‘YA ALLAH… semoga semuanya cepat berlalu dan berakhir. Aku dah
tak larat dan mahu lari dari semua ini,’ bisik hati Rus.
Perjalanan balik ke Ipoh masih jauh. Setiap kali balik ke
rumahnya di Kampung Sungai Rokam, Rus menggunakan perkhidmatan ETS. Haji Rosman
akan menjemputnya apabila sampai di stesen Ipoh.
Kereta Waja milik abahnya hanya dia guna untuk ke pejabat
sahaja. Andai keluar pada hujung minggu, selalunya menggunakan kereta Nurul
atau Amy. Satu kebetulan pula apabila mereka bertiga mewarisi kereta lama bapa
masing-masing. Cuma kereta Rus tidaklah semewah kereta Nurul mahupun Amy.
Mereka berasal daripada keluarga orang berada.
Sebenarnya, dia dapat agak kenapa abahnya suruh balik lebih
awal. Pasti sahaja hendak beritahu pasal Huzaif yang sudah berkahwin dan sudah
punya anak. Huh! Mengingatkan lelaki itu berkahwin diam-diam di luar negara,
buat hatinya sakit juga.
Paling membuat Rus risau, duit hantaran perkahwinan sudah habis
dibelanjakan. Malah, semua persiapan juga telah dibuat, cuma menunggu hari
pernikahan sahaja. Kalau ikutkan hatinya yang marah, memang dia mahu saman
sahaja pihak lelaki.
Malam tadi, Haji Rosman menghubunginya dan menyuruh balik
secepat mungkin. Abahnya cuma beritahu keluarga Huzaif ada datang ke rumah,
tetapi tidak mahu bercerita lebih lanjut. Rus tetap berasa risau walau abahnya
tenang sahaja.
TIBA
di stesen Ipoh, dari jauh Rus sudah nampak wajah abahnya. Rupanya Haji Rosman awal-awal
lagi sudah menunggunya. Rus menyalam dan mencium tangan abahnya seperti selalu.
“Bagi abah beg Rus tu,” pinta Haji Rosman dan terus menarik
beg pakaian Rus menuju ke kereta.
“Kenapa abah nak Rus balik cepat? Ada apa-apa ke?” Rus tidak
sabar hendak tahu.
“Tak elok kita bincang kat sini. Kat rumah nanti mak akan
cerita semuanya pada Rus,” beritahu Haji Rosman sambil memasukkan beg ke dalam boot kereta.
“Abah, jangan buat Rus saspens pulak!” Ini yang membuat Rus
bertambah tidak keruan.
Sekilas Haji Rosman memandang anaknya. “Kat rumah nanti Rus
akan tahu. Bersabarlah,” pujuknya.
“Okeylah…”
Rus sudah tidak sedap hati apabila abahnya berkata begitu.
Andai abahnya tidak mahu bercerita dan emaknya pula yang akan beritahu
semuanya, pasti ada perkara yang lebih serius.
Dalam perjalanan, Rus juga berasa pelik kerana abahnya tidak mahu
berbual langsung. Sebaik tiba di rumah, kelibat emaknya yang dicari terlebih
dahulu.
“Rus, mari sini,” panggil Hajah Kalsum yang sedang menanti ketibaan
anaknya. Gerakan tangan yang lembut menggamit anaknya agar duduk di sampingnya.
Rus segera menghampiri dan melabuhkan punggungnya di sofa.
Hajah Kalsum memandang sayu anak gadisnya. Sejak Haji Rosman bertolak
menjemput anaknya, hatinya sentiasa tidak tenang. Dia tetap bimbang dengan
penerimaan Rus tentang masa hadapannya.
“Abah kata mak ada benda nak beritahu Rus.” Rus bertanya setelah
bersalam dengan emaknya.
“Betullah tu. Ni pasal pertunangan Rus dengan Huzaif.” Hajah
Kalsum mengeyakan walau berat hendak membuka mulut. Namun dia perlu beritahu
juga keputusan yang telah dibuat.
“Mak, kalau Che
Jamaliah nak putuskan pertunangan, Rus tak ada masalah...” ucap Rus perlahan.
Hajah Kalsum sedikit terkejut mendengarnya. Andai Rus sudah
berkata begitu, pasti sahaja anaknya sudah maklum tentang Huzaif.
“Kalau mak nak cakap pasal duit hantaran yang dah terpakai
tu, Rus boleh bayar balik,” sambungnya.
Hajah Kalsum menarik nafas dalam-dalam. “Bukan sebab tu,
Rus…” Sebak hatinya mendengar bicara anaknya. Masih lagi mahu berbahasa walau
diri telah teraniaya.
“Habis tu, sebab apa?”
“Che Jamaliah nak Rus jadi menantu dia jugak.” Akhirnya
terucap juga. Tadi, Hajah Kalsum berkira-kira sendiri bagaimana hendak beritahu
anaknya dengan cara yang terbaik.
