perempuan berbanding seorang lelaki? Hendak menjerit juga tidak berguna, tidak ada orang di kawasan ini. Jadi tidak ada orang yang akan menolong dia. Tapi bukan bererti dia perlu mengalah begitu saja.Dari meronta-ronta secara sia-sia, Ayni mendiamkan diri, membiarkan Zam yang tiba-tiba menarik tangannya. Tapi apabila dia berada dekat dengan Zam, dia terus mencucuk sebelah mata Zam dengan sekuat hatinya!

"Aduh!!!" Menjerit lelaki itu.

Siapa yang tidak terasa sakit diperlakukan begitu? Ayni sendiri tidak pasti terukkah kecederaannya, dia hanya tahu yang dia berjaya. Dia membiarkan Zam berguling-guling di atas tanah dengan tangannya menekup mata. Mata Ayni segera melilau, mencari sesuatu yang boleh digunakan untuk mempertahan kan diri. Nampak sebatang kayu, dia segera mencapai kayu itu, kemudian memukul Zam beberapa kali sekuat hatinya. Sekarang bukan matanya saja sakit, badannya juga sakit!

"Kau dah gila! Kau nak bunuh aku?" jerit Zam, berusaha untuk melindungi dirinya.

Tahu pula dia menjerit. Tadi dia hendak buat apa pada Ayni? Ayni yang masih tidak berpuas hati, memukul Zam beberapa kali lagi.

"Kau ingat senang kau nak buli aku? Sebab aku perempuan? Kau nak buat apa tadi? Kau nak rogol aku? Siapa yang gila?" soal Ayni bertalu-talu.

Tapi soalan Ayni itu langsung tidak dapat dijawab oleh Zam. Dia hanya mampu melindungi kepalanya dari terkena kayu yang dihayun oleh Ayni tanpa rasa belas kasihan itu. Dalam fikiran Zam dia terfikir yang mungkin dia akan mati dibelasah perempuan ini hari ini! Perempuan ini sudah hilang akal! Jadi bukannya Ayni yang menjerit, tapi Zam yang akhirnya menjerit meminta tolong.

“Tolong! Tolong!”

Ayni memukul beberapa kali lagi. “Tahu takut? Jeritlah! Jerit! Memang kau patut kena pukul!”

"Sudah! Sudah!"

Tangan Ayni yang memegang kayu dipegang erat oleh seseorang. Rakan kongsi? Jadi dia tidak datang seorang? Memang dasar pengecut! Ayni cuba menarik tangannya untuk melindungi diri dari orang yang baru tiba itu, tetapi pegangan lelaki itu terlalu kuat.

"Pengecut! Dua orang lelaki nak serang seorang perempuan! Kalian memang pengecut!" seranah Ayni, masih enggan mengalah dan menarik tangannya.

"Saya bukan nak serang awak!" kata lelaki yang baru sampai itu. "Saya kenal dia pun tidak! Tapi saya kenal awak!"

“Jangan nak tipu!”

Ayni cuba menarik tangannya beberapa kali tapi tidak berjaya. Jadi dia cuba menendang pula tetapi lelaki itu berjaya mengelak.

“Tak tipu! Saya memang kenal awak! Tak kan awak tak kenal saya?”

"Eh?"

Baru Ayni perasan lelaki ini nampak seperti seseorang yang dia kenal. Masakan tidak,ini lelaki yang selalu datang ke kedai makan Kak Iti. Yang selalu datang dan habiskan masa berjam-jam dengan komputer ribanya.

"Kalau awak terus pukul dia, mati dia nanti. Tak pasal-pasal awak masuk penjara," nasihat lelaki itu.

"Memang puas hati kalau sebab bunuh dia! Dia memang binatang!" balas Ayni, masih lagi rasa marah.

"Aku tak buat apa-apa pun! Kau yang dah gila!" kata Zam. Dia masih lagi berbaring di atas tanah, terlalu sakit untuk bergerak.

"Habis kau nak rogol aku dulu, baru aku boleh bunuh kau? Itu maksud kau?"

Tangan Ayni masih dipegang, jadi dia tidak dapat memukul Zam lagi. Tapi dia terus menyepak lelaki itu berkali-kali. Cepat-cepat Zam berguling, menjauhkan diri daripada Ayni.

"Macam ni lah, kita ke balai polis! Biar polis yang selesaikan masalah ni," kata lelaki itu.

"Baguslah! Biar polis kurung perempuan gila ni!" tempelak Zam.

Ayni tergelak. "Kalau polis kurung aku sebab pertahankan diri, kau tunggu aku keluar. Aku janji aku akan cari cara sampai dapat untuk potong XXX kau tu! Biar kau tak boleh kenakan perempuan lain macam kau cuba buat pada aku! Kau ingat janji aku ni!"

