Home Novel Komedi/Romantik Komedi DIA MENANTU RAHSIA
DIA MENANTU RAHSIA
Indah Hairani Latif
3/5/2015 22:57:11
219,554
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3
BAB 3
SYAKIR mengatur langkah tanpa memandang kiri dan kanan sebaik sahaja keluar dari keretanya selepas diparkirnya. Semalam dia tertidur di ruang bacaan tanpa dikejutkan mamanya, Puan Sarah. Nasib baik hari ini dia tidak masuk pejabat.
Lagipun dia bukan berminat sangat dengan kerja-kerja di ofis. Lainlah abang longnya, Syamsul. Syakir mengeluh. Kenapalah mamanya tidak mengejutkan dirinya. Itu yang dirungutkan Syakir setiap kali bermalam di rumah Puan Sarah. Mungkin mamanya ingat dia sudah keluar awal pagi.
Siapa yang suruh kau tidur di bilik bacaan? Kau yang salah! Marah Syakir pada diri sendiri.
“Kan senang kalau ada isteri. Ini tak, suruh kawin tak nak. Sampai bila nak tunggu-tunggu lagi. Kamu tu dah berumur.”
Suara Puan Sarah terngiang-ngiang di telinga Syakir. Soalan klise. Mama tak tahu ke anak mama ni dah nak muntah bila sebut pasal kahwin ni. Mama tahu tak? Tengok pakaian kawin kat dalam almari tu, anak mama boleh pitam, getus hati Syakir. Alih-alih kahwin. Tak ada topik lain. Kenapa mama takut sangat? Anak mama ni lelakilah! Jerit Syakir dalam hati.
“Dah memang kamu dah layak kahwin.”
Suara Syamsul pula kedengaran di telinganya. Seakan-akan Syamsul ada di depannya. Terbayang-bayang di matanya, senyuman Puan Sarah. Syakir memandang tajam
21
wajah abang longnya itu. Tidak puas hati dengan sikap Syamsul yang sering menyokong Puan Sarah. Mereka kadangkala membuat mama mereka merasakan dirinya sentiasa baik dan betul.
“Huh!”
Itu respons Syakir pada abang longnya. Entahlah! Keluh Syakir lagi. Syakir tunduk sambil melangkah dengan tenang. Tiba-tiba kelihatan seorang gadis berdiri di depannya. Langkah Syakir terhenti seketika. Dilihatnya wajah gadis itu cemas. Matanya terpandang tayar kereta gadis itu. Tayar pancit?
Kesian jugak kat mereka. Nak cakap macam mana ni? Aku belum cuci muka, belum gosok gigi. Hmm... tak payah nak jawab-jawab. Kejap lagi aku turun semula suruh si Mat tu tolong tukar tayar. Hati Syakir berbisik.
Dengan hanya menjawab perlahan salam diberi Syakir kembali melangkah. Dia langsung tidak melayan permintaan gadis itu. Gadis itu nampak terpisat-pisat dan serba salah. Wajah gadis itu jarang dilihatnya kecuali seorang kawan gadis itu. Syakir yakin, gadis itu baru tiba di bandar itu. Sudah beberapa kali mereka terserampak di kawasan parkir apartmen ini. Kadang-kadang terserempak sewaktu masuk lif.
Syakir berdiri di pintu lif sambil merenung butang bernombor berubah warna menunjukkan lif sedang bergerak turun. Hanya beberapa minit menunggu, pintu lif terkuak. Wajah Mat, budak yang kerja di bengkel motor di luar kawasan apartmen itu, tersengih memandang Syakir. Lelaki itu berdiri di depannya.
“Abang? Tak kerja ke?” soal lelaki itu.
Syakir mengangguk sambil menutup mulutnya. Dia kemudian mengukirkan senyuman.
“Boleh tolong abang?” soal Syakir sambil masih menutup mulutnya dengan telapak tangannya.
“Apa dia bang?” soal lelaki itu pantas.
22
“Tu kat situ. Ada perempuan pancit tayar kereta,” ujar Syakir sambil jarinya menuding ke arah parkir.