“Hah?! Rus tak nak jadi isteri nombor dua Huzaif!” Rus terus
membantah.
“Jadi, Rus dah tahu yang Huzaif dah berkahwin?” soal Hajah Kalsum.
Rus mengangguk perlahan.
“Dengar dulu. Mak pun tak nak Rus berkahwin dengan Huzaif…”
Hajah Kalsum beritahu pendiriannya.
“Habis tu dengan siapa? Che Jamaliah mana ada anak lelaki
lain, kan?” potong Rus.
“Memang la, tapi arwah Tuan Rashid ada anak lain dengan bekas
isteri pertama dia,” beritahu Hajah Kalsum.
Rus tergamam mendengarnya. Rasa saluran darah ke jantung
tiba-tiba tersumbat. Sukar hendak menerima apa yang sedang terjadi ketika ini.
“Dengar tak apa mak
cakap ni? Arwah Tuan Rashid ada anak lain dengan isteri pertama. Dialah yang
akan gantikan tempat Huzaif,” terang Hajah Kalsum.
“Mak, kenapa semua orang tak tanya Rus dulu? Yang nak kahwin
Rus, bukan Che Jamaliah atau orang lain!” Saat ini, tidak semena-mena air mata
Rus sudah terhambur.
“Mak dan abah dah tak tahu nak cakap macam mana. Che Jamaliah
nak Rus jugak jadi menantu dia.” Hajah Kalsum menerangkan keadaan sebenar.
“Nak pulak anak tiri Che Jamaliah tu kahwin dengan Rus? Jumpa
pun tak pernah!” Rus merengus sambil menyeka air matanya. Geram dengan apa yang
berlaku.
“Che Jamaliah kata, Shah sendiri yang tawarkan diri untuk
jadi suami Rus. Tak ada sesiapa pun yang paksa dia,” jelas Hajah Kalsum.
“Ini yang Rus tak suka! Dahlah dulu Rus kena dengar cakap
semua orang. Sekarang pun Rus tak boleh buat keputusan sendiri. Ini tentang
masa depan Rus, Mak. Tak boleh ke kali ini Rus yang tentukan sendiri?” Air mata
yang cuba ditahan, bergenang lagi.
“Janganlah cakap macam tu, Rus. Semua persiapan dah dibuat.
Cuma pengantin lelaki yang berubah,” pujuk Hajah Kalsum.
“Tak boleh ke batalkan aje majlis ni? Rus tak nak!” Rus cuba
membantah.
“Shah sendiri dah berjumpa mak dan abah. Dia bersungguh nak
kahwin dengan Rus, takkanlah mak dan abah nak menolak?”
“Rus nak larilah kalau macam ni. Ingat kahwin-kahwin ni,
boleh paksa ke?” luahnya dalam kesedihan.
Ketika ini, air mata Rus sudah semakin laju membasahi pipi.
Kenapalah semua orang tidak mahu memahami dirinya?
“Rus, mak tahu Rus anak yang baik. Boleh tak Rus terima
ketentuan ni dengan lapang dada?” pujuk Hajah Kalsum sambil memegang bahunya.
Hajah Kalsum sendiri tidak mudah untuk bersetuju dengan
keputusan suaminya. Dirinya turut kasihan dengan anaknya kerana menjadi mangsa
keadaan. Namun, entah kenapa kali ini suaminya yakin Shah adalah pilihan yang
terbaik.
“Lapang apanya? Rus langsung tak diberi pilihan!” balasnya
sambil menahan sebak di dada.
Andai dia menangis sampai air mata bertong-tong sekalipun,
sudah tidak berguna. Memang tiada ruang untuk dia membuat sebarang bantahan. Keinginan
mencari jodoh sendiri berkubur dan terpaksa disimpan dalam laci. Akhirnya Rus
membawa diri ke biliknya.
‘SHAH?
Siapa pulaklah lelaki itu?’ Rus tertanya sendiri. Dahulu dia sendiri pun tidak
sempat mengenali Huzaif dengan lebih rapat. Alih-alih kena berkahwin dengan
orang yang tidak dikenali juga.
Rus mengeluh dengan nafas yang berat. Kenapalah mak dan
abahnya suka buat dirinya tertekan? Dari kecil sampai besar, semuanya telah
diatur untuk dia ikuti. Baru tersuka dengan orang lain, sudah terpaksa
dilupakan. Sekali lagi dia terpaksa mengenepikan perasaan di hati. Ke mana lagi
hati hendak dia bawa? Shah bukan jodoh yang dia inginkan!
Rus menangis lagi, tapi kini tanpa suara. Sepanjang malam dia
sukar melelapkan mata. Sudahnya dia meletakkan tangan di bawah kepala. Mata
dipejam sambil berharap masalah yang datang segera pergi.
Apabila terasa kepalanya sakit dan berdenyut-denyut, dia
memicit perlahan kepalanya. ‘Ya ALLAH,
jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang sabar dan patuh kepada-Mu dan
kepada ibu bapaku,’ doanya dalam sendu.