Walaupun matanya masih tidak dapat dibuka, Zam dapat rasa renungan tajam Ayni. Dia dapat rasa yang Ayni betul-betul serius dan akan buat apa yang dia cakap. Pertama kali dalam hidupnya, lelaki itu tiba-tiba rasa takut pada seorang perempuan.

Tapi bukan setakat masalah Zam sekarang. Kalau mereka ke balai polis, semua orang akan tahu yang Zam dibelasah oleh seorang perempuan. Bukan sekali, tapi ini kali kedua dalam masa satu hari. Itu lebih memalukan!

"Saya rasa kita tak perlulah ke balai!" kata Zam tiba-tiba.

Lelaki itu mengerut dahi. "Kenapa pulak? Tadi beria-ia kau nak polis tangkap dia?"

"Tak payahlah! Saya tak mahu buat laporan polis!"

"Habis kau nak buat apa sekarang?"

"Kita lupakan semua ni!"

"Kau cakap dia serang kau. Sekarang kau nak lupakan semua ni macam tu saja?" tanya lelaki itu lagi.

"Ya! Hal kecik, tak payah nak besarkan!"

Ayni sendiri mengerut dahi mendengar kata-kata Zam. Nampak sangat dia menipu! Dia menarik tangan, terasa ingin memukul lelaki itu lagi tapi baru dia sedar yang tangannya masih belum dilepaskan. Terus dia merentap tangannya dengan kuat, menjegil lelaki itu. Buru-buru lelaki itu melepaskan tangan Ayni.

"Kau tak mahu buat laporan polis sebab kau takut kau yang salahkah? Aku mengaku memang aku pukul kau. Kalau polis tangkap pun, aku akan cakap aku pukul kau. Aku tak takut beritahu hal sebenar dan kenapa aku buat macam tu!" kata Ayni.

Kalau Ayni tidak takut, Zam yang rasa takut sekarang!

“Saya boleh jadi saksi kalau awak nak ke balai. Sebab saya nampak dari mula kejadian lagi. Tapi kalau dia tak mahu ke balai sekalipun, rasanya baik kita ke hospital,” kata lelaki itu, kemudian merenung Zam. “Mata kau tu nampak teruk. Entah-entah dah buta!”

Walaupun ayat itu seperti dia ingin menolong, tapi nada lelaki itu langsung tidak menunjukkan dia rasa simpati pada Zam. Mendengar kata-kata lelaki itu membuatkan Zam semakin takut. Dia masih muda, dia tak mahu tiba-tiba jadi cacat! Tapi hendak bangun, matanya masih belum dapat dibuka. Tambahan lagi badannya juga rasa sakit. Dia bagaikan tidak keruan sekarang. Mahu tidak mahu,terpaksa dia merayu kepada lelaki itu.

“Encik tolong hantarkan saya ke hospital. Tolong saya encik. Jangan tinggalkan saya dengan perempuan ni. Mungkin dia akan bunuh saya nanti.”

Ayni terasa ingin tergelak. Tadi bukan main sombong bercakap, sekarang sudah boleh merayu? Lelaki itu menyilang tangan, tidak menjawab permintaan Zam. Sebaliknya dia berpaling melihat Ayni.

“Awak ok tak?” tanya lelaki itu.

“Encik, mata saya tak boleh dibuka ni! Mestilah tak ok!” jawab Zam.

“Aku tak tanya kau!” desis lelaki itu dengan kasar, membuatkan Zam terus tutup mulut. Tapi apabila berpaling kepada Ayni, nadanya itu berubah 100%.  “Awak ok? Saya nampak dia cuba dekat dengan awak tadi. Dia sempat buat apa-apa?”

“Saya ok. Dia tak sempat buat apa-apa lagi,” jawab Ayni.

“Betul?”

“Ya!”

Lelaki itu menghela nafas. “Baguslah kalau macam tu.”

“Tapi kalau awak nampak tadi, kenapa tak datang tolong?”

Tiba-tiba muncul pun boleh timbulkan rasa syak wasangka. Kalau lelaki itu tidak memegang tangannya tadi, Ayni pasti tidak teragak-agak untuk memukul dia juga. Ayni cuma fikir untuk selamatkan diri, hal yang lain semuanya boleh difikirkan kemudian.

Lelaki itu tergelak kecil. “Saya memang nak tolong awak. Tapi tiba-tiba awak pukul dia macam tu. Terkejut juga! Tapi saya rasa bagus juga tindakan awak tu. Jadi saya biarkan awak pukul dia dulu. Itu yang tak datang tolong terus.”

“Oh!”

Ayni rasa malu pula mengenangkan bagaimana dia menjerit bagaikan orang hilang akal tadi. Tapi apa boleh buat. Benda dah jadi pun. Lagipun Ayni langsung tidak rasa bersalah.

“Saya masih di sini! Tolong bawa saya ke hospital!”

Suara Zam membuatkan mereka berdua berhenti berbual.