Lelaki yang dipanggil Mat itu menjenguk sambil mengerutkan dahi.
“Kesiannya” ujar Mat perlahan.
“Ya, perempuan ni jarang yang tahu tukar tayar,” balas Syakir dengan nada serius.
“Mat tolong, boleh?” soal Syakir terus.
Mat mengukirkan senyuman.
“Kalau macam tu saya kena naik semula bang. Nak ambil perkakas,” ujar mat lalu kembali masuk ke dalam lif.
“Haah. Kesian abang tengok,” ujar Syakir perlahan.
“Betul bang,” balas Mat pantas.
“Terima kasih Mat,” ucap Syakir sambil melangkah masuk mengekori Syakir.
Mat hanya tersenyum.
“Perempuan bukan ambil berat pun fasal tayar-tayar. Bila jadi macam ni kan susah,” rungut Mat di sebelah Syakir.
Syakir menyeluk saku lantas mengeluarkan not RM50.
“Nah, buat minum pagi,” ujar Syakir sambil menyelitkan duit kertas itu ke saku kemeja lusuh yang dipakai Mat.
Lelaki itu tersentak.
“Apa ni bang?” soal Mat dengan wajah serba salah.
“Ala, kamu ambillah. Nanti tak payah kamu ambil duit dia orang,” balas Syakir.
“Tak bang. Saya takkan ambil. Saya akan tolong. Tak apa kalau dia orang tak bayar pun bang,” balas Mat, jujur.
Syakir tersenyum.
“Abang yang mintak tolong kamu. Bukan mereka.”
“Abang tak perlu bayar. Saya akan tolong mereka bang,” ujar Mat sambil tersengih.
23
“Ya, tapi duit abang bagi ni kamu ambil. Sekarang mana ada percuma-percuma. Masuk tandas pun kena bayar. Inikan pulak kerja tukar-menukar tayar,” balas Syakir.
Mat mengangguk sambil menyambut not RM50 yang dihulurkan Syakir. Dia akhirnya terpaksa akur dengan permintaan lelaki itu.
“Terima kasih bang,” ucap Mat sopan.
“Sama-sama. Terima kasih jugak kerana sudi tolong abang,” balas Syakir.
Mat hanya mengukirkan senyuman.
Pintu lif terkuak. Syakir melangkah keluar lalu menuju ke pintu aparmennya. Manakala Mat terus menaiki lif ke tingkat empat. Syakir melangkah masuk sebaik saja pintu dikuaknya. Dengan pantas Syakir melangkah ke tingkap. Dia mengambil masa beberapa minit memerhati ke arah gadis-gadis itu.
Kelihatan Mat muncul dengan kotak besi di tangannya. Syakir menggeleng-geleng sambil tersenyum. Lupa dia mahu beritahu Mat, mereka sudah pun ada pemulas skru. Syakir memerhati lagi.
Kesian, detik Syakir dalam hati.
Beberapa minit kemudian, kelihatan Mat menjinjing kotak menuju ke arah kereta milik gadis itu. Kedua-dua orang gadis itu kelihatan terperanjat dengan kemunculan lelaki itu. Syakir hanya melihat dari jauh. Tidak sampai setengah jam, kerja-kerja menukar tayar selesai. Kelihatan gadis itu menghulurkan sekeping wang kertas. Mat menggeleng-geleng. Syakir tersenyum.
Budak ni jujur, detik hati Syakir.
Syakir masih berdiri di tepi tingkap memerhati sehingga kedua-dua orang gadis itu berlalu. Alhamdulillah.. bisik hati Syakir. Barangkali gadis-gadis itu menuduh dia sombong kerana dia tidak melayani permintaan gadis itu. Dia tidak kisah. Apa yang penting, masalah orang yang memerlukan pertolongan telah pun dibantunya.
24
Syakir ke bilik untuk mandi dan bersiap. Hampir dua puluh minit Syakir di bilik mandi. Mengalahkan perempuan. Itulah yang selalu dikatakan mamanya. Kalau Syakir guna bilik mandi, jangan berangan orang lain henda guna. Itulah rungutan-rungutan yang selalu keluar daripada bibir Puan Sarah. Itu cerita semasa dia masih remaja dan tanpa sedar perangai itu dibawa hingga ke alam dewasa.
