Home Novel Komedi/Romantik Komedi Cinta Dorayaki
Cinta Dorayaki
Izza Aripin
29/9/2014 21:44:25
28,625
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

“Kena buat semula?” Bulat mata Durrah memandang Lela. Sepanjang ketiadaannya, gadis itu dipertanggungjawabkan memikul tugas sebagai ketua kumpulan. Wajah gadis tinggi lampai itu nampak kecewa dan sedih.

“Yalah...Datuk cakap boring,” balas Lela sambil lewa.

“Kau tunjuk sampai habis ke?”

“Baru pengenalan. Ada terminologi yang dia tak faham. Lepas tu terus cakap buat semula. Entah apa-apalah Datuk kau tu.”

“Datuk aku pula. Datuk aku dah mati. Dua-dua sekali.” Durrah meninggalkan Lela. Dia menghampiri meja Akid, salah seorang pereka grafik atau GD kumpulan BM.

“Apa cerita hari Jumaat lepas?” Durrah melipat tangan ke dada.

“Kena buat semula. Ni aku tengah buat. Esok dia nak tengok.” Wajah Akid memang nampak mafia. Macam tak puas hati. Macam dah bersedia nak membenamkan penumbuk ke muka sesiapa yang menghalang laluannya. Sesuailah dia Durrah gelar Akid Al Capone.

“Gila! Semua sekali ke?”

“Semualah. Hari tu dia baru tengok satu. Belum habis, dia dah tak nak tengok.”

“Subjek kumpulan lain?”

“Sama. Kena buat semula juga. Entah apa yang dia nak. Sekejap cakap warna tak kontemporarilah. Sekejap cakap grafik macam budak-budaklah.”

“Adoi! Kali ni aku betul-betul migrain. Kitabincangjap kat bilik mesyuarat. Ajak semua sekali. Aku rasa aku tau apa yang perlu kita buat,” kata Durrah.

“You dah dengar ke cerita semalam?” Pagi-pagi lagi Ginny dah mengetuk dinding kubikel Durrah. Tika itu Durrah baru saja tiba dan sedang menyimpan beg di dalam lacinya.

“Eh...presentation semalam apa cerita?” Apabila bercakap dengan Ginny, susunan ayat Durrah pun boleh jadi tunggang terbalik.

“Ni nak ceritalah ni.” Wajah Ginny dah masam.

Durrah tersengih ala kerang busuk. “Hah... ceritalah.”

“Mr. Akshay dan Sivaranan dah kena tendang. Datuk tak puas hati. Semalam dia marah betul.”

“Apa?” Melopong luas mulut Durrah memandang Ginny. “Semalam giliran kumpulan Sivarananpresent, kan? Apa kena-mengena pula dengan Mr. Akshay?”

“Itulah... Mr. Akshay nak jadi hero. Konon dia nak bela Sivaranan. Tengok-tengok dia sekali kena tendang. Rupa-rupanya, Datuk dah lama tak puas hati dengan Mr. Akshay sebab tak boleh uruskan projek ni. Eh... bukan dia sorang tau. I dengar ada lagi SE lain yang dah berhenti 24 jam.”

“Adoyai!” Durrah mengurut dahi yang terasa keras. “Kenapa tiba-tiba jadi begini? Dulu elok aje kita buat kerja aman damai.”

“Ni semua Dr. Marialah punya kerja. Bising sana, bising sini. Datuk pun terpengaruhlah. Si Abraham tu pun sama juga!”

Durrah memanggung kepalanya yang terasa berat. Mengapa tiba-tiba saja keadaan yang tenang berubah menjadi kelam kabut? Mengapa pihak atasantak masuk campur tangan sejak dari awal lagi? Mengapa dah terhantuk baru nak terngadah?

“Ginny, Durrah... masuk bilik mesyuarat sekarang. Mr. Abraham panggil!” kata Azri tiba-tiba yang muncul entah dari mana.

“Mesyuarat apa pula pagi-pagi ni? Sarapan pun belum,” rungut Durrah sambil mengekori Ginny dan Azri.

Di dalam bilik mesyuarat, semua staf sudah berkumpul. Masing-masing tertanya-tanya perkara penting yang hendak disampaikan pagi-pagi itu.

“Eh?” Wajah Durrah berubah tiba-tiba.

“Kenapa ni?” tanya Ginny. Dia terkejut melihat wajah Durrah yang tiba-tiba pucat.

“Err... boleh I berdiri kat belakang you? I menyampah nak tengok muka si Hobbit tu.” Durrah segera menyorok di belakang Ginny dan Azri.

“Hobbit? Siapa Hobbit?” Ginny berpaling ke belakang.

Tapi belum sempat Durrah hendak menjawab, Mr. Abraham dah mula menyampaikan bebelan pagi.

“Semalam Datuk marah sangat. Mr. Akshay Kumar dan Mr. Sivaranan dah kena tendang'kuluar'. Kita tak mahu simpan orang yang tak boleh buatkerja.” Sambil bercakap, macam biasa, lidahMr. Abraham akan terjelit-jelir menjilat bibirnya.

Lela dah memegang leher. Loya tekaknya melihat Mr. Abraham. Diba pula sedang menahan ketawa.

“Selepas ini semuaworang mestiperform. Datuk tak mahu tengok apa-apa kesilapan lagi terutama kumpulan Durrah. Kamu semua dapat markah paling rendah. Kumpulan Kokila pun macam itu juga.”

