Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 41

BAB 41: Gaduh!


Daniel pulang ke rumah setelah selesai kelas. Hari ini dia tiada perbincangan bersama Rais dan Jai. Jadi, Daniel boleh pulang lebih awal ke rumah. Masuk sahaja ke rumah, Daniel dapat melihat Nadirah yang sedang membasuh pinggan di dapur. Daniel hanya memerhatikan isterinya dari jauh sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia mula dapat merasakan keadaan akan menjadi ganjil.


Namun, Daniel berazam untuk memecahkan dinding penghalang yang ada di antara mereka. Daniel menarik nafas dalam. Dia meletakkan begnya di sofa dan pergi ke arah isterinya yang sedang membasuh pinggan.


“Awak awal ya balik hari ni? Asar dah ada dekat rumah…”, Daniel memulakan perbualan.


Nadirah masih berwajah tidak berperasaan.


“Hmmm”, Nadirah mengiakan pertanyaan Daniel.


Daniel kembali terdiam. Apabila ditanya A, memang jawab A sahaja. Daniel memikirkan perbualan seterusnya.

“Awak nak masak apa nanti?”, tanya Daniel lagi.


Nadirah berhenti dari membasuh pinggan lalu mengambil senduk dan pergi ke ruangan memasak. Nadirah mengacau lauk yang ada di dalam periuk. Daniel turut melihat apa yang dikacau isterinya.


“Ohhh! Sedapnya kari ikan…”, teruja Daniel diperlihatkan kepada isterinya. Dia cuba untuk meneutralkan keadaan antara mereka dengan berbicara seperti biasanya.


Nadirah menutup api setelah lauknya sudah siap.


Daniel berkata lagi, “kalau awak masak memang….”. Kata-kata Daniel tidak sempat dihabiskan, Nadirah sudah berjalan pergi meninggalkan Daniel untuk ke bilik dobi belakang.


Daniel terdiam dan terasa hati. Dia berkerut kecil lalu memandang bawah. Nampaknya keadaan mereka masih lagi dingin. Semasa dia bertanya Nadirah tadipun, Nadirah hanya menjawab ‘hmm’ sahaja. Apa yang dikatakannya tadipun Nadirah tidak membalas apa-apa. Lagak Nadirah itu seakan sudah tidak mempedulikannya. Seakan dirinya sudah tidak wujud. Daniel mengeluh.


Saat makanan dihidangkan pun, Nadirah hanya mengambil pinggan sendiri dan makan sendiri. Daniel tersinggung dengan perbuatan Nadirah. Daniel hanya berdiri dan memandang isterinya yang sedang makan sendiri itu. Nadirah langsung tidak memandang dirinya. Daniel cuba untuk bersabar. Dia cuba untuk berlagak biasa dengan mengambil pinggan sendiri dan turut duduk semeja bersama isterinya.


Sambil makan Daniel masih cuba untuk berkomunikasi dengan isterinya, “sedap betul awak masak ya… Beruntungnya saya jadi suami awak. Dapatlah merasa lauk awak masak ni”.


Nadirah berhenti makan dan memandang Daniel dengan hujung matanya. Pandangan mata Nadirah yang seakan menyampah. Pandangan yang serius kepada Daniel.


Daniel berhenti berbicara. Dia terkejut dengan pandangan Nadirah terhadapnya sebegitu.


Nadirah menjeling memandang tempat lain dan bangun dari tempat duduknya sambil membawa pinggannya ke singki. Pinggan Nadirah juga masih berisi makanan.


Daniel hanya memandang tindak tanduk Nadirah yang membasuh pinggan lalu naik ke atas. Daniel mengeluh. Sungguh dia sangat kecil hati dengan tindakan Nadirah. Daniel terasa sangat sedih. Kening Daniel berkerut lalu memandang tempat duduk Nadirah makan tadi.


‘Sampai tak berselera terus Nad nak berbual dengan aku’, getus hati Daniel sedih.


Pada malamnya, Nadirah ingin tidur awal. Seperti biasa Nadirah masih membelakangkan pembaringan suaminya sewaktu berbaring di katil. Dia cuba untuk mengeraskan hatinya. Dia tidak mahu hatinya tertipu dengan kata-kata manis Daniel. Dia sudah tidak mahu memberi terlalu banyak ruang lagi buat Daniel. Dahulu, dia sudah banyak mengalah. Sudah banyak memberi ruang kepada suaminya. Kali ini dia tidak mahu menyakiti hatinya lagi di masa akan datang. Nadirah memang masih sayangkan Daniel tetapi Nadirah cuba berperang dengan perasaannya agar tidak terlalu sayang.