Mengenangkan semua itu, Syakir akan tersenyum sendiri. Kini semua itu tidak menjadi masalah buatnya. Papanya, Tuan Suhaimi membina banglo satu tingkat dengan enam buah bilik. Itu tidak termasuk apartmen yang Tuan Suhaimi hadiahkan kepada dia ketika pertunangannya dengan Engku Karmila beberapa tahun lalu.
Papanya memang sporting. Tetapi apabila ingatannya pada Engku Karmila menerjah benaknya, senyuman di bibir Syakir bertukar kelat. Wajah berubah sugul. Ah! Menyebut nama itu buat hatinya berdarah. Antara benci, kecewa dan dendam. Semuanya teradun menjadi satu. Tidak ada siapa pun yang mengerti. Tidak juga mamanya.
Rahsia itu hanya dia yang tahu. Malah dia menyimpannya sampai saat ini. Tidak juga Engku Maimunah, ibu Engku Karmila. Baginya wanita itu tidak perlu diberitahu. Biarlah ia terus menjadi rahsia. Biarpun dia dituduh melakukannya, hakikatnya diaa tidak membunuh. Dia tidak pernah membasahkan tangannya dengan darah, biarpun sekejam mana perbuatan Engku Karmila terhadapnya.
Engku Karmila memperbodohkannya. Engku Karmila mempergunakannya hanya untuk satu sebab. Tidak lain daripada menutup malu dan maruah diri. Engku Karmila perempuan curang. Semua itu langsung tidak diketahuinya. Sehingga satu malam dia menerima panggilan daripada gadis itu dengan esak tangis meminta dia ke penginapan gadis itu.
“Syaq, I nak jumpa you. Penting sangat.”
25
Syakir masih ingat bagaimana rintihan Engku Karmila di hujung pendengarannya. Dadanya berdebar-debar. Sedangkan beberapa minggu kebelakangan itu, Engku Karmila sering menolak apabila diajak keluar. Ada sahaja alasan yang diberikan. Malas! letih! Banyak kerja dan berbagai-bagai. Tetapi Syakir tetap menerimanya dengan tenang.
“Syaq!” Suara Engku Karmila kedengaran lagi.
“Kenapa Mila?”
“I nak jumpa you sangat.”
Syakir juga masih ingat bagaimana suara tangisan Engku Karmila. Insan yang mulai dicintainya setelah berusaha untuk belajar mencintai hasil perkenalan yang diaturkan Puan Sarah dan Engku Maimunah.
Tanpa menunggu seminit, Syakir terus bergegas untuk ke penginapan Engku Karmila. Dia menuruni tangga tanpa sempat menunggu lif. Melompat dengan pantas ke dalam perut kereta. Kereta dipecut membelah malam. Sepanjang memandu ke Jalan Sultan, hatinya tidak senang. Badannya berpeluh walaupun alat pendingin hawa dipasang. Dadanya berdebar-debar. Seperti ada yang tidak kena.
Sampai sahaja di pintu masuk apartmen, dia berusaha meyakinkan pengawal keselamatan yang banyak menyoal. Jenuh dia bersoal jawab dengan pengawal keselamatan itu. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia hadiahkan penumbuk di muka pengawal tu. Namun, apabila difikirkan, akan timbul masalah baru. Dengan menunjukkan wajah serius dan cemas akhirnya baru dibenarkan. Pelik sungguh. Sebelum ini, tidaklah seketat itu kawalan di situ.
Syakir memasuki kawasan apartmen penginapan Engku Karmila. Syakir melangkah cepat-cepat. Akhirnya dia sudah pun berdiri di depan pintu penginapan Engku Karmila. Syakir berdiri di situ buat seketika. Dadanya semakin kencang berdegup. Seperti ada sesuatu yang akan berlaku. Tangannya segera menekan butang loceng di sebelah pintu.
