Home Novel Komedi/Romantik Komedi DIA MENANTU RAHSIA
DIA MENANTU RAHSIA
Indah Hairani Latif
3/5/2015 22:57:11
219,555
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 6
52
BAB 6
ENGKU Kamelia memandang wajah Engku Maimunah dengan riak wajah teduh. Cerita daripada uminya itu tentang Syakir menyentap tangkai hatinya. Sekian lama dia menyimpan perasaan terhadap lelaki itu sejak Engku Karmila masih ada lagi. Malah sejak dia mencuri membaca catatan Engku Karmila mengenai lelaki, dia mula jatuh cinta pada lelaki itu.
“Kita tak boleh paksa orang Melia,” ujar Engku Maimunah sambil merenung wajah anaknya.
“Atau umi sengaja nak buat seorang lagi anak umi menderita? Ke umi nak anak umi seorang lagi hilang?” balas Engku Kamelia.
Tidak ada alasan buat Kamelia, yang penting dia ingin uminya berusaha menyatukan dia dengan lelaki yang telah sekian lama dicintainya itu.
“Kenapa cakap dengan umi macam tu? Umi tak suka dengar,” tegur Engku Maimunah dengan mata yang terbuntang.
Engku Kamelia menjeling uminya.
“Kalau umi tak suka dengar, kenapa umi tak berusaha pujuk lagi Syakir?” ujar Engku Kamelia, menahan sebak.
53
Wajah Engku Maimunah direnungnya dalam-dalam. Ada sesuatu yang terkumpul di dasar hatinya yang belum meledak daripada bibirnya untuk uminya.
“Umi, selama ni Melia simpan perasaan Melia daripada pengetahuan orang lain. Melia segan umi. Tapi makin Melia simpan, makin sakit dada Melia ni,” luah Engku Kamelia akan perasaannya yang terpendam selama ini.
Mata Engku Maimunah terbuntang.
“Habis? Selama ni, Melia menyimpan perasaan pada tunang kakak Melia sendiri?” soal Engku Maimunah dengan wajah serius.
“Umi tak pernah ambil tahu hati anak umi ni. Barangkali umi lupa, umi masih ada anak seorang lagi,” balas Engku Kamelia dalam nada sebak.
Engku Maimunah terus bangkit dan mendekati Engku Kamelia. Dengan pantas Engku Kamelia memeluk Engku Maimunah. Air matanya menitis menuruni pipi.
“Kenapa umi lebih sayangkan Kak Mila daripada Melia?” soal Engku Kamelia.
Engku Maimunah terkedu.
“Kenapa umi? Sedangkan..,” ujar Engku Kamelia, namun tidak menghabiskan kata-katanya.
“Sedangkan apa? Apa maksud Melia? Umi tak faham,” balas Engku Maimunah dengan nada tegas.
Engku Kamelia melepaskan pelukannya. Direnung wajah uminya. Apakah uminya itu benar-benar tidak mengerti atau sengaja uminya tidak mengakui sikap tidak adil dalam dirinya?
“Cuba Melia cakap pada umi. Umi tak suka berteka-teki,” pinta Engku Maimunah.
Dia tidak senang dengan kata-kata anaknya itu.
“Tak...tak ada apa-apa umi,” jawab Engku Kamelia tergagap.
Biarlah hanya TUHAN yang mengerti. Dia tahu, kakaknya bukanlah seorang gadis yang baik untuk uminya
54
satukan dengan lelaki yang baik seperti Syakir. Dia tahu segala-galanya. Engku Karmila masih menjalin hubungan dengan lelaki lain ketika dia bergelar tunang Syakir. Sedangkan dia menderita melihat orang yang dicintainya dipermainkan. Kenapa umi tidak adil?
Tahukah umi, Syakir lelaki pertama yang dicintainya? Pertama kali dia melihat foto Syakir dalam diari Engku Karmila, debaran di dadanya buat perasaannya tidak keruan. Sesekali lelaki itu datang, dia mencuri peluang melihat dari sebalik langsir setiap kali pulang bercuti. Setiap kali merenung wajah lelaki itu, dadanya dihimpit sayu dan pedih. Ternyata ia sudah cukup membuat perasaannya pada lelaki itu semakin membuak. Engku Karmila melarang dia berdepan dengan Syakir ketika lelaki itu bertandang ke rumah mereka.
“Melia, jangan mengada-ngada nak keluar bila Syaq datang.”
Amaran itu sering diungkapkan Engku Karmila. Setiap kali selepas lelaki itu pulang, satu pergaduhan kecil antara dia dan Engku Karmila berlaku.