“Dia macam mana? Nak biarkan?” tanya lelaki itu.

Ayni tidak rasa lelaki itu bergurau. Memang dia terasa ingin membiarkan saja Zam di sini tapi….

Ah, susah masih ada perasaan belas!

“Hantarlah dia ke hospital,” kata Ayni, merenung Zam yang masih menekup sebelah matanya.

“Awak tak mahu ke balai polis untuk buat laporan?” tanya lelaki itu.

“Saya dah cakap tak mahu!” bentak Zam.

“Aku tak cakap dengan kau! Lebih baik kau diam!” Sekali lagi lelaki itu menjawab dengan keras.

Ayni menggeleng. Akhirnya mereka bertiga ke hospital dengan kereta lelaki itu. Ayni sendiri tidak pasti kenapa dia pergi bersama. Selesai mendaftar masuk Zam untuk rawatan, dia minta untuk ditinggalkan di situ. Tanpa berfikir langsung, terus mereka berdua pulang. Lelaki itu berkeras pula mahu menghantar Ayni pulang ke rumah.

“Bahaya biarkan seorang gadis pulang seorang diri malam-malam begini,” kata lelaki itu.

“Tapi awak pun saya tak kenal!” bantah Ayni.

Betul juga. Mereka berbual sekian lama, tapi tidak ada seorang pun yang memperkenalkan diri.

“Saya Luqman,” kata lelaki itu Luqman.

“Saya Ayni,” kata Ayni selepas beberapa ketika.

Selepas beberapa jam, baru mereka tahu nama masing-masing. Ayni memerhatikan Luqman. Lelaki itu nampak seperti jauh lebih tua darinya. Jadi dia patut panggil lelaki itu dengan gelaran yang lebih hormat dan sopan.

“Terima kasih sebab tolong saya tadi pakcik!” kata Ayni.

Tapi Luqman terkedu dengan kata-kata Ayni. “Saya tak setua itu! Saya baru 25 tahun!”

“Oh, yakah! Saya minta maaf,” kata Ayni. “Tapi saya boleh balik sendiri. Masih ada bas ke kawasan rumah saya waktu-waktu begini.”

Secara jujur, Ayni pun tidak pasti sama ada masih ada bas atau tidak. Tapi dia tidak begitu kenal dengan Luqman untuk naik kereta berseorangan dengannya.

“Saya pasti bas dah tak ada masa-masa begini. Saya tak mahu awak merayau seorang diri. Bahaya!”

Yang mana lebih bahaya? Pergi ke stesen bas yang sunyi dan tidak pasti sama ada bas masih ada atau tidak atau menaiki kenderaan dengan seseorang yang dia tidakberapa kenal? Ayni berfikir panjang sebelum akhirnya akur juga. Secara jujurdia memang tidak ada banyak pilihan. Ayni tidak ada wang pun untuk naik kenderaan lain. Tapi kalau lelaki ini pun sama macam Zam, Ayni akan cucuk mata dia!

Sepanjang jalan mereka berdua membisu. Radio pun tidak dipasang. Ayni tidak tahu hendak berbual apa dengan lelaki ini.

“Saya Luqman Hakim, umur 25 tahun. Ada perniagaan kecil sendiri.”

“Huh?”

Tiba-tiba dia perkenalkan diri. Terdiam sekejap Ayni.

Luqman tersengih. “Memandangkan awak masih lagi kekok dengan saya, jadi saya rasa saya patut kenalkan diri. Biar kita saling kenal.”

“Saya…Ayni Nasmeen, umur 17 tahun. Pelajar sekolah.”

“Sekarang kita dah saling kenal,” kata Luqman.

“Tapi kita cuma tahu nama, umur dan pekerjaan,” rungut Ayni. “Kenal apanya?”

“Lebih baik dari tak tahu apa-apa. Macam mana dengan sekolah?” tanya Luqman.

“Ok.”

Cuma Ayni tak pergi ke sekolah beberapa hari ini.

Luqman tahu Ayni bekerja di kedai makan tetapi dia tidak bangkitkan isu itu.Sebaliknya dia bertanya tentang makanan kegemaran dan hal-hal remeh temeh yang langsung tidak ada kena mengena dengan Ayni. Sedar tidak sedar, mereka sampai ke depan rumah Ayni.

“Terima kasih sebab hantarkan saya,” kata Ayni.

Luqman hanya mengangguk. Dia menunggu sehingga Ayni masuk ke dalam rumah sebelum pergi. Ayni tidak terus ke bilik, tetapi berdiri di depan pintu apabila dia sedar sesuatu yang penting. Dia tidak pernah beritahu di mana dia tinggal kepada Luqman. Sepanjang jalan mereka cuma berbual, jadi Ayni tidak tunjukkan arah langsung. Habis bagaimana lelaki itu tahu di mana dia tinggal?

Previous: Bab 3-2
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.