26
Tidak lama kemudian, pintu dikuak. Karmila berdiri di depannya dengan wajah sugul. Gadis itu memakai T-shirt yang terlondeh di bahagian bahu dan sebelah atas dada. Ppakaian yang menjolok mata seorang lelaki. Syakir mengerutkan dahi.
“Karmila? What is going on?” soal Syakir terus.
Engku Karmila tidak menjawab, sebaliknya menarik tangan Syakir. Syakir menonong membuntuti langkah gadis itu. Engku Karmila ke sofa lantas mendudukkan Syakir di sofa. Engku Karmila menghenyakkan punggungnya di sebelah Syakir.
“Kenapa?” soal Syakir, tidak sabar sambil merenung wajah Engku Karmila tajam.
Engku Karmila memegang tangan Syakir, namun cepat-cepat Syakir menariknya semula. Seperti ada yang tidak kena.
“Mila? Kenapa?” soal Syakir lagi.
“Syaq, I’m so sorry,” ucap Engku Karmila pantas.
“Tapi, kenapa? Jangan nak berteka-teki dengan I. You telefon I jauh-jauh malam hanya untuk berteka-teki. Mengarut!”
Ketika itu, rasa amarahnya pada Engku Karmila telah membuak-buak di hatinya. Dadanya semakin kencang berdegup. Namun, dia cuba menahannya daripada terus terhambur keluar.
“Syaq, sebenarnya...sebenarnya I nak...nak...”
“Nak apa? Cuba cakap!” jerkah Syakir.
“Sebenarnya I nak cakap yang kita...kita kena putuskan pertunangan kita,” ujar Engku Karmila tersekat-sekat.
Jantung Syakir berdegup lagi. Terasa degupan itu terlalu kuat hingga menyakitkan. Wajah Engku Karmila direnungnya dalam-dalam. Betulkah apa yang didengarinya itu?
“Kita tak boleh kahwin Syaq,” ujar Engku Karmila tanpa ragu-ragu.
27
Wajah Syakir dipandangnya, namun kemudian cepat-cepat Engku Karmila melarikan pandangannya.
Bibir Syakir seperti terkunci. Dia merenung Engku Karmila di hadapannya itu, ingin mendengar penjelasan daripada gadis itu.
“Kita kena putuskan jugak,” ujar Engku Karmila, kali ini dengan nada lebih tegas.
“Tapi kenapa? Apa yang tak kena? You sedar apa yang you cakap?” soal Syakir kasar.
“Ya, I sedar. Untuk pengetahuan you, I...I se...sebenarnya telah mengandung,” ujar Engku Karmila.
Dada Syakir terasa seperti dihentak dengan batu. Mengandung? Gila ke Mila? Aku tak pernah mengotorkan diri dengan dosa-dosa sehina tu sepanjang tempoh bertunang. Tiba-tiba sahaja dia menyebut tentang mengandung. Kalau pun nak putuskan perhubungan, bukan tu alasannya, getus hati Syakir.
Syakir bangkit. Engku Karmila turut berbuat demikian. Syakir mendekati Engku Karmila, tetapi gadis itu berundur setapak dengan wajah penuh curiga.
“Apa yang you merapu ni Mila? I tak pernah sentuh you. Macam mana you boleh kata you mengandung? Are you crazy?” soal Syakir sambil merenung tajam wajah gadis itu.
“Ya, you tak pernah sentuh I, Syaq,” balas Engku Karmila.
“Habis? You gila? Macam mana you boleh kata you mengandung bila I tak pernah sentuh you?” jerkah Syakir.
Dia sudah tidak mampu membendung rasa kecewa dan amarah pada Engku Karmila.
“Tak! I mengandungkan anak orang yang I cinta.”
Terasa seperti halilintar membelah dada Syakir. Kata-kata itu sangat menyakitkan. Terasa kecil Engku Karmila dalam pandangan matanya. Lengan Engku Karmila disentapnya lalu gadis itu ditarik dengan kasar. Seperti
28
hilang akal Syakir bertindak ketika ini. Pipi mungil Engku Karmila ditamparnya. Karmila menjerit kesakitan. Namun, apa dia peduli?
