Home Novel Komedi/Romantik Komedi Cinta Dorayaki
Cinta Dorayaki
Izza Aripin
29/9/2014 21:44:25
28,625
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

Pagi-pagi lagi Durrah dah mendengar gosip terbaru.“Apa kes si Imas berkicau pada pagi nan ceria?” tegur Durrah setelah meletakkan beg di dalam lacinya.

“You punya SE tu la.” Ginny berbisik sambil menjeling-jeling pada tempat Fadillah yang masih kosong. “Petang semalam I dengar dia gaduh dengan Mr. Akshay. Dia nak tukar tempat sebab dia kata tempat dia sejuk.”

Hah?” Durrah terlongo. “Dia nak tukar ke mana?”

“Cuba you teka.” Ginny dah tersenyum sinis.

“Err... I tak boleh nak teka.” Durrah tersengih. Dia malas nak main teka teki sebenarnya.

“Dia nak duduk tempat lama youlah,” kata Ginny.

“Hah? Tempat I kat HR tu?” Bulat mata Durrah memandang Imas.

Ginny mengangkat bahu. “Entah. Imas tegur dia semalam, suruh dia jangan tunjuk besar kepala. Berlagak tak kena tempat. Sikit-sikit mengadu pada Datuk. Dia ingat dia siapa?”

Durrah menggeleng. Suka hati betul Fadillah nak tukar tempat macam syarikat tu dia yang punya.

“Mr. Akshay dan Sivaranan tengah gelabah tu.” Ginny menunjuk ke arah kedua-dua lelaki yang tengah hangat berbincang.

“Nak gelabah kenapa pula?” Durrah tak faham. Sepatutnya mereka tak perlu risau apa-apa sebab banyak modul dah berjaya disiapkan. Jika Datuk nak tengok, bagilah dia tengok.

“Mereka takut Datuk tak puas hati. Dengar kata Datuk ada bawa penilai dari luar.”

Modul-modul yang menjadi kebanggaan Mr. Akshay dan Sivaranan ditolak satu per satu oleh Datuk Singah. Keadaan yang aman damai dulu tiba-tiba bertukar menjadi kelam kabut apabila setiap SE subjek diminta menilai semula modul yang dah siap. Semua pembetulan harus disiapkan dalam waktu yang singkat.

Maka, berjoget dan balik lewat malamlah setiap SE dan GD yang terlibat.

Tambah mengharu-birukan keadaan apabila Fadillah tiba-tiba menuduh Imas memukulnya dan menyebabkan dia berasa trauma dan takut datang ke pejabat.

Mr. Akshay menghantar Durrah dan Ginny untuk berbicara dengan Fadillah.

“Ayah saya orang bandar tau. Jangan ingat saya tak ada duit nak saman dia!” Suara Fadillah memetir di unit HR.

Durrah dan Ginny terkedu. Rasa mereka, mereka datang dengan aman. Cakap pun bahasa lembut. Nada tak tinggi. Kenapa tiba-tiba mereka kena tengking percuma?

“Sabar, Dil. Akak datang ni bukan nak cari gaduh. Akak cuma nak tanya apa yang berlaku semalam. Itu aje.” Durrah cuba berdiplomasi.

Ginny dah berpeluk tubuh bersandar pada dinding, tunjuk muka bosan campur tengah tahan marah. Durrah tahu kalau Ginny buka mulut, nahas Fadillah kena maki dalam bahasa Mandarin. Jadi sebelum Ginny bertukar jadi Genghis Khan, lebih baik dia menyegerakan tugasnya.

“Semalam Kak Imas tolak saya. Dia kata nak tampar muka saya. Takut saya dibuatnya!”adu Fadillah.

Durrah lihat bibir Fadillah dah menggigil. Tahan perasaan ke apa budak ni? Siapa yang marah dia ek?

“Okey... bertenang, Dil. Bertenang. Apa kata Dil duduk dulu? Kita bincang baik-baik.” Durrah kalau boleh tak mahu memanjangkan jerit pekik yang berjaya menarik perhatian beberapa staf Kolej BSC yang keluar masuk ke situ.