Daniel masih di ruang dapur. Dia membuat sendiri air kopinya. Kalau sebelum ini boleh saja dia meminta Nadirah buatkan, tetapi kali ini dia berasa segan untuk meminta. Setelah siap dibancuh, Daniel duduk menghirup sebentar kopinya di meja makan.Saat termenung jauh merenung nasib diri, satu panggilan di telefonnya masuk.


Daniel pantas mengangkat apabila mendapati panggilan itu daripada maknya.


“Asslamualaikum ya mak…”.


“Waalaikumsalam Danny… Nad sibuk tak esok?”, tanya Mak Esah.


“Emmm rasanya tak. Kenapa?”.


“Ni… mak ingat nak ajak kamu berdua datang makan rumah mak. Yalah hari tu kan kamu seorang saja. Kali ni bawalah Nad sekali… mak pun dah lama tak borak depan-depan dengan menantu mak. Selalunya dalam telefon aje. Esok mak nak masak banyak, jadi... datang tau!”.


“Ohhh boleh mak! Boleh sangat! Nanti Danny beritahu Nad”, teruja Daniel.


“Haa baiklah kalau macam tu. Assalamualaikum mak nak tidur dulu”.


“Waalaikumsalam mak”, jawab Daniel dengan senyuman terukir di bibir.


Daniel masih tersenyum. Fikirnya, ini boleh menjadi asbab agar Nadirah tidak mengabaikannya malam ini seperti petang tadi. Daniel pantas menghabiskan kopinya lalu naik ke bilik.


Saat masuk ke dalam bilik, Nadirah kelihatannya sudah tidur. Daniel naik ke katil. Dia cuba untuk membangunkan isterinya.


“Nad… bangun sekejap. Ada benda saya nak cakap ni”, kata Daniel sambil menggoyangkan badan Nadirah.


Nadirah berkerut dan masih berkeras untuk tidur.


“Tolonglah sayang…bangunlah dengar apa yang saya nak cakap. Penting ni”, kata Daniel lagi.


Nadirah sudah terjaga saat suaminya mengejutnya tetapi dia malas hendak melayan karenah suaminya dan berkeras untuk tidur kembali. Namun, apabila Daniel seakan merayu untuk berbicara tentang sesuatu yang penting. Hati Nadirah menjadi tidak selesa. Apa yang penting tu? Bayangan gadis bertudung labuh itu terimbau di ingatan.


Nadirah menggeleng kepala, ‘tak tak…’. Nadirah cuba lagi untuk tidur. Dia ingin merehatkan mindanya.


“Tolonglah dengar Nad…ni pasal mak”, berkerut Daniel cuba untuk berbicara dengan Daniel.


Nadirah membulatkan mata, ‘mak?’.


Nadirah bangun dari pembaringan lalu mengeluh, “kenapa?”.


Daniel cuba untuk menahan senyumannya yang hendak melebar. Akhirnya isterinya memberi perhatian kepadanya.


“Aaa mak…”, Daniel tidak sempat hendak menghabiskan perbicaraan.


“Cakaplah cepat…saya ni penat!”, tegas Nadirah dengan wajahnya yang tidak berminat.


“Nak cakaplah ni!! Boleh tak dengar?!!”, Daniel geram kerana kata-katanya dipotong Nadirah.


Nadirah terdiam. Dia melarikan matanya ke tepi dengan wajah yang tidak puas hati.


Daniel mengeluh. Apa sahaja perbualan mereka pasti hendak menjurus kepada pergaduhan. Seperti sekarang ini. Baru sahaja rasa seronok hendak berbicara dengan isterinya, sudah bertinggi suara lagi seperti tadi.


“Mak ajak kita datang rumah…”, kata Daniel sambil memandang bawah. Mood gembiranya terganggu setelah meninggi diri tadi.


“Itu je?”, tanya Nadirah dengan wajah tidak berminat.


Daniel berkerut kecil dan mengeluh apabila melihat reaksi isterinya yang seakan tidak berminat.

“Awak kena pergi!”, kata Daniel lagi.