Dalam keadaan jantungnya yang masih berdegup kencang, Durrah sempat memandang ke arah Kokila. Gadis itu cuma mencebik mendengar kata-kata Mr. Abraham mengenai kumpulannya.

Mr. Abraham menoleh ke arah seorang lelaki tinggi tegap dan berkulit cerah di sisinya. Seolah-olah memberikan isyarat kepada lelaki itu supaya mengambil alih. Lelaki inilah yang telah membuatkan Durrah mahu menyorokkan wajahnya ke dalam dinding sebentar tadi.

“Minggu ni tak adapresentation untuk kumpulan lain kecuali kumpulan...” Kepala lelaki itu tunduk memeriksa sehelai kertas di tangannya. “... kumpulan Durrah dan kumpulan Dr. Maria. Mereka kenapresent hari Jumaat ni. Kumpulan lain, minggu depan ikut giliran yang I tetapkan nanti.”

Terdengar keluhan gembira dan rungutan tak puas hati di sana sini sebaik saja pengumuman itu selesai dibuat.

“Jadi kumpulan lain ada masa nak siapkan modul yang sempurna, tanpa apa-apa kesilapan.” Suara lelaki itu terus berkumandang.

Durrah dah pun duduk di atas lantai sambil bersandar pada dinding. Bala apa pula yang menimpa? Mengapa mesti lelaki itu lagi? Adakah dia yang menggantikan tempat Mr. Akshay? Siapa dia sebenarnya?

“Mana satu Durrah?”

Tiba-tiba Durrah mendengar namanya disebut. Tanpa fikir dua kali, dia terus merangkak masuk ke bawah meja bilik mesyuarat. Mujur tiada sesiapa yang menyedari tindakannya itu.

“Eeii... dia panggil... eh? Mana ni?” Ginny tercari-cari kelibat Durrah. Bahkan semua orang yang berdiri berhampiran dengan Durrah turut hairan kerana Durrah hilang tiba-tiba.

Durrah yang ada di bawah meja sedang menahan tawa dan debar dalam waktu yang sama.

“Tak ada?” Suara lelaki itu seperti tak puas hati. “Dr. Maria?”

“Ya,” jawab Dr. Maria.

“Pastikan kumpulan you bersedia hari Jumaat ni. Dan kumpulan BM, beritahu ketua you supaya sediakan modul yang sempurna. Kalau ada sesiapa yang fikir semua ni membebankan, dipersilakan pergi dari sini. I bukan nak menghalau tapi inilah hakikatnya. Kalau dah tak sesuai dengan jiwa, tak perlu paksa diri.”

Wah... tajam sungguh sindiranDevil in Disguise ni. Harapkan muka hensem, tapi lidah tajam macam sembilu, rungut Durrah yang masih bersembunyi di bawah meja.

“Ketua kumpulan, I nak jumpa pukul 2.30 petang di bilik ni. Bawa sekali semua senarai modul.”

Durrah menanti dengan sabar sehingga perbincangan selesai. Apabila dah pasti bilik itu dah dikosongkan, perlahan-lahan dia merangkak keluar dari bawah meja. Habuk yang melekat pada tapak tangannya segera dibersihkan. Bimbang pula alerginya kembali menyerang.

“Apa you buat kat bawah meja tu?”

Bagai nak gugur jantung Durrah apabila mendengar suara itu menegurnya. Mengapa dia masih di sini? Bukankah semua orang dah keluar?

“Hei... you! Dengar tak I tanya ni?”

Tubuh Durrah jadi kaku. Perlukah dia berpaling?

“Siapa nama you?”

Durrah terdengar derap kasut yang sedang menghampirinya.

Sekali lagi tanpa berfikir dua kali, Durrah terus menerpa keluar dari bilik mesyuarat tanpa menoleh ke belakang. Dia berlari-lari anak menuju ke bilik air. Di dalam bilik air,blazermaroon gelap yang tersarung di tubuhnya segera ditanggalkan. Dia membasuh tangannya sehingga dirasakan bersih. Dia menarik nafas dalam-dalam. Moga-moga lelaki itu tak cam dia.

Perlahan-lahan Durrah keluar dari bilik air dengan wajah selamba. Dia terus kembali ke tempatnya tanpa rasa bersalah.

“Mana kau pergi tadi. Tak masuk bilik mesyuarat ke?”

Hampir saja Durrah melompat di tempat duduknya apabila Akid tiba-tiba menyergah. “Tak masuk. Aku pergi tandas,” balas Durrah.

“Tadi ketua baru tu beritahu petang ni ada mesyuarat ketua kumpulan.”

“Okey...” Durrah masih tak berpaling.

“Kau okey ke?” Akid masih tak berganjak dari sisinya.

“Okey... cuma cuak dengan ketua baru tu. Nama dia apa ek? Dia ada sebut ke tadi?” Durrah pura-pura tak tahu. Padahal dia memang tak dengar punDevil in Disguise itu memperkenalkan dirinya tadi.

“Entah. Budak-budak kata dia tu adik Datuk.”

“Adik Datuk?” Bulat mata Durrah memandang Akid. “Tak ada iras pun rupa mereka.”

“Aik? Kata tadi tak masuk mesyuarat? Macam mana kau boleh kenal pula ketua yang baru tu?” Akid memandang Durrah dengan penuh curiga.

“Err... aku... aku ada nampak dia keluar dari bilik mesyuarat tadi. Dia sorang aje kan wajah baru kat sini?” Lekas-lekas Durrah mencari alasan.

“Hmm... yalah tu.” Akid berlalu pergi dengan wajah yang masih mempamerkan kecurigaan.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izza Aripin