Keperitan pipi gadis itu tidak seperit hatinya mendengar berita itu. Menerima Engku Karmila selama ini pun satu keperitan. Satu kesilapan besar dalam hidup yang dilakukannya adalah menerima Engku Karmila dalam hidupnya. Namun, ini balasan daripada Engku Karmila terhadap kesediaannya menerima gadis itu dalam hidupnya. Engku Karmila menangis sambil menggosok-gosok pipinya yang mula merah. Hinanya perempuan ini di matanya.
“Kita putuskan pertunangan kita Syaq,” tegas Engku Karmila.
“You tak payah nak mintak-mintak. I bagi terus keputusan. Memang I takkan kahwin dengan perempuan murahan macam you!” jerit Syakir.
Hilang sudah segala sabar yang ada di dadanya. Berdepan dengan Engku Karmila tidak ubah seperti berdepan dengan seorang perempuan kotor.
“Hey, perempuan! Siapa kau sebenarnya ha?” jerkah Syakir.
“Syaq!”
Engku Karmila menangis. Bahunya terhenjut-henjut. Namun, Syakir tidak sedikit pun berasa simpati.
“Tak sangka, nama aje keturunan baik-baik. Perangai tak ubah sundal,” tokok Syakir sambil memandang gadis itu dengan geram.
Engku Karmila terjelepok di atas sofa. Beberapa minit kemudian, dia kembali bangkit dan mendekati Syakir.
“Sampai hati Syaq, you panggil I sundal,” ujar Engku Karmila, sedih.
“Habis kalau bukan sundal, apa? Apa yang layak untuk you? Hanya perempuan sundal yang rela biarkan jantan buat perkara tak senonoh!” jerkah Syakir.
29
Ini bukan masa untuk berlembut. Hati Syakir sakit. Kenapa Engku Karmila sekeji itu? Tidakkah perempuan itu fikir, dia tunang orang? Tidakkah perempuan itu fikir berzina itu salah satu daripada dosa-dosa besar? Sesekali Syakir menyalahkan Puan Sarah atas segala yang terjadi. Mamanya itu yang beria-ia ingin menyatukan mereka, kononnya Engku Karmila daripada keturunan yang baik-baik.
“Kalau you nak hina I, tak ada gunanya kita berbincang!” ujar Engku Karmila keras dengan wajah mencuka sambil menangis.
Suara Engku Karmila buat Syakir tersentak. Namun, Syakir hanya mencebik.
“Berbincang apanya? Cuba you cakap. Orang macam you ni Karmila, tak layak lagi untuk dibawa berbincang. Terus terang I cakap pada you, kenapalah perempuan macam you ni masih hidup dan mengotorkan dunia ni? Kalau mati kan senang, boleh bagi anjing makan aje.”
“Syaq! Kalau tadi I panggil you datang ke sini, sekarang I nak you berambus. Berambus!” jerit Engku Karmila seperti orang hilang akal sambil menumbuk-numbuk dada Syakir.
Beberapa kali Syakir mengelak, namun pukulan tangan perempuan itu tetap berbisa. Dadanya berasa senak.
“You tak perlu nak halau I. I pun geli nak pandang perempuan hina macam you ni lama-lama!” balas Syakir.
Engku Karmila menjerit lagi. Peduli apa Syakir dengan jeritan itu. Biarkan! Biarkan seluruh apartmen itu mendengar jeritan gadis itu.
“Syakir! Kenapa dengan you ni?” jerit Engku Karmila lagi.
Syakir tersenyum sinis melihat wajah gadis di depannya.
30
“Kalau kau nak tahu, aku akan pergi. Tak payah kau halau akulah! Aku akan pergi! Kau puas, kan?” balas Syakir sambil tersenyum sinis.
Dengan langkah panjang, Syakir melangkah keluar. Daun pintu dihempasnya kuat. Biar hatinya puas dapat melepaskan rasa amarah yang terpendam di hatinya. Namun, tidak sampai tiga langkah, tiba-tiba seorang lelaki muncul dan menghala ke pintu rumah Engku Karmila. Lelaki itu kelihatan tersentak saat terpandang Syakir.