Nadirah memandang mata suaminya, “hmm”. Nadirah berdehem tanda setuju lalu kembali baring membelakangi suaminya.


Daniel memandang sahaja tindak tanduk isterinya yang mahu tidak mahu sahaja berbicara dengannya. Walaupun isterinya setuju, tetapi Daniel berasa tidak puas sahaja. Daniel masih berkerut tipis lalu baring membelakangi isterinya juga.


Terasa jauh sekali walaupun sekatil. Daniel masih berwajah masam sewaktu berbaring. Topik yang sepatutnya dapat berbual dengan baik tetapi diakhiri dengan masam muka. Masing-masing membelakangi masing-masing. Daniel cuba melelapkan mata dengan keningnya yang masih berkerut.


Pada paginya masing-masing bermasam muka. Mereka hanya bersiap untuk ke rumah Mak Esah. Setelah keluar dari rumah, Daniel pantas memasuki tempat duduk pemandu kereta Nadirah. Nadirah yang melihat Daniel sudah di driver seat, memandang suaminya dengan wajah monyok lalu duduk di sebelah tempat pemandu.


‘Harap tak bawa macam pelesit sudah. Dahlah kereta aku’, getus hati Nadirah.


Maklumlah Daniel masih tidak ada kereta. Dia cuma ada motor. Nadirah sahaja yang ada kereta.


Sewaktu perjalanan, suasana kereta diam. Dengan wajah masing-masing yang seakan tiada mood. Nadirah hanya merenung ke luar tingkap kereta. Daniel pula fokus dengan pemanduannya. Daniel terasa bosan lalu membuka radio di kereta.


Apabila mendengar lagu-lagu Rock yang rancak itu bermain, Daniel mula menggoyangkan kepalanya ke hadapan sambil mulutnya memimik lirik lagu itu.


Bermula sebuah cerita

Di zaman dulu kala

Mudahnya sederhana kehidupan

Mereka riang sentiasa dan gembira

Tanpa duka 


Nadirah mula rasa terganggu dengan lagu di radio yang sangat bising. Nadirah memerlahankan kelantangan suara radio.


Setelah kelantangan diturunkan, Daniel mula rasa kurang feel terhadap lagu yang didengari. Daniel menaikkan lagi kelantangan bunyi.


Nadirah menjeling tajam ke arah Daniel. Daniel pula buat-buat tak tahu.


Nadirah mengalihkan siaran. Lagu Hujan ‘Aku Skandal’ kedengaran.


Daniel turut menjeling isterinya kerana menukar lagu. Tetapi lagu yang dialih juga rancak, jadi Daniel sambung menggoyang-goyang kepalanya dan turut menyanyikan lagu itu.


Jangan disimpan, tiada rahsia

Katakan saja, ku terima

Engkau tetap pergi
Pergi meninggalkanku sendiri

Waktu duka dulu kita lalui bersama

Bahgia bagaikan malam ditemani bintang terang

Hancur hati bila kau undurkan diri

Meninggalkan daku

Meninggalkanku sendiri


Nadirah sudah berasa tidak suka dengan lirik-lirik patah hati itu lalu Nadirah menukar lagi. Kali ini lagu Jannah daripada Ikhwan Fatanna pula dan kelantangan bunyi diturunkan.

 

Ku mahu Jannah, Jannah, Jannah
Pakai baju dari sutera
Gelang emas, mutiara

 

“Baru betul lagu ni! Nasyid!”, kata Nadirah dengan nada sindiran sambil matanya memandang ke luar.


Daniel terdiam. Dia menjeling lagi isterinya. Daniel menguatkan kelantangan bunyi.


Nadirah pula menjeling suaminya dan kembali merendahkan kelantangan bunyi.


“Nasyid kan?!! Kenapa nak perlahan?!”, Daniel menepis tangan Nadirah untuk menguatkan kembali kelantangan bunyi lagu nasyid itu.


Nadirah mendengus lalu menutup telinganya dan kembali memandang luar tingkap.


Daniel tersenyum melihat reaksi Nadirah yang tidak puas hati. Senyuman Daniel makin melebar. Walaupun hanya sekadar peperangan volume lagu di dalam kereta, tetapi Daniel berasa menang sebuah pingat.


‘Macam budak-budak!! Hal macam ni pun nak gaduh!’, getus hati Nadirah yang tidak mahu kalah juga.



Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.