Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Tinta Ana
2/12/2020 21:34:56
57,109
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

Masalah yang tidak akan selesai dalam hidup Ayni, masalah wang yang sentiasa tidak mencukupi. Dan sekarang, Ayni tidak ada kerja lagi. Jadi dari mana akan datangnya wang? Dia perlu cari kerja tetapi dia juga perlu kembali ke sekolah dalam tempoh beberapa hari lagi. Wang penting, pelajaran juga penting. Kalau tidak ke sekolah, bagaimana hendak ubah masa depan? Kalau tidak bekerja, siapa akan sara dia?


Ayni mengeluh untuk sekian kali.


Arman tidak ada di rumah beberapa hari ini. Ayni tidak tahu di mana hendak mencari dia. Risau memanglah risau, tapi ini bukan kali pertama. Ayni sudah mati akal dengan perangai papanya itu. Dia hanya mampu berdoa yang Arman suatu hari nanti akan berubah seperti yang dulu. Menjadi papa yang disanjung dan disayanginya seperti suatu ketika dulu. Kalaulah mama masih ada, mungkin papa tak macam ni.


Hmm, tak usahlah terkenangkan orang yang tidak ada di sini lagi!


Esoknya Ayni keluar mencari kerja lagi. Kalau kali pertama sukar, kali ini lebih teruk. Namanya bagaikan dikenali oleh semua orang di kawasan ini. Jadi bila dia perkenalkan diri saja, terus dia tidak diterima. Bagaimana boleh jadi begini dalam masa satu hari? Tak kan Kak Iti yang ceritakan pada mereka? Bagi Ayni,dia bukan orang yang sebegitu.


Tapi itulah yang sebenarnya berlaku. Peniaga di kawasan ini bukanlah ramai. Jadi mereka boleh dikatakan saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Mereka ada kumpulan WhatsApp mereka sendiri untuk memudahkan mereka berhubung. Hanya perlu taip, semua orang ada dapat maklumat dengan segera. Jadi bila perkara begini berlaku, tak perlu beberapa minit pun untuk berita tersebar! Mereka tidak tahu apa yang mereka tahu cuma bahagian kecil dari perkara yang sangat besar. Mereka percaya apa yang mereka dengar tanpa menyiasat hal yang sebenar.


Natijahnya, Ayni pulang ke rumah dengan perasaan hampa hari itu. Langkahnya berat. Upah dari kerjanya di kedai makan Kak Iti makin berkurang. Jika ini berterusan, dia benar-benar akan mati kebuluran satu hari nanti.


Bunyi hon kereta membuatkan Ayni terperanjat. Sebuah kereta hitam berhenti di tepinya. Eh, Ayni kenal pemandunya!


“Dari mana? Jom, saya hantar!” pelawa Luqman.


“Tak apalah, dah dekat pun!” tolak Ayni.


Ayni masih ingat hal semalam. Tak mungkin Ayni berani naik kereta dengan dia lagi!


Luqman mengerut dahi. “Dekat apanya? Jauh lagi ni!”


“Tak apa! Betul!” balas Ayni, pura-pura gelak kecil.


Dalam hatinya tidak habis-habis berdoa agar Luqman segera pergi. Tapi lelaki itu terus matikan enjin kereta dan keluar. Kecut perut Ayni tapi dia pantas pura-pura seperti tidak ada apa-apa. Ada kayu di kawasan ini? Cepat-cepat dia mencari.


“Awak cari apa?” tanya Luqman.


Ayni tergelak lagi. “Tak ada apa-apa. Umm…. awak buat apa di sini? Saya tak pernah nampak awak di kawasan ni pun.”


“Saya ada urusan di kawasan ini,” jawab lelaki itu.


“Oh.”


Suasana tiba-tiba jadi kekok.


“Umm…awak… baliklah dulu. Saya pun nak balik ni. Okey, bye!” kata Ayni, kemudian cepat-cepat berjalan.


Tetapi Luqman mengikutnya dengan mudah. “Eh, saya nak hantarlah! Jom!”


“Tak payah!”


“Tapi jauh lagi rumah awak ni!”


Ayn iberhenti, berpaling memandang Luqman. “Kenapa?”


“Kenapa apa?”


“Kenapa awak beria-ia nak hantar saya balik?”