“Kak Mila tak layak untuk jadi isteri dia.”
Engku Kamelia masih ingat kata-kata yang diucapkannya pada Engku Karmila. Pipinya ditempeleng bertalu-talu oleh Engku Karmila. Perit dan pedih pipinya.
“Kau jangan nak memandai-mandai!” marah Engku Karmila.
Engku Kamelia pasti menangis sepanjang malam.
“Jaga sikit mulut kau, Melia!”
Suara Engku Karmila terngiang-ngiang di gegendang telinga Engku Kamelia. Kepedihan di pipi juga seperti baru dirasakannya. Engku Kamelia tiba-tiba mengelus pipinya.
“Melia tahu semua yang kakak buat pada lelaki tu,” ujar Engku Kamelia.
“Hey! Apa kau cakap ni? Tak perlu kau nak ambil tahu urusan aku. Tu bukan urusan kau.”
55
Suara Engku Karmila semakin terngiang-ngiang di pendengarannya.
“Kak Mila, walaupun akak nak marah, Melia tetap nak cakap. Melia menyesal dapat kakak macam ni,” balas Engku Kamelia pantas.
Engku Karmila merenungnya dengan riak wajah marah.
“Apa yang kau tak puas hati dengan aku?” soal Engku Karmila, geram.
Kenapalah Engku Karmila tidak menerima hakikat, perbuatannya mencurangi Syakir satu perbuatan yang salah sedangkan Syakir lelaki baik. Itu yang sentiasa ada dalam fikiran Engku Kamelia.
“Kenapalah kau balik Malaysia? Menyusahkan orang lain,” ujar Engku Karmila kasar.
“Melia cakap yang betullah kak. Kalau si Syakir tahu perangai kakak ni kan, bukan nak bertunang, nak berkawan pun belum tentu,” jawab Engku Kamelia tenang.
Dia sedaya upaya tidak mahu menunjukkan perasaannya. Dia ingin menang untuk melawan ego Engku Karmila.
“Kau jaga sikit mulut kau tu! Aku hairanlah, kenapalah kau busuk hati sangat?” marah Engku Karmila.
“Akak cakaplah apa pun, akak tak boleh bohong pada Melia. Melia tahu segala yang berlaku.”
“Berapa kali aku nak cakap? Kau jangan nak mengada-ngada. Ni urusan aku, bukan urusan kau. Aku nak kawan dengan siapa pun, tu bukan urusan kau!”
“Akak tak takut pada TUHAN? Perbuatan akak tu salah.”
“Akak tak takut TUHAN.”
Kata-kata itu terpancul dari bibir Engku Kamelia tanpa sedar. Mata Engku Maimunah terbuntang. Cepat-cepat Engku Kamelia melangkah ke sofa dan mencapai salah sebuah novel yang ada di atas meja di depannya. Engku
56
Maimunah ikut melangkah dan melabuhkan punggung di depan Engku Kamelia dengan dahi berkerut.
“Melia? Cuba ulang sekali lagi. Umi nak dengar,” pinta Engku Maimunah dengan wajah kelat.
Engku Kamelia menunduk. Dia pura-pura tidak mendengar permintaan uminya itu
“ Apa maksud Melia? Umi tak faham,” ujar Engku Maimunah serius.
“Tak... tak ada apa-apa umi,” balas Engku Kamelia.
Namun, wajah Engku Maimunah tetap tidak puas hati dengan kata-kata Engku Kamelia itu.
“Melia tak maksudkan apa-apa umi. Melia mintak maaf, umi,” ucap Engku Kamelia perlahan.
Engku Maimunah merenung Engku Kamelia. Engku Kamelia tunduk.
“Melia jangan nak marah-marah pada orang yang dah pergi. Tak baik. Yang lepas biarlah lepas. Melia kena belajar. Umi tak suka anak umi ada sifat buruk sangka,” tegur Engku Maimunah.
Engku Kamelia masih menunduk. Umi yang tak kenal anak-anak umi. Kalau umi kenal anak-anak umi, tak mungkin umi sanggup mengucapkannya, bisik hati Engku Kamelia dengan sedih.
Kenapa umi sering memihak dan memuji Kak Mila? Atau mungkinkah kerana kedegilannya untuk menyambung pelajaran di luar negara sedangkan Kak Mila akur dengan kehendak umi supaya hanya belajar di dalam negara? Apakah umi masih belum menerima hakikat, anaknya ini telah berjaya dengan cemerlang? Pelbagai persoalan bermain di minda Engku Kamelia.