Dah sah nilah lelaki tak guna tu. Aku tak boleh biarkan, bisik Hati Syakir. Tanpa menunggu lama, Syakir menghayun penumbuk ke arah muka lelaki itu. Lelaki itu tidak sempat mengelak lantas tersandar ke dinding apartmen. Satu tumbukan lagi mengena perut lelaki itu. Lelaki itu tertunduk menahan sakit.
“Ni hadiah untuk kau, jahanam!!” jerit Syakir sambil meludah ke muka lelaki itu.
Tidak ada adegan cabar-mencabar. Situasi sekarang bukan sesuai untuk menunjukkan kekuatan lidah. Ada peluang bagi terus, bisik hati Syakir. Aku pun tak pukul dari belakang. Bukan jantan namanya, detik hati Syakir.
“Kalau rasa tak puas, kita jumpa lagi,” ujar Syakir sambil merenung tajam lelaki itu.
Lelaki itu hanya memandang Syakir sambil berwaspada dengan serangan seterusnya daripada lelaki itu. Tangannya sibuk menyeka darah yang mengalir keluar dari mulutnya.
“Go to hell!” bentak Syakir.
Kemudian dengan rasa puas hati, Syakir melangkah meninggalkan lelaki itu. Itulah sebahagian memori pahit Syakir yang telah banyak merubah sikap dia menjadi lelaki pendiam dan kadangkala pemarah. Syakir mengusap pipinya yang tiba-tiba hangat. Dia melepaskan keluhan untuk meluahkan segala beban yang berada di hatinya.
Deringan telefon bimbit membuat Syakir tersentak. Bayangan Engku Karmila pecah berderai daripada
31
ingatannya. Dengan pantas lelaki itu mencapai telefon bimbintnya. Suara Jannet kedengaran dalam talian.
“You kat mana Syaq?”
“Kat apartmen. Kenapa Jenny?”
“Jadi you tak masuk ofislah hari ni?”
“I nak rehat. Kenapa Jenny?” soal Syakir lagi.
“Nak datang sini tak?”
“Boleh aje tapi lambat sikit, Jenny. Ada apa-apa yang nak dibincangkan?”
“Ada. Tak banyak, cuma I nak you ada.”
“Okey, kalau macam tu, I datang. I belum sarapan ni,” ujar Syakir sambil tertawa kecil.
“Sarapan kat sinilah. I ada buat roti bakar. You suka, kan?” balas Jannet sambil tertawa juga.
“Haah, kan? Nilah yang buat I suka you ni,” usik Syakir.
“Jangan nak mengada.”
Jannet, satu-satunya sahabat Syakir yang rapat sejak di university di Achen lagi. Sahabat yang boleh dibawa berbincang dalam apa juga topik sehingga ke topik-topik peribadi. Dengan Jannet dia boleh bergurau dan meredakan ketegangan minda. Malah di depan Jannet dia pernah menangis kerana seorang perempuan bernama Engku Karmila.
“You datang Syaq. I tunggu,” pesan Engku Karmila.
“Yup.”
“Bye.”
“Bye.”
Lantas telefon bimbitnya dimasukkannya ke dalam poket seluarnya. Dengan pantas Syakir mencapai kunci keretanya lantas bergegas keluar dari penginapannya. Jam di dinding menunjukkan ke angka 11.00 pagi. Kenderaannya menghala ke bangunan yang menempatkan ruang untuk pembaca yang inginkan kedamaian dengan alunan muzik, spa dan buku pilihan. Suasana yang memberi ketenangan dengan aroma kopi segar. Idea yang diperoleh bersama
32
Jannet ketika di luar negara dahulu dan dibawa pulang ke negara sendiri. Itulah Book Cafe. Tempat Syakir menghabiskan masa dan menenangkan fikiran.
Syakir memandu menuju ke Book Cafe di pusat Bandar Damansara dengan tenang.
Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani Latif