Apa niat awak? Itu yang Ayni ingin tanyakan sebenarnya.


“Kena ada sebabkah?”


Ayni merenung lelaki itu, tidak percaya. “Siapa yang tolong orang lain tanpa sebab?”


“Saya!”


Ayni mendengus, meneruskan perjalanan.


“Saya betul-betul nak hantar awak!”


“Tapi saya tak nak!”


Luqman mengeluh. “Saya rasa tak senang hati awak jalan kaki balik ke rumah seorang diri, sebab tu saya nak hantar awak. Bukan ada niat lain pun. Kalau awak tak mahu naik kereta, biar saya jalan kaki juga. Saya akan ikut belakang awak sampai awak selamat sampai ke rumah!”


Macamlah Ayni nak percaya dengan dia!


Tapi Luqman memang mengekori Ayni dari belakang tanpa sepatah kata lagi. Ayni pula sudah tidak tahu bagaimana hendak menghalau dia, jadi Ayni biarkan. Tetapi dia keluarkan kunci rumahnya. Cuma itu benda paling tajam yang dia ada. Kalau lelaki itu cuba apa-apakan dia, dia akan cucuk mata lelaki itu dengan kunci rumah ini sekuat hati!


Anehnya lelaki itu hanya mengekori dengan diam. Malah langkahnya mengikut langkah Ayni. Ayni berjalan, dia pun berjalan. Kalau Ayni berhenti, dia pun berhenti. Ayni terfikir untuk berlari, adakah dia juga akan berlari? Langkah demi langkah, mereka sampai ke rumah Ayni. Luqman berhenti di pagar, membiarkan Ayni masuk hingga ke dalam rumah. Kemudian dia berjalan pulang.


Lagi sekali Ayni termangu di pintu. Anehnya lelaki itu. Apa yang dia mahu sebenarnya? Adakah dia benar-benar risaukan Ayni sampai sanggup berjalan menghantar Ayni pulang? Ayni rasa keliru sekarang.

 

 

Arman akhirnya pulang juga, tapi terus mengurung diri di dalam bilik. Entah apa yang dia buat Ayni tidak pasti. Surat dari guru disiplin tempoh hari Ayni selitkan ke bawah pintu, dengan harapan Arman akan membaca surat itu. Dia mengetuk pintu beberapa kali tapi tidak ada jawapan dari Arman.


“Papa, surat ni dari cikgu. Cikgu minta papa datang ke sekolah,” kata Ayni. “Papa dengar tak?”


Tidak ada jawapan. Itu yang lebih normal. Kalau tiba-tiba Arman bercakap banyak, Ayni yang rasa Arman bukan papanya lagi. Entah bertukar dengan siapa.


Hari ini Ayni tidak keluar mencari kerja, sebaliknya berfikir panjang sambil menongkat dagu di dapur. Dia terfikir untuk menjual makanan seperti nasi lemak tapi dia segera batalkan niatnya itu. Sebenarnya kelemahan terbesar Ayni ialah dia tidak pandai memasak. Sepanjang bekerja di kedai makan Kak Iti pun dia tidak pernah memasak. Ayni sendiri tidak pasti kenapa dia tidak ada kemahiran itu, walhal mama dan mak tok sangat pandai memasak. Biarpun Ayni cuba mengikut resepi dengan teliti, makanan yang dihasilkannya sangat jauh berbeza dengan contoh yang diberi. Ayni boleh cuba tapi mungkin ada yang akan mati keracunan nanti.


Habis apa sekarang? Ayni masih perlu cari wang. Ah, entah ke berapa kali dia mengeluh hari ini.


Terdengar ketukan di pintu. Ayni merenung ke tangga, melihat- lihat sama ada Arman turun. Nampaknya Arman tidak ada menunggu sesiapapun datang kerana dia masih mengurung diri di dalam bilik. Lagipun,selain dari penghantar bil elektrik dan air, tetamu yang datang boleh dikira dengan jari. Ayni bingkas bangun, berfikir seketika sebelum membuka pintu. Eh, polis!


“Assalamuaikum! Cik Ayni Nasmeen?”


“Ya?”


“Sila ikut kami ke balai!”

Previous: Bab 4
Next: Bab 6-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.