“Melia!” panggil Engku Maimunah tegas.
“Ya, umi.”
“Melia dengar apa yang umi cakap?” soal Engku Maimunah dengan suara yang lebih lantang.
57
“Ya umi, Melia tak pernah marah pada Kak Mila. Melia... Melia tak pernah benci Kak Mila,” ujar Engku Kamelia dengan nada suara bergetar.
Kesedihan memenuhi ruang hatinya. Kenapa dia ditakdirkan sebagai kembar Engku Karmila? Kenapa? Jerit Engku Kamelia dalam hati.
“Dahlah, umi tak nak dengar Melia sebut apa-apa lagi tentang Kak Mila kamu. Boleh? Janji dengan umi,” pinta Engku Maimunah.
“Ya umi, Melia takkan ulang lagi. Melia tahu Kak Mila kan anak umi,” ujar Engku Kamelia tanpa sedar.
Engku Maimunah mengerutkan dahi. Tersindir dengan kata-kata Engku Kamelia. Engku Kamelia terdiam. Ada rasa kesal apabila bercakap dengan uminya sekasar itu. Mungkin bagi Engku Kamelia, kata-kata itu sekadar memuaskan hatinya, namun pada hakikat seorang anak tetap berdosa apabila ibunya berkecil hati dengan kata-kata atau perbuatan anak. Engku Kamelia merenung wajah uminya.
“Umi, Melia sayang umi. Maafkan Melia,” ucap Engku Kamelia perlahan.
Engku Maimunah diam dan merenung Engku Kamelia lama.
“Cuma, Melia nak umi tahu, Melia cintakan Syakir,” tokok Engku Kamelia sambil menutup wajah dengan kedua-dua belah tangan.
Engku Kamelia tiba-tiba tersedu. Bahunya terhenjut-henjut.
“Melia?”
Tersentak Engku Maimunah mendengar kata-kata yang terluah dari bibir Engku Kamelia.
“Ya umi, Melia dah simpan lama perasaan ni umi,” luah Engku Kamelia perlahan dalam sedu.
Dia tidak peduli jika uminya tidak senang mendengar luahannya. Engku Kamelia tetap mahu meluahkannya, biar uminya faham perasaannya. Uminya juga seorang
58
perempuan. Engku Kamelia mengelus pipinya yang basah. Terasa bahunya dielus. Engku Kamelia mendongak. Engku Maimunah merenungnya dengan riak wajah serius.
“Umi tak sangka, begini sikap anak umi. Kenapa Melia jadi macam ni? Kenapa pada Syakir, bukan orang lain? Kan Melia dah tahu, Syakir tu tunang Kak Mila,” luah Engku Maimunah dengan dahi berkerut.
“Kak Mila dah tak ada, kan? Salah ke Melia sayang Syakir, umi?” soal Engku Kamelia kembali.
Wajah uminya itu direnung dalam-dalam.
“Melia dah tahu, kan? Syakir dah tak ada apa-apa hubungan dengan kita selepas Kak Mila kamu tak ada,” soal Engku Maimunah serius.
“Tapi umi masih bersahabat baik dengan Auntie Sarah, mama Syakir,” balas Engku Kamelia sambil menunduk.
Engku Maimunah merenung tajam anaknya.
“Syakir, Syakir, Syakir. Tak ada nama lain ke yang Melia nak sebut depan umi? Punyalah jauh Melia merantau, hanya Syakir yang ada dalam kepala Melia? Melia nak dikata orang perigi cari timba? Melia tak malu? Umi malu tau!” jerkah Engku Maimunah.
Suara uminya membuat Engku Kamelia tersentak. Wajah uminya direnung Engku Kamelia. Ternyata uminya lebih sayangkan Engku Karmila.
Umi tak adil! Jerit Engku Kamelia dalam hati. Engku Kamelia bangkit dan terus berlari ke biliknya. Pintu dihempas kuat memecah kesunyian. Dihempas badannya ke atas tilam lantas menyembamkan mukanya ke bantal. Engku Kamelia menangis teresak.
“Papa, kenapa papa tinggalkan Melia,” rintih Engku Kamelia bersama sedu.
Hanya arwah papa yang memahami perasaannya. Dia tahu uminya tidak akan memujuknya seperti selalu papanya lakukan. Betapa malang nasib dirinya. Dia terus-terusan menangis. Kekecewaan yang terpendam di hati sukar
59
digambarkan. Kesakitan yang dirasainya sukar diceritakan. Engku Kamelia menangis teresak hingga tertidur.
Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani Latif