“Saya pun tak faham kenapa Kak Imas tak suka saya. Apa yang saya dah buat?” Suara Fadillah kendur sedikit.

Mahu saja Durrah jawab, ‘semua orang tak suka kaulah, Dil. Sebab kau tu mengada-ngada sangat. Macam diva. Tak bagi pindah tempat, terus ugut nak adu pada Datuk. Suruh ubahstoryboard pun nak adu pada Datuk. Sikit-sikit Datuk.

Tapi kalaulah Durrah cakap macam tu, mesti Durrah pula yang main tarik-tarik tudung dengan Fadillah. Sudahnya, dia diam saja. Malas nak panjangkan kisah gaduh budak-budak.

“Tak apalah, Dil. Tenang-tenang dulu ya. Perkara ni boleh selesai dengan cara baik.” Durrah ambil jalan tengah. Menyokong tak, membantah pun tak.

“Akak tolong pesan kat dia. Saya ni orang bandar. Mampu nak upah peguam saman dia. Satu lagi... pesan pada Mr. Akshay, saya ni ada Master BM. Saya tahulah apa yang saya buat. Tak payah bising-bising kata saya lembab!”

Durrah terkedu. Ginny dah mencuit bahunya memberi isyarat supaya mereka beredar sebelum dia pula yang hilang sabar. Segera Durrah mengekori Ginny.

Tiba di lobi, mereka berdua menjerit melepaskan perasaan yang terbuku tadi.

“You masih boleh sabar, kan? Kalau I, mau aje I tampar muka dia tadi. Tapi nanti jadi kes polis pula.” Ginny dah mundar-mandir di hadapan lif.

“Kenapa dia asyik sebut dia tu orang bandar ek? Hairanlah. I ni lahir kat KL. Tapi tak pun nak mengaku orang bandar Taman Bercahaya.”

“I lahir kat PJ. Tak pun nak mengaku I orang bandar satelit,”sambung Ginny pula

Durrah dan Ginny saling berpandangan sebelum kedua-duanya tergelak memikirkan kata-kata Fadillah tadi. Langsung tak masuk akal.

“Masalah you dah selesai.” Seminggu lepas kejadian tu, Ginny membawa khabar berita gembira buat Durrah.

“Dia dah letak jawatan ek?” Durrah meneka.

“Yalah.”

“Aman sikit. Tak ada orang nak jerit-jerit tak tentu hala lagi. Hmm... hari ni ada empat orang SE BM baru akan masuk.”

“Wah... baguslah. Tapi... Datuk tengah tak puas hati dengan kumpulan you. Semua modul Dil, kena tolak.”

“Tunggu ajelah budak baru tu masuk. I serah pada mereka. Panjang umur. Tu pun mereka.” Durrah bangun menyambut Encik Rahman bersama empat orang staf baru; tiga perempuan, satu lelaki.

“Durrah, ini Laila, Diba, Fazlah dan Alfian.” Encik Rahman memperkenalkan kesemua staf baru itu kepada Durrah. “Kamu semua... ini Durrah, ketua subjekBM.”

“Ketua subjek?” Durrah mengulang dengan terkejut. “Sejak bila pula I jadi ketua?” tanyanya keliru.

“Sejak sekarang.” Encik Rahman tersengih. “Datuk tanya pendapat Mr. Akshay. Dia yang cadangkan you jadi ketua kumpulan.”

“Heh?” Suara Durrah naik satu nada. Terkejut.

Bukan mudah nak jadi ketua. Pangkat semua orang nak. Tapi tanggungjawab yang didatangkan khas seiring dengan pangkat yang diberi, semua tolak ke tepi. Malangnya dia bukan begitu. Pangkat bererti tanggungjawab. Lagipun dia hanya dapat nama. Gaji dan keistimewaan lain, langsung tiada. Sama saja levelnya dengan SE lain. Yang beza cuma, jika ada kesilapan, kepalanya kena tembak dulu dengan Datuk Singah. Seronok, kan?

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izza Aripin